Gulungan Kuno yang “Dibuka”
Cebisan daripada gulungan Ein Gedi yang hangus ini ditemui pada tahun 1970 tetapi kandungannya tidak dapat dibaca. Baru-baru ini, imbasan 3D yang dilakukan menunjukkan bahawa gulungan ini mengandungi teks daripada buku Imamat, termasuk nama Tuhan
PADA tahun 1970, para ahli kaji purba telah menemui sebuah gulungan di Ein Gedi, Israel, berhampiran pantai barat Laut Mati. Mereka menemui gulungan itu di sebuah rumah ibadat yang dibakar semasa kampung di sekitarnya dibinasakan pada abad keenam Masihi. Gulungan itu sudah hangus dan tidak dapat dibaca. Jika dibuka, gulungan itu akan rosak. Namun, dengan adanya teknik imbasan 3D dan perisian foto yang baharu, gulungan tersebut dapat “dibuka” dan bahkan dibaca.
Rupa-rupanya bahagian gulungan yang dapat dibaca itu mengandungi ayat-ayat Bible daripada permulaan buku Imamat. Ayat-ayat itu juga mengandungi Tetragrammaton, iaitu nama Tuhan dalam huruf Ibrani. Menurut para pengkaji, gulungan itu ditulis antara tahun 50 hingga 400 M, justeru menjadikannya gulungan Kitab Ibrani yang kedua tertua yang ditemui sejak penemuan Gulungan Laut Mati (manuskrip Qumran). Dalam akhbar The Jerusalem Post, Gil Zohar menulis, “Terdapat ‘kekosongan’ kira-kira seribu tahun antara Gulungan Laut Mati yang bertarikh sekitar tahun 100 SM dengan Kodeks Aleppo yang bertarikh sekitar tahun 930 M. Tetapi setelah cebisan Ein Gedi yang mengandungi buku Imamat ‘dibuka’ secara digital, kekosongan itu sudah diisi.” Menurut pakar, gulungan dari Ein Gedi itu menunjukkan bahawa Kitab Taurat (lima buku pertama dalam Bible) “telah dipelihara dengan baik selama ribuan tahun dan tidak dicemari oleh kesilapan daripada para penyalin.”