Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 26

LAGU 8 Yehuwa Pelindungku

Jadikanlah Yehuwa Gunung Batumu

Jadikanlah Yehuwa Gunung Batumu

“Ya Tuhan, tiada batu yang kukuh seperti Engkau.”​—1 SAM. 2:2.

FOKUS

Belajar sebabnya Yehuwa digambarkan sebagai batu dan bagaimana kita dapat meniru sifat-sifat-Nya.

1. Menurut Mazmur 18:​46, Daud menggambarkan Yehuwa sebagai apa?

 DUNIA ini penuh dengan cubaan yang boleh membuat hidup kita tunggang terbalik. Namun, kita sangat bersyukur kerana Yehuwa berjanji untuk membantu kita. Rencana sebelumnya mengingatkan kita bahawa Yehuwa ialah Tuhan yang hidup, yang sedia membantu kita. Apabila kita menerima bantuan Yehuwa, kita yakin bahawa Dia ialah “Tuhan yang hidup!” (Baca Mazmur 18:46.) Namun, selepas Daud memanggil Yehuwa Tuhan yang hidup, dia berkata bahawa Tuhan ialah ‘Gunung Batunya.’ Mengapakah Yehuwa digambarkan sebagai batu?

2. Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana ini?

2 Dalam rencana ini, kita akan membincangkan mengapa Yehuwa digambarkan sebagai batu dan apa yang dapat kita belajar daripada gambaran itu. Kita juga akan belajar bagaimana kita dapat memandang Yehuwa sebagai Gunung Batu kita. Akhir sekali, kita akan membincangkan cara kita dapat meniru sifat Yehuwa yang bagaikan batu.

MENGAPA YEHUWA DIGAMBARKAN SEBAGAI BATU

3. Dalam Bible, bagaimanakah perkataan “batu” sering digunakan? (Lihat gambar.)

3 Sering kali, semasa umat Yehuwa memuji sifat-sifat-Nya yang unggul, mereka menggambarkan-Nya sebagai “batu.” Kali pertama Yehuwa digambarkan sebagai “batu” dicatatkan di Ulangan 32:4. Bertahun-tahun kemudian, Hana berdoa, “Ya Tuhan, tiada batu yang kukuh seperti Engkau.” (1 Sam. 2:2) Habakuk menggelar Yehuwa sebagai “Batu Pelindungku.” (Hab. 1:12) Penulis Mazmur 73 berkata, “Tuhan . . . ialah gunung batuku.” (Mzm. 73:26) Sebenarnya, Yehuwa sendiri pun menggambarkan diri-Nya sebagai Gunung Batu. (Yes. 44:8) Mari kita membincangkan tiga cara Yehuwa menunjukkan bahawa Dia adalah seperti batu dan bagaimana kita dapat menjadikan-Nya “Tuhan kita yang bagaikan gunung batu.”​—Ul. 32:31.

Umat Tuhan menganggap Yehuwa sebagai Gunung Batu mereka (Lihat perenggan 3)


4. Bagaimanakah Yehuwa menjadi tempat perlindungan kita? (Mazmur 94:22)

4 Yehuwa ialah tempat perlindungan kita. Sepertimana batu yang besar dapat melindungi seseorang semasa ribut kencang, Yehuwa dapat melindungi kita semasa kita menghadapi kesusahan. (Baca Mazmur 94:22.) Dia memastikan kita tidak ditimpa kecelakaan yang berkekalan. Dia juga berjanji untuk menyingkirkan apa-apa yang mengancam kedamaian dan keselamatan kita.​—Yeh. 34:​25, 26.

5. Bagaimanakah kita dapat menjadikan Yehuwa tempat perlindungan kita?

5 Salah satu cara kita menjadikan Yehuwa tempat perlindungan kita adalah dengan berdoa kepada-Nya. Semasa berdoa, kita menerima “kesejahteraan daripada Tuhan” yang menjaga hati dan minda kita. (Flp. 4:​6, 7) Perhatikan pengalaman Artem, seorang saudara yang dipenjarakan kerana imannya. Dia berulang kali disoal siasat oleh seorang pegawai yang sangat garang. Pegawai itu asyik memberinya tekanan dan menghinanya. Artem berkata, “Saya rasa stres setiap kali saya dipanggil untuk disoal siasat. . . . Saya selalu berdoa kepada Yehuwa untuk meminta kebijaksanaan dan hati yang tenang. Hasilnya, saya tidak tunduk kepada tekanan. . . . Dengan adanya bantuan Yehuwa, saya rasa seperti dilindungi oleh tembok batu.”

6. Mengapakah Yehuwa sentiasa dapat diharapkan? (Yesaya 26:​3, 4)

6 Yehuwa dapat diharapkan. Seperti gunung batu yang kukuh dan teguh, Yehuwa selalu ada bersama kita. Kita dapat mempercayai-Nya kerana Dia ialah “Gunung Batu yang abadi.” (Baca Yesaya 26:​3, 4.) Dia sentiasa hidup, jadi Dia dapat menunaikan janji-Nya, mendengar doa kita, dan memberi kita sokongan. Kita juga dapat bergantung pada-Nya kerana Dia setia kepada penyembah-Nya. (2 Sam. 22:26) Dia tidak akan lupa kerja yang telah kita lakukan, dan Dia pasti memberi kita ganjaran.​—Ibr. 6:10; 11:6.

7. Apakah yang akan kita sedar semasa kita bergantung pada Yehuwa? (Lihat juga gambar.)

7 Kita menjadikan Yehuwa Gunung Batu kita semasa kita bergantung sepenuhnya pada-Nya. Kita yakin bahawa jika kita mematuhi-Nya biarpun susah, kita akan meraih manfaat. (Yes. 48:​17, 18) Apabila kita merasai sokongan Yehuwa, keyakinan kita terhadap-Nya akan bertumbuh. Dengan itu, kita bersedia untuk menghadapi apa-apa cabaran. Jika kita menghadapi situasi di mana tiada orang dapat membantu kita, kita akan sedar bahawa Yehuwa sahajalah yang betul-betul dapat diharapkan. Inilah pengalaman Vladimir. Dia berkata, “Semasa di penjara, masa itulah saya rasa paling rapat dengan Yehuwa. Saya belajar untuk bergantung sepenuhnya pada Yehuwa kerana saya bersendirian dan situasi saya di luar kawalan saya.”

Kita menjadikan Yehuwa Gunung Batu kita apabila kita bergantung sepenuhnya pada-Nya (Lihat perenggan 7)


8. (a) Mengapakah Yehuwa adalah seperti batu besar yang stabil? (b) Apakah manfaat yang kita raih kerana Tuhan ialah Gunung Batu kita? (Mazmur 62:​6, 7)

8 Yehuwa tidak berubah-ubah. Seperti batu besar yang stabil, keperibadian dan tujuan Yehuwa tidak berubah-ubah. (Mal. 3:6) Contohnya, semasa berlakunya pemberontakan di Taman Eden, Yehuwa tidak membatalkan tujuan-Nya bagi manusia. Rasul Paulus menulis bahawa Yehuwa “tidak dapat bertindak dalam cara yang bertentangan dengan diri-Nya sendiri.” (2 Tim. 2:13) Maksudnya, tidak kira apa yang terjadi atau apa yang dilakukan orang lain, sifat-sifat, tujuan, dan standard Yehuwa, akan tetap sama. Memandangkan Tuhan kita tidak berubah-ubah, kita yakin bahawa Dia pasti membantu kita menghadapi kesusahan dan menunaikan janji-Nya untuk menyelamatkan kita.​—Baca Mazmur 62:​6, 7.

9. Apakah yang anda pelajari daripada pengalaman Tatyana?

9 Jika kita merenungkan sifat-sifat Yehuwa dan tujuan-Nya bagi manusia dan bumi, kita akan lebih mempercayai-Nya sebagai Gunung Batu kita. Dengan demikian, kita akan tetap tenang dan setia kepada Yehuwa semasa menghadapi cabaran. (Mzm. 16:8) Perhatikan contoh Saudari Tatyana, yang ditahan di rumah sendiri kerana imannya. Dia berkata, “Situasi saya sangat susah pada mulanya. Saya dikurung seorang diri dan saya selalu rasa tawar hati.” Namun, apabila dia merenungkan kaitan antara cubaannya dengan Yehuwa dan tujuan-Nya, dia berasa tenang dan dapat bertabah. Dia berkata, “Apabila saya faham apa yang berlaku dan sedar bahawa apa yang saya lalui adalah untuk Yehuwa, saya tidak lagi memikirkan diri sendiri.”

10. Bagaimanakah kita dapat menjadikan Yehuwa Gunung Batu kita sekarang?

10 Tidak lama lagi, kita akan menghadapi cabaran yang sangat besar. Ketika itu, hanya Yehuwa yang dapat membantu kita. Maka sekaranglah masanya untuk menguatkan keyakinan kita bahawa Yehuwa pasti membantu kita bertabah. Bagaimana? Bacalah kisah Bible dan pengalaman moden para Saksi. Perhatikan bagaimana Yehuwa menjadi Gunung Batu mereka dan menyokong mereka. Fikirlah secara mendalam tentang kisah-kisah itu. Dengan demikian, anda menjadikan Yehuwa Gunung Batu anda.

MENIRU SIFAT YEHUWA YANG BAGAIKAN BATU

11. Mengapakah kita mahu meniru sifat Yehuwa yang bagaikan batu? (Lihat juga kotak “ Matlamat bagi Saudara Muda.”)

11 Setelah memahami bagaimana Yehuwa adalah seperti Gunung Batu, fikirkan juga bagaimana kita dapat meniru sifat-Nya. Dengan meniru sifat-sifat Yehuwa, kita dapat menguatkan rakan seiman kita. Yesus memanggil Simon sebagai Kefas (yang diterjemahkan sebagai “Petrus”), yang bermaksud “Seketul Batu.” (Yoh. 1:42) Dia tahu Petrus akan melegakan dan menguatkan rakan seimannya. Para penatua digambarkan sebagai “batu besar” kerana mereka melindungi saudara saudari. (Yes. 32:2) Biarpun kita bukan penatua, kita dapat menggalakkan satu sama lain dengan meniru sifat-sifat Yehuwa.​—Ef. 5:1.

12. Apakah beberapa cara kita dapat menjadi tempat perlindungan bagi orang lain?

12 Jadilah tempat perlindungan. Ada kalanya, kita dapat menyediakan tempat perlindungan bagi saudara saudari yang menjadi mangsa bencana alam, pergolakan sivil, atau peperangan. Apabila keadaan hidup pada “hari-hari terakhir” semakin teruk, kita akan ada semakin banyak peluang untuk membantu satu sama lain. (2 Tim. 3:1) Kita juga dapat menyediakan tempat perlindungan dari segi emosi dan rohani. Contohnya, kita dapat mewujudkan suasana yang mesra di sidang dan mengalu-alukan rakan seiman kita. Ingatlah, saudara saudari kita dikelilingi orang yang tidak berhati perut dan tidak pengasih. Jadi semasa mereka datang ke perjumpaan, kita mahu membuat mereka berasa selamat, dikasihi, dan disegarkan.

13. Bagaimanakah para penatua dapat menjadi tempat perlindungan bagi saudara saudari? (Lihat juga gambar.)

13 Para penatua dapat menjadi tempat perlindungan bagi saudara saudari yang menghadapi pelbagai cubaan. Apabila bencana alam atau kecemasan perubatan berlaku, para penatua mengambil inisiatif untuk mengaturkan bantuan fizikal dan rohani. Saudara saudari akan lebih sudi menghampiri penatua yang lemah lembut, bersikap empati, dan sudi mendengar luahan mereka. Sifat-sifat sebegitu membantu saudara saudari berasa dikasihi dan memudahkan mereka untuk menerapkan nasihat Bible yang diberikan oleh penatua.​—1 Tes. 2:​7, 8, 11.

Para penatua dapat menjadi tempat perlindungan bagi saudara saudari yang menghadapi pelbagai cubaan (Lihat perenggan 13) a


14. Bagaimanakah kita dapat menunjukkan bahawa kita boleh diharapkan?

14 Jadilah orang yang boleh diharapkan. Kita mahu menjadi orang yang boleh diharapkan, terutamanya semasa orang lain menghadapi masalah. (Ams. 17:17) Bagaimana? Kita boleh berusaha untuk meniru sifat-sifat Tuhan secara konsisten, seperti selalu menepati janji dan menepati masa. (Mat. 5:37) Kita juga boleh memberikan bantuan praktikal semasa orang lain memerlukannya. Selain itu, kita mahu mengikut semua arahan yang diberikan semasa menyelesaikan tugas.

15. Apakah manfaat yang diraih oleh sidang jika para penatua boleh diharapkan?

15 Para penatua yang boleh diharapkan membawa manfaat kepada sidang. Bagaimana? Jika saudara saudari tahu bahawa mereka dapat menghubungi para penatua pada bila-bila masa, contohnya penyelia kumpulan mereka, mereka akan berasa dikasihi. Mereka juga berasa dikasihi jika mereka tahu bahawa para penatua sedia membantu mereka. Selain itu, apabila para penatua memberikan nasihat berdasarkan Bible dan bahan bacaan kita dan bukannya mengikut pandangan sendiri, rakan seiman mereka akan mempercayai mereka. Tambahan lagi, jika para penatua sentiasa mengotakan janji dan tidak membongkar maklumat peribadi saudara saudari, saudara saudari akan lebih mempercayai mereka.

16. Apakah manfaatnya bagi diri kita dan orang lain jika kita menjadi orang yang stabil?

16 Jadilah orang yang stabil dan tidak berubah-ubah. Jika kita sentiasa mematuhi Yehuwa dan membuat keputusan berdasarkan prinsip Bible, kita dapat menjadi teladan bagi orang lain. Apabila iman kita semakin kuat dan pengetahuan Bible kita semakin bertambah, kita akan semakin teguh dalam kebenaran. Kita tidak akan menjadi orang yang tidak tetap pendirian, senang tergoyah, atau diumbang-ambingkan oleh ajaran palsu dan pemikiran dunia. (Ef. 4:14; Yak. 1:​6-8) Iman kita kepada Yehuwa dan janji-janji-Nya akan membantu kita tetap bertenang semasa menerima berita buruk. (Mzm. 112:​7, 8) Kita juga dapat membantu orang lain yang menghadapi cubaan.​—1 Tes. 3:​2, 3.

17. Bagaimanakah para penatua dapat menstabilkan sidang?

17 Para penatua haruslah bersikap sederhana dalam segala hal, berfikiran sihat, bertatatertib, dan munasabah. Mereka menstabilkan dan menguatkan sidang dengan “berpegang teguh pada firman yang dapat dipercayai.” (Tit. 1:9; 1 Tim. 3:​1-3) Menerusi teladan mereka dan kerja penggembalaan, para penatua membantu penyiar untuk menghadiri perjumpaan, menginjil, dan mengadakan pembelajaran peribadi secara tetap. Apabila saudara saudari menghadapi masalah yang membuat mereka risau, para penatua mengingatkan mereka untuk bergantung pada Yehuwa dan berfokus kepada janji-janji-Nya.

18. Mengapakah kita mahu memuji Yehuwa dan semakin menghampiri-Nya? (Lihat juga kotak “ Cara untuk Lebih Menghampiri Yehuwa.”)

18 Selepas membincangkan sifat-sifat Yehuwa yang mengagumkan, kita terdorong untuk berkata seperti Raja Daud, “Pujilah Yehuwa, Gunung Batuku.” (Mzm. 144:1) Yehuwa sentiasa dapat diharapkan. Sepanjang hayat kita, Dia akan terus membantu kita menghampiri-Nya, bahkan semasa kita sudah tua. Semoga kita berkata dengan yakin, “Dialah Gunung Batuku.”​—Mzm. 92:​14, 15.

LAGU 150 Carilah Tuhan agar Diselamatkan

a KETERANGAN GAMBAR: Semasa di Dewan Perjumpaan, seorang saudari berasa selesa untuk meminta bantuan daripada dua orang penatua.