Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 25

Para Penatua—Belajarlah daripada Contoh Gideon

Para Penatua—Belajarlah daripada Contoh Gideon

“Masa tidak akan cukup jika aku bercerita tentang Gideon.”​—IBR. 11:32.

LAGU 124 Selalu Setia

PENGENALAN a

1. Menurut 1 Petrus 5:2, apakah kerja penting yang diberikan kepada para penatua?

 PARA penatua diberi kerja yang penting untuk menjaga bebiri Tuhan. Mereka sangat menghargai peluang untuk berkhidmat kepada saudara saudari dan bekerja keras untuk “menggembala mereka.” (Yer. 23:4; baca 1 Petrus 5:2.) Kita sangat bersyukur kerana mempunyai para penatua dalam sidang!

2. Apakah cabaran yang dihadapi oleh sesetengah penatua?

2 Para penatua menghadapi banyak cabaran untuk menjaga sidang. Salah satu cabarannya ialah mereka ada banyak kerja. Tony, seorang penatua di Amerika Syarikat, perlu belajar untuk sedar akan keterbatasan sendiri. Dia berkata, “Semasa pandemik COVID-19 bermula, saya cuba untuk melakukan lebih banyak kerja dalam sidang. Saya berusaha untuk mengaturkan perjumpaan dan aktiviti penyebaran. Tapi, tidak kira berapa banyak yang saya buat, masih ada banyak lagi yang perlu dilakukan. Akibatnya, saya tiada masa untuk membaca Bible, membuat pembelajaran peribadi, dan berdoa.” Ilir, seorang penatua di Kosovo, menghadapi cabaran yang lain. Semasa peperangan berlaku di kawasan tempat tinggalnya, dia berasa susah untuk mematuhi arahan daripada organisasi Tuhan. Dia berkata, “Saya berasa takut apabila pejabat cawangan memberi saya tugasan untuk membantu saudara saudari di kawasan yang berbahaya. Lagipun, arahan itu tidak masuk akal bagi saya.” Tim, seorang mubaligh di Asia, berasa susah untuk melakukan tanggungjawabnya hari demi hari. Dia berkata, “Kadangkala, saya sangat penat secara mental dan emosi.” Apakah yang dapat membantu para penatua menghadapi cabaran sebegini?

3. Bagaimanakah kita semua dapat meraih manfaat daripada contoh Hakim Gideon?

3 Hakim Gideon telah dilantik untuk melindungi dan menggembala umat Tuhan pada waktu yang sangat mencabar. (Hak. 2:16; 1 Taw. 17:6) Begitu juga, para penatua telah dilantik untuk menjaga umat Tuhan sepanjang hari-hari terakhir yang sukar dihadapi. (Kis. 20:28; 2 Tim. 3:1) Daripada contoh Hakim Gideon, para penatua dapat belajar untuk bersikap rendah hati, menyedari keterbatasan diri, mematuhi arahan, dan bertabah. (Ibr. 6:12; 11:32) Biarpun kita bukan penatua, contoh Gideon dapat membantu kita lebih menghargai usaha para penatua dan mendorong kita untuk bekerjasama dengan mereka.​—Ibr. 13:17.

APABILA KERENDAHAN HATI ANDA DIUJI

4. Bagaimanakah Gideon menunjukkan bahawa dia rendah hati dan sedar akan keterbatasan dirinya?

4 Gideon seorang yang rendah hati dan sedar akan keterbatasan diri. b Semasa malaikat Yehuwa memberitahu Gideon bahawa dia telah dipilih untuk menyelamatkan orang Israel daripada musuh yang kuat, iaitu orang Midian, Gideon berkata, “Dalam suku Manasye, puak akulah yang paling kecil. Lagipun, akulah yang paling tidak penting dalam keluarga bapaku.” (Hak. 6:15) Dia berasa tidak layak untuk memikul tugasan itu, namun Yehuwa tahu dia dapat melakukannya. Dengan bantuan Yehuwa, Gideon berjaya melaksanakan tugasnya.

5. Bilakah para penatua mungkin berasa susah untuk bersikap rendah hati dan menyedari keterbatasan diri?

5 Para penatua selalu berusaha untuk bersikap rendah hati dan menyedari keterbatasan diri. (Mi. 6:8; Kis. 20:18, 19) Mereka tidak membesar-besarkan kebolehan atau pencapaian mereka, dan mereka juga tidak asyik menyalahkan diri semasa berbuat silap. Namun, ada kalanya mereka mungkin berasa susah untuk bersikap rendah hati. Sebagai contoh, seorang penatua mungkin menerima banyak tugasan dan kemudian mendapati bahawa dia tidak mampu melakukan semuanya. Atau dia mungkin dipuji atau dikritik oleh orang lain atas cara dia menangani tugasannya. Bagaimanakah contoh Gideon dapat membantu para penatua dalam situasi sebegini?

Seperti yang dilakukan Gideon, seorang penatua yang rendah hati sudi meminta bantuan orang lain untuk menjaga rak kesaksian (Lihat perenggan 6)

6. Bagaimanakah contoh Gideon mengajar para penatua untuk menyedari keterbatasan diri? (Lihat juga gambar.)

6 Mintalah bantuan. Oleh sebab Gideon menyedari keterbatasan diri, dia sudi meminta bantuan orang lain. (Hak. 6:27, 35; 7:24) Penatua yang bijak juga akan berbuat demikian. Tony, yang disebut tadi, berkata, “Disebabkan cara saya dibesarkan, saya berasa susah untuk menolak tugasan yang diberikan biarpun saya sendiri sudah ada banyak kerja. Jadi saya membincangkan topik tentang menyedari keterbatasan diri semasa penyembahan keluarga, dan menjemput isteri saya untuk mengongsi pendapatnya. Saya juga menonton video Melatih, Mempercayai, dan Memberikan Kuasa kepada Orang Lain seperti Yesus, yang terdapat di jw.org.” Apakah hasilnya apabila Tony mula meminta bantuan orang lain? Dia berkata, “Kerja dalam sidang dapat disiapkan, dan saya ada lebih banyak masa untuk menjaga kerohanian saya.”

7. Jika para penatua dikritik, bagaimanakah mereka dapat meniru teladan Gideon? (Yakobus 3:13)

7 Jawablah dengan lemah lembut jika dikritik. Semasa para penatua dikritik, mereka juga dapat meniru Gideon. Gideon sedar bahawa dia tidak sempurna, jadi dia menjawab dengan lemah lembut apabila dikritik oleh orang Efraim. (Hak. 8:1-3) Daripada naik marah, dia mendengar pandangan mereka dengan rendah hati. Jawapannya yang lemah lembut telah meredakan situasi yang tegang itu. Seperti Gideon, penatua yang bijak akan mendengar dengan teliti dan menjawab dengan lemah lembut semasa dikritik. (Baca Yakobus 3:13.) Dengan itu, perpaduan dalam sidang dapat dipelihara.

8. Apakah sepatutnya reaksi para penatua semasa dipuji? Berikan contoh.

8 Halakan pujian kepada Yehuwa. Apabila orang memuji Gideon kerana menyelamatkan mereka daripada tangan orang Midian, Gideon menghalakan pujian kepada Yehuwa. (Hak. 8:22, 23) Para penatua juga dapat meniru teladan Gideon dalam hal ini. (1 Kor. 4:6, 7) Sebagai contoh, jika seorang penatua dipuji kerana pandai mengajar, dia dapat mengingatkan saudara saudari bahawa apa yang diajarnya berasal daripada Bible, atau menjelaskan bagaimana organisasi Yehuwa telah melatihnya. Dari masa ke masa, para penatua patut memeriksa diri untuk memastikan mereka tidak menghalakan perhatian kepada diri mereka tanpa disedari. Perhatikan contoh seorang penatua yang bernama Timothy. Semasa dia baru dilantik menjadi penatua, Timothy suka memberikan ceramah umum. Dia berkata, “Saya akan memikirkan pengenalan yang berbunga-bunga dan perumpamaan yang hebat. Tetapi, orang selalu memuji saya dan bukannya bertumpu kepada Bible atau Yehuwa.” Secara beransur-ansur, Timothy mengubah cara dia mengajar agar tidak menarik perhatian kepada diri sendiri. (Ams. 27:21) Apakah hasilnya? Dia menjelaskan, “Sekarang saudara saudari memberitahu saya bahawa ceramah saya membantu mereka untuk menangani masalah, menghadapi cabaran dengan tabah, atau lebih menghampiri Yehuwa. Kata-kata sebegini membuat saya lebih gembira berbanding semasa saya dipuji dahulu.”

APABILA KEPATUHAN DAN KEBERANIAN ANDA DIUJI

Gideon mematuhi arahan Tuhan dan mengurangkan jumlah askarnya. Dia memilih 300 orang yang paling peka (Lihat perenggan 9)

9. Bilakah kepatuhan dan keberanian Gideon diuji? (Lihat gambar pada muka depan majalah.)

9 Selepas Gideon menjadi hakim, kepatuhan dan keberaniannya diuji. Dia disuruh merobohkan mazbah Baal yang dimiliki bapanya, dan itu tugasan yang berbahaya. (Hak. 6:25, 26) Kemudian, selepas mengumpulkan angkatan tenteranya, sebanyak dua kali Gideon disuruh mengurangkan bilangan askarnya. (Hak. 7:2-7) Akhir sekali, dia disuruh menyerang tentera musuh pada waktu tengah malam.​—Hak. 7:9-11.

10. Bagaimanakah kepatuhan para penatua mungkin diuji?

10 Para penatua harus “sedia mematuhi” apa yang dikatakan dalam Bible dan arahan daripada organisasi Tuhan. (Yak. 3:17) Dengan berbuat demikian, mereka menetapkan teladan baik bagi orang lain. Namun, kepatuhan mereka mungkin diuji. Sebagai contoh, jika seorang penatua menerima banyak arahan, dia mungkin berasa susah untuk mematuhi semua arahan yang diberikan. Dia juga mungkin tertanya-tanya jika arahan itu betul-betul praktikal atau bijak. Atau dia mungkin diminta untuk melakukan tugasan yang boleh menyebabkannya ditangkap. Bagaimanakah para penatua dapat meniru kepatuhan Gideon dalam situasi sebegini?

11. Apakah yang dapat membantu para penatua untuk menunjukkan kepatuhan?

11 Dengar dan ikut arahan dengan teliti. Apabila Tuhan menyuruh Gideon untuk memusnahkan mazbah bapanya, Dia memberitahu Gideon cara untuk berbuat demikian, tempat untuk membina mazbah baharu bagi Yehuwa, dan jenis binatang yang harus dipersembahkan. Gideon tidak mempersoalkan arahan Tuhan. Dia melakukan segala sesuatu tepat seperti yang disuruh. Hari ini, para penatua menerima arahan daripada organisasi Yehuwa menerusi surat, pengumuman, dan garis panduan. Apabila para penatua mematuhi arahan daripada organisasi Tuhan dengan setia, kesejahteraan rohani dan fizikal saudara saudari dijaga, dan seluruh sidang meraih manfaat. Kita sangat mengasihi para penatua yang berbuat demikian.​—Mzm. 119:112.

12. Jika terdapat arahan baharu daripada organisasi Tuhan, bagaimanakah Ibrani 13:17 dapat membantu para penatua?

12 Sudi membuat perubahan. Atas perintah Yehuwa, Gideon perlu menghantar lebih daripada 99 peratus askarnya pulang. (Hak. 7:8) Gideon mungkin tertanya-tanya, “Perlukah perubahan ini dibuat? Adakah arahan ini praktikal?” Namun, dia mematuhi arahan itu. Para penatua dapat meniru teladan Gideon semasa menerima arahan baharu daripada organisasi Tuhan. (Baca Ibrani 13:17.) Contohnya pada tahun 2014, Badan Pimpinan mengubah cara dana digunakan untuk membiayai projek pembinaan Dewan Perjumpaan dan Dewan Perhimpunan. (2 Kor. 8:12-14) Sebelum itu, sidang-sidang akan membuat pinjaman daripada organisasi dan membayarnya secara beransur-ansur. Tetapi di bawah aturan baharu ini, sidang-sidang tidak perlu membuat pinjaman lagi. Sebaliknya, wang yang dikumpulkan daripada sidang di serata dunia akan digunakan untuk membina bangunan teokratik di mana sahaja ada keperluan. Semasa José mendapat tahu tentang perubahan itu, dia rasa arahan itu tidak praktikal. Dia berfikir, “Kalau kami ikut cara itu di sini, satu Dewan Perjumpaan pun tidak dapat dibina.” Apakah yang membantu José sudi membuat perubahan? Dia berkata, “Amsal 3:5, 6 mengingatkan saya untuk percaya kepada Yehuwa. Kami meraih hasil yang sangat baik kerana berbuat demikian! Sekarang, kami bukan sahaja dapat membina lebih banyak Dewan Perjumpaan. Kami juga dapat memberikan sumbangan supaya tanggungan yang dipikul saudara saudari menjadi sama rata.”

Biarpun kerja kita diharamkan, kita dapat menginjil dengan berani (Lihat perenggan 13)

13. (a) Gideon yakin akan hal apa? (b) Bagaimanakah para penatua dapat meniru teladannya? (Lihat juga gambar.)

13 Melakukan kehendak Yehuwa dengan berani. Walaupun Gideon berasa takut kerana diberi tugasan yang berbahaya, dia patuh kepada Yehuwa. (Hak. 9:17) Selepas mendengar jaminan Yehuwa, Gideon yakin sepenuhnya bahawa Yehuwa akan membantu dia untuk melindungi umat-Nya. Para penatua yang tinggal di kawasan di mana kerja kita diharamkan meniru teladan Gideon. Dengan berani, mereka mengambil pimpinan dalam perjumpaan dan kerja penyebaran walaupun mereka mungkin akan ditangkap, disoal siasat, kehilangan kerja, atau dilayan dengan kejam. c Semasa kesengsaraan besar, para penatua juga berani mematuhi arahan yang akan mereka terima, biarpun arahan itu nampaknya berbahaya. Contohnya, mereka mungkin diberi arahan tentang cara menyebarkan mesej penghakiman yang bagaikan hujan batu, atau arahan tentang cara terselamat semasa serangan Gog dari Magog.​—Yeh. 38:18; Why. 16:21.

APABILA KETABAHAN ANDA DIUJI

14. Bagaimanakah ketabahan Gideon diuji?

14 Tugasan Gideon sebagai hakim sangat mencabar dari segi fizikal. Semasa berperang, orang Midian melarikan diri daripada askar Gideon pada tengah malam. Gideon terpaksa mengejar mereka dari Lembah Yizreel sehingga ke Sungai Yordan, yang mungkin dikelilingi semak belukar. (Hak. 7:22) Adakah Gideon berhenti di Sungai Yordan? Tidak! Biarpun dia sangat penat, dia dan 300 orang askarnya menyeberangi sungai dan terus mengejar orang Midian. Akhirnya, mereka berjaya menangkap dan mengalahkan orang Midian.​—Hak. 8:4-12.

15. Bilakah ketabahan seorang penatua mungkin diuji?

15 Kadang-kadang seorang penatua mungkin berasa sangat penat secara fizikal, mental, atau emosi, kerana perlu menjaga sidang dan keluarga. Bagaimanakah penatua yang menghadapi cabaran ini dapat meniru teladan Gideon?

Para penatua yang pengasih dapat menguatkan saudara saudari yang memerlukan sokongan (Lihat perenggan 16-17)

16-17. Apakah yang membantu Gideon untuk bertabah? Para penatua dapat yakin akan hal apa? (Yesaya 40:28-31) (Lihat juga gambar.)

16 Yakinlah bahawa Yehuwa akan menguatkan anda. Gideon yakin bahawa Yehuwa akan menguatkannya, dan itulah yang dilakukan Yehuwa. (Hak. 6:14, 34) Pernah sekali, Gideon dan askar-askarnya perlu berlari untuk mengejar dua orang raja Midian yang mungkin menunggang unta. (Hak. 8:12, 21) Dengan bantuan Yehuwa, orang Israel berjaya menangkap dan mengalahkan musuh mereka. Seperti Gideon, para penatua dapat bergantung pada Yehuwa, Tuhan yang “tidak pernah letih atau lesu.” Dia pasti memberi mereka kekuatan yang diperlukan.​—Baca Yesaya 40:28-31.

17 Perhatikan pengalaman Matthew, seorang ahli Jawatankuasa Perhubungan Hospital. Apakah yang membantunya bertabah? Matthew berkata, “Saya sendiri pernah merasai kebenaran kata-kata di Filipi 4:13. Banyak kali semasa saya sangat penat, saya berdoa dengan bersungguh-sungguh kepada Yehuwa. Saya merayu agar Dia memberi saya kekuatan mental dan fizikal yang diperlukan untuk membantu saudara saudari lain. Pada saat-saat itu, saya merasai bagaimana kuasa suci Yehuwa menguatkan saya dan membantu saya bertabah.” Seperti Gideon, para penatua kita yang rajin akan menghadapi cabaran semasa menjaga biri-biri Tuhan. Memang benar, mereka perlu menyedari keterbatasan fizikal dan emosi diri semasa menjalankan tugas. Namun, mereka dapat yakin bahawa Yehuwa akan mendengar permohonan mereka dan menguatkan mereka untuk bertabah.​—Mzm. 116:1; Flp. 2:13.

18. Setelah mengkaji rencana ini, bagaimanakah para penatua dapat meniru teladan Gideon?

18 Para penatua dapat mempelajari banyak hal yang praktikal daripada Gideon. Mereka harus menyedari keterbatasan diri semasa menerima tugas dan bersikap rendah hati semasa dipuji atau dikritik. Mereka juga mesti patuh dan berani terutamanya apabila akhir semakin dekat. Selain itu, mereka perlu yakin bahawa tidak kira apa cabaran yang mereka hadapi, Tuhan dapat menguatkan mereka. Sudah pasti, kita mahu “sentiasa menghargai” para gembala kita yang rajin.​—Flp. 2:29.

LAGU 120 Tirulah Sifat Kristus yang Lemah Lembut

a Yehuwa telah melantik Gideon untuk menggembala dan melindungi umat-Nya pada masa yang sangat mencabar. Gideon telah mengatasi pelbagai cabaran dan melaksanakan tugasannya dengan setia selama kira-kira 40 tahun. Dengan mengkaji teladan Gideon, para penatua dapat belajar cara untuk mengatasi cabaran mereka pada zaman ini.

b Menyedari keterbatasan diri berkait rapat dengan sikap rendah hati. Seseorang perlu bersikap rendah hati, barulah dia dapat menyedari keterbatasan diri. Orang yang rendah hati akan menganggap orang lain lebih penting daripada dirinya.​—Flp. 2:3.

c Lihat rencana “Teruslah Menyembah Yehuwa semasa Ibadat Kita Diharamkan” dalam majalah Menara Pengawal terbitan Julai 2019, ms. 10-11, per. 10-13.