RENCANA PEMBELAJARAN 25
LAGU 7 Yehuwalah Kekuatanku
Ingatlah bahawa Yehuwa Ialah “Tuhan yang Hidup”
“Yehuwa ialah Tuhan yang hidup!”—MZM. 18:46.
FOKUS
Kita meraih manfaat yang besar jika kita ingat bahawa Tuhan yang kita sembah ialah “Tuhan yang hidup.”
1. Apakah yang membantu umat Yehuwa terus menyembah-Nya meskipun menghadapi pelbagai masalah?
BIBLE kata bahawa kita sedang hidup pada “masa genting yang sukar dihadapi.” (2 Tim. 3:1) Selain bergelut dengan cabaran yang dihadapi semua orang dalam dunia jahat ini, umat Yehuwa perlu berdepan dengan tentangan dan penganiayaan. Apakah yang membantu kita terus menyembah Yehuwa? Satu hal penting yang membantu kita ialah kita sudah merasai bantuan Yehuwa dan yakin bahawa Dia ialah “Tuhan yang hidup.”—Yer. 10:10; 2 Tim. 1:12.
2. Apakah yang kita tahu tentang Yehuwa yang dapat menguatkan kita?
2 Yehuwa betul-betul wujud dan sedia menyokong kita semasa kita menghadapi cubaan. (2 Taw. 16:9; Mzm. 23:4) Jika kita ingat bahawa Yehuwa ialah Tuhan yang hidup, kita dapat menghadapi apa-apa cubaan dengan berjaya. Untuk membantu kita memahami hal ini, mari kita lihat apa yang berlaku dalam kehidupan Raja Daud.
3. Apakah yang dimaksudkan Daud semasa dia berkata, “Yehuwa ialah Tuhan yang hidup”?
3 Daud mengenali Yehuwa dan bergantung pada-Nya. Semasa dikejar oleh musuh-musuhnya, termasuk Raja Saul, Daud meminta bantuan Yehuwa. (Mzm. 18:6) Selepas Tuhan menjawab doanya dan menyelamatkannya, Daud berkata, “Yehuwa ialah Tuhan yang hidup!” (Mzm. 18:46) Menurut sebuah rujukan Bible, kata-kata Daud menunjukkan bahawa dia bukan sahaja mengakui kewujudan Tuhan, tetapi juga yakin bahawa Yehuwa akan “sentiasa bertindak demi umat-Nya.” Daripada pengalamannya sendiri, Daud tahu bahawa Tuhannya memang hidup, dan keyakinan ini telah menguatkan tekadnya untuk menyembah dan memuji Yehuwa.—Mzm. 18:28, 29, 49.
4. Apakah manfaatnya jika kita yakin bahawa Yehuwa ialah Tuhan yang hidup?
4 Jika kita yakin bahawa Yehuwa ialah Tuhan yang hidup, kita akan dibantu untuk berkhidmat kepada-Nya dengan bersemangat. Kita akan mempunyai kekuatan untuk mengharungi cubaan dengan tabah dan dorongan untuk terus berkhidmat kepada-Nya dengan rajin. Selain itu, kita akan bertekad untuk hidup akrab dengan Yehuwa.
TUHAN YANG HIDUP AKAN MENGUATKAN ANDA
5. Bagaimanakah kita dapat menghadapi cubaan dengan yakin? (Filipi 4:13)
5 Jika kita ingat bahawa Yehuwa ialah Tuhan yang hidup, yang sentiasa bersedia menyokong kita, kita akan dapat menghadapi apa-apa cubaan dengan tabah. Fikirkan, masalah kita yang paling besar pun sebenarnya kecil sahaja bagi Tuhan kita Yang Maha Kuasa. Dia dapat memberi kita kekuatan untuk bertabah. (Baca Filipi 4:13.) Maka, kita dapat menghadapi cubaan dengan yakin. Apabila kita merasai sokongan Yehuwa semasa dilanda masalah yang kecil, kita bertambah yakin bahawa Dia pasti membantu kita menghadapi masalah yang besar.
6. Apakah pengalaman Daud yang menguatkan keyakinannya terhadap Yehuwa?
6 Perhatikan dua pengalaman Daud yang menguatkan keyakinannya terhadap Yehuwa. Semasa dia muda, biri-biri bapanya pernah diterkam oleh beruang dan singa. Dalam kedua-dua peristiwa itu, Daud dengan berani mengejar beruang dan singa itu dan menyelamatkan biri-biri bapanya. Namun, Daud tidak berfikir bahawa dia melakukan semua itu dengan kekuatannya sendiri. Sebaliknya, dia tahu bahawa Yehuwalah yang telah membantunya. (1 Sam. 17:34-37) Daud sentiasa ingat dan merenungkan pengalaman-pengalaman itu. Hasilnya, dia diyakinkan bahawa Tuhannya yang hidup akan menguatkannya pada masa depan.
7. Apakah pandangan Daud semasa dia menghadap Goliat?
7 Kemudian, semasa dia mungkin masih remaja, Daud pergi ke perkhemahan askar orang Israel. Di sana, dia mendapati askar-askar Israel sangat takut kerana seorang gergasi Filistin yang bernama Goliat telah “mencabar barisan tentera orang Israel.” (1 Sam. 17:10, 11) Mengapakah askar Israel begitu takut? Kerana mereka bertumpu kepada gergasi itu dan celaannya. (1 Sam. 17:24, 25) Namun, Daud mempunyai sudut pandangan yang berbeza. Dia menganggap celaan Goliat ditujukan bukan sahaja kepada barisan tentera orang Israel tetapi juga kepada “barisan tentera Tuhan yang hidup.” (1 Sam. 17:26) Daud berfokus kepada Yehuwa. Dia yakin Yehuwa akan membantunya mengalahkan Goliat sepertimana Yehuwa pernah membantunya mengalahkan beruang dan singa. Oleh sebab Daud bergantung pada Tuhan, dia berjaya menumpaskan Goliat!—1 Sam. 17:45-51.
8. Bagaimanakah kita dapat terus yakin kepada Yehuwa semasa menghadapi cubaan? (Lihat juga gambar.)
8 Jika kita ingat bahawa Tuhan yang hidup sedia membantu kita, kita pun dapat menghadapi cubaan dengan berjaya. (Mzm. 118:6) Untuk menguatkan keyakinan kita terhadap Tuhan, kita boleh memikirkan apa yang pernah dilakukan-Nya pada masa lalu. Sebagai contoh, kita dapat membaca kisah Bible tentang bagaimana Yehuwa pernah menyelamatkan umat-Nya. (Yes. 37:17, 33-37) Kita juga dapat membaca pengalaman di jw.org tentang bagaimana Yehuwa telah menyokong saudara saudari kita pada zaman moden. Ingatlah juga bagaimana kita sendiri pernah merasai bantuan Yehuwa. Biarpun pengalaman kita tidaklah luar biasa seperti melawan beruang atau singa, jangan lupa bahawa Yehuwa telah banyak kali membantu kita. Misalnya, Dia telah memimpin kita kepada-Nya. (Yoh. 6:44) Selain itu, tanpa bantuan-Nya, kita mungkin sudah lama meninggalkan kebenaran. Maka, mintalah Yehuwa membantu anda mengingat semula bagaimana Dia telah menjawab doa anda, menolong anda tepat pada masanya, atau menguatkan anda untuk mengharungi masalah dengan tabah. Apabila anda merenungkan pengalaman sebegini, anda akan lebih yakin bahawa Yehuwa akan terus membantu anda.
9. Apakah yang harus kita ingat semasa menghadapi cabaran? (Amsal 27:11)
9 Apabila kita ingat bahawa Yehuwa ialah Tuhan yang hidup, kita akan dibantu untuk memiliki pandangan yang sewajarnya terhadap masalah kita. Bagaimana? Kita akan sedar bahawa masalah kita sebenarnya berkaitan dengan isu yang lebih besar antara Yehuwa dengan Syaitan. Syaitan mendakwa bahawa apabila kita menderita, kita akan meninggalkan Yehuwa. (Ayb. 1:10, 11; baca Amsal 27:11.) Namun apabila kita menghadapi cubaan dengan tabah, kita menunjukkan bahawa kita mengasihi Yehuwa dan membuktikan bahawa Syaitan ialah pendusta. Adakah anda sedang menghadapi tentangan daripada pihak berkuasa, masalah ekonomi, sambutan dingin semasa menginjil, atau cabaran lain? Jika demikian, anggaplah cabaran itu sebagai peluang untuk menggembirakan hati Yehuwa. Ingatlah juga bahawa Yehuwa tidak akan membiarkan anda menghadapi cubaan yang tidak dapat anda tanggung. (1 Kor. 10:13) Dia akan memberi anda kekuatan untuk bertabah.
TUHAN YANG HIDUP AKAN MEMBERKATI ANDA
10. Apakah yang akan dilakukan oleh Tuhan yang hidup bagi penyembah-Nya?
10 Yehuwa akan memberkati penyembah-Nya. (Ibr. 11:6) Dia memberi kita kedamaian dan kepuasan sekarang, dan kehidupan kekal pada masa depan. Kita dapat yakin sepenuhnya bahawa Yehuwa bukan sahaja mempunyai kuasa tetapi juga keinginan untuk memberkati kita. Itulah sebabnya kita terdorong untuk berkhidmat kepada-Nya dengan sepenuh jiwa raga, seperti yang dilakukan oleh hamba-Nya pada zaman dahulu. Sekarang, mari kita lihat contoh Timotius.—Ibr. 6:10-12.
11. Mengapakah Timotius bekerja keras dalam sidang? (1 Timotius 4:10)
11 Baca 1 Timotius 4:10. Timotius beriman bahawa Tuhan yang hidup akan memberkatinya. Maka dia bekerja keras untuk Yehuwa dan orang lain. Bagaimana? Rasul Paulus menggesanya untuk menjadi pengajar yang lebih mahir dalam sidang dan dalam kerja penyebaran. Timotius juga digalakkan untuk menjadi teladan yang baik bagi rakan seimannya, sama ada yang muda ataupun yang tua. Selain itu, dia diberi tugasan yang mencabar, termasuk memberikan nasihat yang tegas tetapi pada masa yang sama menunjukkan kasih. (1 Tim. 4:11-16; 2 Tim. 4:1-5) Timotius yakin bahawa biarpun ada kalanya orang lain tidak melihat atau tidak menghargai usahanya, Yehuwa pasti memberkatinya.—Rm. 2:6, 7.
12. Apakah yang dapat mendorong para penatua untuk terus bekerja keras dalam sidang? (Lihat juga gambar.)
12 Hari ini, para penatua dapat yakin bahawa Yehuwa melihat dan menghargai kerja keras mereka. Selain menggembala, mengajar, dan menginjil, banyak penatua juga membantu dalam projek pembinaan teokratik dan menolong mangsa bencana. Yang lain pula membantu dalam Kumpulan Melawat Pesakit atau Jawatankuasa Perhubungan Hospital. Para penatua yang melakukan kerja-kerja sebegini sedar bahawa sidang ialah milik Yehuwa, bukan milik manusia. Hasilnya, mereka dapat berkhidmat dengan bersungguh-sungguh dan yakin sepenuhnya bahawa Yehuwa akan memberkati mereka.—Kol. 3:23, 24.
13. Apakah perasaan Yehuwa apabila kita berusaha untuk memberi-Nya sesuatu?
13 Bukan semua orang dapat menjadi penatua, tetapi kita semua dapat memberi Yehuwa sesuatu. Apabila kita melakukan yang terbaik untuk Yehuwa, Dia sangat menghargainya. Contohnya, semasa kita memberikan sumbangan untuk kerja sedunia, Tuhan memerhatikannya, biarpun apa yang kita beri sedikit sahaja. Apabila kita mengangkat tangan untuk memberikan komen meskipun kita sangat gementar, Dia berasa sangat gembira. Dia juga bangga dengan kita apabila kita melupakan kesilapan orang lain dan memaafkan mereka. Biarpun anda rasa apa yang anda lakukan untuk Yehuwa sedikit sahaja, percayalah bahawa Dia menghargai usaha anda, mengasihi anda, dan pasti memberkati anda.—Luk. 21:1-4.
TETAP MENGHAMPIRI TUHAN YANG HIDUP
14. Apakah yang dapat membantu kita tetap setia kepada Yehuwa? (Lihat juga gambar.)
14 Jika Yehuwa nyata bagi kita, kita akan berasa lebih senang untuk tetap setia kepada-Nya. Perhatikan contoh Yusuf. Oleh sebab Tuhan nyata baginya, dia dapat menolak perbuatan yang tidak bermoral dengan tegas dan tidak mahu berdosa terhadap Tuhan. (Kej. 39:9) Jika kita mahu Yehuwa menjadi nyata bagi kita, kita perlu meluangkan masa untuk berdoa dan mengkaji Firman-Nya. Dengan itu, hubungan kita dengan Yehuwa akan semakin erat. Seperti Yusuf, apabila kita semakin erat dengan Yehuwa, kita tidak ingin melakukan apa-apa yang akan menyakiti hati-Nya.—Yak. 4:8.
15. Apakah yang dapat kita pelajari daripada orang Israel yang berada di padang belantara? (Ibrani 3:12)
15 Orang yang lupa bahawa Yehuwa ialah Tuhan yang hidup akan semakin menjauhi-Nya. Fikirkan apa yang berlaku kepada orang Israel di padang belantara. Mereka tahu bahawa Yehuwa wujud, tetapi mereka ragu-ragu jika Dia akan menjaga keperluan mereka. Mereka bahkan bertanya, “Adakah Yehuwa menyertai kita atau tidak?” (Kel. 17:2, 7) Akibatnya, mereka memberontak terhadap Tuhan. Sudah pasti kita tidak mahu mengikut jejak mereka.—Baca Ibrani 3:12.
16. Apakah yang mungkin menguji iman kita?
16 Dunia ini membuat kita berasa susah untuk tetap menghampiri Tuhan. Banyak orang percaya bahawa Tuhan tidak wujud. Seringkali, mereka yang tidak mengikut standard Tuhan nampaknya hidup makmur. Hal itu mungkin menguji iman kita. Itulah yang berlaku kepada penulis Mazmur 73. Dia nampak orang di sekelilingnya yang tidak mematuhi hukum Tuhan hidup bahagia. Akibatnya, dia mula tertanya-tanya jika menyembah Tuhan itu berbaloi.—Mzm. 73:11-13.
17. Apakah yang dapat membantu kita untuk tetap mendekati Yehuwa?
17 Apakah yang membantu penulis mazmur itu untuk membetulkan pandangannya? Dia merenungkan kesudahan yang menantikan orang yang melupakan Yehuwa. (Mzm. 73:18, 19, 27) Dia juga memikirkan manfaat yang diraih oleh orang yang menyembah Tuhan. (Mzm. 73:24) Seperti penulis mazmur itu, kita boleh merenungkan berkat-berkat yang telah kita terima daripada Yehuwa dan memikirkan bagaimana kehidupan kita jika kita tidak menyembah-Nya. Dengan berbuat demikian, kita akan bertekad untuk tetap setia kepada Tuhan dan berkata seperti penulis mazmur itu, “Bagiku, aku berasa bahawa sungguh baik untuk mendekati Tuhan.”—Mzm. 73:28.
18. Mengapakah kita tidak perlu takut akan masa depan?
18 Kita dapat berjaya menghadapi apa-apa sahaja cabaran pada hari-hari terakhir kerana kita ialah “hamba kepada Tuhan yang hidup dan benar.” (1 Tes. 1:9) Tuhan kita ialah Tuhan yang hidup, yang akan menjaga keperluan penyembah-Nya. Dia telah menyertai hamba-hamba-Nya sejak dahulu, dan Dia juga berbuat demikian sekarang. Tidak lama lagi, kita akan menghadapi kesengsaraan besar, tetapi kita tidak akan menghadapinya seorang diri. (Yes. 41:10) Semoga kita semua berkata dengan penuh keberanian, “Yehuwa ialah penolongku; aku tidak akan berasa takut.”—Ibr. 13:5, 6.
LAGU 3 Engkaulah Sumber Kekuatan, Harapan, dan Keyakinan