Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 25

“Aku Sendiri Akan Mencari Biri-Biri-Ku”

“Aku Sendiri Akan Mencari Biri-Biri-Ku”

“Aku sendiri akan mencari biri-biri-Ku, dan Aku akan menjaga mereka.”​—YEH. 34:11.

LAGU 105 “Tuhan Itu Kasih”

PENGENALAN *

1. Mengapakah Yehuwa menggambarkan diri-Nya sebagai seorang ibu yang menyusui anaknya?

“MUNGKINKAH seorang ibu melupakan anak yang disusuinya?” Itulah soalan yang diajukan oleh Yehuwa pada zaman Nabi Yesaya. Kemudian, Yehuwa memberitahu umat-Nya, “Sekalipun ibu melupakan anaknya, Aku tidak akan melupakan engkau.” (Yes. 49:15) Yehuwa jarang menggambarkan diri-Nya sebagai seorang ibu, tetapi dalam buku Yesaya, Dia menggunakan hubungan seorang ibu dengan anaknya untuk menggambarkan kasih-Nya yang mendalam terhadap hamba-hamba-Nya. Kebanyakan ibu setuju dengan kata-kata seorang saudari yang bernama Jasmin. Dia berkata, “Semasa menyusui anak, terjalinlah hubungan istimewa yang akan bertahan seumur hidup.”

2. Apakah perasaan Yehuwa apabila salah seorang anak-Nya menjadi tidak aktif?

2 Yehuwa mengetahui apabila salah seorang anak-Nya tidak lagi bergaul dengan sidang Kristian dan tidak lagi menginjil. Maka Yehuwa pasti sangat sedih apabila melihat ribuan hamba-Nya menjadi tidak aktif * setiap tahun.

3. Apakah yang diingini Yehuwa?

3 Ramai saudara saudari kita yang dahulunya tidak aktif telah kembali ke sidang dan disambut dengan tangan terbuka. Yehuwa mahu mereka kembali, dan kita juga mahu mereka kembali. (1 Ptr. 2:25) Bagaimanakah kita dapat membantu mereka? Sebelum menjawab soalan ini, mari kita melihat apa yang mungkin menyebabkan sesetengah orang tidak lagi menghadiri perjumpaan dan tidak lagi menginjil.

MENGAPAKAH SESETENGAH ORANG MENJADI TIDAK AKTIF?

4. Bagaimanakah pekerjaan mempengaruhi sesetengah orang?

4 Sesetengah orang menjadi tidak aktif kerana terlalu sibuk bekerja. Hung, * seorang saudara dari Asia Tenggara, mengaku, “Saya menghabiskan terlalu banyak masa dan tenaga untuk bekerja. Saya sangka kalau saya ada lebih banyak wang, saya dapat buat lebih banyak untuk Yehuwa. Jadi, saya selalu kerja lebih masa. Tapi saya silap. Saya semakin jarang menghadiri perjumpaan, dan lama-kelamaan, saya tidak lagi bergaul dengan sidang. Syaitan memang mahir menggunakan dunia ini untuk membuat kita beransur-ansur menjauhi Tuhan.”

5. Apakah yang terjadi kepada seorang saudari setelah dilanda banyak masalah?

5 Sesetengah saudara saudari menjadi tidak aktif kerana mereka dilanda banyak masalah. Anne, seorang ibu dari Britain yang mempunyai lima orang anak, berkata, “Salah seorang anak saya dilahirkan dengan kecacatan yang teruk. Kemudian, seorang anak perempuan saya disingkirkan, dan seorang anak lelaki saya menghidap penyakit mental. Saya begitu tawar hati sehingga tidak lagi menghadiri perjumpaan dan tidak lagi menginjil. Lama-kelamaan, saya menjadi tidak aktif.” Kita bersimpati terhadap keluarga Anne dan rakan seiman yang menghadapi cabaran sebegini.

6. Jika seseorang tidak menerapkan nasihat di Kolose 3:13, apakah yang mungkin menyebabkannya menjauhi sidang?

6 Baca Kolose 3:13. Sebilangan hamba Yehuwa menjadi tidak aktif kerana disakiti oleh rakan seiman. Rasul Paulus menyatakan bahawa ada masanya, saudara saudari mungkin membuat kita “berasa tersinggung” atau melayan kita dengan tidak adil. Tetapi, jika kita tidak berhati-hati, kita mungkin naik marah, menyimpan dendam, dan beransur-ansur menjauhi umat Yehuwa. Perhatikan contoh Pablo, seorang saudara dari Amerika Selatan. Dia difitnah terlibat dalam salah laku dan kehilangan tanggungjawabnya dalam sidang. Apakah reaksinya? Pablo berkata, “Saya marah dan beransur-ansur menjauhkan diri daripada sidang.”

7. Bagaimanakah hati nurani yang dibelenggu rasa bersalah dapat mempengaruhi seseorang?

7 Seseorang mungkin menjadi tidak aktif kerana hati nuraninya dibelenggu rasa bersalah. Dia mungkin pernah melanggar hukum Tuhan, tetapi kemudiannya bertaubat dan dimaafkan. Meskipun begitu, dia berasa bahawa dia tidak layak dikasihi Tuhan dan tidak layak menjadi umat-Nya. Itulah perasaan seorang saudara yang bernama Francisco. Dia berkata, “Saya ditegur oleh jawatankuasa pengadilan kerana terlibat dalam perbuatan seks yang tidak bermoral. Selepas ditegur, saya masih menghadiri perjumpaan, tetapi kemudian saya rasa tawar hati dan berasa tidak layak menjadi umat Yehuwa. Hati nurani saya terganggu, dan saya berasa bahawa Yehuwa tidak mengampuni saya. Lambat-laun, saya berhenti bergaul dengan sidang.” Apakah perasaan anda terhadap saudara saudari yang telah disebut tadi? Dapatkah anda menyelami perasaan mereka? Yang terpenting, apakah perasaan Yehuwa terhadap mereka?

YEHUWA MENGASIHI BEBIRI-NYA

Gembala di Israel sangat mengambil berat terhadap bebiri yang sesat (Lihat perenggan 8-9) *

8. Adakah Yehuwa melupakan mereka yang menjadi tidak aktif? Jelaskan.

8 Yehuwa tidak melupakan mereka yang tidak aktif ataupun usaha yang pernah dicurahkan oleh mereka untuk berkhidmat kepada-Nya. (Ibr. 6:10) Melalui satu perumpamaan yang menyentuh hati, Yesaya menggambarkan perasaan Yehuwa terhadap umat-Nya. Yesaya menulis, “Dia akan menjaga kawanan-Nya seperti seorang gembala. Dia akan menghulurkan tangan-Nya untuk mengumpulkan anak-anak bebiri, dan Dia akan mendukung anak-anak bebiri itu.” (Yes. 40:11) Apakah perasaan Gembala Agung kita apabila salah seekor bebiri-Nya sesat? Yesus berkata, “Jika seseorang memiliki 100 ekor bebiri dan salah seekor bebirinya sesat, tidakkah dia akan meninggalkan 99 ekor bebirinya di gunung untuk mencari bebiri yang sesat itu? Sekiranya dia menjumpai bebiri itu, dia lebih bersukacita atas seekor bebiri itu berbanding 99 ekor bebiri yang tidak sesat.”​—Mat. 18:12, 13.

9. Pada zaman Bible, bagaimanakah seorang gembala yang baik akan menjaga bebirinya? (Lihat gambar pada muka depan majalah.)

9 Mengapakah kita dapat menyamakan Yehuwa dengan gembala? Pada zaman Bible, seorang gembala yang baik sangat mengambil berat terhadap kawanannya. Sebagai contoh, Daud sanggup melawan seekor singa dan seekor beruang demi melindungi kawanannya. (1 Sam. 17:34, 35) Seorang gembala yang baik juga sangat peka. Biarpun hanya seekor bebirinya yang hilang, dia akan mengetahuinya. (Yoh. 10:3, 14) Dia akan meninggalkan 99 ekor bebirinya di dalam kandang atau meminta orang lain menjaga kawanannya, lalu pergi mencari bebiri yang hilang itu. Setelah menceritakan perumpamaan tentang bebiri yang sesat, Yesus menyatakan kebenaran yang penting ini: “Bapaku yang di syurga tidak ingin seorang pun daripada muridku yang bagaikan anak kecil sesat.”​—Mat. 18:14.

Seorang gembala pada zaman Israel kuno menjaga bebirinya yang sesat (Lihat perenggan 9)

YEHUWA MENCARI BEBIRI-NYA

10. Menurut Yehezkiel 34:11-16, bagaimanakah Yehuwa akan membantu bebiri-Nya yang sesat?

10 Yehuwa mengasihi setiap seorang daripada kita, termasuk mereka yang telah meninggalkan kawanan. Menerusi Nabi Yehezkiel, Tuhan berjanji untuk mencari bebiri-Nya yang sesat dan membantu mereka pulih secara rohani. Mari kita lihat persamaan antara langkah-langkah yang diambil oleh Yehuwa dengan tindakan yang diambil oleh seorang gembala di Israel apabila bebirinya hilang. (Baca Yehezkiel 34:11-16.) Mula-mulanya, seorang gembala akan meluangkan masa dan tenaga untuk mencari bebiri itu. Apabila bebiri tersebut dijumpai, dia akan membawanya kembali ke kawanan. Jika bebiri itu cedera, gembala itu akan membalut lukanya, jika bebiri itu lapar, gembala itu akan memberinya makanan, dan jika bebiri itu lemah, gembala itu akan mendukungnya. Sebagai gembala “kawanan Tuhan,” para penatua akan melakukan hal yang sama apabila seseorang meninggalkan sidang. (1 Ptr. 5:2, 3) Dengan penuh kasih, para penatua akan berusaha mencari mereka, membantu mereka kembali ke kawanan, dan memberikan sokongan yang diperlukan agar mereka pulih secara rohani. *

11. Apakah yang disedari oleh seorang gembala yang baik?

11 Seorang gembala yang baik sedar bahawa ada masanya, bebiri dalam kawanannya mungkin hilang. Jika hal itu berlaku, dia tidak akan melayan bebiri yang hilang itu dengan kasar. Perhatikan bagaimana Tuhan berbuat demikian semasa membantu hamba-Nya yang menjadi lemah untuk seketika.

12. Bagaimanakah Yehuwa melayan Yunus?

12 Semasa Nabi Yunus melarikan diri daripada tugasnya, Yehuwa tidak cepat putus asa terhadapnya. Seperti seorang gembala yang baik, Yehuwa menyelamatkan Yunus dan memberinya kekuatan untuk melaksanakan tugasnya. (Yun. 2:7; 3:1, 2) Kemudian, Tuhan menggunakan sepohon labu air untuk mengajar Yunus bahawa nyawa setiap manusia penting di mata-Nya. (Yun. 4:10, 11) Apakah pengajarannya? Para penatua, janganlah cepat putus asa terhadap mereka yang tidak aktif. Sebaliknya, cubalah memahami sebabnya mereka menjauhkan diri daripada kawanan Tuhan. Apabila mereka kembali kepada Yehuwa, tunjukkanlah bahawa anda mengasihi mereka dan mengambil berat terhadap mereka.

13. Apakah yang dapat kita pelajari daripada reaksi Yehuwa terhadap perasaan penulis Mazmur 73?

13 Semasa melihat orang jahat hidup makmur, penulis Mazmur 73 berasa tawar hati dan berasa bahawa tiada gunanya dia melakukan kehendak Tuhan. (Mzm. 73:12, 13, 16) Apakah reaksi Yehuwa? Yehuwa tidak memarahinya, sebaliknya, Dia memastikan agar kata-katanya dicatatkan dalam Bible. Akhirnya, penulis mazmur itu sedar bahawa persahabatannya dengan Yehuwa merupakan hal yang paling bernilai dalam kehidupannya. (Mzm. 73:23, 24, 26, 28) Apakah pengajarannya? Para penatua, jika seseorang mula berasa bahawa menyembah Yehuwa itu sia-sia sahaja, janganlah segera menghakimi atau memarahinya. Sebaliknya, cubalah memahami sebab di sebalik reaksinya. Dengan itu, anda dapat menggunakan Bible untuk memberinya galakan yang diperlukan.

14. Mengapakah Elia memerlukan bantuan? Bagaimanakah Yehuwa membantunya?

14 Nabi Elia melarikan diri daripada Izebel. (1 Raj. 19:1-3) Dia menyangka bahawa dialah satu-satunya nabi Yehuwa yang tinggal, dan dia berasa bahawa kerjanya sia-sia sahaja. Elia begitu tawar hati sehingga dia teringin mati. (1 Raj. 19:4, 10) Namun, Yehuwa tidak memarahinya. Sebaliknya, Yehuwa meyakinkan Elia bahawa dia tidak keseorangan, bahawa dia dapat bergantung pada kuasa Tuhan, dan bahawa masih ada banyak lagi kerja yang perlu dilakukannya. Dengan baik hati, Yehuwa mendengar luahan Elia dan memberinya tugas yang baharu. (1 Raj. 19:11-16, 18) Apakah pengajarannya? Kita semua, khususnya para penatua, perlu melayan bebiri Yehuwa dengan baik hati. Apabila seseorang meluahkan keperitannya atau berkata bahawa Yehuwa tidak mungkin mengampuninya, para penatua perlu mendengar luahannya dengan sabar. Kemudian, mereka akan berusaha meyakinkannya bahawa dia berharga di mata Yehuwa.

BAGAIMANAKAH KITA PATUT MEMANDANG BEBIRI TUHAN YANG SESAT?

15. Menurut Yohanes 6:39, bagaimanakah Yesus memandang bebiri Bapanya?

15 Bagaimanakah kita patut memandang bebiri Yehuwa yang sesat? Fikirkan teladan Yesus. Dia tahu bahawa Yehuwa menghargai semua bebiri-Nya. Maka Yesus berusaha sedaya upaya untuk membantu “orang Israel, yang bagaikan biri-biri yang sesat,” untuk kembali kepada Yehuwa. (Mat. 15:24; Luk. 19:9, 10) Sebagai gembala yang baik, Yesus juga melakukan apa yang terdaya agar dia tidak kehilangan seekor pun daripada bebiri Yehuwa.​—Baca Yohanes 6:39.

16-17. Apakah sepatutnya perasaan para penatua semasa membantu mereka yang tidak aktif? (Lihat kotak “ Perasaan Bebiri yang Sesat.”)

16 Rasul Paulus menggesa para penatua di Efesus untuk meniru Yesus. Dia berkata, “Kamu juga mesti bekerja keras seperti ini untuk membantu mereka yang lemah. Kamu mesti ingat bahawa Tuan Yesus sendiri berkata, ‘Lebih berbahagia memberi daripada menerima.’” (Kis. 20:17, 35) Ayat ini jelas menunjukkan bahawa penatua diberi tanggungjawab yang penting untuk menjaga bebiri Yehuwa. Salvador, seorang penatua dari Sepanyol, berkata, “Apabila saya ingat bahawa Yehuwa sangat mengambil berat terhadap bebiri-Nya yang sesat, saya terdorong untuk membantu mereka dengan sedaya upaya. Sebagai seorang gembala rohani, saya yakin bahawa Yehuwa ingin saya menjaga mereka.”

17 Semua saudara saudari yang tidak aktif, yang disebut dalam rencana ini, telah dibantu untuk kembali kepada Yehuwa. Sebenarnya, terdapat ramai lagi yang ingin berbuat demikian. Rencana seterusnya akan membincangkan dengan lebih terperinci bagaimana kita dapat membantu mereka.

LAGU 139 Bayangkan Dirimu di Dunia Baharu

^ per. 5 Mengapakah sesetengah orang yang menyembah Yehuwa selama bertahun-tahun kemudiannya menjadi tidak aktif? Apakah perasaan Tuhan terhadap mereka? Rencana ini akan menjawab soalan-soalan tersebut. Rencana ini juga akan membincangkan apa yang dapat kita pelajari daripada cara Yehuwa membantu hamba-Nya pada zaman Bible yang menjadi lemah untuk suatu ketika.

^ per. 2 MAKSUD UNGKAPAN: Apabila seseorang tidak menghantar laporan kerja penyebaran selama enam bulan atau lebih lama daripada itu, dia dianggap sebagai penyiar yang tidak aktif. Meskipun begitu, penyiar yang tidak aktif masih merupakan saudara saudari kita, dan kita mengasihi mereka.

^ per. 4 Sesetengah nama telah diubah.

^ per. 10 Rencana berikutnya akan membincangkan dengan lebih lanjut bagaimana para penatua dapat mengambil tiga langkah ini.

^ per. 60 KETERANGAN GAMBAR: Pada zaman Bible, seorang gembala di Israel akan mencari bebiri yang sesat dan membantunya kembali ke kawanan. Hari ini, para gembala rohani juga melakukan hal yang sama.

^ per. 64 KETERANGAN GAMBAR: Semasa menunggu basnya bertolak, seorang saudari yang tidak aktif melihat dua orang Saksi yang sedang menjalankan kesaksian awam dengan gembira.