Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 26

Bantulah Orang Lain untuk Menangani Tekanan

Bantulah Orang Lain untuk Menangani Tekanan

“Hendaklah kamu semua seia sekata, menunjukkan simpati, memiliki kasih sayang terhadap satu sama lain, berbelas kasihan, dan bersikap rendah hati.”​—1 PTR. 3:8.

LAGU 107 Haluan Kasih Tuhan

PENGENALAN *

1. Bagaimanakah kita dapat meniru kasih Yehuwa?

YEHUWA amat mengasihi kita. (Yoh. 3:16) Kita ingin meniru Bapa kita yang penyayang, maka kita berusaha “menunjukkan simpati, memiliki kasih sayang terhadap satu sama lain, [dan] berbelas kasihan” terhadap semua, khususnya “saudara saudari kita yang seiman.” (1 Ptr. 3:8; Gal. 6:10) Semasa ahli keluarga rohani kita berasa tertekan kerana menghadapi kesusahan, kita ingin membantu mereka.

2. Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana ini?

2 Semua orang yang ingin menyertai keluarga Yehuwa pasti mengalami tekanan. (Mrk. 10:29, 30) Apabila akhir dunia Syaitan semakin dekat, kesusahan yang kita hadapi akan semakin bertambah. Jadi, bagaimanakah kita dapat membantu satu sama lain? Mari kita mempelajari caranya melalui kisah Lot, Ayub, dan Naomi. Kita juga akan membincangkan sesetengah cabaran yang dihadapi saudara saudari kita hari ini dan cara untuk membantu mereka.

TUNJUKKANLAH KESABARAN

3. Seperti yang dinyatakan di 2 Petrus 2:7, 8, apakah keputusan buruk yang dibuat oleh Lot? Apakah akibatnya?

3 Lot telah membuat keputusan yang buruk semasa dia memilih untuk tinggal di Sodom, sebuah kota yang penuh dengan perbuatan tidak bermoral. (Baca 2 Petrus 2:7, 8.) Tempat itu memang makmur, tetapi pilihan Lot telah membawa padah. (Kej. 13:8-13; 14:12) Isteri Lot nampaknya begitu menyukai kota itu atau sesetengah penduduknya sehingga dia mengingkari arahan Yehuwa. Akibatnya dia kehilangan nyawa semasa Tuhan menurunkan hujan belerang dan api ke atas tempat itu. Dua orang bakal menantu Lot juga mati di Sodom. Lot telah kehilangan rumah, harta, dan yang paling menyedihkan, isterinya. (Kej. 19:12-14, 17, 26) Sepanjang masa yang mencabar itu, adakah Yehuwa hilang sabar dengan Lot? Tidak.

Yehuwa berbelas kasihan terhadap Lot dan keluarganya, lalu mengutus malaikat untuk menyelamatkan mereka (Lihat perenggan 4)

4. Bagaimanakah Yehuwa bersabar dengan Lot? (Lihat gambar pada muka depan majalah.)

4 Walaupun Lot memilih untuk tinggal di Sodom, Yehuwa berbelas kasihan terhadap Lot dan mengutus malaikat untuk menyelamatkan dia serta keluarganya. Semasa malaikat menyuruh mereka untuk segera meninggalkan Sodom, Lot “berlambat-lambat” untuk bertindak. Jadi dua malaikat itu memegang tangan Lot dan membawa dia serta keluarganya ke luar kota. (Kej. 19:15, 16) Selepas itu, Yehuwa menyuruh Lot melarikan diri ke kawasan pergunungan, tetapi Lot merayu agar diizinkan untuk pergi ke sebuah kota kecil yang berdekatan. (Kej. 19:17-20) Yehuwa mendengar dengan sabar dan mengabulkan permintaan Lot. Tetapi akhirnya, Lot berasa takut untuk tinggal di kota itu, lalu berpindah ke kawasan pergunungan, iaitu tempat yang disebut oleh Yehuwa awal-awal lagi. (Kej. 19:30) Tidakkah kita kagum dengan kesabaran Yehuwa? Bagaimanakah kita dapat meniru-Nya?

5-6. Semasa menerapkan nasihat di 1 Tesalonika 5:14, bagaimanakah kita dapat meniru Yehuwa?

5 Seperti Lot, saudara atau saudari kita mungkin membuat keputusan yang buruk lalu mengundang masalah serius. Jika hal itu terjadi, apakah reaksi kita? Jika diikutkan hati, kita mungkin ingin memberitahunya bahawa dia sedang menuai apa yang ditanamnya, dan hal itu memang hakikatnya. (Gal. 6:7) Namun, adalah lebih baik jika kita meniru cara Yehuwa membantu Lot. Bagaimana?

6 Yehuwa mengutus malaikat bukan sahaja untuk memberikan amaran kepada Lot, tetapi juga untuk membantunya agar diselamatkan semasa Sodom dibinasakan. Begitu juga, jika kita mendapati bahawa perbuatan rakan seiman kita bakal membawa masalah, kita perlu memberinya amaran. Seandainya dia berlambat-lambat untuk mengikut nasihat daripada Bible, bersabarlah. Seperti dua malaikat itu, janganlah berputus asa atau menjauhi rakan seiman kita. Sebaliknya, cubalah melakukan sesuatu untuk menolongnya. (1 Yoh. 3:18) Kita mungkin perlu “memegang tangannya” dan memberinya bantuan yang selanjutnya, supaya dia dapat menerapkan nasihat yang diberikan.​—Baca 1 Tesalonika 5:14.

7. Bagaimanakah kita dapat meniru pandangan Yehuwa terhadap Lot?

7 Yehuwa tidak bertumpu kepada ketidaksempurnaan Lot. Sebaliknya, Dia mengilhami Rasul Petrus untuk menulis bahawa Lot ialah seorang lelaki yang baik. Alangkah leganya kita kerana Yehuwa rela mengampunkan kesilapan kita! (Mzm. 130:3) Bagaimanakah kita dapat meniru pandangan Yehuwa terhadap Lot? Jika kita berfokus kepada sifat-sifat baik saudara saudari kita, kita akan lebih bersabar dengan mereka, dan hal ini akan membuat mereka berasa lebih mudah untuk menerima bantuan kita.

TUNJUKKANLAH BELAS KASIHAN

8. Rasa belas kasihan akan mendorong kita untuk melakukan apa?

8 Ayub tidak membuat keputusan buruk seperti yang dilakukan Lot. Meskipun begitu, dia kehilangan harta dan kedudukan, dan menghidap penyakit yang serius. Lebih teruk lagi, dia dan isterinya kehilangan semua anak mereka. Kemudian, Ayub dikritik oleh tiga orang sahabat palsu. Mengapakah mereka tidak berbelas kasihan terhadapnya? Mereka tidak berusaha untuk memahami situasinya. Oleh itu, mereka membuat kesimpulan secara terburu-buru dan menghakimi Ayub. Bagaimanakah kita dapat mengelakkan kesilapan sebegini? Ingatlah bahawa Yehuwa sahajalah yang mengetahui segala sesuatu tentang situasi seseorang. Maka dengarlah dengan teliti semasa seseorang meluahkan kesusahannya, dan cubalah menyelami perasaannya. Dengan berbuat demikian, barulah anda dapat menunjukkan simpati terhadap saudara atau saudari anda.

9. Sikap belas kasihan akan mencegah kita daripada melakukan apa? Mengapakah kita harus menjauhi perbuatan itu?

9 Sikap belas kasihan akan mencegah kita daripada menyebarkan cerita negatif tentang masalah orang lain. Ingatlah, orang yang mengumpat tidak menguatkan sidang, malah menyebabkan perpecahan. (Ams. 20:19; Rm. 14:19) Orang sebegini tidak bertimbang rasa, dan kata-katanya dapat menambahkan keperitan orang yang sudah menderita. (Ams. 12:18; Ef. 4:31, 32) Adalah lebih baik jika kita mencari sifat-sifat baik seseorang dan memikirkan cara untuk membantunya mengharungi kesusahan.

Dengarlah dengan sabar sekiranya rakan seiman kita mengucapkan “kata-kata yang melulu,” dan carilah masa yang sesuai untuk mengucapkan kata-kata yang melegakan hatinya (Lihat perenggan 10-11) *

10. Apakah yang kita pelajari daripada kata-kata di Ayub 6:2, 3?

10 Baca Ayub 6:2, 3. Semasa Ayub menderita, dia telah “mengucapkan kata-kata yang melulu.” Pada kemudian hari, dia menyesal lalu menarik kembali kata-katanya. (Ayb. 42:6) Dewasa ini, seseorang yang menghadapi masalah yang berat juga mungkin mengucapkan kata-kata yang melulu dan menyesalinya pada kemudian hari. Apakah sepatutnya reaksi kita? Daripada mengkritiknya, tunjukkanlah belas kasihan. Ingatlah bahawa masalah dan tekanan yang kita hadapi sekarang bukanlah sebahagian daripada tujuan asal Yehuwa. Kita tidak dicipta untuk menghadapi masalah atau tekanan sebegini. Itulah sebabnya seorang hamba Yehuwa yang setia mungkin bercakap tanpa berfikir panjang semasa dia sangat tertekan. Oleh itu, janganlah kita cepat naik marah ataupun menghakiminya, bahkan sewaktu dia mengatakan sesuatu yang tidak benar tentang Yehuwa atau diri kita.​—Ams. 19:11.

11. Bagaimanakah para penatua dapat meniru teladan Elihu semasa memberikan nasihat?

11 Ada kalanya, seseorang yang runsing akibat masalahnya perlu diberi nasihat atau teguran. (Gal. 6:1) Bagaimanakah para penatua dapat membantunya? Mereka boleh meniru teladan Elihu. Elihu bersimpati terhadap Ayub dan mendengar keluhan Ayub dengan teliti. (Ayb. 33:6, 7) Setelah dia memahami fikiran Ayub, barulah dia menasihatinya. Begitu juga, para penatua patut mendengar dengan teliti dan berusaha memahami keadaan seseorang. Dengan itu, nasihat yang diberi mereka dapat mencapai hatinya dengan lebih mudah.

UCAPKAN KATA-KATA YANG MELEGAKAN

12. Apakah perasaan Naomi setelah kehilangan suami dan dua orang anak lelakinya?

12 Naomi setia kepada Yehuwa dan mengasihi-Nya. Namun, setelah suami dan dua orang anak lelakinya meninggal, dia ingin menukar namanya daripada Naomi kepada “Mara” yang bermaksud “Pahit.” (Rut 1:3, 5, 20, nota kaki, 21) Ketika Naomi menghadapi pelbagai cubaan, menantunya Rut tetap di sisinya. Rut bukan sahaja membantu menjaga Naomi, tetapi juga mengucapkan kata-kata yang melegakan kepadanya. Melalui kata-kata yang mudah dan ikhlas, Rut menunjukkan bahawa dia mengasihi dan menyokong Naomi.​—Rut 1:16, 17.

13. Mengapakah orang yang kehilangan pasangan hidup memerlukan sokongan?

13 Saudara atau saudari kita yang kehilangan pasangan hidup memerlukan sokongan kita. Suami dan isteri bagaikan dua batang pokok yang bertumbuh di sebelah satu sama lain. Dengan berlalunya masa, akar kedua-dua pokok itu akan berjalinan. Maka apabila salah sebatang pokok dicabut lalu mati, hal itu pasti mempengaruhi pokok yang satu lagi. Begitu juga, apabila seseorang kehilangan pasangan hidup, hatinya akan berkecamuk untuk waktu yang lama. Paula, * yang suaminya tiba-tiba meninggal, berkata, “Hidup saya menjadi tunggang terbalik, dan saya berasa tidak berdaya. Sahabat terbaik saya sudah tiada. Dahulu, saya akan menceritakan segala-galanya kepada suami saya. Saya mengharungi banyak suka dan duka bersamanya. Semasa saya susah hati, dialah tempat saya mengadu dan menangis. Kematiannya membuat saya berasa seperti dikoyakkan menjadi dua.”

Bagaimanakah kita dapat menyokong mereka yang kehilangan teman hidup? (Lihat perenggan 14-15) *

14-15. Bagaimanakah kita dapat melegakan hati seseorang yang kehilangan pasangan hidup?

14 Bagaimanakah kita dapat melegakan hati seseorang yang kehilangan pasangan hidup? Pertama sekali, bercakaplah kepadanya, walaupun kita mungkin berasa kekok atau tidak tahu apa yang hendak dikatakan. Paula, yang disebut tadi, berkata, “Saya faham bahawa orang biasanya risau mereka akan tersalah cakap. Tapi sebenarnya lebih baik mengatakan sesuatu yang mungkin kedengaran kekok, daripada langsung tidak berkata apa-apa.” Biasanya, orang yang berkabung tidak mengharapkan kita untuk mengatakan sesuatu yang hebat. Paula menjelaskan, “Apabila kawan-kawan berkata, ‘Kami tumpang sedih,’ saya sudah sangat menghargainya.”

15 William, yang isterinya meninggal bertahun-tahun lalu, berkata, “Isteri saya sangat penting dan berharga dalam hidup saya. Jadi, semasa orang lain menceritakan pengalaman baik tentang dia, saya amat menghargai kata-kata mereka, kerana saya diyakinkan bahawa dia memang dikasihi dan dihormati. Sokongan sebegini sangat melegakan dan bermakna bagi saya.” Seorang balu yang bernama Bianca menjelaskan, “Saya berasa dilegakan semasa orang lain berdoa atau membaca ayat Bible bersama saya. Hati saya lebih tenang semasa mereka bercakap tentang suami saya atau mendengar saya bercerita tentangnya.”

16. (a) Apakah yang perlu kita berikan kepada orang yang kehilangan orang tersayang? (b) Menurut Yakobus 1:27, apakah tanggungjawab kita?

16 Sebagaimana Rut tetap bersama Naomi, kita perlu terus memberikan sokongan kepada mereka yang kehilangan orang tersayang. Paula, yang disebut tadi, berkata, “Sejurus selepas kematian suami saya, ramai orang memberi saya sokongan. Tetapi suatu ketika kemudian, mereka kembali menjalankan kehidupan seperti biasa. Namun, kehidupan ‘biasa’ saya sudah tiada. Orang yang berkabung sebenarnya memerlukan sokongan selama berbulan-bulan dan bahkan bertahun-tahun.” Sudah pasti, setiap orang berbeza dan bersedih dalam cara yang berbeza. Sesetengah orang dapat menyesuaikan diri dengan keadaan baharu dalam masa yang agak singkat. Namun, bagi sesetengah orang, setiap kegiatan yang pernah dilakukan bersama orang tersayang akan membuat mereka teringat akan kehilangannya, lalu berasa pilu dan sedih. Semoga kita ingat bahawa Yehuwa telah memberi kita penghormatan dan tanggungjawab untuk menjaga mereka yang kehilangan pasangan hidup.​—Baca Yakobus 1:27.

17. Mengapakah orang yang ditinggalkan oleh pasangan hidup mereka memerlukan sokongan kita?

17 Sesetengah orang berasa amat sedih dan tertekan kerana ditinggalkan oleh pasangan hidup mereka. Suami Joyce telah menceraikannya lalu mengahwini wanita lain. Joyce berkata, “Saya mungkin tidak akan begitu hancur hati jika suami saya mati akibat kemalangan atau penyakit, kerana hal itu di luar kawalannya. Tetapi sekarang dia sendiri memilih untuk meninggalkan saya. Saya berasa dihina.”

18. Bagaimanakah kita dapat membantu orang yang tidak lagi mempunyai teman hidup?

18 Semasa kita berbuat baik kepada orang yang tidak lagi mempunyai teman hidup, kita menunjukkan bahawa kita benar-benar mengasihi mereka. Mereka amat memerlukan sahabat yang baik untuk mengharungi waktu yang susah. (Ams. 17:17) Maka, jemputlah mereka ke rumah untuk makan bersama, atau ajaklah mereka untuk menginjil atau melakukan aktiviti riadah bersama-sama. Dari masa ke masa, anda boleh menjemput mereka untuk menyertai penyembahan keluarga anda. Yehuwa pasti senang hati dengan usaha anda, kerana Dia “dekat dengan orang yang remuk hati” dan merupakan “pembela bagi para balu.”​—Mzm. 34:18; 68:5.

19. Apakah nasihat di 1 Petrus 3:8 bagi kita?

19 Tidak lama lagi, Kerajaan Tuhan akan memerintah seluruh bumi. Ketika itu, “penderitaan pada masa lalu akan dilupakan” dan “tidak akan dikenang sama sekali.” (Yes. 65:16, 17) Sementara kita menantikan masa itu, semoga kita menyokong satu sama lain dan membuktikan melalui kata-kata dan tindakan kita bahawa kita mengasihi semua saudara saudari dalam keluarga rohani kita.​—Baca 1 Petrus 3:8.

LAGU 111 Sebab-Sebab Kita Bersukacita

^ per. 5 Lot, Ayub, dan Naomi merupakan hamba Yehuwa yang setia, tetapi mereka masih menghadapi masalah dan tekanan dalam hidup. Dalam rencana ini, kita akan mengkaji pengalaman mereka dan mempelajari pentingnya bersabar, berbelas kasihan, dan mengucapkan kata-kata yang melegakan kepada saudara saudari kita yang dilanda masalah.

^ per. 13 Nama-nama dalam rencana ini telah diubah.

^ per. 57 KETERANGAN GAMBAR: Seorang saudara yang sangat tertekan “mengucapkan kata-kata yang melulu,” tetapi penatua itu mendengar dengan sabar. Selepas saudara itu lebih tenang, penatua tersebut menasihatinya dengan baik hati.

^ per. 59 KETERANGAN GAMBAR: Sepasang suami isteri yang muda meluangkan masa bersama seorang saudara yang isterinya baru meninggal. Mereka bertiga mengenang kembali pengalaman manis yang pernah dinikmati bersamanya.