Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 22

Bantu Pelajar Bible Anda untuk Dibaptis

Bantu Pelajar Bible Anda untuk Dibaptis

“Hendaklah kamu masing-masing dibaptis.”​—KIS. 2:38.

LAGU 72 Menghebahkan Kebenaran Kerajaan Tuhan

PENGENALAN *

1. Murid-murid Yesus pada abad pertama memberitahu orang ramai bahawa mereka harus melakukan apa?

SEKUMPULAN besar lelaki dan wanita telah berkumpul di Yerusalem. Mereka datang dari pelbagai negara dan menuturkan pelbagai bahasa. Tiba-tiba, sesuatu yang menakjubkan telah berlaku. Sekumpulan orang Yahudi mula bercakap kepada mereka dalam bahasa ibunda mereka! Namun yang lebih menakjubkan lagi ialah mesej yang dikhabarkan oleh orang Yahudi itu dan apa yang dikatakan oleh Rasul Petrus selepas itu. Orang ramai diberitahu bahawa jika mereka beriman kepada Yesus Kristus, mereka dapat diselamatkan. Mesej itu begitu menyentuh hati mereka sehingga mereka bertanya, “Apakah yang harus kami lakukan?” Petrus menjawab, “Hendaklah kamu masing-masing dibaptis.”​—Kis. 2:37, 38.

Seorang saudara dan isterinya mengadakan pembelajaran Bible dengan seorang lelaki muda yang memegang buku Nikmati Hidup Selama-Lamanya! (Lihat perenggan 2)

2. Apakah yang akan kita kaji dalam rencana ini? (Lihat gambar pada muka depan majalah.)

2 Selepas itu, kira-kira 3,000 orang telah dibaptis dan menjadi murid Kristus. Peristiwa yang menakjubkan itu menandakan bermulanya kerja menjadikan orang murid Yesus, iaitu kerja yang diamanahkan oleh Yesus kepada para pengikutnya. Kerja ini masih dijalankan pada zaman kita. Namun pada hari ini, kita tidak dapat membantu seseorang untuk maju sehingga dibaptis dalam masa beberapa jam. Seorang pelajar mungkin memerlukan beberapa bulan atau beberapa tahun untuk mencapai matlamat itu. Jika anda mempunyai pelajar Bible, anda tentu setuju bahawa kerja keras diperlukan untuk membantu seseorang menjadi murid Yesus. Dalam rencana ini, kita akan mengkaji bagaimana anda dapat membantu pelajar Bible anda untuk maju sehingga dibaptis.

BANTU PELAJAR ANDA MENERAPKAN APA YANG DIPELAJARINYA

3. Menurut Matius 28:19, 20, apakah yang mesti dilakukan oleh seorang pelajar untuk maju sehingga dibaptis?

3 Sebelum seorang pelajar Bible dibaptis, dia mesti menerapkan ajaran Bible. (Baca Matius 28:19, 20.) Apabila pelajar itu menerapkan apa yang dipelajarinya, dia menjadi seperti “orang bijaksana” dalam perumpamaan Yesus, yang menggali lubang yang dalam lalu meletakkan asas rumahnya di atas batu. (Mat. 7:24, 25; Luk. 6:47, 48) Bagaimanakah kita dapat membantu seorang pelajar untuk menerapkan apa yang dipelajarinya? Perhatikan tiga cadangan berikut.

4. Bagaimanakah kita dapat membantu pelajar kita untuk maju langkah demi langkah sehingga dibaptis? (Lihat juga kotak “ Bantu Pelajar Anda untuk Menetapkan dan Mencapai Matlamat.”)

4 Bantu pelajar anda untuk menetapkan matlamat. Mengapakah hal ini penting? Fikirkan contoh ini: Jika anda akan membuat perjalanan ke destinasi yang sangat jauh, anda mungkin akan singgah di beberapa tempat yang menarik di sepanjang perjalanan. Dengan itu, perjalanan anda tidak akan terasa terlalu jauh. Begitu juga, apabila seorang pelajar Bible dapat menetapkan dan mencapai matlamat jangka pendek, dia akan berasa bahawa matlamat untuk dibaptis tidak terlalu susah untuk dicapai. Anda boleh menggunakan bahagian “Matlamat” dalam buku Nikmati Hidup Selama-Lamanya! untuk membantunya berbuat demikian. Pada penghujung setiap pelajaran, bincangkan dengan pelajar anda bagaimana matlamat itu akan membantunya menerapkan apa yang telah dipelajarinya. Jika anda ingin pelajar anda menetapkan matlamat yang berbeza, tuliskannya dalam ruang yang dilabel “Lain-lain.” Gunakan bahagian ini secara kerap untuk membincangkan matlamat jangka pendek dan matlamat jangka panjang yang dapat dicapai oleh pelajar anda.

5. Menurut Markus 10:17-22, Yesus menyuruh seorang lelaki kaya untuk melakukan apa, dan mengapa?

5 Bantu pelajar anda untuk membuat perubahan yang besar dalam kehidupannya. (Baca Markus 10:17-22.) Yesus tahu bahawa memang tidak mudah bagi orang kaya untuk menjual semua harta mereka. (Mrk. 10:23) Namun, dia masih menyuruh lelaki kaya itu untuk berbuat demikian. Mengapa? Kerana Yesus mengasihinya. Ada kalanya, kita mungkin teragak-agak untuk memberitahu pelajar kita bahawa dia perlu menerapkan apa yang dipelajarinya. Hal ini demikian kerana kita berasa bahawa dia belum bersedia untuk membuat perubahan. Memang benar, orang memerlukan masa untuk membuang tabiat yang lama dan mengenakan keperibadian baharu. (Kol. 3:9, 10) Namun, semakin cepat anda memberitahunya apa yang perlu diubah, semakin cepat dia dapat mengambil tindakan. Selain itu, apabila anda berterus terang dengannya, anda menunjukkan bahawa anda mengambil berat tentangnya.​—Mzm. 141:5; Ams. 27:17.

6. Mengapakah kita patut menanya pelajar kita tentang pendapatnya?

6 Anda juga perlu menanya pelajar anda pendapatnya tentang sesuatu topik. Dengan itu, anda dapat mengetahui apa yang difahami dan dipercayainya. Jika anda sering menanyakan pendapat pelajar anda, anda akan berasa lebih senang untuk membincangkan topik yang sensitif dengannya pada kemudian hari. Buku Nikmati Hidup Selama-Lamanya! mengandungi banyak soalan yang dapat membantu anda mengetahui pendapat pelajar anda. Sebagai contoh, pelajaran 04 mengandungi soalan ini: “Pada pendapat anda, apakah perasaan Yehuwa semasa anda menggunakan nama-Nya?” Pelajaran 09 pula mengandungi soalan ini: “Apakah yang ingin anda doakan?” Pada mulanya, pelajar anda mungkin memerlukan masa untuk menjawab soalan-soalan seperti ini. Namun, anda dapat melatihnya untuk menjawab soalan sebegini dengan menanyakan pendapatnya tentang ayat-ayat Bible dan gambar-gambar dalam buku ini.

7. Bagaimanakah kita dapat menggunakan pengalaman orang lain untuk membantu pelajar kita?

7 Setelah pelajar anda memahami apa yang perlu dilakukannya, kongsilah dengannya pengalaman saudara saudari supaya dia didorong untuk mengambil tindakan. Misalnya, jika pelajar anda tidak menghadiri perjumpaan secara tetap, anda boleh menunjukkan video Yehuwa Ambil Berat tentang Saya di bahagian “Jom Belajar” pelajaran 14. Banyak pelajaran dalam buku Nikmati Hidup Selama-Lamanya! mengandungi pengalaman saudara saudari kita, dan anda dapat mencarinya dalam bahagian “Ketahuilah” atau “Jom Belajar.” * Semasa membincangkan sebuah pengalaman, janganlah membandingkan pelajar anda dengan orang lain dan berkata, “Jika dia boleh, kamu pun boleh.” Biarlah pelajar anda sendiri yang menyedari hal itu. Untuk membantu pelajar anda, jelaskan bagaimana ayat Bible atau langkah tertentu telah membantu saudara atau saudari dalam video untuk menerapkan ajaran Bible. Seboleh-bolehnya, tekankan bagaimana Yehuwa telah membantu saudara atau saudari itu.

8. Bagaimanakah kita dapat membantu pelajar Bible kita untuk mengasihi Yehuwa?

8 Bantu pelajar Bible anda untuk mengasihi Yehuwa. Bagaimana? Carilah peluang untuk menghalakan perhatiannya kepada sifat-sifat Yehuwa. Bantulah pelajar anda untuk memahami bahawa Yehuwa ialah Tuhan yang gembira, yang sentiasa menyokong mereka yang mengasihi-Nya. (1 Tim. 1:11; Ibr. 11:6) Jelaskan manfaat yang akan diraihnya jika dia menerapkan apa yang telah dipelajarinya, dan beritahunya bahawa manfaat ini ialah bukti bahawa Yehuwa mengasihinya. (Yes. 48:17, 18) Apabila pelajar Bible anda semakin mengasihi Yehuwa, dia akan semakin terdorong untuk membuat apa-apa perubahan yang diperlukan.​—1 Yoh. 5:3.

PERKENALKAN PELAJAR ANDA KEPADA SAUDARA SAUDARI LAIN

9. Menurut Markus 10:29, 30, apakah yang dapat membantu pelajar Bible rela membuat pengorbanan agar dapat dibaptis?

9 Pelajar Bible yang ingin maju sehingga dibaptis perlu membuat pengorbanan. Ada antara mereka yang perlu membuat pengorbanan dari segi kebendaan, seperti lelaki kaya yang datang untuk berjumpa dengan Yesus. Jika pekerjaan mereka melanggar prinsip Bible, mereka mungkin perlu mencari pekerjaan yang lain. Ramai pelajar Bible mungkin perlu berhenti bergaul dengan sahabat yang tidak mengasihi Yehuwa. Yang lain pula mungkin ditinggalkan oleh ahli keluarga yang tidak menyukai Saksi-Saksi Yehuwa. Yesus berkata bahawa memang tidak mudah untuk membuat pengorbanan sebegini. Namun, dia juga berjanji bahawa orang yang menjadi pengikutnya tidak akan dikecewakan, kerana Yehuwa akan memberkati mereka dan memberi mereka keluarga rohani yang penyayang. (Baca Markus 10:29, 30.) Bagaimanakah anda dapat membantu pelajar anda untuk memanfaatkan kurniaan yang berharga ini?

10. Apakah yang anda pelajari daripada pengalaman Manuel?

10 Menjadi sahabat kepada pelajar anda. Anda harus menunjukkan kepada pelajar anda bahawa anda mengambil berat tentangnya. Mengapakah hal ini penting? Perhatikan kata-kata Manuel yang tinggal di Mexico. Mengenang kembali masanya dia masih seorang pelajar Bible, dia berkata, “Sebelum setiap sesi pembelajaran, guru Bible saya akan menanya khabar saya. Dia membantu saya untuk relaks dan membuat saya berasa selesa untuk bercerita tentang hal-hal lain. Saya dapat rasakan bahawa dia benar-benar mengambil berat tentang saya.”

11. Apakah manfaatnya apabila pelajar Bible meluangkan masa bersama kita?

11 Luangkan masa bersama pelajar Bible anda, sepertimana Yesus meluangkan masa bersama para pengikutnya. (Yoh. 3:22) Jika sesuai, jemputlah pelajar Bible anda yang sedang membuat kemajuan ke rumah anda untuk minum kopi, makan bersama, atau menonton program Siaran JW. Pelajar anda mungkin menghargai jemputan sebegini terutamanya semasa dia berasa sunyi kerana tidak menyambut perayaan bersama sahabat dan keluarganya. Kazibwe yang tinggal di Uganda berkata, “Saya telah belajar banyak hal tentang Yehuwa semasa pembelajaran Bible dan juga semasa meluangkan masa bersama guru Bible saya. Saya dapat melihat bahawa Yehuwa sangat mengambil berat terhadap umat-Nya dan mereka sangat gembira. Itulah kehidupan yang saya inginkan.”

Jika anda menjemput penyiar yang berlainan untuk menyertai pembelajaran Bible anda, pelajar anda akan berasa lebih mudah untuk menghadiri perjumpaan (Lihat perenggan 12) *

12. Mengapakah kita patut menjemput penyiar yang berbeza-beza untuk menyertai pembelajaran Bible kita?

12 Jemput penyiar yang berbeza-beza untuk menyertai pembelajaran Bible anda. Ada kalanya, kita mungkin berasa bahawa adalah lebih mudah untuk mengendalikan pembelajaran Bible seorang diri atau selalu menjemput penyiar yang sama untuk menemani kita. Namun, jika kita menjemput penyiar yang berbeza-beza untuk menyertai pembelajaran Bible kita, hal itu bermanfaat untuk pelajar kita. Mengenang kembali masanya dia mempelajari Bible, Dmitrii yang tinggal di Moldova berkata, “Setiap penyiar yang menyertai pembelajaran Bible saya ada cara tersendiri untuk menghuraikan maklumat. Jadi, saya telah belajar cara yang berbeza-beza untuk menerapkan apa yang saya pelajari. Selain itu, saya tidak berasa begitu malu semasa menghadiri perjumpaan buat kali pertama kerana saya sudah mengenali banyak saudara saudari.”

13. Mengapakah kita mesti membantu pelajar kita untuk menghadiri perjumpaan?

13 Bantu pelajar anda untuk menghadiri perjumpaan. Hal ini penting kerana perjumpaan merupakan sebahagian daripada ibadat kita, dan Yehuwa memerintahkan umat-Nya untuk menyembah-Nya bersama-sama. (Ibr. 10:24, 25) Selain itu, saudara saudari kita ialah keluarga rohani kita. Jadi, semasa kita menghadiri perjumpaan bersama mereka, kita seolah-olah sedang menikmati makanan yang enak bersama mereka di rumah. Dengan membantu pelajar anda untuk menghadiri perjumpaan, anda sedang membantunya untuk mengambil salah satu langkah yang terpenting untuk maju sehingga dibaptis. Namun, pelajar anda mungkin berasa susah untuk mengambil langkah itu. Jadi, bagaimanakah buku Nikmati Hidup Selama-Lamanya! dapat membantunya?

14. Bagaimanakah kita dapat menggalakkan pelajar Bible kita untuk menghadiri perjumpaan?

14 Gunakanlah pelajaran 10 dalam buku Nikmati Hidup Selama-Lamanya! untuk menggalakkan pelajar Bible anda menghadiri perjumpaan. Sebelum buku ini dikeluarkan, sebilangan penyiar yang berpengalaman dijemput untuk mencuba menggunakan pelajaran ini dalam pembelajaran Bible mereka. Mereka mendapati bahawa pelajaran ini sangat berkesan untuk membantu pelajar Bible mereka menghadiri perjumpaan. Sudah tentu, anda tidak perlu menunggu sehingga pelajaran 10 untuk menjemput pelajar Bible anda menghadiri perjumpaan. Jemputlah dia secepat yang mungkin, dan teruslah menjemputnya secara kerap. Ingatlah bahawa setiap pelajar Bible menghadapi cabaran yang berbeza. Jadi, perhatikan keperluan pelajar Bible anda dan fikirkan apa yang dapat anda lakukan untuk membantunya. Janganlah tawar hati jika pelajar Bible anda tidak menghadiri perjumpaan dengan segera. Bersabarlah dengannya dan teruslah menjemputnya.

BANTU PELAJAR ANDA MENGATASI RASA TAKUT

15. Apakah sesetengah hal yang mungkin membuat pelajar Bible kita berasa takut?

15 Semasa anda seorang pelajar Bible, pernahkah anda berasa takut untuk menjadi Saksi? Anda mungkin berasa bahawa anda tidak akan dapat menginjil dari rumah ke rumah, atau anda mungkin risau keluarga atau sahabat anda akan menentang anda. Jika anda pernah mengalami perasaan sebegitu, anda akan dapat memahami perasaan pelajar Bible anda. Yesus berkata bahawa cabaran sebegini mungkin membuat sesetengah orang berasa takut. Namun, dia juga menggalakkan para pengikutnya agar tidak membiarkan rasa takut menghalang mereka daripada menyembah Yehuwa. (Mat. 10:16, 17, 27, 28) Bagaimanakah Yesus membantu mereka mengatasi rasa takut? Bagaimanakah anda dapat meniru teladannya?

16. Bagaimanakah kita dapat melatih pelajar kita untuk mengongsi kepercayaannya?

16 Melatih pelajar anda untuk mengongsi kepercayaannya. Murid-murid Yesus mungkin berasa takut semasa mereka diutus untuk menginjil. Namun, Yesus telah membantu mereka dengan memberitahu mereka kepada siapa mereka harus menginjil dan mesej apa yang harus dikhabarkan. (Mat. 10:5-7) Bagaimanakah anda dapat meniru teladan Yesus? Bantulah pelajar anda untuk mengetahui kepada siapa dia dapat menginjil. Sebagai contoh, tanyalah dia jika dia mengenali sesiapa yang perlu mendengar kebenaran Bible tertentu. Kemudian, bantulah dia untuk mengetahui apa yang harus dikatakannya dengan menunjukkan cara yang mudah untuk menjelaskan kebenaran itu. Jika sesuai, anda boleh menggunakan bahagian “Ada Orang Kata” dan “Orang Mungkin Tanya” dalam buku Nikmati Hidup Selama-Lamanya! untuk mengadakan sesi latihan bersama pelajar anda. Ingatlah bahawa matlamat anda adalah untuk melatih pelajar anda supaya dia dapat menggunakan Bible untuk memberikan jawapan yang ringkas dan menjawab dengan penuh hormat.

17. Bagaimanakah kita dapat menggunakan kata-kata di Matius 10:19, 20, 29-31 untuk membantu pelajar kita bergantung pada Yehuwa?

17 Bantu pelajar anda untuk bergantung pada Yehuwa. Yesus meyakinkan para pengikutnya bahawa Yehuwa mengasihi mereka dan akan membantu mereka. (Baca Matius 10:19, 20, 29-31.) Anda juga perlu mengingatkan pelajar anda bahawa Yehuwa akan membantunya. Untuk membantu pelajar anda bergantung pada Yehuwa, berdoalah bersama-samanya dan sebutkan matlamatnya semasa berdoa. Franciszek yang tinggal di Poland berkata, “Guru Bible saya sering menyebut tentang matlamat saya semasa berdoa. Apabila saya melihat bagaimana Yehuwa menjawab doanya, saya sendiri pun mula berdoa. Saya telah merasai bantuan Yehuwa semasa saya baru mula bekerja dan perlu memohon cuti untuk menghadiri perjumpaan dan konvensyen.”

18. Apakah perasaan Yehuwa tentang kerja yang dilakukan oleh para guru Bible?

18 Yehuwa sangat mengambil berat tentang pelajar Bible kita. Dia mengasihi para guru Bible dan menghargai kerja keras mereka untuk membantu ramai orang mendekat kepada-Nya. (Yes. 52:7) Namun, jika anda tidak mempunyai pelajar Bible buat masa sekarang, anda masih dapat menyertai pembelajaran Bible penyiar lain dan membantu pelajar Bible mereka maju sehingga dibaptis.

LAGU 60 Selamatkanlah Mereka

^ per. 5 Rencana ini akan membincangkan bagaimana Yesus membantu orang menjadi pengikutnya dan bagaimana kita dapat meniru teladan Yesus. Kita juga akan melihat beberapa ciri dalam buku baharu Nikmati Hidup Selama-Lamanya! yang direka untuk membantu pelajar Bible maju sehingga dibaptis.

^ per. 7 Anda juga dapat mencari pengalaman rakan seiman kita dalam (1) Panduan Penyelidikan Saksi-Saksi Yehuwa, di bawah subjek “Bible,” bahagian “Manfaat,” tajuk “‘Bible Mengubah Hidup’ (siri rencana dalam Menara Pengawal)” atau (2) bahagian media aplikasi JW Library®, “Temu Ramah dan Pengalaman.”

^ per. 63 KETERANGAN GAMBAR: Seorang saudara dan isterinya mengadakan pembelajaran Bible dengan seorang lelaki muda. Pada masa lain, dia juga menjemput saudara-saudara yang berbeza untuk menyertai pembelajaran Biblenya.