Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

KISAH HIDUP

Khidmat kepada Yehuwa Membawa Banyak Pengajaran dan Kejutan Istimewa

Khidmat kepada Yehuwa Membawa Banyak Pengajaran dan Kejutan Istimewa

SEMASA kecil, apabila saya nampak kapal terbang, saya ingin sekali menaikinya untuk pergi ke negara lain. Namun saya rasa hal itu hanyalah mimpi.

Ibu bapa saya meninggalkan Estonia semasa Perang Dunia Kedua dan berpindah ke Jerman. Di situlah saya dilahirkan. Selepas itu, mereka bersiap sedia untuk berpindah ke Kanada. Rumah kami yang pertama di Kanada terletak berdekatan Ottawa, dalam sebuah bangunan kecil yang digunakan untuk membela ayam. Kami sangat miskin, tetapi setiap pagi kami dapat makan telur.

Pada suatu hari, Saksi-Saksi Yehuwa membacakan Wahyu 21:3, 4 kepada ibu saya. Dia sangat tersentuh sehingga menitiskan air mata. Ibu bapa saya mula belajar Bible, dan tidak lama kemudian mereka telah dibaptis.

Ibu bapa saya tidak berapa fasih berbahasa Inggeris, tetapi mereka sangat menghargai kebenaran. Hampir setiap hari Sabtu, Ayah akan membawa saya dan adik perempuan saya Sylvia keluar menginjil, biarpun pada hari sebelumnya, dia harus bekerja sepanjang malam di kilang peleburan nikel di Sudbury, Ontario. Setiap minggu, kami sekeluarga juga membincangkan Menara Pengawal. Mak dan Ayah menanamkan kasih kepada Tuhan dalam hati saya. Oleh itu, saya membaktikan diri kepada Yehuwa pada tahun 1956 semasa berumur 10 tahun. Kasih mereka yang mendalam kepada Yehuwa telah mendorong saya untuk terus berkhidmat kepada-Nya seumur hidup saya.

Selepas habis sekolah menengah, saya tidak lagi bertumpu kepada hal rohani. Saya berfikir bahawa jika saya merintis, saya tidak akan mendapat cukup duit untuk menaiki kapal terbang dan pergi ke negara-negara lain. Jadi, saya bekerja di stesen radio sebagai DJ, dan saya sangat suka kerja ini. Oleh sebab saya bekerja pada waktu petang, saya selalu tidak dapat menghadiri perjumpaan, dan saya juga terlibat dalam pergaulan yang buruk. Akhirnya, hati nurani saya terganggu dan hal itu mendorong saya untuk membuat perubahan.

Saya berpindah ke Oshawa, Ontario. Di sana saya mengenali Ray Norman, adik perempuannya Lesli, dan perintis yang lain. Mereka membuat saya rasa dialu-alukan. Setelah melihat sukacita mereka, saya mula memikirkan apa yang harus saya lakukan dalam hidup saya. Mereka pun menggalakkan saya untuk merintis, dan itulah yang saya lakukan pada September 1966. Saya sangat gembira dan puas dengan hidup saya. Tetapi ada kejutan besar yang menantikan saya.

JIKA YEHUWA JEMPUT KAMU BUAT SESUATU, CUBA SAJALAH

Semasa di sekolah menengah, saya pernah memohon untuk berkhidmat di Bethel, yang terletak di Toronto, Kanada. Kemudian semasa merintis, saya dijemput untuk berkhidmat selama empat tahun di Bethel. Pada masa itu, saya sudah jatuh cinta dengan Lesli, jadi saya risau jika saya terima jemputan itu, saya tidak dapat jumpanya lagi. Selepas banyak kali berdoa, dengan berat hati saya mengucapkan selamat tinggal kepada Lesli dan pergi ke Bethel.

Saya bekerja di bahagian dobi Bethel dan kemudiannya sebagai setiausaha. Pada masa itu, Lesli menjadi perintis khas di Gatineau, Quebec. Saya sering tertanya-tanya apa yang Lesli sedang buat dan adakah saya membuat keputusan yang betul untuk datang ke Bethel. Kemudian, Ray, iaitu abang Lesli, dijemput ke Bethel dan tinggal sebilik dengan saya. Itu memang kejutan besar bagi saya! Kerana itu, saya dapat menghubungi Lesli lagi. Pada 27 Februari 1971, iaitu hari terakhir saya di Bethel, kami telah berkahwin.

Semasa mula membuat kerja lawatan pada tahun 1975

Saya dan Lesli ditugaskan ke sebuah sidang bahasa Perancis di Quebec. Beberapa tahun kemudian, saya mendapat kejutan lagi: Saya dijemput untuk menjadi penyelia litar pada usia 28 tahun. Saya rasa saya terlalu muda dan tidak layak, tetapi kata-kata di Yeremia 1:7, 8 menggalakkan saya. Namun, Lesli pernah terlibat dalam kemalangan jalan raya beberapa kali dan dia juga ada masalah tidur. Dapatkah kami melakukan kerja lawatan? Lesli berkata, “Jika Yehuwa jemput kita buat sesuatu, cuba sajalah.” Kami pun menerima tugasan itu dan menikmati kerja lawatan selama 17 tahun.

Kerja litar memang sibuk, dan saya jarang dapat meluangkan masa bersama Lesli. Jadi saya perlu belajar sesuatu. Pada suatu pagi Isnin, loceng pintu kami berbunyi. Bila saya buka pintu, tiada sesiapa di situ. Yang ada hanyalah sebuah bakul yang berisi tikar piknik, buah-buahan, keju, roti baguette, sebotol wain, gelas, dan sehelai nota yang menyatakan, “Bawalah isterimu berpiknik.” Cuaca pada hari itu sangat cantik, tetapi saya beritahu Lesli saya perlu siapkan ceramah dan tidak dapat pergi. Dia agak sedih, tetapi dia faham juga situasi saya. Semasa duduk di meja, hati nurani saya terganggu. Efesus 5:25, 28 terlintas dalam fikiran saya. Adakah Yehuwa sedang menggalakkan saya untuk memikirkan keperluan emosi isteri saya? Selepas berdoa, saya berkata kepada Lesli, “Jom pergi.” Bila mendengarnya, Lesli sangat gembira! Kami memandu ke sebuah tempat yang cantik di tepi sungai, membentangkan tikar kami, dan menikmati masa bersama-sama. Saya sangat gembira pada hari itu, dan saya juga dapat siapkan ceramah saya.

Litar kami sangat besar, dari British Columbia hingga ke Newfoundland. Dengan membuat kerja lawatan, impian saya untuk berkunjung ke merata tempat sudah menjadi kenyataan. Saya pernah terfikir untuk menyertai Sekolah Gilead, tetapi saya tidak mahu menjadi mubaligh. Bagi saya, mubaligh ialah orang yang sangat istimewa, dan saya rasa saya tidak layak. Lagipun, saya takut kami akan dihantar ke negara Afrika yang dilanda wabak dan peperangan. Saya cukup gembira berkhidmat di Kanada.

JEMPUTAN YANG TIDAK DIJANGKAKAN—BERKHIDMAT DI ESTONIA DAN NEGARA BALTIK

Memandu di negara-negara Baltik

Pada tahun 1992, kerja penyebaran mula dilakukan secara terbuka di beberapa negara bekas Kesatuan Soviet. Jadi kami ditanya jika kami sudi berkhidmat di Estonia sebagai mubaligh. Kami sangat terkejut, dan kami berdoa tentang hal itu. Sekali lagi, kami berfikir, “Jika Yehuwa jemput kita buat sesuatu, cuba sajalah.” Kami pun menerima jemputan itu, dan saya berbisik dalam hati, “Syukurlah kami tidak dihantar ke Afrika.”

Kami segera mula belajar bahasa Estonia. Beberapa bulan kemudian selepas tiba di Estonia, kami dijemput untuk membuat kerja lawatan. Litar kami merangkumi 46 buah sidang dan beberapa kumpulan yang terletak di tiga negara Baltik dan di Kaliningrad, Rusia. Jadi kami juga perlu belajar bahasa Latvia, Lithuania, dan Rusia. Hal itu memang susah, tetapi saudara saudari tersentuh melihat usaha kami dan sudi membantu kami. Pada tahun 1999, pejabat cawangan telah dibuka di Estonia, dan saya ditugaskan sebagai ahli Jawatankuasa Cawangan bersama Toomas Edur, Lembit Reile, dan Tommi Kauko.

Kiri: Memberikan ceramah di Lithuania tidak lama selepas kejatuhan Kesatuan Soviet

Kanan: Jawatankuasa Cawangan di Estonia, yang dibentuk pada tahun 1999

Kami dapat berkenalan dengan banyak Saksi yang pernah dibuang ke Siberia. Meskipun dilayan dengan kejam dan terpaksa berpisah daripada keluarga, mereka tetap bersukacita dan menginjil dengan bersemangat. Teladan mereka mengajar kami bahawa kami juga dapat bertabah dan bersukacita di bawah cubaan yang berat.

Kami bekerja keras selama bertahun-tahun dan jarang ada masa untuk berehat. Akhirnya Lesli mula berasa sangat lesu. Kami tidak tahu sebabnya dan merancang untuk pulang ke Kanada. Kemudian, kami dijemput untuk menghadiri Sekolah untuk Ahli Jawatankuasa Cawangan dan Isteri Mereka di Paterson, New York, A.S. Saya rasa kami tidak dapat hadir, tetapi selepas berdoa dengan bersungguh-sungguh, kami terima jemputan itu. Yehuwa telah memberkati keputusan kami. Semasa menghadiri sekolah ini, barulah kami tahu Lesli menghidap penyakit fibromyalgia. Dia telah diberi rawatan yang diperlukan, dan kami dapat beransur-ansur kembali kepada rutin kami.

KEJUTAN LAGI​—DITUGASKAN KE AFRIKA

Suatu petang pada tahun 2008, semasa kami di Estonia, saya mendapat panggilan daripada ibu pejabat sedunia dan ditanya jika kami sudi ditugaskan ke Congo. Saya sangat terkejut, terutamanya kerana kami perlu memberikan jawapan pada keesokan harinya. Saya tidak segera memberitahu Lesli kerana saya tahu dia tidak akan dapat tidur. Jadi, sayalah yang tidak tidur pada malam itu. Sepanjang malam, saya berdoa dan memberitahu Yehuwa kerisauan saya.

Pada keesokan harinya, saya memberitahu Lesli hal itu, dan kami berfikir, “Sekarang Yehuwa jemput kita ke Afrika. Dapatkah kita menikmati kerja di situ? Belum cuba, belum tahu, kan?” Jadi, selepas 16 tahun berkhidmat di Estonia, kami pun terbang ke Kinshasa, Congo. Pejabat cawangan di situ ada taman yang cantik, dan suasananya pun aman. Semasa berpindah ke bilik baru kami, benda pertama yang dikeluarkan Lesli ialah sekeping kad yang disimpannya sejak kami meninggalkan Kanada. Pada kad itu tertulis, “Bermekarlah di mana saja anda ditanam.” Selepas berjumpa dengan saudara saudari, memulakan pembelajaran Bible, dan menikmati kerja mubaligh, sukacita kami bertambah. Kami juga berpeluang untuk melawat ke 13 buah negara Afrika yang lain dan melihat orang daripada pelbagai latar belakang. Semua berkat ini membuat saya tidak lagi takut berkhidmat di Afrika, dan kami sangat bersyukur kerana Yehuwa menghantar kami untuk berkhidmat di sini.

Di Congo, bermacam-macam makanan, seperti serangga, dihidangkan kepada kami. Saya fikir kami mungkin tidak mahu makan serangga, tetapi semasa melihat saudara saudari lain menikmatinya, kami pun mencubanya. Sedap juga rasanya.

Di bahagian timur Congo, banyak kampung diserang pasukan gerila, dan kebanyakan mangsa ialah wanita dan kanak-kanak. Jadi kami melawat saudara saudari di situ untuk menggalakkan mereka dan memberikan barang keperluan. Ramai antara mereka sangat miskin, namun harapan mereka terhadap pembangkitan, kasih mereka terhadap Yehuwa, dan kesetiaan mereka terhadap organisasi-Nya, telah menyentuh hati kami. Teladan mereka telah menguatkan iman kami dan membuat kami merenungkan semula sebabnya kami menyembah Yehuwa. Ada saudara saudari yang kehilangan rumah dan tanaman mereka. Hal ini mengingatkan saya bahawa harta benda boleh hilang dalam sekelip mata, dan hubungan kita dengan Yehuwalah harta yang paling bernilai. Walaupun hidup mereka sangat susah, saudara saudari jarang merungut. Sikap positif mereka menggalakkan kami untuk menghadapi cabaran hidup dan masalah kesihatan dengan berani.

Kiri: Memberikan ceramah kepada sekumpulan pelarian

Kanan: Menghantar ubat-ubatan dan barang keperluan ke Dungu, Congo

HIDUP DI ASIA

Kemudian kami diminta untuk berpindah ke pejabat cawangan Hong Kong. Ini satu lagi kejutan, sebab kami tidak pernah terfikir bahawa kami akan tinggal di Asia! Tetapi selama ini, kami sudah merasai sokongan Yehuwa dalam semua tugasan kami, jadi kami menerima jemputan itu. Pada tahun 2013, dengan air mata yang berlinangan, kami meninggalkan benua Afrika yang indah dan kawan-kawan kami di sana. Kami tidak tahu apa yang menantikan kami di Hong Kong.

Hong Kong merupakan sebuah bandar raya yang sesak dan sibuk. Kami perlu membiasakan diri dengan kehidupan di situ, dan kami juga perlu belajar bahasa Kantonis. Namun, saudara saudari mengalu-alukan kami, dan kami sangat menikmati makanan di situ. Kerja yang dilakukan di pejabat cawangan Hong Kong semakin banyak, tetapi harga hartanah di situ juga meningkat secara mendadak. Jadi Badan Pimpinan memutuskan untuk menjual kebanyakan bangunan pejabat cawangan dan memindahkan kerja di situ ke pejabat cawangan lain. Pada tahun 2015, saya dan Lesli berpindah ke Korea Selatan dan terus berkhidmat di situ sampai sekarang. Kini, kami perlu belajar satu lagi bahasa yang mencabar. Walaupun bahasa Korea kami tidaklah begitu bagus, saudara saudari di sana menggalakkan kami dan berkata bahawa kami sudah membuat banyak kemajuan.

Kiri: Bersedia untuk tinggal di Hong Kong

Kanan: Pejabat cawangan Korea

APA YANG TELAH KAMI BELAJAR

Memang tidak senang untuk menjalin persahabatan yang baru, tetapi kami belajar bahawa jika kami mengambil inisiatif untuk menunjukkan keramahan, kami dapat mengenali lebih banyak orang dengan lebih cepat. Kami juga belajar bahawa terdapat lebih banyak persamaan daripada perbezaan antara saudara saudari kita, dan bahawa Yehuwa telah menciptakan kita dengan kebolehan untuk membuka hati kita lebar-lebar dan mengasihi ramai sahabat.—2 Kor. 6:11.

Kami telah belajar pentingnya menerima orang sebagaimana Yehuwa menerima mereka, dan pentingnya mencari bukti bahawa Yehuwa sentiasa mengasihi dan membimbing kami. Apabila kami berasa tawar hati atau tertanya-tanya sama ada orang menyukai kami atau tidak, kami akan membaca semula kad atau surat daripada sahabat-sahabat kami. Kami telah melihat bagaimana Yehuwa menjawab doa kami, menguatkan kami, dan meyakinkan kami akan kasih-Nya.

Sepanjang masa ini, saya dan Lesli telah belajar pentingnya meluangkan masa untuk satu sama lain, tidak kira betapa sibuknya kerja kami. Kami juga sedar bahawa kami perlu ketawa sahaja bila berbuat silap, terutamanya semasa belajar bahasa baru. Setiap malam, kami cuba memikirkan sesuatu yang telah kami nikmati dan mengucapkan syukur kepada Yehuwa.

Sejujurnya, saya tidak terfikir pun untuk menjadi mubaligh atau tinggal di negara-negara lain. Namun, Yehuwa telah mengajar saya bahawa dengan sokongan-Nya, tiada apa-apa yang mustahil dilakukan. Mengenang kembali hidup saya, saya mempunyai perasaan yang sama dengan Nabi Yeremia: “Ya Yehuwa, Engkau telah memperdaya aku.” (Yer. 20:7) Yehuwa telah “memperdaya” kami dan memberi kami banyak kejutan istimewa dan berkat yang tidak dijangkakan. Semasa kecil, impian saya adalah untuk menaiki kapal terbang ke beberapa negara, tetapi kini, kami telah terbang ke jauh lebih banyak negara di serata dunia. Sepanjang tugasan kami, saya sangat menghargai sokongan dan kerelaan Lesli.

Kami sentiasa mengingatkan diri bahawa kami berkhidmat kepada Yehuwa dan kami melakukannya kerana mengasihi-Nya. Kami sudah menikmati banyak berkat, tetapi kami tahu bahawa semasa diberi kehidupan kekal pada masa depan, kami akan dilimpahi berkat yang tak terhingga. Ketika itu, Yehuwa akan ‘membuka tangan-Nya dan memuaskan keinginan semua makhluk hidup.’​—Mzm. 145:16.