Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 25

Jangan Membuat Murid Yesus “yang bagaikan Anak Kecil” Tersandung

Jangan Membuat Murid Yesus “yang bagaikan Anak Kecil” Tersandung

“Jangan sekali-kali memandang rendah pada muridku yang bagaikan anak kecil.”​—MAT. 18:10.

LAGU 113 Kedamaian Milik Kita

PENGENALAN *

1. Apakah yang telah dilakukan oleh Yehuwa untuk setiap seorang daripada kita?

YEHUWA telah memimpin setiap seorang daripada kita kepada-Nya. (Yoh. 6:44) Maksudnya, semasa Yehuwa menyelidiki hati berbilion-bilion orang di bumi, Dia mendapati bahawa anda seorang yang ikhlas, yang akan mengasihi-Nya. (1 Taw. 28:9) Tidakkah anda berasa lega kerana Yehuwa begitu mengenali anda, memahami anda, menghargai anda, dan mengasihi anda?

2. Bagaimanakah Yesus menunjukkan bahawa Yehuwa sangat mengambil berat terhadap setiap bebiri-Nya?

2 Yehuwa sangat mengambil berat terhadap anda, dan Dia juga mengambil berat terhadap semua saudara saudari anda. Untuk membantu kita memahami hal ini, Yesus menyamakan Yehuwa dengan seorang gembala. Jika seorang gembala mempunyai 100 ekor bebiri dan salah seekor bebirinya hilang, apakah yang akan dilakukannya? Dia “akan meninggalkan 99 ekor bebirinya di gunung untuk mencari bebiri yang sesat itu.” Apabila gembala itu berjaya menemui bebiri itu, dia tidak akan memarahinya. Sebaliknya dia akan bersukacita. Apakah pengajarannya? Yehuwa menghargai setiap seekor daripada bebiri-Nya. Yesus berkata, “Bapaku yang di syurga tidak ingin seorang pun daripada muridku yang bagaikan anak kecil sesat.”​—Mat. 18:12-14.

3. Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana ini?

3 Kita tentu tidak mahu membuat saudara saudari kita berasa tawar hati. Jadi, bagaimanakah kita dapat mengelak daripada membuat mereka tersandung? Apakah yang dapat kita lakukan jika orang lain menyinggung perasaan kita? Rencana ini akan menjawab soalan-soalan tersebut. Sebelum itu, mari kita belajar lebih banyak lagi tentang murid-murid Yesus “yang bagaikan anak kecil” yang disebut di Matius bab 18.

MENGAPAKAH MURID-MURID YESUS “BAGAIKAN ANAK KECIL”?

4. Mengapakah murid-murid Yesus “bagaikan anak kecil”?

4 Murid-murid Yesus daripada semua lapisan umur “bagaikan anak kecil” kerana mereka sudi diajar oleh Yesus. (Mat. 18:3) Meskipun mereka berasal daripada latar belakang dan budaya yang berbeza, serta memiliki pandangan dan keperibadian yang berlainan, mereka semua beriman kepada Kristus, dan Kristus sangat mengasihi mereka.​—Mat. 18:6; Yoh. 1:12.

5. Apakah perasaan Yehuwa semasa seseorang menyakiti atau membuat salah seorang daripada umat-Nya tersandung?

5 Semua murid Yesus “yang bagaikan anak kecil” berharga di mata Yehuwa. Untuk memahami perasaan-Nya terhadap mereka, fikirkan perasaan kita terhadap kanak-kanak. Kita menyayangi mereka dan ingin melindungi mereka kerana mereka tidak memiliki kekuatan, pengalaman, dan kebijaksanaan seperti orang dewasa. Kita tidak suka melihat sesiapa pun disakiti. Tetapi kita akan sangat marah, terutamanya semasa melihat budak kecil disakiti. Begitu juga, Yehuwa ingin melindungi kita, dan Dia sangat marah semasa seseorang menyakiti atau membuat salah seorang daripada umat-Nya tersandung!​—Yes. 63:9; Mrk. 9:42.

6. Menurut 1 Korintus 1:26-29, apakah pandangan dunia terhadap murid-murid Yesus?

6 Apakah satu lagi sebab murid-murid Yesus “bagaikan anak kecil”? Dunia ini menyanjung orang yang kaya, terkenal, dan berpengaruh. Namun, kebanyakan daripada murid-murid Yesus bukanlah orang sebegini. Jadi, dunia ini menganggap mereka sebagai “anak kecil” yang tidak penting. (Baca 1 Korintus 1:26-29.) Namun, Yehuwa mempunyai pandangan yang berbeza terhadap mereka.

7. Bagaimanakah Yehuwa ingin kita memandang saudara saudari kita?

7 Yehuwa mengasihi semua hamba-Nya, tidak kira mereka sudah lama dalam kebenaran atau baru mula menyembah-Nya. Yehuwa menghargai semua saudara saudari kita, dan kita patut berbuat demikian juga. Kita ingin ‘mengasihi semua saudara seiman,’ bukan sebilangan daripada mereka sahaja. (1 Ptr. 2:17) Oleh itu, kita ingin melakukan apa yang kita mampu untuk membuat mereka berasa dikasihi dan mengelak daripada menyakiti mereka. Jadi, jika kita mendapati bahawa kita sudah membuat seseorang tersinggung, kita tidak patut meremehkan hal itu dan berfikir bahawa dia terlalu sensitif dan perlu melupakan apa yang berlaku. Mengapakah sesetengah orang berasa tersinggung? Disebabkan latar belakang mereka, sesetengah saudara saudari memandang rendah terhadap diri sendiri dan cenderung ambil hati dengan kata-kata atau perbuatan orang lain. Yang lain pula masih baru dalam kebenaran dan belum belajar untuk memaafkan kesilapan orang lain. Tidak kira apa sebabnya kita atau orang lain berasa tersinggung, kita harus berusaha untuk berdamai. Selain itu, jika seseorang sering tersinggung kerana kata-kata dan perbuatan orang lain, dia perlu sedar bahawa sikapnya itu tidak baik dan perlu diubah. Dengan itu, dia dapat bersukacita dan menikmati hubungan yang baik dengan orang lain.

MENGANGGAP ORANG LAIN LEBIH BAIK

8. Apakah sikap kebanyakan orang pada zaman Yesus?

8 Mengapakah Yesus bercakap tentang murid-muridnya “yang bagaikan anak kecil”? Sebelum itu, murid-muridnya telah menanyakan soalan ini: “Siapakah yang terbesar dalam Kerajaan di syurga?” (Mat. 18:1) Pada zaman Yesus, ramai orang Yahudi sangat mementingkan pangkat dan kedudukan. Seorang cendekiawan berkata, “Mereka hidup dan mati demi mendapat kemuliaan, reputasi, kemasyhuran, dan sanjungan.”

9. Apakah yang perlu dilakukan oleh murid-murid Yesus?

9 Yesus tahu bahawa murid-muridnya perlu mencabut sikap suka bersaing yang sudah berurat berakar dalam budaya orang Yahudi. Dia memberitahu mereka, “Orang yang terbesar dalam kalangan kamu harus menjadi seperti orang yang paling muda, dan orang yang mengambil pimpinan harus menjadi seperti orang yang melayani.” (Luk. 22:26) Kita menjadi seperti “orang yang paling muda” apabila kita ‘menganggap orang lain lebih baik’ daripada kita. (Flp. 2:3) Apabila kita terus berusaha untuk memupuk pandangan sebegini, kita dapat mengelak daripada menyinggung perasaan orang lain.

10. Apakah nasihat Paulus yang harus kita terapkan?

10 Semua saudara saudari lebih baik daripada kita dalam hal yang tertentu. Kita dapat melihat kelebihan mereka dengan mudah jika kita berfokus kepada sifat-sifat baik mereka. Kita juga patut menerapkan nasihat Paulus kepada sidang di Korintus: “Apakah yang menjadikan diri kamu lebih baik daripada orang lain? Bukankah segala sesuatu yang kamu miliki dikurniakan oleh Tuhan? Memandangkan kamu menerima semua itu daripada Tuhan, mengapakah kamu membanggakan diri seolah-olah semua itu hasil usaha kamu sendiri?” (1 Kor. 4:7) Kita harus berhati-hati agar tidak menarik perhatian kepada diri sendiri atau menganggap diri kita lebih baik daripada orang lain. Contohnya, jika seorang saudara merupakan penceramah yang berbakat, atau jika seorang saudari sangat mahir memulakan pembelajaran Bible, mereka harus memuji Yehuwa atas bakat dan kebolehan mereka.

MENGAMPUNI “DENGAN IKHLAS”

11. Apakah yang hendak diajarkan oleh Yesus menerusi perumpamaan tentang seorang raja dan hambanya?

11 Selepas mengingatkan para pengikutnya agar tidak membuat orang lain tersandung, Yesus menceritakan sebuah perumpamaan tentang seorang raja dan hambanya. Hamba itu telah meminjam sejumlah wang yang sangat besar dan tidak mampu melangsaikan hutangnya. Namun, raja itu membatalkan hutangnya. Meskipun begitu, hamba itu enggan membatalkan hutang seorang hamba yang lain padahal jumlah wang yang dipinjamnya sedikit sahaja. Akhirnya, raja tersebut mengarahkan agar hamba yang tidak berhati perut itu dipenjarakan. Apakah pengajarannya? Yesus berkata, “Demikianlah Bapaku yang di syurga akan memperlakukan kamu jika kamu masing-masing tidak mengampuni saudaramu dengan ikhlas.”—Mat. 18:21-35.

12. Apakah kesannya jika kita enggan memaafkan orang lain?

12 Tindakan hamba yang tidak berhati perut itu bukan sahaja menyakiti dirinya tetapi juga orang lain. Bagaimana? Pertama, dia menyakiti hamba yang berhutang itu dengan mengarahkan agar hamba itu “dipenjarakan sehingga hutangnya dilangsaikan.” Kedua, dia menyakiti hamba-hamba yang lain. Bible menyatakan, “Semasa hamba-hamba lain nampak apa yang terjadi, mereka sangat susah hati.” Begitu juga, tindakan kita akan mempengaruhi orang lain. Jika seseorang melayan kita dengan buruk dan kita enggan mengampuninya, apakah yang akan berlaku? Pertama, kita akan menyakiti orang itu kerana kita enggan mengampuninya, mempedulikannya, dan mengasihinya. Kedua, kita akan membuat orang lain dalam sidang berasa tidak selesa apabila mereka melihat bahawa hubungan kita dengan orang itu sudah menjadi renggang.

Adakah anda akan berdendam atau mengampuni dengan ikhlas? (Lihat perenggan 13-14) *

13. Apakah yang telah anda pelajari daripada pengalaman seorang perintis?

13 Jika kita memaafkan saudara saudari kita, hal itu bermanfaat untuk diri kita dan orang lain. Perhatikan pengalaman Crystal, * seorang perintis yang disakiti oleh seorang saudari di sidangnya. Crystal berkata, “Kata-katanya yang tajam ada kalanya membuat saya berasa seperti ditikam pisau. Semasa menginjil, saya bahkan tidak mahu ikut dalam kereta yang sama dengannya. Saya mula kehilangan semangat dan sukacita saya.” Crystal berasa bahawa dia ada sebab yang baik untuk berasa marah. Namun, dia tidak terlalu bertumpu kepada perasaannya atau berdendam terhadap saudari itu. Sebaliknya, dia membaca sebuah rencana dalam Menara Pengawal tentang cara untuk mengampuni orang lain. * Setelah menerapkan nasihat Bible dan memaafkan saudari tersebut, Crystal berkata, “Saya sedar bahawa kita semua sedang berusaha untuk mengenakan keperibadian baharu. Saya juga sedar bahawa Yehuwa mengampuni kita dengan rela hati setiap hari. Kini, saya berasa seolah-olah beban yang berat sudah diangkat dari bahu saya, dan saya telah mendapat semula sukacita saya.”

14. (a) Menurut Matius 18:21, 22, apakah cabaran yang mungkin dihadapi oleh Rasul Petrus? (b) Apakah yang dapat kita lakukan jika kita menghadapi cabaran yang sama?

14 Kita tahu bahawa kita patut mengampuni orang lain dan bahawa itulah tindakan yang betul. Namun, kita mungkin masih berasa susah untuk berbuat demikian. Rasul Petrus mungkin telah menghadapi cabaran yang sama. (Baca Matius 18:21, 22.) Jadi apakah yang dapat kita lakukan? Pertama, kita perlu merenungkan berapa banyak kali Yehuwa sudah mengampuni kita. (Mat. 18:32, 33) Kita memang tidak layak diampuni, tetapi Yehuwa mengampuni kita dengan rela hati. (Mzm. 103:8-10) Pada masa yang sama, ‘kita mesti mengasihi satu sama lain.’ Dalam kata lain, mengampuni saudara saudari kita bukanlah pilihan tetapi kewajipan. (1 Yoh. 4:11) Kedua, kita perlu merenungkan apa yang akan berlaku jika kita mengampuni orang lain. Kita mungkin dapat membantu orang yang bersalah terhadap kita, memelihara perpaduan sidang, menjaga persahabatan kita dengan Yehuwa, dan kita juga akan berasa lega dan tenang semula. (2 Kor. 2:7; Kol. 3:14) Ketiga, kita perlu berdoa kepada Tuhan yang menyuruh kita untuk mengampuni orang lain. Ingatlah bahawa Syaitan sentiasa mencari peluang untuk merosakkan kedamaian antara kita dengan rakan seiman kita. (Ef. 4:26, 27) Jadi, kita memerlukan bantuan Yehuwa supaya tidak dijerat oleh Syaitan.

JANGAN MEMBIARKAN DIRI ANDA TERSANDUNG

15. Menurut Kolose 3:13, apakah yang dapat kita lakukan jika kita berasa terganggu kerana perbuatan rakan seiman kita?

15 Bagaimana pula jika anda berasa terganggu kerana perbuatan seorang rakan seiman? Berusahalah sedaya upaya untuk memelihara hubungan yang damai dengannya. Berdoalah dengan bersungguh-sungguh untuk meminta Yehuwa memberkati orang itu dan membantu anda berfokus kepada sifat-sifat baik orang itu, iaitu sifat yang membuatnya dikasihi oleh Yehuwa. (Luk. 6:28) Namun, jika anda tidak dapat melupakan perbuatan rakan seiman itu, fikirkan bagaimana anda akan membincangkan hal itu bersamanya, dan janganlah menyimpulkan bahawa dia sengaja menyakiti hati anda. (Mat. 5:23, 24; 1 Kor. 13:7) Selain itu, cubalah bersangka baik semasa bercakap kepadanya. Namun, bagaimana pula jika dia enggan berdamai dengan anda? “Teruslah bersabar” dengannya dan janganlah berputus asa terhadapnya. (Baca Kolose 3:13.) Yang terpenting, janganlah sekali-kali berdendam terhadapnya kerana hal itu akan merosakkan persahabatan anda dengan Yehuwa. Jika anda tidak membiarkan apa-apa pun untuk membuat anda tersandung, anda membuktikan bahawa anda mengasihi Yehuwa lebih daripada segala-galanya.​—Mzm. 119:165.

16. Apakah tanggungjawab kita masing-masing?

16 Kita amat bersyukur kerana dapat menyembah Yehuwa bersama saudara saudari kita sebagai “satu kawanan” di bawah “satu gembala”! (Yoh. 10:16) Buku Diorganisasikan untuk Melakukan Kehendak Yehuwa, muka surat 165-166, menyatakan, “Anda sudah pun merasakan perpaduan itu dan mendapat manfaat daripadanya. Maka anda juga bertanggungjawab memelihara perpaduan itu.” Untuk berbuat demikian, kita perlu “melatih diri untuk memandang saudara saudari sebagaimana Yehuwa memandang mereka.” Dalam pandangan Yehuwa, kita semua “bagaikan anak kecil” yang dikasihi-Nya. Adakah anda memiliki pandangan yang sama terhadap saudara saudari anda? Ingatlah, Yehuwa memperhatikan dan menghargai segala yang anda lakukan untuk membantu dan menjaga mereka.​—Mat. 10:42, nota kaki.

17. Apakah tekad kita?

17 Kita mengasihi rakan seiman kita, jadi kita ‘bertekad untuk tidak meletakkan batu sandungan atau batu penghalang di hadapan mereka.’ (Rm. 14:13) Kita juga mahu menganggap saudara saudari kita lebih baik daripada kita, dan kita ingin mengampuni mereka dengan ikhlas. Selain itu, janganlah kita membiarkan orang lain membuat kita tersandung. Sebaliknya, marilah kita “berusaha untuk menguatkan satu sama lain dan melakukan perkara yang membawa perdamaian.”​—Rm. 14:19.

LAGU 130 Bermaaf-maafan

^ per. 5 Kita semua tidak sempurna. Jadi, kata-kata atau perbuatan kita mungkin membuat rakan seiman kita tersinggung. Apabila hal itu berlaku, apakah reaksi kita? Adakah kita akan berusaha untuk berdamai dengan mereka? Adakah kita akan segera meminta maaf? Atau, adakah kita berfikir bahawa jika mereka tersinggung, itu ialah masalah mereka dan bukannya masalah kita? Bagaimana pula jika kita sering tersinggung kerana perbuatan atau kata-kata orang lain? Adakah kita akan berfikir bahawa itulah perangai kita dan kita tidak perlu berubah? Atau, adakah kita akan memandang sikap itu sebagai kelemahan yang perlu dibaiki?

^ per. 13 Nama telah diubah.

^ per. 13 Anda dapat membaca rencana ini dalam Menara Pengawal bahasa Indonesia, terbitan 15 Oktober 1999, yang bertajuk Ampunilah dengan Segenap Hati Saudara.

^ per. 55 KETERANGAN GAMBAR: Seorang saudari berasa tidak senang hati dengan seorang saudari yang lain. Setelah menyelesaikan perkara itu antara mereka berdua sahaja, mereka melupakan hal itu dan bersama-sama berkhidmat kepada Yehuwa dengan gembira.