Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 23

Anda Tidak Akan Kesunyian​—Yehuwa di Sisi Anda!

Anda Tidak Akan Kesunyian​—Yehuwa di Sisi Anda!

“Yehuwa dekat kepada semua orang yang berseru kepada-Nya.”​—MZM. 145:18.

LAGU 28 Menjadi Sahabat Yehuwa

PENGENALAN *

1. Mengapakah penyembah Yehuwa ada kalanya berasa sunyi?

KEBANYAKAN daripada kita berasa sunyi dari masa ke masa. Sesetengah orang berasa sunyi untuk suatu ketika, manakala yang lain berasa sunyi untuk masa yang lebih lama. Seseorang mungkin berasa sunyi bahkan semasa dia dikelilingi ramai orang. Mengapa? Ada yang berasa susah untuk mencari sahabat akrab dalam sidang yang baharu. Yang lain sangat rapat dengan ahli keluarga mereka, jadi mereka berasa sunyi semasa perlu hidup berjauhan dengan keluarga mereka. Ada juga yang berasa sunyi kerana merindui orang tersayang yang sudah meninggal. Selain itu, sesetengah orang Kristian, terutamanya mereka yang baru mempelajari kebenaran, berasa sunyi semasa mereka ditolak atau dianiaya oleh ahli keluarga atau sahabat yang tidak menyembah Yehuwa.

2. Apakah soalan-soalan yang akan kita jawab?

2 Yehuwa tahu dan memahami segala-galanya tentang kita. Apabila kita berasa sunyi, Dia tahu akan perasaan kita dan ingin membantu kita. Bagaimanakah Yehuwa membantu kita mengatasi perasaan sunyi? Apakah yang dapat kita lakukan untuk mengatasi perasaan sunyi? Bagaimanakah kita dapat membantu rakan seiman yang berasa sunyi? Mari kita menjawab soalan-soalan ini.

YEHUWA MENGAMBIL BERAT TENTANG ANDA

Yehuwa mengutus satu malaikat untuk meyakinkan Elia bahawa dia tidak keseorangan (Lihat perenggan 3)

3. Bagaimanakah Yehuwa menunjukkan keprihatinan-Nya terhadap Elia?

3 Yehuwa sangat mengambil berat terhadap semua penyembah-Nya. Dia dekat kepada setiap seorang daripada kita, dan Dia tahu semasa kita berasa sedih dan tawar hati. (Mzm. 145:18, 19) Perhatikan bagaimana Yehuwa menunjukkan keprihatinan-Nya terhadap Nabi Elia. Elia hidup pada masa yang sangat mencabar. Ketika itu, musuh-musuh Tuhan yang berpengaruh di Israel menganiaya penyembah Yehuwa, dan mereka ingin membunuh Elia. (1 Raj. 19:1, 2) Elia juga mungkin berasa tawar hati kerana menyangka bahawa antara semua nabi Tuhan, dia sahaja yang masih hidup. (1 Raj. 19:10) Yehuwa segera bertindak untuk membantu Elia. Dia mengutus satu malaikat untuk meyakinkan Elia bahawa dia tidak keseorangan dan masih terdapat banyak lagi orang Israel yang menyembah Tuhan!​—1 Raj. 19:5, 18.

4. Bagaimanakah Markus 10:29, 30 menunjukkan bahawa Yehuwa mengambil berat terhadap penyembah-Nya yang kehilangan sokongan daripada saudara-mara dan sahabat mereka?

4 Yehuwa tahu bahawa ada antara kita yang perlu membuat pengorbanan yang besar semasa kita memilih untuk menyembah-Nya. Contohnya, kita mungkin kehilangan sokongan daripada saudara-mara dan sahabat yang tidak menyembah Yehuwa. Nampaknya, Rasul Petrus juga pernah rasa risau tentang hal ini. Dia menanya Yesus, “Kami sudah meninggalkan segala-galanya lalu mengikut Guru. Jadi apakah yang akan kami terima?” (Mat. 19:27) Dengan penuh kasih, Yesus meyakinkan para pengikutnya bahawa mereka akan mendapat keluarga rohani yang besar. (Baca Markus 10:29, 30.) Sebagai Kepala keluarga rohani kita, Yehuwa berjanji bahawa Dia akan membantu mereka yang ingin menyembah-Nya. (Mzm. 9:10) Sekarang, mari kita membincangkan apa yang dapat anda lakukan supaya menerima bantuan Yehuwa untuk mengatasi perasaan sunyi.

APA YANG DAPAT ANDA LAKUKAN SEMASA BERASA SUNYI

5. Apakah manfaatnya jika anda merenungkan bagaimana Yehuwa sedang membantu anda?

5 Fikirkan bagaimana Yehuwa sedang membantu anda. (Mzm. 55:22) Dengan ini, anda akan sedar bahawa anda sebenarnya tidak keseorangan. Carol, * seorang saudari bujang yang keluarganya tidak seiman, berkata, “Apabila saya merenungkan bagaimana Yehuwa telah membantu saya menghadapi kesusahan, saya diyakinkan bahawa saya tidak keseorangan, dan bahawa Yehuwa akan terus berada di sisi saya pada masa depan.”

6. Bagaimanakah 1 Petrus 5:9, 10 dapat menggalakkan orang yang berasa sunyi?

6 Fikirkan bagaimana Yehuwa sedang membantu rakan seiman yang juga menghadapi masalah. (Baca 1 Petrus 5:9, 10.) Selama bertahun-tahun, Saudara Hiroshi merupakan satu-satunya Saksi dalam keluarganya. Dia berkata, “Saya dapat melihat bahawa semua orang di sidang menghadapi masalah, tetapi mereka masih berusaha sedaya upaya untuk berkhidmat kepada Yehuwa. Hal ini menggalakkan orang seperti saya, yang tidak mempunyai ahli keluarga dalam kebenaran.”

7. Bagaimanakah doa telah membantu anda?

7 Kekalkan tabiat rohani yang baik. Anda perlu mencurahkan segala isi hati anda kepada Yehuwa. (1 Ptr. 5:7) Perhatikan contoh seorang saudari muda yang bernama Massiel. Dia berasa terasing daripada keluarganya semasa dia memilih untuk menyembah Yehuwa. Apakah yang membantunya mengatasi perasaan sunyi? Dia berkata, “Salah satu hal terpenting yang telah membantu saya ialah berdoa dengan bersungguh-sungguh kepada Yehuwa. Yehuwa telah menjadi Bapa saya. Saya berdoa kepada-Nya banyak kali setiap hari untuk memberitahu-Nya perasaan saya.”

Mendengar rakaman audio Bible dan bahan bacaan Bible dapat membantu mereka yang keseorangan untuk mengurangkan rasa sunyi (Lihat perenggan 8) *

8. Apakah manfaat yang anda rasai setelah membaca dan merenungkan Firman Tuhan?

8 Anda juga perlu membaca Firman Tuhan secara tetap dan merenungkan kisah-kisah Bible yang menunjukkan bahawa Yehuwa mengasihi anda. Perhatikan contoh Saudari Bianca. Keluarganya sering mengatakan hal-hal yang menyakiti hatinya. Apakah yang membantunya? Dia menjelaskan, “Saya membaca dan merenungkan catatan Bible dan kisah hidup hamba-hamba Yehuwa yang menghadapi cabaran yang sama seperti saya.” Sesetengah orang Kristian menghafal ayat-ayat Bible yang melegakan mereka, contohnya Mazmur 27:10 dan Yesaya 41:10. Yang lain pula mendengar rakaman audio bahan perjumpaan semasa membuat persiapan untuk perjumpaan, atau mendengar rakaman pembacaan Bible sambil mengikutinya dalam Bible mereka. Mereka berasa bahawa hal ini telah mengurangkan rasa sunyi mereka.

9. Apakah manfaat yang anda raih kerana menghadiri perjumpaan?

9 Selain itu, anda perlu berusaha untuk menghadiri perjumpaan secara tetap. Dengan itu, anda akan digalakkan menerusi program perjumpaan dan berpeluang untuk lebih mengenali saudara saudari anda. (Ibr. 10:24, 25) Massiel, yang disebut tadi, berkata, “Walaupun saya sangat pemalu, saya bertekad untuk menghadiri setiap perjumpaan dan memberikan komen. Hal ini membantu saya berasa bahawa saya ialah sebahagian daripada sidang.”

10. Mengapakah penting untuk bersahabat dengan orang Kristian yang setia?

10 Bersahabat dengan orang Kristian yang setia. Carilah sahabat yang setia dalam sidang dan belajarlah daripada mereka, biarpun umur atau latar belakang mereka berbeza daripada anda. Bible menyatakan bahawa “kebijaksanaan ada pada orang tua.” (Ayb. 12:12) Namun, orang yang lebih tua juga dapat belajar daripada orang muda yang setia. Sebagai contoh, Daud jauh lebih muda daripada Yonatan, tetapi usia tidak menghalang mereka daripada menjadi sahabat rapat. (1 Sam. 18:1) Daud dan Yonatan telah membantu satu sama lain untuk terus menyembah Yehuwa biarpun ditimpa pelbagai kesusahan. (1 Sam. 23:16-18) Irina, seorang saudari yang merupakan satu-satunya Saksi dalam keluarganya, berkata, “Saudara saudari kita dapat menjadi seperti ibu bapa atau adik-beradik rohani kita. Yehuwa dapat menggunakan mereka untuk membantu kita.”

11. Apakah yang harus anda lakukan untuk menjalin persahabatan yang erat?

11 Jika anda seorang yang pemalu, anda mungkin berasa susah untuk menjalin persahabatan yang baharu. Perhatikan contoh Ratna. Dia seorang saudari yang pemalu, yang mempelajari kebenaran meskipun ditentang. Dia mengaku, “Saya perlu sedar bahawa saya memerlukan bantuan dan sokongan daripada keluarga rohani saya.” Ya, memang tidak mudah untuk mengongsi perasaan anda dengan orang lain, tetapi ingatlah bahawa komunikasi yang terbuka merupakan asas kepada persahabatan yang erat. Sahabat-sahabat anda ingin menggalakkan dan menyokong anda, tetapi anda perlu memberitahu mereka cara mereka dapat berbuat demikian.

12. Bagaimanakah kerja penyebaran dapat membantu anda?

12 Salah satu cara yang terbaik untuk menjalin persahabatan dengan rakan seiman adalah dengan menginjil bersama mereka. Carol, yang disebut tadi, berkata, “Saya telah mendapat banyak sahabat yang baik kerana meluangkan masa bersama para saudari dalam kerja penyebaran dan aktiviti rohani yang lain. Selama ini, Yehuwa telah menggunakan sahabat-sahabat saya untuk memberi saya sokongan yang diperlukan.” Apabila anda berusaha untuk bersahabat dengan orang Kristian yang setia, anda akan meraih manfaat yang besar. Yehuwa dapat menggunakan mereka untuk membantu anda melawan perasaan yang negatif seperti perasaan sunyi.​—Ams. 17:17.

LAYAN ORANG LAIN SEPERTI AHLI KELUARGA KITA

13. Apakah tanggungjawab semua orang dalam sidang?

13 Semua orang bertanggungjawab untuk menunjukkan kasih dan memelihara kedamaian dalam sidang. Dengan itu, tiada orang dalam sidang akan berasa diabaikan. (Yoh. 13:35) Maka kata-kata dan perbuatan kita sangat penting! Seorang saudari berkata, “Semasa saya mempelajari kebenaran, sidang telah menjadi keluarga saya. Tanpa sokongan saudara saudari, saya tidak mungkin dapat menjadi seorang Saksi.” Jika sidang anda mempunyai saudara atau saudari yang keluarga mereka tidak seiman, apakah yang dapat anda lakukan supaya mereka tidak berasa sunyi?

14. Bagaimanakah anda dapat bersahabat dengan orang baharu?

14 Mengambil inisiatif untuk bersahabat dengan orang baharu. Jika kita memperhatikan bahawa terdapat pelajar Bible yang baru mula menghadiri perjumpaan, saudara saudari yang baru berpindah ke sidang kita, atau penyiar yang baru dibaptis, kita ingin menyambut mereka dengan mesra. (Rm. 15:7) Namun sekadar menyapa mereka tidak mencukupi. Kita ingin beransur-ansur menjadi sahabat rapat mereka. Jadi, kita perlu menunjukkan bahawa kita mengambil berat secara ikhlas terhadap mereka. Untuk berbuat demikian, kita boleh berusaha memahami masalah yang dihadapi mereka tanpa menanyakan soalan yang mungkin membuat mereka berasa kekok atau malu. Pada masa yang sama, kita perlu ingat bahawa sesetengah orang mungkin berasa susah untuk meluahkan perasaan mereka. Jadi, daripada mendesak mereka untuk menjawab soalan kita, kita boleh menukar soalan lain yang lebih sesuai dan mendengar jawapan mereka dengan sabar. Sebagai contoh, kita boleh menanya mereka bagaimana mereka mempelajari kebenaran.

15. Bagaimanakah orang Kristian yang matang dapat membantu orang lain di sidang?

15 Semua orang di sidang akan bertumbuh secara rohani apabila orang Kristian yang matang, terutamanya para penatua, mengambil berat terhadap mereka. Melissa, yang dibesarkan sebagai seorang Saksi oleh ibunya, berkata, “Saya sangat menghargai para saudara yang menjadi bapa rohani saya. Mereka meluangkan masa bersama saya, mengambil berat terhadap saya, dan bersedia mendengar luahan saya.” Mauricio, seorang saudara muda yang berasa sedih dan sunyi ketika guru Biblenya menjadi tidak aktif, berkata, “Keprihatinan para penatua sangat membantu saya. Mereka menginjil bersama saya, mengongsi permata rohani daripada pembelajaran peribadi mereka dengan saya, dan bahkan bersukan bersama saya.” Kini, Melissa dan Mauricio berkhidmat di Bethel.

Adakah sesiapa di sidang yang memerlukan anda untuk meluangkan masa bersamanya? (Lihat perenggan 16-19) *

16-17. Bagaimanakah kita dapat memberikan bantuan yang praktikal kepada orang lain?

16 Memberikan bantuan yang praktikal. (Gal. 6:10) Leo, seorang mubaligh yang berkhidmat di tempat yang jauh daripada keluarganya, berkata, “Sering kali, apa yang diperlukan hanyalah bantuan kecil yang diberikan pada masa yang tepat. Pernah sekali, saya terlibat dalam kemalangan jalan raya. Apabila saya sampai di rumah, saya sudah sangat stres. Tetapi, ketika itu, sepasang suami isteri menjemput saya untuk makan di rumah mereka. Saya tidak ingat apa yang kami makan, tetapi saya ingat mereka mendengar saya dengan sabar. Selepas meluahkan perasaan saya, saya berasa sangat lega!”

17 Kita semua menanti-nantikan masanya kita dapat berkumpul dengan saudara saudari lain, contohnya semasa di perhimpunan atau konvensyen. Hal ini demikian kerana kita mahu meluangkan masa bersama mereka dan berbual dengan mereka tentang ceramah yang telah kita dengar. Namun, Carol, yang disebut tadi, berkata, “Saya berasa sangat sunyi semasa perhimpunan dan konvensyen.” Mengapa? Dia menjelaskan, “Biarpun saya dikelilingi ratusan atau ribuan saudara saudari, biasanya mereka duduk bersama keluarga mereka. Jadi, semasa saya melihat mereka, hati saya bertambah sunyi lagi.” Sesetengah orang pula berasa susah untuk menghadiri perhimpunan atau konvensyen selepas pasangan mereka meninggal. Adakah anda mengenali sesiapa yang menghadapi cabaran sebegini? Cubalah menjemput mereka untuk menghadiri perhimpunan atau konvensyen yang seterusnya bersama keluarga anda.

18. Bagaimanakah kita dapat menerapkan prinsip di 2 Korintus 6:11-13?

18 Meluangkan masa bersama mereka. Cubalah meluangkan masa bersama saudara saudari yang berbeza, terutamanya mereka yang mungkin berasa sunyi. Kita mahu ‘membuka hati kita lebar-lebar’ untuk mereka. (Baca 2 Korintus 6:11-13.) Melissa, yang disebut tadi, berkata, “Kami selalu berasa gembira apabila saudara saudari menjemput kami ke rumah untuk bergaul bersama mereka dan keluarga mereka, atau mengajak kami untuk bercuti bersama mereka.” Dapatkah anda meluangkan masa untuk bergaul dengan seseorang di sidang anda?

19. Bilakah rakan seiman kita mungkin memerlukan kita untuk meluangkan masa bersama mereka?

19 Rakan seiman kita mungkin memerlukan kita untuk meluangkan masa bersama mereka pada waktu yang tertentu. Sebagai contoh, ada yang mungkin berasa susah untuk bersama keluarga yang tidak seiman semasa musim perayaan. Yang lain pula mungkin berasa sangat sedih pada tarikh yang tertentu, misalnya pada ulang tahun kematian orang tersayang. Apabila kita mengambil inisiatif untuk meluangkan masa bersama saudara saudari sebegini, kita menunjukkan bahawa kita “benar-benar mengambil berat” tentang mereka.​—Flp. 2:20.

20. Bagaimanakah kata-kata Yesus di Matius 12:48-50 dapat membantu kita semasa kita berasa sunyi?

20 Terdapat banyak hal yang mungkin membuat orang Kristian berasa sunyi. Namun, ingatlah bahawa Yehuwa mengetahui perasaan kita dengan sepenuhnya dan pasti membantu kita. Sering kali, Dia memberi kita bantuan menerusi rakan seiman kita. (Baca Matius 12:48-50.) Kita pula dapat menunjukkan bahawa kita menghargai bantuan Yehuwa dengan berusaha sedaya upaya untuk menolong saudara saudari kita. Ya, biarpun kita ada kalanya keseorangan, kita tidak akan kesunyian kerana Yehuwa sentiasa berada di sisi kita!

LAGU 46 Kami Bersyukur pada-Mu Yehuwa

^ per. 5 Adakah anda kadangkala berasa sunyi? Jika ya, yakinlah bahawa Yehuwa memahami perasaan anda dan ingin membantu anda. Dalam rencana ini, kita akan membincangkan apa yang dapat anda lakukan untuk mengatasi rasa sunyi. Kita juga akan membincangkan bagaimana anda dapat menggalakkan rakan seiman yang berasa sunyi.

^ per. 5 Sesetengah nama telah diubah.

^ per. 60 KETERANGAN GAMBAR: Seorang saudara yang isterinya sudah meninggal meraih manfaat daripada rakaman audio bagi Bible dan bahan yang akan dibincangkan di perjumpaan.

^ per. 62 KETERANGAN GAMBAR: Seorang saudara dan anak perempuannya melawat seorang saudara yang lebih tua dan menunjukkan kebaikan hati kepadanya.