Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 28

Biarlah Rasa Takut akan Tuhan Terus Melindungi Anda

Biarlah Rasa Takut akan Tuhan Terus Melindungi Anda

“Orang yang mengikut haluan yang benar takut akan Yehuwa.”​—AMS. 14:2.

LAGU 122 Berteguhlah, Jangan Goyah!

PENGENALAN a

1-2. Seperti Lot, apakah cabaran yang dihadapi orang Kristian zaman sekarang?

 SEMASA melihat standard moral dunia ini, kita mempunyai perasaan yang sama seperti Lot. Dia “sangat susah hati” semasa melihat orang jahat berkelakuan buruk tanpa rasa malu, kerana dia tahu perbuatan mereka sangat menjijikkan di mata Yehuwa. (2 Ptr. 2:7, 8) Oleh sebab Lot mengasihi Tuhan dan takut kepada-Nya, dia enggan terikut-ikut dengan orang yang tidak bermoral di sekelilingnya. Seperti Lot, kita dikelilingi orang yang tidak menghormati standard moral Yehuwa. Walaupun begitu, jika kita sentiasa mengasihi Yehuwa dan takut kepada-Nya, kita dapat tetap bersih secara moral.​—Ams. 14:2.

2 Untuk membantu kita berbuat demikian, Yehuwa telah menyediakan galakan menerusi buku Amsal. Semua orang Kristian, tidak kira usia atau jantina, dapat meraih manfaat daripada nasihat yang bijak dalam buku itu.

TAKUT AKAN TUHAN MELINDUNGI KITA

Kita mesti berhati-hati terhadap pergaulan buruk di tempat kerja dan menolak jemputan untuk menyertai kegiatan yang salah (Lihat perenggan 3)

3. Menurut Amsal 17:3, apakah sebab utama kita perlu melindungi hati kita? (Lihat juga gambar.)

3 Sebab utama kita melindungi hati kita adalah kerana Yehuwa memeriksa hati kita. Maksudnya, Yehuwa bukan sahaja melihat kita secara luaran, tetapi juga melihat diri kita yang sebenar. (Baca Amsal 17:3.) Dia akan mengasihi kita jika kita mengisi minda kita dengan kebijaksanaan-Nya. (Yoh. 4:14) Hasilnya, Syaitan dan dunianya tidak dapat mencemari kita dari segi moral dan rohani. (1 Yoh. 5:18, 19) Apabila kita semakin menghampiri Yehuwa, kita akan semakin mengasihi dan menghormati-Nya. Kita sama sekali tidak mahu menyakiti hati Yehuwa. Oleh itu, sekadar terfikir untuk melakukan hal-hal yang Yehuwa benci pun sudah membuat kita berasa jijik. Apabila kita digoda untuk melakukan apa yang salah, kita akan menanya diri, “Bagaimana mungkin saya sengaja menyakiti hati seseorang yang begitu mengasihi saya?”​—1 Yoh. 4:9, 10.

4. Bagaimanakah rasa takut akan Yehuwa membantu seorang saudari agar tidak menyerah kepada godaan?

4 Marta, seorang saudari di Croatia pernah digoda untuk mengadakan hubungan seks yang tidak bermoral. Dia menulis, “Masa itu, fikiran saya bercelaru, dan saya bergelut dengan keinginan untuk memuaskan nafsu yang berdosa. Tetapi rasa takut akan Yehuwa telah melindungi saya.” b Bagaimana? Marta berkata bahawa dia berjaya menolak godaan setelah merenungkan akibat buruk dosa. Kita juga dapat merenungkan hal yang sama. Jika kita tunduk kepada dosa, kita akan menyedihkan hati Yehuwa dan mungkin tidak berpeluang untuk menyembah-Nya buat selama-lamanya.​—Kej. 6:5, 6.

5. Apakah yang anda pelajari daripada pengalaman Leo?

5 Rasa takut akan Yehuwa juga dapat membantu kita menjauhi pergaulan buruk. Perhatikan pengalaman Leo, yang tinggal di Congo. Selepas dibaptis empat tahun, dia terlibat dalam pergaulan yang buruk. Dia berfikir bahawa selagi dia tidak melakukan hal-hal yang Yehuwa benci, dia tidak berdosa terhadap Yehuwa. Tetapi tidak lama kemudian, dia mula terjebak dalam perbuatan yang tidak bermoral dan minum alkohol secara berlebihan. Namun, dia mula memikirkan apa yang telah ibu bapanya ajarkan kepadanya dan kegembiraan yang dirasainya dahulu semasa menyembah Yehuwa. Apakah hasilnya? Dia insaf, meminta bantuan para penatua, dan kembali kepada Yehuwa. Kini, Leo berkhidmat sebagai seorang penatua dan perintis khas.

6. Siapakah dua orang wanita yang akan kita bincangkan?

6 Sekarang, mari kita membincangkan Amsal bab 9, yang menyebut tentang dua orang wanita kiasan. c Seorang melambangkan kebijaksanaan sejati, dan seorang lagi melambangkan kebodohan. Semasa mengkaji bab itu, ingatlah bahawa dunia Syaitan sekarang sangat menggemari perbuatan seks yang tidak bermoral dan bahan lucah. (Ef. 4:19) Maka, kita mesti terus memupuk rasa takut akan Tuhan dan berpaling daripada apa yang jahat. (Ams. 16:6) Tidak kira kita ialah lelaki atau wanita, kita dapat meraih manfaat daripada Amsal bab 9. Kedua-dua wanita dalam bab itu dikatakan sedang memberikan jemputan kepada orang yang “kurang pengertian,” atau orang yang “kurang pengalaman.” Mereka seolah-olah berkata, “Marilah makan di rumah saya.” (Ams. 9:1, 5, 6, 13, 16, 17) Namun, kedua-dua jemputan ini membawa kesudahan yang sangat berbeza.

TOLAKLAH JEMPUTAN “WANITA YANG BODOH”

Jemputan daripada “wanita yang bodoh” membawa kecelakaan (Lihat perenggan 7)

7. Menurut Amsal 9:13-18, apakah yang berlaku jika seseorang menerima jemputan daripada “wanita yang bodoh”? (Lihat juga gambar.)

7 Tanpa rasa malu, “wanita yang bodoh” memanggil orang yang kurang pengertian dengan suara yang lantang untuk masuk ke dalam rumahnya. (Baca Amsal 9:13-18.) Dia berkata, “Masuklah ke sini” dan makanlah. Apakah akibatnya jika seseorang menerima jemputan itu? “Orang yang masuk ke dalam rumahnya akan mati.” Bab-bab sebelumnya dalam buku Amsal juga ada menyebut tentang “perempuan jalang” dan “perempuan yang tidak bermoral.” Bible memberitahu kita, “Jika kamu pergi ke rumahnya, kamu menuju ke arah maut.” (Ams. 2:11-19) Amsal 5:3-10 juga mengandungi amaran tentang “perempuan jalang” yang “berjalan ke arah lembah maut.”

8. Apakah keputusan yang mesti kita buat?

8 Orang yang mendengar jemputan “wanita yang bodoh” itu harus memilih sama ada mereka akan menerima atau menolak jemputannya. Kita juga mungkin perlu membuat keputusan ini semasa digoda untuk melakukan sesuatu yang tidak bermoral atau semasa gambar yang lucah tiba-tiba muncul di depan kita. Ketika itu, adakah kita akan menerima atau menolaknya?

9-10. Apakah beberapa sebab kita harus menjauhi perbuatan seks yang tidak bermoral?

9 Terdapat beberapa sebab kita harus menjauhi perbuatan seks yang tidak bermoral. “Wanita yang bodoh” itu berkata, “Minuman yang dicuri manis rasanya.” Apakah “minuman yang dicuri” itu? Bible menggambarkan hubungan seks seperti air yang menyegarkan, yang boleh dinikmati antara suami isteri yang sudah berkahwin secara sah. (Ams. 5:15-18) Namun, bagaimana pula dengan “minuman yang dicuri”? Ini mungkin melambangkan hubungan seks yang haram, atau tidak bermoral. Perbuatan ini sering dilakukan secara rahsia, seperti pencuri yang mencuri secara sembunyi. “Minuman yang dicuri” itu mungkin terasa manis terutamanya jika seseorang berasa bahawa perbuatannya tidak akan diketahui. Tetapi dia hanya menipu diri, kerana Yehuwa melihat segala-galanya! “Minuman” itu bukan sahaja tidak “manis,” malah pahit kerana akan menyebabkannya kehilangan perkenan Yehuwa. (1 Kor. 6:9, 10) Perhatikan beberapa lagi kesan buruk.

10 Perbuatan seks yang tidak bermoral juga dapat membuat seseorang berasa malu dan berasa dirinya tidak berharga. Selain itu, perbuatan ini dapat menyebabkan kehamilan yang tidak diingini dan menghancurkan keluarga. Amsal bab 9 ayat 18 juga berkata bahawa “para tetamu yang telah diundangnya [wanita bodoh itu] berada di dasar Kuburan.” (Ams. 9:13-18) Maksudnya, orang yang melakukan perbuatan seks yang tidak bermoral bukan sahaja mati secara rohani kerana kehilangan perkenan Tuhan, tetapi juga mungkin mendapat penyakit yang akan membawa maut. (Ams. 7:23, 26) Jelaslah, kita ada banyak sebab yang baik untuk menjauhi ‘rumah’ wanita bodoh itu dan apa-apa yang dihidangkannya. Namun, mengapakah ramai orang masih menerima jemputannya?

11. Mengapakah bahan lucah sangat berbahaya?

11 Ramai orang masih menerima jemputan daripada “wanita yang bodoh” kerana mereka terjerat oleh bahan lucah. Sesetengah orang mungkin berfikir bahawa melihat bahan lucah tidak berbahaya. Namun sebenarnya, bahan lucah sangat berbahaya. Orang yang melihatnya akan hilang harga diri, tidak menghormati orang lain, dan menjadi ketagih. Gambar-gambar yang lucah juga akan melekat dalam minda seseorang untuk masa yang sangat lama. Lebih teruk lagi, bahan lucah tidak mematikan, malah memarakkan nafsu yang berdosa. (Kol. 3:5; Yak. 1:14, 15) Itulah sebabnya ramai orang yang melihat bahan lucah akhirnya melakukan perbuatan seks yang tidak bermoral.

12. Bagaimanakah kita menunjukkan bahawa kita menolak semua gambar yang dapat merangsang nafsu seks?

12 Apakah yang harus kita lakukan jika gambar lucah tiba-tiba muncul pada skrin alat elektronik kita? Kita harus segera menutupnya. Untuk membantu kita berbuat demikian, kita harus ingat bahawa tiada apa-apa yang lebih berharga daripada hubungan kita dengan Yehuwa. Bagaimana pula dengan gambar-gambar yang tidak dianggap lucah, tetapi masih dapat merangsang nafsu seks? Kita juga harus menjauhinya kerana kita tidak mahu melakukan apa-apa yang mungkin menyebabkan kita berzina, bahkan dalam hati. (Mat. 5:28, 29) David, seorang penatua di Thailand, berkata, “Saya menanya diri, ‘Walaupun gambar itu bukanlah gambar lucah, adakah Yehuwa senang hati jika saya terus melihatnya?’ Dengan memikirkan hal itu, saya dapat membuat keputusan yang bijak.”

13. Apakah yang dapat membantu kita bertindak dengan bijak?

13 Jika kita mahu bertindak dengan bijak, “pertama-tama” kita mesti memupuk rasa takut kepada Yehuwa. (Ams. 9:10) Maksudnya, kita akan takut melakukan hal-hal yang akan menyakiti hati-Nya. Hal ini dijelaskan pada bahagian awal Amsal bab 9. Dalam bahasa asal Bible, Amsal bab 9 menggambarkan “kebijaksanaan sejati” sebagai seorang wanita.

TERIMALAH JEMPUTAN “KEBIJAKSANAAN SEJATI”

14. Apakah jemputan yang terdapat di Amsal 9:1-6?

14 Baca Amsal 9:1-6. Ayat-ayat ini mengandungi jemputan daripada Pencipta kita dan Sumber kebijaksanaan sejati. (Ams. 2:6; Rm. 16:27) Kebijaksanaan sejati dikatakan telah membina sebuah rumah besar yang mempunyai tujuh batang tiang. Gambaran ini menunjukkan bahawa Yehuwa murah hati dan mengalu-alukan sesiapa sahaja yang ingin menerima kebijaksanaan daripada-Nya.

15. Tuhan menjemput kita untuk melakukan apa?

15 Yehuwa ialah Tuhan yang sangat murah hati. Dalam Amsal bab 9, sifat-Nya ini ditonjolkan menerusi wanita kiasan yang digelar “kebijaksanaan sejati.” Wanita ini menyembelih ternakannya, mencampurkan wainnya, dan menyajikan hidangan di atas mejanya. (Ams. 9:2) Kemudian, dia berkata kepada mereka yang kurang pengertian, “Marilah dan makanlah rotiku.” (Ams. 9:4, 5) Mengapakah kita patut pergi ke rumah “kebijaksanaan sejati” dan makan apa yang dihidangkannya? Yehuwa mahu anak-anak-Nya menjadi bijak dan menjauhi masalah. Dia tidak mahu kita belajar daripada pengalaman pahit, seperti yang dikatakan orang, “Sudah terhantuk, baru tengadah.” Itulah sebabnya “Dia memberikan kebijaksanaan kepada orang yang baik.” (Ams. 2:7) Jika kita mempunyai rasa takut yang betul kepada Yehuwa, kita akan berusaha menyenangkan hati-Nya. Kita akan mendengar dan mengikut nasihat-Nya yang bijak.​—Yak. 1:25.

16. Bagaimanakah rasa takut akan Tuhan membantu Alain membuat keputusan yang bijak, dan apakah hasilnya?

16 Perhatikan bagaimana rasa takut akan Tuhan telah membantu Alain, seorang penatua dan juga guru di sekolah, untuk membuat keputusan yang bijak. Dia berkata, “Banyak rakan sekerja saya menganggap filem lucah sebagai pendidikan seks.” Namun Alain tidak dipengaruhi. Dia berkata, “Saya takut kepada Tuhan, jadi saya langsung tidak mahu menonton filem lucah. Saya juga jelaskan sebabnya kepada rakan sekerja saya.” Ya, Alain telah mengikut nasihat yang diberikan oleh “kebijaksanaan sejati” untuk menjadi “orang yang mempunyai pemahaman.” (Ams. 9:6) Pendirian Alain yang teguh telah mendorong sesetengah rakan sekerjanya untuk mempelajari Bible dan menghadiri perjumpaan.

Jemputan daripada “kebijaksanaan sejati” membawa kehidupan (Lihat perenggan 17-18)

17-18. Jika orang menyahut jemputan “kebijaksanaan sejati,” apakah berkat yang akan mereka nikmati sekarang dan pada masa depan? (Lihat juga gambar.)

17 Dengan menggunakan contoh dua wanita kiasan itu, Yehuwa mengajar kita cara untuk meraih berkat pada masa depan. Orang yang menyahut jemputan daripada “wanita yang bodoh” dan bising itu suka memuaskan nafsu dosa mereka secara tersembunyi. Biarpun perbuatan sebegini terasa “manis,” nikmatnya hanyalah sementara. Akhirnya, mereka akan berada “di dasar Kuburan.”​—Ams. 9:13, 17, 18.

18 Namun, orang yang menyahut jemputan daripada “kebijaksanaan sejati” menikmati kehidupan yang sangat berbeza! Mereka menikmati jamuan rohani yang berlimpah-limpah, berkualiti, dan berkhasiat. (Yes. 65:13) Menerusi Nabi Yesaya, Yehuwa berkata, “Dengarlah firman-Ku dengan teliti, maka kamu akan makan hidangan yang baik dan menikmati makanan yang paling bermutu.” (Yes. 55:1, 2) Kini, kita belajar untuk mencintai apa yang dicintai Yehuwa, dan membenci apa yang dibenci-Nya. (Mzm. 97:10) Kita juga berasa puas kerana dapat menjemput orang lain untuk belajar daripada “kebijaksanaan sejati.” Kita seolah-olah “berseru di tempat-tempat yang tinggi di kota, ‘Hai orang yang kurang pengalaman, datanglah ke mari!’” Pada masa depan, kita dan orang yang menyahut jemputan daripada “kebijaksanaan sejati” akan meraih manfaat yang berkekalan. Jika kita terus mengikut “haluan orang yang mempunyai pemahaman,” kita akan “hidup” selama-selamanya.​—Ams. 9:3, 4, 6.

19. Menurut Pengkhutbah 12:13, 14, apakah sepatutnya tekad kita? (Lihat juga kotak “ Sebabnya Takut akan Tuhan Bermanfaat untuk Kita.”)

19 Baca Pengkhutbah 12:13, 14. Semoga rasa takut akan Tuhan terus melindungi hati kita, dan membantu kita tetap bersih secara moral dan terus menghampiri Yehuwa sepanjang hari-hari terakhir. Rasa takut yang betul terhadap Tuhan akan mendorong kita untuk terus menjemput seramai orang yang mungkin untuk menerima “kebijaksanaan sejati” dan meraih manfaat daripadanya.

 

LAGU 127 Bagaimana Seharusnya Hidupku

a Sebagai orang Kristian, kita ingin memupuk rasa takut yang betul terhadap Tuhan. Rasa takut sebegini akan melindungi hati kita dan membantu kita menghindari perbuatan seks yang tidak bermoral dan pornografi. Dalam rencana ini, kita akan membincangkan Amsal bab 9, yang menyebut tentang dua orang wanita kiasan. Seorang melambangkan kebijaksanaan sejati, dan seorang lagi melambangkan kebodohan. Dengan mengkaji Amsal bab 9, kita dapat meraih manfaat yang berkekalan.

b Sesetengah nama telah diubah.

c Untuk contoh lain tentang bagaimana Bible menggambarkan sesuatu sebagai manusia, lihat Roma 5:14 dan Galatia 4:24.