Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 24

Anda Dapat Melepaskan Diri daripada Perangkap Syaitan!

Anda Dapat Melepaskan Diri daripada Perangkap Syaitan!

‘Lepaskan diri daripada perangkap Iblis.’​—2 TIM. 2:26.

LAGU 36 Jagalah Hatimu

PENGENALAN *

1. Mengapakah Syaitan digambarkan sebagai pemburu?

SEORANG pemburu hanya mempunyai satu matlamat, iaitu untuk menangkap atau membunuh mangsanya. Untuk berbuat demikian, dia akan menggunakan pelbagai perangkap atau jerat, seperti yang digambarkan dalam Bible. (Ayb. 18:8-10) Untuk mengumpan mangsanya masuk ke dalam perangkap, dia akan memerhatikan binatang itu untuk mengetahui ke mana binatang itu sering pergi dan apa yang disukai oleh binatang itu. Kemudian, dia akan memasang perangkap yang tidak mudah dikesan oleh binatang itu. Syaitan bagaikan pemburu itu. Dia memperhatikan kita untuk mengetahui ke mana kita pergi dan apa yang kita suka. Kemudian, dia cuba memasang perangkap yang tidak dapat kita kesan. Namun, Bible menyatakan bahawa jika kita terperangkap, kita masih dapat melepaskan diri. Bible juga mengajar kita cara kita dapat mengelakkan perangkap Syaitan.

Syaitan telah berjaya menggunakan sikap sombong dan tamak untuk menjerat banyak orang (Lihat perenggan 2) *

2. Apakah dua perangkap Syaitan yang paling berkesan?

2 Dua perangkap Syaitan yang paling berkesan ialah sikap sombong dan tamak. * Selama ribuan tahun, Syaitan telah berjaya menggunakan dua sikap ini untuk memerangkap banyak orang. Seperti seorang penangkap burung, Syaitan menggunakan umpan atau jaring untuk memerangkap mangsanya. (Mzm. 91:3) Namun, kita tidak perlu menjadi mangsa Syaitan, kerana Yehuwa sudah memberitahu kita muslihat yang digunakan olehnya.​—2 Kor. 2:11.

Kita dapat belajar daripada kisah orang lain dan mengelakkan atau melepaskan diri daripada jerat Si Iblis (Lihat perenggan 3) *

3. Mengapakah Yehuwa memastikan agar kisah tentang orang yang menjadi sombong dan tamak dicatatkan dalam Bible?

3 Salah satu cara Yehuwa memberi kita amaran tentang sikap sombong dan tamak adalah melalui kisah benar sesetengah penyembah-Nya. Contoh-contoh yang akan kita bincangkan dalam rencana ini menunjukkan bahawa Syaitan telah berjaya memerangkap bahkan hamba-hamba Yehuwa yang matang. Namun, adakah hal ini bermaksud kita pasti akan dijerat oleh sikap sombong dan tamak? Tidak. Yehuwa memastikan agar kisah tentang orang yang menjadi sombong dan tamak dicatatkan dalam Bible sebagai “amaran untuk kita.” (1 Kor. 10:11) Dia tahu bahawa kita dapat belajar daripada kisah-kisah ini dan mengelakkan atau melepaskan diri daripada perangkap Iblis.

JERAT KESOMBONGAN

Lihat perenggan 4

4. Apakah yang akan berlaku jika kita menjadi sombong?

4 Syaitan ingin kita menjadi sombong. Dia tahu bahawa jika kita dikuasai sikap sombong, kita akan menjadi sepertinya dan kehilangan peluang untuk hidup kekal. (Ams. 16:18) Rasul Paulus menulis bahawa orang yang ‘menjadi angkuh akan menerima penghakiman yang sama seperti yang sudah diterima oleh Iblis.’ (1 Tim. 3:6, 7) Hal ini boleh terjadi kepada sesiapa sahaja, tidak kira kita masih baru dalam kebenaran atau sudah lama menyembah Yehuwa.

5. Menurut Pengkhutbah 7:16, 20, apakah yang menunjukkan bahawa seseorang telah menjadi sombong?

5 Orang yang sombong juga mementingkan diri sendiri. Syaitan cuba membuat kita mementingkan diri sendiri dan tidak bertumpu kepada Yehuwa, terutamanya semasa kita menghadapi cabaran. Contohnya, pernahkah anda difitnah atau dilayan dengan tidak adil? Ketika hal itu berlaku, Syaitan mahu anda menyalahkan Yehuwa atau saudara saudari anda. Si Iblis juga mahu anda berfikir bahawa satu-satunya penyelesaian kepada masalah anda adalah dengan bertindak mengikut cara sendiri dan bukannya mengikut bimbingan dalam Firman Yehuwa.​—Baca Pengkhutbah 7:16, 20.

6. Apakah yang dapat anda pelajari daripada pengalaman seorang saudari di Belanda?

6 Perhatikan pengalaman seorang saudari di Belanda. Dia berasa jengkel terhadap ketidaksempurnaan rakan seimannya dan berasa bahawa dia tidak dapat tahan lagi dengan perangai mereka. Dia berkata, “Saya berasa sangat sunyi dan saya tidak dapat mengubah sikap saya terhadap mereka. Jadi saya beritahu suami saya bahawa kami perlu berpindah ke sidang yang lain.” Kemudian, saudari itu telah menonton program Siaran JW bulan Mac 2016. Program itu memberikan beberapa cadangan untuk berdepan dengan ketidaksempurnaan orang lain. Dia berkata, “Saya sedar bahawa saya perlu bersikap rendah hati dan jujur dengan diri sendiri. Saya perlu memikirkan kesilapan diri sendiri dan bukannya cuba mengubah perangai orang lain di sidang. Program ini telah membantu saya bertumpu kepada Yehuwa dan kedaulatan-Nya.” Apakah yang dapat anda pelajari daripada pengalaman ini? Semasa menghadapi cubaan, teruslah bertumpu kepada Yehuwa dan rayulah agar Dia membantu anda melihat orang lain dari sudut pandangan-Nya. Ingatlah, Bapa anda yang di syurga sudi mengampuni saudara saudari anda biarpun Dia mengetahui semua kesilapan mereka, dan Dia mahu anda berbuat demikian juga.​—1 Yoh. 4:20.

Lihat perenggan 7

7. Apakah yang berlaku kepada Raja Uzia?

7 Sikap sombong telah membuat Raja Uzia dari Yehuda menolak nasihat daripada orang lain dan bertindak melampaui batas kuasanya. Sebenarnya, Raja Uzia seorang yang berkebolehan. Dia memenangi banyak peperangan, membina banyak kota dan menara, dan memiliki banyak ladang. Bible menyatakan bahawa Tuhan telah memberinya hidup yang makmur. (2 Taw. 26:3-7, 10) Namun, “selepas Uzia menjadi berkuasa, dia menjadi angkuh. Keangkuhannya menyebabkan kejatuhannya.” Yehuwa telah memerintahkan bahawa hanya imam dibenarkan membakar kemenyan di Rumah Tuhan. Tetapi Raja Uzia bertindak melampaui batas kuasanya dan memasuki Rumah Tuhan untuk membakar kemenyan. Oleh itu, Yehuwa murka terhadap raja yang sombong itu dan menyebabkannya dijangkiti penyakit kusta sehingga akhir hayatnya.​—2 Taw. 26:16-21.

8. Bagaimanakah nasihat di 1 Korintus 4:6, 7 membantu kita mengelak daripada menjadi sombong?

8 Mungkinkah kita terjerat oleh sikap sombong seperti yang terjadi kepada Uzia? Fikirkan contoh José. Dia merupakan ahli perniagaan yang berjaya dan seorang penatua yang dihormati. Dia memberikan ceramah di perhimpunan dan konvensyen, dan penyelia litar juga meminta nasihat daripadanya. Namun dia mengaku, “Saya bergantung pada kebolehan dan pengalaman saya sendiri, bukannya pada Yehuwa. Saya fikir saya kuat. Jadi, saya tidak mendengar amaran dan nasihat Yehuwa.” Akibatnya, José telah melakukan dosa yang serius lalu disingkirkan. Setelah diterima kembali ke dalam sidang beberapa tahun yang lalu, dia berkata, “Yehuwa telah mengajar saya bahawa yang penting bukanlah memiliki banyak tanggungjawab dalam organisasi-Nya, tetapi melakukan apa yang diperintahkan oleh-Nya.” Semoga kita ingat bahawa apa sahaja bakat dan tanggungjawab yang kita miliki adalah daripada Yehuwa. (Baca 1 Korintus 4:6, 7.) Jika kita bersikap sombong, kita akan menjadi tidak berguna bagi Yehuwa.

JERAT KETAMAKAN

Lihat perenggan 9

9. Bagaimanakah sikap tamak mempengaruhi Syaitan dan Hawa?

9 Semasa kita mendengar perkataan ketamakan, kita mungkin segera akan mengaitkannya dengan Syaitan Si Iblis. Sebagai salah satu malaikat Yehuwa, Syaitan pasti diberi banyak tanggungjawab yang istimewa. Namun, dia masih tidak puas dan menginginkan penyembahan yang hanya patut diberikan kepada Yehuwa. Syaitan mahu kita menjadi sepertinya. Jadi, dia cuba membuat kita berasa tidak puas dengan apa yang kita miliki. Kali pertama Syaitan berbuat demikian adalah semasa dia bercakap dengan Hawa. Yehuwa amat mengasihi Hawa dan suaminya, dan Dia telah memberi mereka makanan yang berlimpah “daripada setiap pokok” di Taman Eden. (Kej. 2:16) Walaupun mereka tidak dibenarkan untuk makan buah daripada sebatang pokok sahaja, Syaitan memperdaya Hawa dan membuat dia percaya bahawa dia perlu makan buah daripada pokok itu. Oleh sebab Hawa tidak menghargai apa yang dimilikinya dan menginginkan lebih banyak lagi, dia telah berdosa dan akhirnya mati.​—Kej. 3:6, 19.

Lihat perenggan 10

10. Bagaimanakah sikap tamak telah menjerat Raja Daud?

10 Yehuwa telah memberi Raja Daud banyak berkat termasuk kekayaan, kedudukan, dan kemenangan atas musuh-musuhnya. Daud sendiri pernah berkata bahawa kurniaan Tuhan kepadanya terlalu banyak sehingga “tidak dapat dihitung!” (Mzm. 40:5) Namun, sikap tamak telah membuat Daud lupa akan segala kurniaan Yehuwa. Dia tidak lagi puas dengan apa yang dimilikinya dan menginginkan lebih banyak lagi. Walaupun Daud sudah memiliki beberapa orang isteri, dia mula menginginkan isteri orang lain. Akhirnya dia mengadakan hubungan seks dengan Bat-syeba, dan Bat-syeba telah hamil. Setelah melakukan dosa yang serius ini, Daud melakukan hal yang lebih jahat lagi. Dia mengaturkan agar suami Bat-syeba, iaitu Uria, dibunuh! (2 Sam. 11:2-15) Mengapakah Daud sanggup berbuat begitu? Adakah dia berfikir Yehuwa tidak nampak perbuatannya? Walaupun Daud begitu setia, dia telah dijerat oleh sikap tamak lalu menanggung akibat yang buruk. Namun, Daud kemudiannya mengakui dosanya dan bertaubat. Dia pasti sangat bersyukur kerana Yehuwa sudi mengampuninya!​—2 Sam. 12:7-13.

11. Menurut Efesus 5:3, 4, apakah yang dapat membantu kita melawan sikap tamak?

11 Apakah yang dapat kita pelajari daripada contoh Daud? Kita belajar bahawa kita dapat melawan sikap tamak jika kita berpuas hati dengan apa yang kita miliki dan sentiasa bersyukur atas segala kurniaan Yehuwa. (Baca Efesus 5:3, 4.) Semasa seseorang mula belajar Bible, kita biasanya menggalakkannya untuk memikirkan satu berkat yang telah diterimanya dan mengucapkan terima kasih kepada Yehuwa. Jika dia berbuat demikian setiap hari selama seminggu, hal ini bermaksud dia telah mengucapkan syukur untuk tujuh berkat yang berbeza. (1 Tes. 5:18) Adakah anda melakukan hal yang sama? Jika anda merenungkan segala yang telah dilakukan oleh Yehuwa untuk anda, hati anda akan dipenuhi dengan rasa syukur. Rasa syukur itu akan membantu anda berpuas hati dengan apa yang anda miliki, dan rasa puas hati itu akan menjauhkan anda daripada sikap tamak.

Lihat perenggan 12

12. Sikap tamak menyebabkan Yudas Iskariot melakukan apa?

12 Sikap tamak telah menyebabkan Yudas Iskariot menjadi pengkhianat. Sebenarnya, dia bukanlah orang yang jahat pada mulanya, kerana Yesus telah memilihnya sebagai rasul. (Luk. 6:13, 16) Selain itu, Yudas tentu seorang yang cekap dan dapat diharapkan kerana dia bertanggungjawab menjaga peti wang. Yesus dan para rasul menggunakan wang daripada peti itu untuk menutupi perbelanjaan mereka semasa menginjil. Jadi, wang itu adalah seperti sumbangan untuk kerja sedunia pada zaman kita. Namun, selepas suatu ketika, Yudas mula mencuri wang daripada peti itu meskipun dia sering mendengar Yesus mengajar orang untuk menghindari sikap tamak. (Mrk. 7:22, 23; Luk. 11:39; 12:15) Ya, Yudas tidak mengendahkan amaran Yesus.

13. Bilakah sikap tamak Yudas menjadi lebih ketara?

13 Sikap tamak Yudas menjadi lebih ketara dalam satu peristiwa yang berlaku tidak lama sebelum kematian Yesus. Pada masa itu, Simon yang dahulunya menghidap penyakit kusta telah menjemput Yesus, murid-muridnya, serta Maria dan Marta, untuk makan di rumahnya. Semasa mereka sedang makan, Maria berdiri dan menuangkan minyak wangi yang sangat mahal ke atas kepala Yesus. Perbuatan Maria telah menyebabkan Yudas dan murid-murid lain berasa sangat marah. Murid-murid lain berasa bahawa minyak wangi itu patut dijual dan wang yang diperoleh patut digunakan untuk membantu orang miskin. Tetapi Yudas mempunyai motif yang lain. “Dia seorang pencuri” dan ingin mencuri wang daripada peti itu. Kemudian, sikap tamak telah menyebabkan Yudas mengkhianati Yesus demi mendapatkan wang.​—Yoh. 12:2-6; Mat. 26:6-16; Luk. 22:3-6.

14. Bagaimanakah sepasang suami isteri menerapkan nasihat di Lukas 16:13?

14 Yesus mengingatkan para pengikutnya tentang kebenaran asas ini: “Kamu tidak dapat menjadi hamba Tuhan dan hamba Kekayaan pada masa yang sama.” (Baca Lukas 16:13.) Kata-katanya masih benar sampai hari ini. Perhatikan bagaimana sepasang suami isteri di Romania menerapkan nasihat Yesus. Mereka telah ditawarkan peluang untuk bekerja buat sementara waktu di sebuah negara yang maju. Mereka mengaku, “Kami perlu membayar balik pinjaman yang besar kepada bank. Jadi, pada mulanya kami sangka tawaran ini ialah berkat daripada Yehuwa.” Namun, masalahnya ialah pekerjaan itu akan mengganggu khidmat mereka kepada Yehuwa. Jadi, selepas membaca sebuah rencana tentang cara untuk tetap setia kepada Yehuwa dengan sepenuh hati, mereka memutuskan untuk menolak tawaran pekerjaan itu. * Mereka berkata, “Jika tujuan kami bekerja di luar negara adalah untuk mendapat lebih banyak wang, kami sudah tidak lagi mengutamakan hubungan kami dengan Yehuwa, dan hal ini akan mengancam kerohanian kami.” Apakah yang berlaku selepas mereka membuat keputusan itu? Suami tersebut telah mendapat pekerjaan di negaranya yang dapat memenuhi keperluan mereka. Isterinya berkata, “Tangan Yehuwa tidak terlalu pendek untuk menolong kami.” Pasangan ini bersyukur kerana mereka menjadikan Yehuwa dan bukannya wang sebagai Tuan mereka.

ELAKKAN JERAT SYAITAN

15. Mengapakah kita yakin bahawa kita dapat melepaskan diri daripada jerat Syaitan?

15 Apakah yang dapat kita lakukan jika kita mendapati bahawa kita telah dijerat oleh sikap sombong atau tamak? Kita masih dapat melepaskan diri! Paulus berkata bahawa orang yang “ditangkap hidup-hidup oleh Iblis” dapat “melepaskan diri daripada perangkapnya.” (2 Tim. 2:26) Fikirkan contoh Daud. Dia pernah dijerat oleh sikap tamak. Namun, dia mendengar teguran daripada Natan, bertaubat, dan membaiki hubungannya dengan Yehuwa. Ingatlah bahawa Yehuwa lebih kuat daripada Syaitan. Jadi, jika kita menerima bantuan Yehuwa, kita dapat melepaskan diri daripada apa sahaja jerat atau perangkap yang dipasang oleh Si Iblis.

16. Apakah yang akan membantu kita untuk mengelakkan jerat Syaitan?

16 Kita memang dapat melepaskan diri daripada jerat Syaitan. Namun, adalah lebih baik jika kita dapat mengelakkan jeratnya sama sekali. Untuk berbuat demikian, kita mesti bergantung pada bantuan Yehuwa. Pada masa yang sama, kita tidak patut berfikir bahawa kita sudah sangat kuat dan tidak mungkin dipengaruhi oleh sikap sombong atau tamak. Ingatlah bahawa orang yang sudah lama menyembah Yehuwa pun pernah dijerat. Jadi, rayulah kepada Yehuwa setiap hari untuk membantu anda mengenal pasti jika sikap-sikap buruk ini telah mula mempengaruhi fikiran dan tindakan anda. (Mzm. 139:23, 24) Ya, jangan sekali-kali membiarkan sikap sombong atau tamak menguasai anda!

17. Tidak lama lagi, apakah yang akan berlaku kepada musuh kita, iaitu Si Iblis?

17 Selama ribuan tahun, Syaitan telah memburu hamba-hamba Yehuwa. Namun, tidak lama lagi, dia akan dikurung dan akhirnya dibinasakan. (Why. 20:1-3, 10) Sementara menantikan ketibaan masa itu, marilah kita terus berwaspada terhadap jerat Syaitan dan berusaha keras untuk menjauhi sikap sombong atau tamak. Ya, jika kita ‘melawan Iblis, Iblis akan lari daripada kita.’​—Yak. 4:7.

LAGU 127 Bagaimana Seharusnya Hidupku

^ per. 5 Syaitan ialah pemburu yang mahir. Dia mencuba memerangkap kita tidak kira berapa lama kita sudah berkhidmat kepada Yehuwa. Dalam rencana ini, kita akan belajar bagaimana Syaitan menggunakan kesombongan dan ketamakan untuk merosakkan hubungan kita dengan Tuhan. Kita juga akan mengkaji contoh beberapa individu yang telah diperangkap oleh sikap sombong dan tamak, dan melihat bagaimana kita dapat mengelakkan dua perangkap itu.

^ per. 2 MAKSUD UNGKAPAN: Rencana ini bertumpu kepada sikap sombong, iaitu perasaan bahawa seseorang lebih baik daripada orang lain, dan sikap tamak, iaitu keinginan yang kuat untuk memiliki lebih banyak wang atau kuasa, melakukan hubungan seks, dan sebagainya.

^ per. 14 Anda dapat membaca rencana ini dalam Menara Pengawal bahasa Indonesia, terbitan 15 Ogos 2008, yang bertajuk Pertahankan Loyalitas dengan Kebulatan Hati.

^ per. 54 KETERANGAN GAMBAR: Seorang saudara menjadi sombong lalu menolak nasihat yang bijak. Seorang saudari yang sudah memiliki banyak barang menginginkan lebih banyak lagi.

^ per. 56 KETERANGAN GAMBAR: Sikap sombong telah mempengaruhi satu malaikat dan Raja Uzia. Hawa, Daud, dan Yudas, telah dikuasai sikap tamak. Itulah sebabnya Hawa memakan buah daripada pokok yang dilarang, Daud berzina dengan Bat-syeba, dan Yudas mencuri wang.