Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 26

Sentiasa Bersedia untuk Hari Yehuwa

Sentiasa Bersedia untuk Hari Yehuwa

“Hari Yehuwa akan datang seperti pencuri datang pada waktu malam.”​—1 TES. 5:2.

LAGU 143 Terus Berkhidmat, Berjaga-jaga, dan Menanti

PENGENALAN a

1. Apakah yang mesti kita lakukan agar terselamat semasa hari Yehuwa?

 BIBLE menggunakan ungkapan “hari Yehuwa” untuk menggambarkan masanya Yehuwa membinasakan musuh-Nya dan menyelamatkan umat-Nya. Dahulu, semasa “hari Yehuwa,” sesetengah bangsa telah dihukum. (Yes. 13:1, 6; Yeh. 13:5; Zef. 1:8) Pada zaman kita pula, “hari Yehuwa” bermula semasa Babilon Besar diserang dan berakhir dengan perang Armagedon. Jika kita ingin terselamat semasa “kesengsaraan besar,” kita mesti bersiap sedia mulai sekarang. (Mat. 24:21) Namun, Yesus mengajar kita bahawa kita bukan sahaja perlu bersedia, tetapi juga perlu “sentiasa bersedia.”​—Luk. 12:40.

2. Mengapakah kita dapat meraih manfaat daripada buku 1 Tesalonika?

2 Dalam suratnya yang pertama kepada sidang Tesalonika, Rasul Paulus menggunakan beberapa perumpamaan untuk membantu mereka bersiap sedia bagi hari besar Yehuwa. Paulus tahu bahawa hari Yehuwa tidak akan datang pada zamannya. (2 Tes. 2:1-3) Namun, dia menggalakkan saudara saudari untuk bersedia menghadapi hari itu seolah-olah hari itu akan datang esok. Kita juga dapat meraih manfaat daripada nasihatnya. Sekarang, mari kita lihat penjelasan Paulus tentang: (1) Bagaimana hari Yehuwa akan datang, (2) siapa yang tidak akan terselamat, dan (3) apa yang dapat kita lakukan agar diselamatkan.

BAGAIMANAKAH HARI YEHUWA AKAN DATANG?

Perumpamaan yang digunakan oleh Rasul Paulus di 1 Tesalonika juga bermanfaat bagi kita (Lihat perenggan 3)

3. Bagaimanakah hari Yehuwa akan datang seperti pencuri pada waktu malam? (Lihat juga gambar.)

3 “Seperti pencuri datang pada waktu malam.” (1 Tes. 5:2) Inilah perumpamaan pertama yang menggambarkan bagaimana hari Yehuwa akan datang. Pencuri biasanya bertindak dengan cepat dalam kegelapan yang pekat supaya tuan rumah tidak menyedari kedatangannya. Begitu juga, hari Yehuwa akan tiba-tiba datang, dan banyak orang akan berasa terkejut. Bahkan orang Kristian sejati pun mungkin terkejut semasa melihat peristiwa-peristiwa berlaku dengan begitu cepat. Namun, mereka tidak akan dibinasakan bersama orang jahat.

4. Bagaimanakah hari Yehuwa adalah seperti sakit yang dialami oleh wanita yang hampir bersalin?

4 “Seperti sakit yang dialami oleh seorang wanita yang hampir bersalin.” (1 Tes. 5:3) Seorang ibu yang mengandung tidak tahu secara tepat bila dia akan bersalin. Namun dia tahu hal itu pasti berlaku. Dia juga tahu bahawa apabila tibanya masa untuk bersalin, dia akan tiba-tiba berasa sangat sakit, dan proses bersalin tidak dapat dihentikan. Begitu juga, kita tidak tahu secara tepat bila hari Yehuwa akan bermula. Namun, kita yakin bahawa hari itu akan tiba. Semasa Tuhan menghukum orang jahat, hal itu akan berlaku secara tiba-tiba, dan tiada seorang pun yang dapat melarikan diri.

5. Bagaimanakah kesengsaraan besar adalah seperti siang hari?

5 Seperti siang hari. Perumpamaan ketiga yang digunakan oleh Paulus juga berkaitan dengan pencuri, tetapi dari sudut yang berbeza. Nampaknya, dia membandingkan hari Yehuwa dengan siang hari. (1 Tes. 5:4) Pencuri yang pecah masuk ke dalam rumah pada waktu malam mungkin begitu sibuk mencuri barang sehingga tidak sedar bahawa banyak masa sudah berlalu. Tiba-tiba, matahari sudah terbit, dan mereka mungkin ditangkap. Begitu juga, semasa kesengsaraan besar tiba, orang yang terus melakukan hal-hal yang dibenci oleh Yehuwa dalam kegelapan akan didedahkan. Kita tidak mahu menjadi seperti mereka. Sebaliknya, kita ingin bersiap sedia dengan menolak segala perbuatan yang dibenci Yehuwa dan berusaha melakukan “segala yang baik, yang jujur, dan yang benar.” (Ef. 5:8-12) Sekarang, mari kita lihat dua lagi perumpamaan yang digunakan oleh Paulus untuk menggambarkan orang yang tidak akan terselamat semasa hari Yehuwa.

SIAPAKAH YANG TIDAK AKAN TERSELAMAT SEMASA HARI YEHUWA?

6. Bagaimanakah kebanyakan orang hari ini adalah seperti orang yang sedang tidur? (1 Tesalonika 5:6, 7)

6 “Mereka yang tidur.” (Baca 1 Tesalonika 5:6, 7.) Paulus menggambarkan orang yang tidak akan terselamat semasa hari Yehuwa dengan orang yang sedang tidur. Orang yang tidur biasanya tidak sedar apa yang sedang berlaku di sekeliling mereka, dan mereka juga tidak sedar bahawa masa sedang berlalu. Jadi, apabila ada hal penting berlaku, mereka tidak mengetahuinya dan tidak dapat bertindak. Hari ini, kebanyakan orang sedang tidur secara rohani. (Rm. 11:8) Mereka tidak peduli akan bukti yang menunjukkan bahawa kita hidup pada “hari-hari terakhir” dan bahawa kesengsaraan besar sudah dekat. Semasa peristiwa yang gempar berlaku, mereka mungkin “terbangun” dan sudi menerima berita baik buat seketika. Tetapi kemudian, mereka tertidur semula secara rohani. Sesetengah orang pula percaya bahawa hari penghakiman Tuhan akan datang, tetapi berfikir bahawa hari itu masih lama lagi. (2 Ptr. 3:3, 4) Namun kita sedar bahawa hari itu semakin dekat. Maka amatlah penting bagi kita untuk terus berjaga-jaga hari demi hari.

7. Bagaimanakah orang yang akan dibinasakan oleh Tuhan adalah seperti orang yang mabuk?

7 “Mereka yang mabuk.” Paulus menyamakan orang yang akan dibinasakan oleh Tuhan dengan orang yang mabuk. Apabila seseorang mabuk, reaksinya menjadi lambat, dan dia membuat keputusan yang buruk. Seperti orang mabuk, orang jahat tidak mempedulikan amaran Tuhan. Mereka juga memilih haluan hidup yang membawa kebinasaan. Namun, orang Kristian diingatkan supaya “memelihara daya pemikiran” mereka. (1 Tes. 5:6) Menurut seorang pakar Bible, orang yang memelihara daya pemikiran mempunyai “minda yang tenang dan stabil, yang mampu membuat pertimbangan yang wajar dan membuat keputusan yang betul.” Mengapakah kita mesti tetap tenang dan stabil? Supaya kita tidak terbawa-bawa dengan isu politik atau sosial sekarang. Apabila hari Yehuwa semakin dekat, kita akan diberi semakin banyak tekanan untuk melibatkan diri dalam isu sebegini. Namun, kita tidak perlu risau kerana kuasa suci Tuhan dapat memberi kita minda yang tenang dan stabil supaya kita dapat membuat keputusan yang bijak.​—Luk. 12:11, 12.

BAGAIMANAKAH KITA DAPAT BERSEDIA UNTUK MENGHADAPI HARI YEHUWA?

Ramai orang bersikap acuh tak acuh, tetapi kita sentiasa bersedia menghadapi hari Yehuwa. Kita memakai perisai dada, iaitu iman dan kasih, dan memakai topi besi, iaitu harapan (Lihat perenggan 8, 12)

8. Bagaimanakah 1 Tesalonika 5:8 menggambarkan sifat-sifat yang dapat membantu kita terus berjaga-jaga dan memelihara daya pemikiran kita? (Lihat juga gambar.)

8 ‘Mengenakan perisai dada dan topi besi.’ Paulus menyamakan kita dengan askar yang sentiasa bersiap sedia dan memakai perlengkapan perang. (Baca 1 Tesalonika 5:8.) Sewaktu peperangan, seorang askar harus sentiasa bersedia bertempur. Seperti askar, kita bersedia menghadapi hari Yehuwa dengan memakai perisai dada, iaitu iman dan kasih, dan dengan memakai topi besi, iaitu harapan. Sifat-sifat ini amat penting.

9. Bagaimanakah iman melindungi kita?

9 Sebagaimana perisai dada melindungi organ penting seorang askar, iman dan kasih melindungi hati kita supaya kita dapat terus menyembah Tuhan dan terus mengikut Yesus. Dengan adanya iman, kita yakin bahawa Yehuwa akan memberi kita ganjaran apabila kita mencari-Nya dengan bersungguh-sungguh. (Ibr. 11:6) Iman juga membantu kita tetap setia kepada Pemimpin kita Yesus, bahkan semasa dilanda kesusahan. Kita dapat membina iman yang kuat dengan belajar daripada teladan saudara saudari yang tetap setia meskipun dianiaya atau menghadapi masalah kewangan. Kita juga dapat mengelakkan sikap cinta akan wang dengan mengikut teladan rakan seiman yang menyederhanakan kehidupan mereka supaya dapat mengutamakan Kerajaan Tuhan. b

10. Bagaimanakah kasih kepada Tuhan dan kasih kepada orang lain membantu kita terus menginjil?

10 Kasih juga penting untuk membantu kita terus berjaga-jaga dan memelihara daya pemikiran kita. (Mat. 22:37-39) Kasih kepada Tuhan akan membantu kita untuk terus menginjil meskipun kerja kita ditentang. (2 Tim. 1:7, 8) Kita juga mengasihi orang yang belum menjadi penyembah Yehuwa. Kasih itu akan membantu kita terus menginjil kepada orang dalam kawasan penyebaran kita, dan bahkan memberikan kesaksian menerusi telefon dan surat. Kita sentiasa berharap agar mereka akan berubah suatu hari nanti dan mula melakukan apa yang benar.​—Yeh. 18:27, 28.

11. Kasih kepada rakan seiman akan membantu kita melakukan apa? (1 Tesalonika 5:11)

11 Kita juga harus menunjukkan kasih kepada rakan seiman. Satu cara kita dapat menunjukkan kasih adalah dengan “menggalakkan dan menguatkan satu sama lain.” (Baca 1 Tesalonika 5:11.) Fikirkan sepasukan askar yang pergi berperang. Sudah tentu, mereka akan menyokong satu sama lain. Namun, semasa peperangan sengit berlaku, seorang askar mungkin mencederakan rakan seperjuangannya secara tidak sengaja. Begitu juga, kita ingin sentiasa menggalakkan satu sama lain dan tidak akan sengaja menyakiti saudara saudari kita atau membalas dendam apabila mereka menyakiti kita. (1 Tes. 5:13, 15) Satu lagi cara kita menunjukkan kasih kepada rakan seiman adalah dengan menghormati saudara yang mengambil pimpinan dalam sidang. (1 Tes. 5:12) Semasa Paulus menulis suratnya kepada orang Kristian di Tesalonika, sidang di situ masih baru dan ditubuhkan kurang dari setahun. Jadi para penatua di situ mungkin kurang pengalaman dan pernah berbuat silap. Walaupun begitu, mereka masih patut dihormati. Semasa kesengsaraan besar, kita mungkin lebih memerlukan bimbingan para penatua di sidang kita berbanding sekarang. Pada masa itu, kita mungkin tidak dapat menerima arahan daripada ibu pejabat sedunia atau pejabat cawangan. Maka, amatlah penting untuk belajar menghormati dan mengasihi penatua kita sekarang. Tidak kira apa yang terjadi nanti, marilah kita terus memelihara daya pemikiran kita. Daripada bertumpu kepada kelemahan para penatua, semoga kita sentiasa ingat bahawa Yehuwa sedang menggunakan Kristus untuk membimbing mereka.

12. Bagaimanakah harapan melindungi pemikiran kita?

12 Sepertimana topi besi melindungi kepala seorang askar, harapan penyelamatan dapat melindungi pemikiran kita. Apabila harapan kita teguh, kita dapat lihat bahawa semua tawaran dunia ini sia-sia sahaja. (Flp. 3:8) Harapan kita membantu kita tetap stabil dan tenang. Fikirkan contoh Wallace dan Laurinda, yang berkhidmat di Afrika. Dalam masa tiga minggu, bapa Wallace dan ibu Laurinda telah meninggal. Lebih teruk lagi, akibat pandemik COVID-19, mereka tidak dapat pulang untuk menemani keluarga mereka. Wallace menulis, “Harapan pembangkitan membantu saya membayangkan keadaan mereka, bukan pada hari-hari terakhir sebelum mereka meninggal, tetapi pada hari-hari pertama selepas mereka dibangkitkan di dunia baharu. Harapan ini menghiburkan hati saya ketika saya sedih atau merindui mereka.”

13. Apakah yang dapat kita lakukan untuk menerima kuasa suci Tuhan?

13 “Janganlah padamkan api kuasa suci Tuhan.” (1 Tes. 5:19) Paulus menyatakan bahawa kuasa suci Tuhan adalah seperti api yang bernyala dalam diri kita. Kuasa suci Tuhan dapat menyemarakkan semangat kita untuk melakukan apa yang benar dan menguatkan kita untuk mengabdikan diri kepada Yehuwa. (Rm. 12:11) Jadi, apakah yang dapat kita lakukan untuk menerima kuasa suci Tuhan? Kita boleh berdoa untuk meminta kuasa suci Tuhan, mengkaji Firman Tuhan, dan menyertai aktiviti yang diaturkan oleh organisasi Tuhan. Dengan berbuat demikian, kita akan dibantu untuk memupuk “buah kuasa suci Tuhan.”​—Gal. 5:22, 23.

Tanyalah diri, “Adakah perbuatan saya menunjukkan bahawa saya ingin terus menerima kuasa suci Tuhan?” (Lihat perenggan 14)

14. Jika kita mahu terus menerima kuasa suci Tuhan, apakah yang mesti kita elakkan? (Lihat juga gambar.)

14 Setelah menerima kuasa suci Tuhan, kita mesti berjaga-jaga agar tidak ‘memadamkan api kuasa suci Tuhan.’ Tuhan hanya akan memberikan kuasa suci-Nya kepada orang yang sentiasa bersih dari segi fikiran dan kelakuan. Jika kita melayan fikiran yang kotor dan membiarkan fikiran sebegini mencemari kelakuan kita, Dia tidak akan memberi kita kuasa suci-Nya lagi. (1 Tes. 4:7, 8) Untuk terus menerima kuasa suci Tuhan, kita juga mesti mengelak daripada “memandang hina pada nubuat-nubuat yang disampaikan” menerusi kuasa suci Tuhan, termasuk nubuat tentang hari Yehuwa dan betapa dekatnya akhir dunia jahat ini. (1 Tes. 5:20) Jadi, daripada berfikir bahawa Armagedon masih lama lagi dan tidak akan berlaku pada zaman kita, kita akan sentiasa ingat bahawa hari itu sudah sangat dekat. Kita akan berkelakuan baik setiap hari dan sibuk “melakukan hal-hal yang menunjukkan bahawa [kita] mengabdikan diri kepada Tuhan.”​—2 Ptr. 3:11, 12.

“PERIKSALAH SEMUA PERKARA”

15. Apakah yang perlu kita lakukan supaya tidak ditipu oleh maklumat palsu yang disebarkan oleh para penentang atau roh-roh jahat? (1 Tesalonika 5:21)

15 Tidak lama lagi, para penentang Tuhan akan mengisytiharkan bahawa “semuanya damai dan selamat.” (1 Tes. 5:3) Pada masa itu, maklumat palsu daripada roh-roh jahat akan disebarkan ke seluas dunia, dan kebanyakan orang akan disesatkan. (Why. 16:13, 14) Bagaimana pula dengan kita? Kita tidak akan ditipu jika kita ‘memeriksa semua perkara’ sebelum mempercayainya. (Baca 1 Tesalonika 5:21.) Perkataan Yunani yang diterjemahkan sebagai “periksalah,” juga digunakan untuk menggambarkan bagaimana orang menguji emas atau perak untuk memastikan logam itu tulen. Begitu juga, kita perlu memeriksa, atau menguji, apa yang kita dengar atau baca, dan memastikan maklumat itu sahih. Hal ini sangat penting, lebih-lebih lagi apabila kesengsaraan besar semakin dekat. Daripada mempercayai bulat-bulat maklumat yang orang lain sampaikan, kita akan membandingkan apa yang kita baca atau dengar dengan apa yang diajarkan Bible dan organisasi Yehuwa. Jika kita menggunakan daya pemikiran dengan baik, kita tidak akan ditipu oleh maklumat palsu.​—Ams. 14:15; 1 Tim. 4:1.

16. Apakah harapan yang menantikan kita, dan apakah tekad kita?

16 Sebagai satu kumpulan, umat Tuhan akan selamat mengharungi kesengsaraan besar. Namun, kita tidak tahu apa yang akan berlaku kepada setiap seorang daripada kita pada hari esok. (Yak. 4:14) Tidak kira kita akan selamat mengharungi kesengsaraan besar atau kehilangan nyawa sebelum itu, kita akan diberi kehidupan kekal selagi kita tetap setia kepada Yehuwa. Kaum terurap akan hidup bersama Yesus di syurga, dan biri-biri lain akan hidup di bumi firdaus. Marilah kita bertekad untuk bertumpu kepada harapan yang menakjubkan ini dan sentiasa bersedia untuk menghadapi hari Yehuwa!

LAGU 150 Carilah Tuhan agar Diselamatkan

a Dalam 1 Tesalonika bab 5, terdapat beberapa perumpamaan dan perbandingan tentang hari Yehuwa yang bakal tiba. Apakah “hari” itu, dan bagaimanakah “hari” itu akan tiba? Siapakah yang akan terselamat? Siapakah yang tidak akan terselamat? Bagaimanakah kita dapat bersiap sedia untuk menghadapi “hari” itu? Kita akan mengkaji kata-kata Rasul Paulus dan menjawab soalan-soalan itu.

b Lihat siri rencana “Mereka Rela Berkhidmat.”