Semoga Kita Bersatu sepertimana Yehuwa Bersatu dengan Yesus
‘Aku berdoa agar mereka semua menjadi satu, sepertimana Engkau bersatu dengan aku.’—YOH. 17:20, 21.
1, 2. (a) Apakah yang diminta oleh Yesus dalam doanya yang terakhir bersama para rasul? (b) Mengapakah Yesus risau tentang perpaduan para pengikutnya?
ISU perpaduan bermain di fikiran Yesus pada malamnya yang terakhir bersama para rasulnya. Semasa berdoa bersama mereka, dia memohon agar semua pengikutnya bersatu, sebagaimana dia dan Bapanya bersatu. (Baca Yohanes 17:20, 21.) Perpaduan mereka ialah bukti yang kukuh bahawa Yesus diutus oleh Yehuwa. Kasih, tanda pengenal orang Kristian sejati, akan mengeratkan lagi perpaduan itu.—Yoh. 13:34, 35.
2 Kita dapat faham sebabnya Yesus menekankan topik perpaduan. Dia telah mendapati bahawa para rasulnya kurang bersatu. Contohnya, pada malamnya yang terakhir bersama mereka, mereka bertengkar lagi “tentang siapa yang terbesar.” (Luk. 22:24-27; Mrk. 9:33, 34) Sebelum itu, Yakobus dan Yohanes pernah meminta Yesus untuk memberi mereka tempat yang istimewa di sisinya dalam Kerajaan di syurga.—Mrk. 10:35-40.
3. Apakah faktor-faktor lain yang mungkin menyebabkan perpecahan dalam kalangan murid Kristus? Apakah soalan-soalan yang akan kita bincang?
3 Namun, sikap mementingkan kedudukan bukanlah satu-satunya penyebab perpecahan. Para murid Kristus hidup dalam kalangan orang yang bermusuhan dan berprasangka, dan mereka perlu mengatasi perasaan sebegitu. Rencana ini akan menjawab soalan-soalan berikut: Bagaimanakah Yesus menangani sikap prasangka? Bagaimanakah dia membantu para pengikutnya untuk membuang sikap berat sebelah dan memupuk perpaduan? Bagaimanakah ajarannya membantu kita tetap bersatu?
PRASANGKA YANG DIHADAPI YESUS DAN MURID-MURIDNYA
4. Bagaimanakah sesetengah orang berprasangka terhadap Yesus? Jelaskan.
4 Orang lain pernah berprasangka terhadap Yesus. Semasa Filipus memberitahu Natanael bahawa dia sudah menjumpai Mesias, Natanael berkata, “Dapatkah sesuatu yang baik datang dari Nasaret?” (Yoh. 1:46) Natanael mungkin tahu nubuat di Mikha 5:2 dan berasa bahawa Nasaret tidak cukup istimewa untuk menjadi kampung halaman Mesias. Sesetengah orang Yudea yang terkemuka juga memandang hina terhadap Yesus kerana dia ialah orang Galilea. (Yoh. 7:52) Ramai orang Yudea memandang rendah terhadap orang Galilea. Orang Yahudi lain pula mengejek Yesus dengan memanggilnya “orang Samaria.” (Yoh. 8:48) Bangsa Samaria berbeza daripada bangsa Yahudi dan menganut agama yang berbeza. Orang Yudea dan Galilea tidak menghormati orang Samaria dan menjauhi mereka.—Yoh. 4:9.
5. Apakah prasangka yang dihadapi para pengikut Yesus?
5 Para pemimpin Yahudi juga menghina pengikut Yesus. Orang Farisi menganggap mereka sebagai orang terkutuk. (Yoh. 7:47-49) Sesiapa yang tidak pernah menghadiri sekolah agama atau tidak mengikut tradisi mereka akan dianggap sebagai orang biasa yang tidak berguna. (Kis. 4:13, nota kaki) Orang pada masa itu membanggakan agama, kedudukan, dan bangsa sendiri, dan itulah akar umbi sikap prasangka yang dirasai Yesus dan para pengikutnya. Murid-murid Yesus juga dipengaruhi sikap prasangka. Maka, untuk tetap bersatu, mereka perlu ubah fikiran sendiri.
6. Bagaimanakah sikap prasangka dapat mempengaruhi kita? Berikan contoh.
6 Dunia hari ini sarat dengan prasangka. Kita mungkin ialah mangsa prasangka, atau kita mungkin berprasangka terhadap orang. “Apabila saya berfokus kepada ketidakadilan yang dialami suku Aborigin, baik dahulu mahupun sekarang, saya makin membenci orang putih. Penindasan yang saya alami dahulu juga buat saya benci mereka,” kata seorang saudari perintis di Australia. Seorang saudara di Kanada mengaku, “Dahulu, saya fikir orang yang berbahasa Perancis lebih unggul, dan saya memusuhi orang yang berbahasa Inggeris.”
7. Bagaimanakah Yesus menangani sikap prasangka?
7 Seperti yang berlaku pada zaman Yesus, prasangka pada zaman kita juga dapat berurat berakar dalam diri seseorang. Bagaimanakah Yesus menangani sikap itu? Pertama, dia tidak membiarkan sikap itu menjangkiti dirinya. Yesus menginjil tanpa berat sebelah kepada orang kaya dan miskin, orang Farisi dan Samaria, dan bahkan kepada pemungut cukai dan pendosa. Kedua, melalui ajaran dan teladannya, Yesus menunjukkan bahawa murid-muridnya mesti menyingkirkan sikap prasangka dan syak wasangka.
MENGATASI PRASANGKA MELALUI KASIH DAN KERENDAHAN HATI
8. Apakah prinsip yang menjadi asas perpaduan Kristian? Jelaskan.
8 Yesus mengajar para pengikutnya satu prinsip yang menjadi asas perpaduan kita. Dia berkata, “Kamu semua bersaudara.” (Baca Matius 23:8, 9.) Kita boleh dikatakan “bersaudara” kerana kita semua keturunan Adam. (Kis. 17:26) Namun, Yesus menjelaskan bahawa semua muridnya ialah saudara dan saudari kerana mereka mengakui Yehuwa sebagai Bapa mereka di syurga. (Mat. 12:50) Selain itu, mereka telah menjadi satu keluarga rohani besar yang disatukan dengan kasih dan iman. Itulah sebabnya dalam surat para rasul, orang Kristian sering dipanggil ‘saudara dan saudari.’—Rm. 1:13; 1 Ptr. 2:17; 1 Yoh. 3:13. *
9, 10. (a) Mengapakah orang Yahudi tidak patut membanggakan bangsa sendiri? (b) Bagaimanakah Yesus mengajar bahawa sikap prasangka terhadap bangsa lain adalah salah? (Lihat gambar pada permulaan rencana.)
9 Setelah menyatakan bahawa kita patut menganggap satu sama lain sebagai saudara dan saudari, Yesus menegaskan pentingnya sikap rendah hati. (Baca Matius 23:11, 12.) Seperti yang dinyatakan tadi, sikap angkuh telah menjejaskan perpaduan antara para rasul, dan orang pada zaman itu sering membanggakan bangsa sendiri. Namun, patutkah orang Yahudi membanggakan diri kerana mereka ialah keturunan Abraham? Yohanes Pembaptis memberitahu mereka, “Tuhan mampu memberi Abraham keturunan daripada batu-batu.”—Luk. 3:8.
10 Yesus mengutuk sikap membanggakan bangsa sendiri. Dia menegaskan hal ini semasa seorang jurutulis hukum bertanya, “Siapakah yang harus aku kasihi?” Untuk menjawabnya, Yesus mengisahkan seorang lelaki Samaria yang membantu seorang lelaki Yahudi yang dirompak. Orang Yahudi lain yang lalu di situ tidak mempedulikannya, tetapi lelaki Samaria tersebut mengasihaninya. Pada akhir cerita itu, Yesus memberitahu jurutulis itu bahawa dia perlu meniru lelaki Samaria tersebut. (Luk. 10:25-37) Yesus menunjukkan bahawa orang Samaria dapat mengajar orang Yahudi maksud kasih sejati.
11. Mengapakah murid-murid Kristus tidak patut berprasangka terhadap bangsa asing? Bagaimanakah Yesus membantu mereka memahami hal itu?
11 Sebelum kembali ke syurga, Yesus menyuruh murid-muridnya untuk memberikan kesaksian “di seluruh Yudea, di Samaria, dan sampai ke hujung bumi.” (Kis. 1:8) Untuk melaksanakan amanah itu, mereka perlu mengikis sikap angkuh dan prasangka. Yesus telah membantu mereka berbuat demikian dengan menghalakan tumpuan mereka kepada sifat baik orang asing. Contohnya, dia memuji seorang pegawai asing atas imannya yang kukuh. (Mat. 8:5-10) Semasa di Nasaret, kampung halamannya, Yesus menjelaskan bagaimana Yehuwa pernah membantu orang bangsa asing, seperti pesakit kusta dari Siria yang bernama Naaman, dan balu Fenisia dari Sarafat. (Luk. 4:25-27) Yesus juga menginjil kepada seorang wanita Samaria dan bahkan menghabiskan dua hari di sebuah pekan Samaria kerana penduduknya berminat mendengar mesejnya.—Yoh. 4:21-24, 40
MEROBOHKAN TEMBOK PRASANGKA PADA ABAD PERTAMA
12, 13. (a) Apakah reaksi para rasul semasa melihat Yesus mengajar seorang wanita Samaria? (Lihat gambar pada permulaan rencana.) (b) Bagaimanakah kita tahu Yakobus dan Yohanes tidak memahami pengajaran daripada peristiwa itu?
12 Para rasul perlu berusaha keras untuk mengatasi prasangka. Mereka terkejut semasa Yoh. 4:9, 27) Pemimpin orang Yahudi tidak akan bercakap kepada wanita di depan umum, apatah lagi kepada wanita Samaria yang buruk reputasinya. Semasa para rasul menjemput Yesus makan, jawapannya menunjukkan bahawa dia begitu gembira membincangkan hal rohani sehingga rasa lapar pun dapat diketepikan. Bagi Yesus, menginjil kepada orang, bahkan kepada wanita Samaria, merupakan kehendak Bapanya dan bagaikan makanan untuknya.—Yoh. 4:31-34.
melihat Yesus rela mengajar seorang wanita Samaria. (13 Namun, Yakobus dan Yohanes tidak faham pengajaran itu. Semasa menjelajahi Samaria bersama Yesus, murid-muridnya mencari tempat bermalam di sebuah pekan, tetapi orang di situ enggan menyambut mereka. Yakobus dan Yohanes naik marah dan ingin menyuruh api turun dari langit untuk membinasakan pekan itu. Yesus menegur mereka dengan keras. (Luk. 9:51-56) Yakobus dan Yohanes mungkin tidak akan berbuat demikian seandainya pekan itu terletak di Galilea, kampung halaman mereka. Barangkali, kemarahan mereka itu disebabkan prasangka. Bertahun-tahun kemudian, semasa orang Samaria menyambut berita baik yang dikhabarkannya, Rasul Yohanes mungkin berasa malu akan sikapnya dahulu.—Kis. 8:14, 25.
14. Bagaimanakah sebuah isu yang mungkin berkaitan dengan bahasa diselesaikan?
14 Tidak lama selepas Pentakosta 33 M, masalah diskriminasi telah timbul. Semasa makanan diedarkan kepada balu yang miskin, balu yang berbahasa Yunani telah diabaikan. (Kis. 6:1) Barangkali, prasangka itu berpunca daripada perbezaan bahasa. Para rasul segera menugaskan saudara-saudara yang matang secara rohani untuk mengagihkan makanan. Mereka semua ada nama Yunani, dan hal itu mungkin telah menenangkan para balu yang tersinggung.
15. Bagaimanakah Petrus belajar untuk bersikap tidak berat sebelah? (Lihat gambar pada permulaan rencana.)
15 Pada tahun 36 M, kerja penyebaran mencapai lebih banyak bangsa. Dahulu, Rasul Petrus hanya bergaul dengan orang Yahudi, tetapi selepas Tuhan menyatakan bahawa orang Kristian tidak boleh bersikap berat sebelah, Petrus telah menginjil kepada Kornelius, seorang askar Roma. (Baca Kisah 10:28, 34, 35.) Selepas peristiwa itu, Petrus makan dan bergaul bersama orang Kristian bukan Yahudi. Tetapi beberapa tahun kemudian, semasa di Antiokhia, Petrus enggan makan bersama mereka lalu ditegur oleh Paulus. (Gal. 2:11-14) Nampaknya Petrus menerima teguran itu, kerana dalam suratnya kepada orang Kristian Yahudi dan bukan Yahudi di Asia Kecil, dia menyebut tentang pentingnya mengasihi semua saudara seiman.—1 Ptr. 1:1; 2:17.
16. Orang Kristian dahulu dikenali kerana apa?
16 Melalui teladan Yesus, para rasul belajar untuk mengasihi “segala macam orang.” (Yoh. 12:32; 1 Tim. 4:10) Meskipun hal itu mengambil masa, mereka rela ubah fikiran sendiri. Orang Kristian dahulu dikenali kerana saling mengasihi. Tertullian, seorang penulis abad kedua, memetik kata-kata orang lain tentang orang Kristian: “Mereka saling mengasihi . . . dan sanggup mati demi satu sama lain.” Setelah mengenakan “keperibadian baharu,” orang Kristian dahulu telah meniru Tuhan dan memandang semua orang dengan sama rata.—Kol. 3:10, 11.
17. Bagaimanakah kita dapat membuang sikap prasangka? Berikan contoh.
17 Kita mungkin perlu masa untuk mencabut sikap prasangka dari hati kita. Seorang saudari di Perancis berkata, “Yehuwa telah ajar saya maksud kasih, berkongsi, dan
mengasihi pelbagai jenis orang. Tetapi saya masih berusaha membuang rasa prasangka, dan hal itu tidak mudah. Jadi saya perlu sentiasa berdoa.” Seorang saudari dari Sepanyol mengaku, “Ada kalanya, saya perlu lawan sikap memusuhi suku kaum tertentu, dan saya sering berjaya. Tetapi saya perlu terus melawannya. Syukurlah kepada Yehuwa kerana saya ada keluarga yang bersatu.” Kita juga perlu tanya diri, “Adakah saya juga perlu membuang sikap prasangka seperti dua orang saudari itu?”KASIH PEMBASMI PRASANGKA
18, 19. (a) Mengapakah kita harus menyambut semua orang? (b) Apakah cara-cara yang praktikal untuk melakukannya?
18 Ingatlah bahawa kita semua pernah terasing daripada Tuhan. (Ef. 2:12) Tetapi “dengan penuh kasih,” Yehuwa memimpin kita kepada-Nya. (Hos. 11:4; Yoh. 6:44) Kristus juga menyambut kita dan membolehkan kita menyertai keluarga Tuhan. (Baca Roma 15:7.) Memandangkan Yesus rela menerima kita meskipun kita tidak sempurna, wajarkah kita menolak orang lain?
19 Ketika akhir semakin mendekat, perpecahan, prasangka, dan permusuhan, akan semakin terasa di dunia ini. (Gal. 5:19-21; 2 Tim. 3:13) Sebagai umat Yehuwa, kita ingin memiliki “kebijaksanaan yang datang dari syurga,” yang membantu kita suka akan kedamaian dan tidak berat sebelah. (Yak. 3:17, 18) Kita gembira untuk bersahabat dengan orang dari pelbagai negara, menerima budaya mereka, dan kita bahkan ingin belajar bahasa mereka. Dengan itu, kita akan menikmati kedamaian yang seperti air sungai dan keadilan yang seperti ombak laut.—Yes. 48:17, 18.
20. Apakah yang terjadi apabila kasih menguasai hati dan minda kita?
20 Saudari dari Australia yang disebut tadi menjelaskan bagaimana dia dibantu setelah mengkaji Bible: “Selepas menyelami pengetahuan yang benar, hati dan minda saya dibaharui. Rasa benci dan prasangka yang berakar dalam diri saya pun beransur-ansur hilang.” Saudara dari Kanada itu pula berkata bahawa “prasangka kaum timbul apabila kita tidak mengenali orang lain, dan bahawa tempat lahir seseorang tidak menentukan sifatnya.” Dia bahkan mengahwini seorang saudari yang berbahasa Inggeris. Perubahan sebegini membuktikan bahawa kasih Kristian mampu mengalahkan prasangka dan menyatupadukan kita dengan ikatan yang kukuh.—Kol. 3:14.
^ per. 8 Istilah “saudara” juga merangkumi saudari dalam sidang. Surat Paulus ditujukan kepada “saudara-saudara” di Roma, tetapi surat itu juga untuk para saudari, kerana dia telah menyebut nama beberapa orang saudari. (Rm. 16:3, 6, 12) Sejak dulu lagi, majalah Menara Pengawal memanggil orang Kristian sebagai ‘saudara saudari.’