Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 27

Mengapakah Kita Harus Takut kepada Yehuwa?

Mengapakah Kita Harus Takut kepada Yehuwa?

“Ya Yehuwa, Engkau sahabat akrab orang yang takut terhadap-Mu.”​—MZM. 25:14.

LAGU 8 Yehuwa Pelindungku

PENGENALAN a

1-2. Menurut Mazmur 25:14, apakah yang mesti kita lakukan jika kita ingin menjadi sahabat akrab Yehuwa?

 BAGI anda, apakah sifat-sifat yang diperlukan untuk menjalin persahabatan yang erat dengan seseorang? Anda mungkin berkata bahawa sahabat yang baik harus mengasihi dan menyokong satu sama lain. Kemungkinan besar, anda tidak akan berfikir bahawa rasa takut juga sangat penting dalam persahabatan. Namun, seperti yang dinyatakan dalam ayat tema bagi rencana ini, orang yang ingin menjadi sahabat akrab Yehuwa mesti ‘takut terhadap-Nya.’​—Baca Mazmur 25:14.

2 Tidak kira berapa lama kita sudah menyembah Yehuwa, kita semua perlu terus takut kepada-Nya. Namun, apakah maksud takut akan Tuhan? Bagaimanakah kita dapat memupuk rasa takut akan Tuhan? Apakah yang dapat kita pelajari daripada contoh Obaja, Imam Agung Yehoyada, dan Raja Yehoas, tentang rasa takut akan Tuhan?

APAKAH MAKSUD TAKUT AKAN TUHAN?

3. Bagaimanakah rasa takut dapat melindungi kita? Jelaskan.

3 Kita mungkin berasa takut semasa berada dalam situasi yang berbahaya. Rasa takut ini bermanfaat dan dapat mendorong kita untuk mengambil tindakan yang sewajarnya. Sebagai contoh, kita tidak akan berjalan terlalu dekat dengan hujung tebing gunung kerana takut terjatuh. Kita juga akan melarikan diri daripada situasi yang berbahaya kerana takut tercedera. Selain itu, kita akan mengelak daripada mengatakan atau melakukan sesuatu yang buruk kerana takut persahabatan kita dengan seseorang terjejas.

4. Syaitan ingin kita memiliki pandangan apa terhadap Yehuwa?

4 Syaitan ingin kita memiliki rasa takut yang salah kepada Yehuwa. Dia mahu kita percaya apa yang dikatakan oleh Elifas, iaitu Yehuwa ialah Tuhan yang garang, suka menghukum orang, dan susah dipuaskan. (Ayb. 4:18, 19) Syaitan mahu kita begitu takut kepada Yehuwa sehingga berhenti menyembah-Nya. Jika kita tidak ingin jatuh ke dalam perangkap Syaitan, kita perlu memupuk rasa takut yang betul terhadap Tuhan.

5. Apakah maksud takut akan Tuhan?

5 Seseorang yang mempunyai rasa takut yang betul terhadap Tuhan amat mengasihi Tuhan dan enggan melakukan apa-apa yang akan merosakkan hubungannya dengan Tuhan. Perhatikan bagaimana Yesus menunjukkan bahawa dia “takut akan Tuhan.” (Ibr. 5:7) Dia tidak berasa bahawa Yehuwa ialah Tuhan yang menakutkan. (Yes. 11:2, 3) Sebaliknya, dia sangat mengasihi Yehuwa dan ingin mematuhi-Nya. (Yoh. 14:21, 31) Seperti Yesus, kita berasa kagum terhadap Yehuwa dan menghormati-Nya kerana kita tahu Dia ialah Tuhan yang pengasih, bijaksana, adil, dan berkuasa. Kita juga tahu Yehuwa sangat mengasihi kita dan reaksi kita terhadap bimbingan-Nya dapat menggembirakan atau menyedihkan hati-Nya.​—Mzm. 78:41; Ams. 27:11.

BELAJAR UNTUK TAKUT AKAN TUHAN

6. Apakah satu cara kita dapat belajar untuk takut akan Tuhan? (Mazmur 34:11)

6 Kita tidak memiliki rasa takut terhadap Yehuwa secara semula jadi. Perasaan ini perlu dipupuk. (Baca Mazmur 34:11.) Satu cara kita dapat belajar untuk takut akan Tuhan adalah dengan meneliti ciptaan-Nya. Apabila kita semakin menyedari kebijaksanaan, kuasa, dan kasih Tuhan menerusi “segala yang diciptakan-Nya,” kita akan semakin mengasihi dan menghormati-Nya. (Rm. 1:20) Seorang saudari yang bernama Adrienne berkata, “Kebijaksanaan Yehuwa yang dinyatakan menerusi ciptaan-Nya membuat saya kagum dan membantu saya sedar bahawa Dia tahu apa yang terbaik untuk saya.” Setelah merenungkan ciptaan Tuhan, dia membuat kesimpulan ini: “Saya tidak mahu membuat apa-apa yang akan menjauhkan saya daripada Yehuwa, Sumber kehidupan saya.” Dapatkah anda meluangkan sedikit masa minggu ini untuk merenungkan ciptaan Yehuwa? Jika anda berbuat demikian, anda akan semakin menghormati dan mengasihi-Nya.​—Mzm. 111:2, 3.

7. Bagaimanakah doa dapat membantu kita memupuk rasa takut terhadap Yehuwa?

7 Satu lagi cara untuk memupuk rasa takut akan Tuhan adalah dengan sentiasa berdoa. Semakin kerap kita berdoa, semakin nyata Yehuwa bagi kita. Contohnya, setiap kali kita berdoa meminta kekuatan untuk bertabah menghadapi cabaran, kita diingatkan akan kuasa Yehuwa yang hebat. Apabila kita bersyukur kepada-Nya kerana memberikan tebusan, kita diingatkan akan kasih-Nya terhadap kita. Apabila kita meminta bantuan Yehuwa untuk menangani masalah, kita diingatkan bahawa Yehuwa sangat bijaksana. Dengan berdoa tentang hal-hal ini, kita akan semakin menghormati Yehuwa, dan kita akan semakin bertekad untuk tidak melakukan apa-apa yang akan merosakkan hubungan kita dengan-Nya.

8. Apakah yang perlu kita lakukan supaya kita sentiasa takut akan Tuhan?

8 Untuk sentiasa takut akan Tuhan, kita perlu mengkaji Bible dan belajar daripada teladan baik dan teladan buruk dalam Bible. Sekarang, mari kita bincang tentang dua orang hamba Yehuwa yang setia, iaitu Obaja, pengurus istana Raja Ahab, dan Imam Agung Yehoyada. Kemudian, kita akan bincang tentang Raja Yehoas dari Yehuda. Dia menyembah Yehuwa dengan setia pada mulanya tetapi meninggalkan Yehuwa pada kemudian hari.

JADILAH BERANI SEPERTI OBAJA

9. Bagaimanakah rasa takut akan Yehuwa membantu Obaja? (1 Raja-Raja 18:3, 12)

9 Kali pertama Obaja b disebut dalam Bible, dia digambarkan sebagai seorang yang “sangat hormat dan takut akan Yehuwa.” (Baca 1 Raja-Raja 18:3, 12.) Bagaimanakah rasa takut akan Tuhan membantu Obaja? Dia menjadi seorang yang jujur dan dapat dipercayai. Itulah sebabnya raja melantiknya sebagai pengurus istana. (Bandingkan Nehemia 7:2.) Rasa takut akan Tuhan juga memberi Obaja keberanian yang luar biasa. Obaja amat memerlukan sifat ini kerana dia menyembah Yehuwa pada masa yang sangat mencabar. Dia hidup pada zaman pemerintahan Raja Ahab, iaitu raja yang “lebih teruk daripada semua [raja] yang ada sebelumnya.” (1 Raj. 16:30) Tambahan lagi, Izebel, iaitu isteri Ahab, ialah penyembah Baal yang sangat membenci Yehuwa. Dia cuba melenyapkan ibadat sejati di kerajaan Israel di utara dan bahkan membunuh banyak nabi Tuhan.​—1 Raj. 18:4.

10. Bagaimanakah Obaja menunjukkan keberanian yang luar biasa?

10 Bagaimanakah Obaja menunjukkan keberanian yang luar biasa? Semasa Izebel mula mencari nabi-nabi Tuhan untuk membunuh mereka, Obaja “menyembunyikan 100 orang nabi Yehuwa di dalam gua, iaitu seramai 50 orang di dalam setiap gua. Selain itu, [dia] memberi mereka roti dan air.” (1 Raj. 18:13, 14) Jika perbuatan Obaja diketahui, dia pasti dihukum mati. Obaja ialah manusia biasa, dan dia juga takut mati. Namun, dia lebih mengasihi Yehuwa dan para penyembah-Nya daripada nyawanya sendiri.

Meskipun kerja kita diharamkan, seorang saudara yang berani menghantar makanan rohani kepada rakan seimannya (Lihat perenggan 11) d

11. Bagaimanakah penyembah Yehuwa hari ini bersikap seperti Obaja? (Lihat juga gambar.)

11 Hari ini, kerja kita diharamkan di banyak tempat. Para penyembah Yehuwa memang menghormati pihak berkuasa, tetapi seperti Obaja, mereka hanya taat dan setia sepenuhnya kepada Yehuwa. (Mat. 22:21) Mereka menunjukkan bahawa mereka takut akan Tuhan dengan tetap mematuhi-Nya biarpun semasa dilarang oleh manusia. (Kis. 5:29) Contohnya, mereka terus menyebarkan berita baik dan menghadiri perjumpaan dalam cara yang tidak menarik perhatian orang. (Mat. 10:16, 28) Mereka juga cuba memastikan agar rakan seiman mereka menerima makanan rohani yang diperlukan. Perhatikan contoh Henri, yang tinggal di sebuah negara Afrika yang pernah mengharamkan kerja kita. Semasa kerja kita diharamkan, Henri menawarkan diri untuk menghantar makanan rohani kepada saudara saudarinya. Dia menulis, “Saya seorang yang pemalu. Tetapi rasa hormat yang mendalam kepada Yehuwa telah memberi saya keberanian yang diperlukan.” Ya, anda dapat menjadi berani seperti Henri jika anda memupuk rasa takut akan Tuhan.

TETAP SETIA SEPERTI IMAM AGUNG YEHOYADA

12. Bagaimanakah Imam Agung Yehoyada dan isterinya menunjukkan kesetiaan kepada Yehuwa?

12 Oleh sebab Imam Agung Yehoyada takut akan Yehuwa, dia tetap setia kepada Tuhan dan menggalakkan orang untuk menyembah Yehuwa. Yehoyada membuktikan kesetiaannya semasa Atalya, iaitu anak perempuan Izebel, merampas kuasa pemerintahan di Yehuda. Atalya ialah seorang wanita yang menakutkan. Dia tidak berbelas kasihan dan begitu menggilakan kuasa sehingga sanggup membunuh semua cucunya yang merupakan keturunan diraja! (2 Taw. 22:10, 11) Salah seorang cucunya, iaitu Yehoas, tidak dibunuh kerana Yehosyabet, iaitu isteri Yehoyada, telah menyelamatkannya. Yehoyada dan Yehosyabet telah menyembunyikan Yehoas dan membesarkannya. Dengan adanya bantuan mereka, raja daripada garis keturunan Daud tidak dilenyapkan. Walaupun Yehoyada sudah lanjut usia, dia tetap setia kepada Yehuwa dan tidak takut kepada Atalya.​—Ams. 29:25.

13. Semasa Yehoas berumur tujuh tahun, bagaimanakah Yehoyada menunjukkan kesetiaannya sekali lagi?

13 Semasa Yehoas berumur tujuh tahun, Yehoyada membuktikan kesetiaannya sekali lagi kepada Yehuwa. Dia membuat rancangan agar Yehoas, iaitu pewaris Raja Daud yang sah, dapat menaiki takhta. Jika rancangannya gagal, dia akan kehilangan nyawa. Namun, dengan berkat Yehuwa, rancangan itu berjaya. Yehoyada, para pemimpin orang Israel, dan orang Lewi, telah menabalkan Yehoas sebagai raja dan menjatuhkan hukuman mati atas Atalya. (2 Taw. 23:1-5, 11, 12, 15; 24:1) Yehoyada kemudiannya “membuat perjanjian antara Yehuwa dengan raja dan dengan rakyat bahawa mereka akan terus menjadi umat Yehuwa.” (2 Raj. 11:17) Yehoyada juga “menempatkan para pengawal di pintu-pintu Rumah Yehuwa supaya tiada orang yang najis dapat masuk ke rumah itu.”​—2 Taw. 23:19.

14. Apakah penghormatan yang diberikan kepada Yehoyada kerana dia menghormati Yehuwa?

14 Yehuwa pernah berfirman, “Mereka yang menghormati-Ku akan Aku hormati.” Adakah Yehuwa memberikan penghormatan kepada Yehoyada? Sudah tentu. (1 Sam. 2:30) Contohnya, Yehuwa memastikan teladan Yehoyada dicatatkan dalam Bible untuk mengajar kita. (Rm. 15:4) Selain itu, selepas Yehoyada meninggal, dia diberi penghormatan yang luar biasa. “Dia dikebumikan di Kota Daud bersama raja-raja kerana jasa baiknya terhadap orang Israel, terutamanya dalam hal yang berkaitan dengan Tuhan yang benar dan Rumah-Nya.”​—2 Taw. 24:15, 16.

Seperti Imam Agung Yehoyada, semoga rasa takut akan Tuhan mendorong kita untuk membantu saudara saudari dengan setia (Lihat perenggan 15) e

15. Apakah yang dapat kita pelajari daripada kisah Yehoyada? (Lihat juga gambar.)

15 Kisah Yehoyada dapat membantu kita semua memupuk rasa takut akan Tuhan. Para penyelia dapat meniru teladan Yehoyada dengan sentiasa berusaha untuk melindungi kawanan Tuhan. (Kis. 20:28) Kisah Yehoyada juga mengajar orang Kristian yang berusia bahawa jika mereka takut kepada Yehuwa dan tetap setia kepada-Nya, mereka dapat digunakan oleh Yehuwa untuk melaksanakan kehendak-Nya. Dia tidak akan meninggalkan mereka. Orang Kristian yang muda pula dapat belajar daripada cara Yehuwa melayan Yehoyada. Mereka dapat meniru teladan-Nya dengan bersikap hormat kepada rakan seiman yang lanjut usia, terutamanya mereka yang sudah lama menyembah Yehuwa dengan setia. (Ams. 16:31) Akhir sekali, kita semua dapat belajar daripada para pemimpin Israel dan orang Lewi yang menyokong Yehoyada. Kita ingin menyokong “mereka yang mengambil pimpinan” dengan setia mematuhi mereka.​—Ibr. 13:17.

JANGAN MENJADI SEPERTI RAJA YEHOAS

16. Apakah yang menunjukkan bahawa Raja Yehoas lemah secara rohani?

16 Semasa Yehoyada masih hidup, dia memberikan pengaruh baik kepada Raja Yehoas. (2 Raj. 12:2) Hasilnya, Yehoas ingin menyenangkan hati Yehuwa. Tetapi selepas Yehoyada meninggal, Yehoas dipengaruhi oleh pemimpin Yehuda yang murtad. Akibatnya, Yehoas dan rakyatnya “mula menyembah tiang-tiang suci dan patung berhala.” (2 Taw. 24:4, 17, 18) Yehuwa sangat kecewa dan ‘selalu mengutus nabi-nabi untuk memberikan amaran agar mereka kembali kepada-Nya. Tetapi mereka tidak mahu mendengar.’ Semasa Zakharia anak Yehoyada cuba menasihati mereka, mereka juga enggan mendengarkannya. Raja Yehoas memang seperti kacang melupakan kulit. Zakharia bukan sahaja merupakan nabi dan imam Yehuwa, tetapi juga merupakan sepupu Yehoas. Meskipun Yehoas terhutang budi dengan keluarga Yehoyada, dia sanggup mengarahkan agar Zakharia dibunuh!​—2 Taw. 22:11; 24:19-22.

17. Apakah kesudahan bagi Yehoas?

17 Yehoas mendapat padah kerana tidak mengekalkan rasa takut terhadap Yehuwa. Yehuwa pernah menyatakan, “Mereka yang menghina-Ku akan dihina.” (1 Sam. 2:30) Sekumpulan kecil askar Siria kemudiannya mengalahkan tentera Yehoas yang “sangat besar,” dan akhirnya dia “berada dalam keadaan yang tenat.” Setelah askar Siria pergi, Yehoas dibunuh oleh hambanya sendiri kerana dia telah membunuh Zakharia. Selepas dibunuh, raja itu tidak dikebumikan “di makam diraja” kerana kejahatan yang dilakukannya.​—2 Taw. 24:23-25. c

18. Menurut Yeremia 17:7, 8, apakah yang perlu kita lakukan supaya tidak menjadi seperti Yehoas?

18 Apakah yang dapat kita pelajari daripada kisah Yehoas? Dia bagaikan tumbuhan yang akarnya tidak dalam, yang perlu diikatkan pada sebatang kayu untuk menstabilkannya. Semasa “kayu,” iaitu Yehoyada, sudah tiada, dan semasa ditiup “angin,” iaitu pengaruh murtad, Yehoas telah tumbang. Kisah Yehoas mengajar kita bahawa rasa takut kita kepada Tuhan tidak boleh hanya bergantung pada pengaruh baik rakan seiman, termasuk ahli keluarga kita. Kita sendiri mesti sering membuat pembelajaran peribadi, perenungan, dan berdoa. Dengan itu, kita dapat memperdalam kasih kita kepada Tuhan dan sentiasa takut kepada-Nya.​—Baca Yeremia 17:7, 8; Kol. 2:6, 7.

19. Apakah yang diharapkan oleh Yehuwa daripada kita?

19 Apa yang diharapkan oleh Yehuwa daripada kita tidaklah banyak. Dia hanya mahu kita melakukan apa yang dinyatakan di Pengkhutbah 12:13: “Takutlah kepada Tuhan yang benar, dan patuhilah perintah-Nya kerana inilah kewajipan setiap orang.” Apabila kita takut akan Tuhan, kita dapat berdiri teguh seperti Obaja dan Yehoyada semasa menghadapi cubaan pada masa depan. Tiada apa-apa yang dapat merosakkan hubungan kita dengan Yehuwa.

LAGU 3 Engkaulah Sumber Kekuatan, Harapan, dan Keyakinan

a Dalam Bible, perkataan “takut” membawa banyak maksud. Bergantung pada konteks, perkataan ini boleh bermaksud berasa gerun, hormat, atau kagum. Rencana ini akan membantu kita memupuk rasa takut yang betul terhadap Tuhan. Rasa takut ini akan mendorong kita untuk menyembah-Nya dengan berani dan setia.

b Obaja ini berbeza daripada Nabi Obaja, yang hidup ratusan tahun kemudian dan yang menulis buku Obaja dalam Bible.

c Menurut Matius 23:35, Zakharia ini ialah “anak Berekia.” Ada yang berpendapat bahawa Yehoyada mungkin juga dikenali sebagai Berekia. Sebenarnya, terdapat beberapa watak Bible yang mempunyai dua nama. (Bandingkan Matius 9:9 dengan Markus 2:14.) Atau Berekia mungkin ialah datuk atau nenek moyang Zakharia.

d KETERANGAN GAMBAR: Dalam lakonan semula ini, seorang saudara mengedarkan makanan rohani di negara yang mengharamkan kerja kita.

e KETERANGAN GAMBAR: Seorang saudari muda belajar cara membuat kesaksian menerusi telefon daripada seorang saudari yang lebih tua; seorang saudara tua menginjil dengan berani semasa melakukan kesaksian awam; seorang saudara yang berpengalaman melatih orang lain melakukan kerja penyelenggaraan di Dewan Perjumpaan.