Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Tahukah Anda?

Tahukah Anda?

Apakah jenis-jenis cukai yang dikenakan pada zaman Yesus?

SEJAK dulu lagi, orang Israel sudah biasa membayar wang untuk menyokong ibadat sejati. Namun pada zaman Yesus, orang Yahudi dikenakan bermacam-macam cukai yang membebankan.

Untuk menyokong ibadat sejati yang dijalankan di khemah suci dan kemudiannya di Rumah Tuhan, semua lelaki Yahudi dewasa dikehendaki untuk membayar setengah syekel (dua drakma) setiap tahun. Pada abad pertama, cukai ini digunakan untuk menyediakan korban-korban dan menutupi perbelanjaan di Rumah Tuhan yang dibina oleh Herodes. Sesetengah orang Yahudi menanya Petrus jika Yesus membayar cukai Rumah Tuhan, dan Yesus berkata bahawa adalah tidak salah untuk membayar cukai itu. Sebenarnya, dia telah memberitahu Petrus cara mendapatkan wang untuk membayar cukai itu.​—Mat. 17:24-27.

Umat Tuhan pada zaman kuno juga perlu membayar satu lagi cukai, iaitu persepuluhan, atau 10 peratus daripada hasil tanaman atau pendapatan mereka. (Im. 27:30-32; Bil. 18:26-28) Namun pada zaman Yesus, para pemimpin agama mengajar orang bahawa cukai ini harus dikenakan pada setiap jenis tanaman, termasuk “pudina, adas manis, dan jintan.” Yesus tidak mengajarkan bahawa memberikan persepuluhan itu salah, tetapi dia mengutuk para jurutulis hukum dan orang Farisi, kerana walaupun mereka kononnya sangat teliti dalam hal memberikan persepuluhan, mereka mengabaikan hal-hal yang lebih penting dalam Hukum Tuhan.​—Mat. 23:23.

Namun pada zaman Yesus, orang Yahudi dijajah oleh kuasa Roma, dan kerajaan Roma mengenakan pelbagai jenis cukai atas mereka. Sebagai contoh, para pemilik tanah dikenakan cukai. Menurut anggaran, kadar cukai itu adalah antara 20 hingga 25 peratus hasil tanah mereka, dan cukai itu boleh dibayar dalam bentuk wang atau barangan. Selain itu, setiap orang Yahudi perlu membayar cukai kepala. Cukai inilah yang dimaksudkan oleh orang Farisi semasa mereka menanya soalan untuk memerangkap Yesus. Namun, Yesus telah mengajarkan pandangan yang sewajarnya terhadap cukai semasa dia menjawab, “Berikanlah milik Kaisar kepada Kaisar, tetapi berikanlah milik Tuhan kepada Tuhan.”​—Mat. 22:15-22.

Barang perdagangan yang dibawa masuk atau dibawa keluar dari kawasan tertentu juga dikenakan cukai. Cukai ini dipungut di pelabuhan, jambatan, simpang jalan, atau pintu masuk ke pekan atau pasar.

Secara keseluruhan, cukai yang dikenakan oleh kerajaan Roma ke atas rakyat sangat berat. Menurut Tacitus, seorang sejarawan Roma, pada zaman pemerintahan Maharaja Tiberius, iaitu semasa Yesus hidup di bumi, “penduduk Siria dan Yudea tidak tahan lagi dengan cukai yang membebankan dan merayu agar kadar cukai dikurangkan.”

Masalah cukai yang membebankan bertambah parah lagi disebabkan para pemungut cukai. Jawatan sebagai pemungut cukai akan dilelongkan dan orang yang membayar harga yang tertinggi akan mendapat jawatan itu. Orang yang mendapat jawatan itu akan mengenakan bayaran yang lebih tinggi daripada kadar cukai yang sepatutnya demi mendapat keuntungan. Pada masa yang sama, orang yang diupah oleh mereka untuk memungut cukai akan mengenakan bayaran tambahan, kerana mereka juga ingin mengaut keuntungan. Nampaknya, Zakheus ialah seorang pemungut cukai yang mengupah orang lain untuk memungut cukai bagi pihaknya. (Luk. 19:1, 2) Maka tidak hairanlah rakyat sangat membenci sistem cukai dan orang yang memungut cukai daripada mereka.