Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Pertanyaan Pembaca

Pertanyaan Pembaca

Adakah “buah kuasa suci Tuhan” hanya merangkumi sifat-sifat yang disebut di Galatia 5:22, 23?

Terdapat sembilan sifat yang disebut dalam ayat-ayat itu: “Kasih, sukacita, kedamaian, kesabaran, kebaikan hati, kebaikan, iman, kelemahlembutan, dan kawalan diri.” Namun, kuasa suci Tuhan juga dapat membantu kita memupuk sifat-sifat lain.

Bagaimanakah kita tahu? Perhatikan apa yang ditulis oleh Paulus dalam ayat-ayat sebelumnya: ‘Perbuatan yang terhasil daripada keinginan yang berdosa, iaitu perbuatan seks yang tidak bermoral, kenajisan, kelakuan buruk, penyembahan berhala, penggunaan ilmu sihir, permusuhan, perkelahian, kecemburuan, ledakan kemarahan, pertengkaran, perpecahan, pembentukan kumpulan agama, perasaan iri hati, kemabukan, pesta liar, dan hal-hal seperti itu.’ (Gal. 5:19-21) Maka, ada hal lain yang boleh disenaraikan sebagai “perbuatan yang terhasil daripada keinginan yang berdosa,” seperti yang disebut di Kolose 3:5. Begitu juga, selepas menyebut tentang sembilan sifat murni di ayat 22 dan 23, Paulus berkata, “Tidak ada hukum yang melarang perkara-perkara sedemikian.” Jadi, ada sifat lain yang dapat kita pupuk dengan bantuan kuasa suci Tuhan.

Kita dapat memahami hal ini semasa kita membandingkan “buah kuasa suci Tuhan” dengan “buah yang dihasilkan oleh cahaya.” Paulus memberitahu sidang di Efesus, “Buah yang dihasilkan oleh cahaya terdiri daripada segala yang baik, yang jujur, dan yang benar.” (Ef. 5:8, 9) Ya, “buah yang dihasilkan oleh cahaya” merangkumi segala yang baik, termasuk sifat “kebaikan” dalam “buah kuasa suci Tuhan.” Maksudnya, kuasa suci Tuhan bukan sahaja dapat menghasilkan sembilan sifat murni yang disebut dalam buku Galatia, tetapi juga dapat menghasilkan sifat-sifat lain seperti kejujuran dan kebenaran.

Paulus juga pernah menggesa Timotius agar ‘berusaha untuk mengabdikan diri kepada Tuhan dan memupuk kebaikan, iman, kasih, ketabahan, dan kelemahlembutan.’ (1 Tim. 6:11) Antara enam sifat baik itu, hanya empat sifat (kebaikan, iman, kasih, dan kelemahlembutan) yang tergolong dalam “buah kuasa suci Tuhan.” Meskipun begitu, Timotius pasti memerlukan bantuan kuasa suci Tuhan untuk memupuk sifat-sifat yang lain, seperti pengabdian kepada Tuhan dan ketabahan.​—Bandingkan Kolose 3:12; 2 Petrus 1:5-7.

Maka, sifat-sifat yang perlu dipupuk oleh orang Kristian tidak hanya terhad kepada sembilan sifat yang disebut di Galatia 5:22, 23. Memang benar, kuasa suci Tuhan dapat membantu kita memupuk sembilan sifat itu. Namun, terdapat sifat lain yang kita perlukan untuk “mengenakan keperibadian baharu yang diciptakan menurut kehendak Tuhan” dan menjadi orang Kristian yang matang.​—Ef. 4:24.