Pertanyaan Pembaca
Apakah yang dimaksudkan oleh Rasul Paulus semasa dia berkata, “Aku sudah dibebaskan daripada [atau “mati terhadap,” nota kaki] hukum kerana aku mematuhi hukum itu”?—Gal. 2:19.
Paulus menulis, “Aku sudah dibebaskan daripada [atau “mati terhadap,” nota kaki] hukum kerana aku mematuhi hukum itu, agar aku dapat hidup untuk Tuhan.”—Gal. 2:19.
Paulus menulis kata-kata itu untuk menyampaikan satu ajaran penting kepada sidang-sidang di Galatia. Pada masa itu, sesetengah orang Kristian di situ dipengaruhi oleh guru-guru palsu yang mengajarkan bahawa orang yang ingin diselamatkan mesti mematuhi Hukum Musa, khususnya hukum tentang sunat. Namun, Paulus tahu bahawa Tuhan tidak lagi menghendaki para penyembah-Nya untuk disunat. Maka, dia mengemukakan hujah-hujah yang kukuh untuk menunjukkan bahawa ajaran itu salah, dan meneguhkan iman orang Kristian terhadap korban tebusan Yesus Kristus.—Gal. 2:4; 5:2.
Bible jelas menyatakan bahawa apabila seseorang mati, dia tidak lagi sedar akan apa-apa atau dipengaruhi oleh apa-apa yang berlaku di sekelilingnya. (Pkh. 9:5) Jadi semasa Paulus berkata, “Aku sudah mati terhadap hukum,” dia bermaksud bahawa kehidupannya tidak lagi dipengaruhi oleh Hukum Musa. Sebaliknya, Paulus yakin bahawa imannya terhadap korban tebusan membolehkannya “hidup untuk Tuhan.”
Paulus menjelaskan bahawa dia sudah “mati terhadap hukum” kerana dia “mematuhi hukum itu.” Namun, adakah kata-katanya bercanggah dengan apa yang dikatakannya sebelum ini, iaitu, “Seseorang hanya akan memperoleh perkenan Tuhan dengan beriman kepada Yesus Kristus, dan bukannya dengan mematuhi hukum”? (Gal. 2:16) Tidak. Mengapa? Paulus menjelaskan kepada orang Galatia bahawa Hukum Musa telah diberikan untuk satu tujuan yang penting, iaitu “untuk mendedahkan perbuatan yang salah, sehingga ketibaan keturunan yang menerima janji Tuhan.” (Gal. 3:19) Ya, Hukum Musa membantu manusia yang tidak sempurna untuk sedar bahawa mereka tidak dapat mematuhi semua peraturan dalam hukum itu dan memerlukan korban yang sempurna untuk menutupi dosa mereka. Dengan demikian, Hukum Musa seolah-olah memimpin orang kepada “keturunan” itu, iaitu Kristus, supaya mereka beriman kepadanya dan diperkenankan oleh Tuhan. (Gal. 3:24) Oleh sebab Paulus mematuhi Hukum Musa, dia telah dibantu untuk menerima Yesus, beriman kepadanya, lalu mendapat perkenan Tuhan. Selepas mengambil tindakan itu, Paulus “mati terhadap hukum itu” dan tidak perlu mematuhi Hukum Musa lagi. Sebaliknya, dia “hidup untuk Tuhan” dan sentiasa melakukan kehendak-Nya.
Jadi, kata-kata Paulus di Galatia 2:19 tidak bermaksud bahawa dia akan dihukum mati kerana melanggar Hukum Musa. Sebaliknya, dia bermaksud bahawa dia tidak lagi terikat kepada hukum itu. Hal yang sama juga dijelaskannya kepada orang Kristian di Roma semasa dia menulis, “Saudara-saudaraku, melalui korban Kristus, kamu dijadikan mati kepada Hukum. . . . Kita tidak lagi terikat kepada Hukum.” (Rm. 7:4, 6, nota kaki) Ya, dengan beriman kepada korban Yesus, Paulus dan orang Kristian lain sudah “mati terhadap hukum.” Maksudnya, mereka sudah dibebaskan daripada Hukum Musa dan tidak perlu mematuhinya lagi.