KISAH HIDUP
Yehuwa Telah Menjawab Doa Saya
SEMASA berumur 10 tahun, saya melihat bintang-bintang di langit malam dan berlutut lalu berdoa kepada Yehuwa. Saya baru sahaja belajar tentang-Nya, tetapi saya beritahu-Nya segala isi hati dan kekhuatiran saya. Demikianlah bermulanya persahabatan saya dengan Yehuwa, Tuhan “Pendengar doa.” (Mzm. 65:2) Mengapakah saya berdoa kepada Tuhan yang baru saya kenal? Biar saya ceritakan.
LAWATAN YANG MENGUBAH HIDUP SAYA
Saya lahir pada 22 Disember 1929 di Noville, sebuah kampung kecil yang terletak dekat Bastogne di kawasan Ardennes Belgium. Di kampung saya ada sembilan ladang, dan saya mempunyai kenangan indah bersama ibu bapa di ladang kami. Adik lelaki saya Raymond dan saya memerah susu lembu setiap hari dengan tangan dan membantu dalam kerja tuaian. Semua orang di kampung sangat rapat dan selalu saling membantu.
Ibu bapa saya, Emile dan Alice, kuat beragama Katolik dan menghadiri Misa setiap hari Ahad. Tetapi sekitar tahun 1939, para perintis dari England melawat kampung kami dan menanya bapa saya jika dia mahu menerima majalah Consolation (kini dipanggil Sedarlah!) secara tetap. Selepas membacanya, bapa saya sedar inilah kebenaran dan mula membaca Bible. Apabila bapa saya berhenti menghadiri Misa, jiran-jiran kami yang dulunya ramah menentangnya dengan kuat. Mereka memberikan tekanan kepada bapa saya untuk terus menjadi orang Katolik, dan mereka sering berdebat dengannya.
Saya sangat sedih semasa melihat bapa saya ditentang. Hal ini mendorong saya untuk berdoa kepada Yehuwa, seperti yang disebutkan di awal rencana ini. Apabila tentangan daripada jiran kami beransur-ansur reda, saya berasa sangat gembira. Saya yakin bahawa Yehuwa ialah “Pendengar doa.”
KEHIDUPAN SEMASA PERANG DUNIA KEDUA
Pada 10 Mei 1940, Nazi Jerman telah menyerang Belgium, dan banyak orang terpaksa melarikan diri. Keluarga kami melarikan diri ke selatan Perancis. Dalam perjalanan, kami melalui banyak tempat di mana tentera Jerman dan tentera Perancis bertempur dengan sengit.
Semasa kembali ke ladang kami, kami mendapati kebanyakan barang kami sudah dicuri. Hanya anjing kami Bobbie yang menunggu kepulangan kami. Kejadian itu membuat saya terfikir, “Mengapa ada peperangan dan penderitaan?”
Sekitar masa itu, kami menerima banyak galakan daripada Saudara Emile Schrantz, a seorang penatua dan perintis yang setia. Dia menjelaskan daripada Bible mengapa penderitaan berlaku dan menjawab soalan saya yang lain tentang kehidupan. Hasilnya, persahabatan saya dengan Yehuwa bertambah kukuh, dan saya yakin bahawa Dia ialah Tuhan yang pengasih.
Bahkan sebelum perang berakhir, keluarga kami dapat bergaul dengan lebih kerap bersama para Saksi. Pada Ogos 1943, Saudara José-Nicolas Minet datang ke ladang kami untuk beri ceramah. Semasa ceramahnya, dia bertanya, “Siapakah yang mahu dibaptis?” Bapa saya angkat tangan, dan saya pun angkat tangan. Kami telah dibaptis di sungai kecil berdekatan ladang kami.
Pada Disember 1944, tentera Jerman melancarkan serangan besar-besaran yang terakhir di barat Eropah. Perang itu dikenali sebagai Pertempuran Bulge. Perang itu berlaku berdekatan tempat tinggal kami, jadi kami perlu berkurung dalam bilik bawah tanah untuk kira-kira sebulan. Suatu hari, semasa saya keluar untuk beri haiwan peliharaan makanan, ladang kami dibedil bom, dan bumbung bangsal kami telah hancur. Seorang askar Amerika di kandang berdekatan berteriak, “Cepat meniarap!” Saya berlari dan meniarap di sebelahnya, dan dia menggunakan topi besinya untuk melindungi kepala saya.
KEMAJUAN ROHANI
Selepas Perang Dunia Kedua berakhir, kami dapat menghubungi sebuah sidang di Liège secara kerap. Sidang itu terletak kira-kira 90 kilometer di utara kampung kami. Beberapa lama kemudian, kami menubuhkan sebuah kumpulan pembelajaran yang kecil di Bastogne. Saya mula bekerja dalam bidang pentadbiran cukai dan berpeluang untuk belajar undang-undang. Kemudian saya bekerja di pejabat pihak kerajaan tempatan. Pada tahun 1951, kami mengadakan sebuah perhimpunan litar yang kecil di Bastogne. Kira-kira 100 orang hadir, termasuk seorang perintis yang bersemangat, iaitu Elly Reuter. Dia telah berbasikal sejauh
50 kilometer untuk hadir. Tidak lama kemudian, kami jatuh cinta dan bertunang. Ketika itu, Elly menerima jemputan untuk menghadiri Sekolah Gilead di Amerika Syarikat. Maka dia menulis kepada ibu pejabat sedunia untuk menjelaskan mengapa dia tidak dapat menerima jemputan itu. Pada masa itu, Saudara Knorr sedang mengambil pimpinan dalam kalangan umat Yehuwa. Dia membalas surat Elly dan berkata bahawa suatu hari nanti, Elly mungkin dapat menghadiri Sekolah Gilead bersama suaminya. Kami berkahwin pada Februari 1953.Pada tahun yang sama, Elly dan saya menghadiri perhimpunan New World Society yang diadakan di Stadium Yankee, New York. Di sana, saya berjumpa dengan seorang saudara yang menawarkan kerja yang bagus dan menjemput saya untuk berpindah ke Amerika Syarikat. Selepas berdoa kepada Yehuwa, saya dan Elly membuat keputusan untuk menolak tawaran itu dan kembali ke Belgium untuk menyokong kumpulan kecil di Bastogne yang hanya ada kira-kira 10 orang penyiar. Tahun berikutnya, kami dikurniai seorang anak lelaki, dan kami menamakannya Serge. Sedihnya, tujuh bulan kemudian, Serge jatuh sakit dan meninggal. Kami meluahkan kesedihan kami kepada Yehuwa dalam doa dan dikuatkan oleh harapan pembangkitan.
KHIDMAT SEPENUH MASA
Pada Oktober 1961, saya menjumpai kerja separuh masa yang membolehkan saya merintis. Namun pada hari yang sama, saya menerima panggilan telefon daripada pembantu cawangan Belgium. Dia menanya jika saya dapat mula berkhidmat sebagai pembantu litar (kini dipanggil penyelia litar). Tetapi saya menjawab, “Bolehkah kami merintis dulu sebelum menerima tugasan ini?” Dia bersetuju. Maka selepas merintis selama lapan bulan, kami mula melakukan kerja litar pada September 1962.
Dua tahun kemudian, pada Oktober 1964, kami dijemput untuk berkhidmat di Bethel di Brussel. Tugasan ini membawa banyak berkat. Tidak lama selepas Saudara Knorr melawat Bethel di Brussel pada tahun 1965, saya dilantik sebagai pembantu cawangan. Kemudian, saya dan Elly dijemput untuk menghadiri kelas Gilead yang ke-41. Kata-kata Saudara Knorr 13 tahun lalu telah menjadi kenyataan! Selepas tamat Sekolah Gilead, kami kembali ke Bethel di Brussel.
MEMPERTAHANKAN HAK UMAT YEHUWA
Selama bertahun-tahun, saya berpeluang untuk menggunakan kemahiran saya dalam bidang perundangan untuk mempertahankan hak beribadat Saksi-Saksi Yehuwa di Eropah dan negara lain. (Flp. 1:7) Hasilnya, saya telah berjumpa dengan pegawai dari lebih daripada 55 negara di mana kerja kita disekat atau diharamkan. Saya selalu memperkenalkan diri sebagai “hamba Tuhan” dan bukannya ahli perundangan. Saya yakin dengan kata-kata Bible yang menyatakan bahawa “hati raja [atau hakim] bagaikan air sungai yang mengalir. Yehuwa dapat menentukan alirannya ke mana sahaja yang diinginkan-Nya.”—Ams. 21:1.
Roma 13:4 kepadanya. Dia seorang Protestan dan menghormati Bible, maka ayat itu telah menarik perhatiannya. Hasilnya, kami berbual selama 30 minit. Perbualan kami berjalan lancar, dan dia bahkan kata dia menghormati para Saksi kerana kerja yang mereka lakukan.
Satu pengalaman yang masih saya ingat ialah semasa saya perlu berurusan dengan seorang ahli Parlimen Eropah. Saya telah memohon beberapa kali untuk bercakap dengannya, dan akhirnya dia setuju untuk berjumpa dengan saya. Dia berkata, “Kamu hanya ada lima minit, dan tidak seminit lebih daripada itu.” Pada saat itu, saya tunduk dan mula berdoa. Ahli parlimen itu keliru lalu bertanya, “Apa yang sedang kamu buat?” Saya melihat ke arahnya dan berkata, “Saya sedang mengucapkan syukur kepada Tuhan kerana tuan ialah salah seorang hamba-Nya.” Dia berkata, “Apakah maksud kamu?” Saya menunjukkan ayatSelama bertahun-tahun, umat Yehuwa di Eropah telah membawa banyak kes ke mahkamah yang berkaitan dengan isu keneutralan, hak penjagaan anak, cukai, dan sebagainya. Saya berpeluang untuk membantu dalam banyak kes dan melihat dengan mata sendiri bagaimana Yehuwa memberi kita kejayaan dan kemenangan. Umat Tuhan telah memenangi lebih daripada 140 kes di Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah!
KEBEBASAN BERIBADAT DI CUBA
Pada tahun 1990-an, saya bekerja bersama Saudara Philip Brumley dari ibu pejabat sedunia dan Saudara Valter Farneti dari Itali, untuk memohon agar saudara saudari kita di Cuba diberi lebih banyak kebebasan beribadat. Saya menulis kepada kedutaan Cuba di Belgium dan berjumpa dengan pegawai di situ beberapa kali. Tetapi kami tidak dapat menyelesaikan isu-isu yang menyebabkan kerajaan Cuba menyekat aktiviti Saksi.
Selepas berdoa meminta bimbingan Yehuwa, kami memohon izin daripada kerajaan Cuba untuk menghantar 5,000 naskhah Bible ke situ. Permohonan kami diluluskan, dan Bible itu diedarkan kepada saudara saudari. Kami rasa Yehuwa sedang memberkati usaha kami, jadi kami memohon izin lagi untuk menghantar 27,500 naskhah Bible. Permohonan ini juga diluluskan. Saya sangat gembira kerana dapat membantu saudara saudari di Cuba untuk mendapat Bible masing-masing.
Saya pernah melawat Cuba banyak kali untuk mempertahankan hak beribadat kita di situ. Oleh itu, saya berpeluang menjalin hubungan yang baik dengan banyak pegawai kerajaan.
MEMBANTU SAUDARA SAUDARI DI RWANDA
Pada tahun 1994, lebih daripada 1,000,000 orang terkorban akibat pembunuhan kaum Tutsi di Rwanda.
Sedihnya, beberapa rakan seiman kita telah dibunuh. Tidak lama kemudian, sekumpulan saudara mula mengaturkan bantuan untuk saudara saudari di situ.Semasa kami tiba di Kigali, iaitu ibu kota Rwanda, kami mendapati pejabat terjemahan dan stor bahan bacaan penuh dengan kesan tembakan peluru. Kami dengar banyak cerita sedih tentang saudara saudari yang mati ditetak parang. Tetapi kami juga dengar tentang kasih yang ditunjukkan oleh rakan seiman. Misalnya, kami berjumpa dengan seorang saudara berbangsa Tutsi yang bersembunyi dalam lubang di bawah tanah selama 28 hari dan dijaga oleh keluarga Saksi berbangsa Hutu. Semasa sebuah perjumpaan di Kigali, kami berusaha melegakan dan menggalakkan lebih daripada 900 orang saudara saudari.
Selepas itu, kami menyeberangi sempadan ke Zaire (kini Republik Demokratik Congo) untuk mencari sekumpulan besar Saksi dari Rwanda yang telah melarikan diri ke kem pelarian dekat Goma. Kami tidak dapat menemui mereka, jadi kami berdoa meminta bantuan Yehuwa. Kemudian kami nampak seorang lelaki berjalan ke arah kami, dan kami tanya jika dia mengenali siapa-siapa yang merupakan Saksi. Dia menjawab, “Saya seorang Saksi, dan saya akan bawa kamu jumpa jawatankuasa bantuan bencana.” Selepas pertemuan yang menggalakkan bersama mereka, kami berjumpa dengan kira-kira 1,600 orang pelarian untuk memberi mereka kelegaan dan galakan. Kami juga mengongsi sepucuk surat daripada Badan Pimpinan. Saudara saudari di situ sangat tersentuh semasa mendengar galakan berikut: “Kami selalu berdoa untukmu. Kami tahu Yehuwa tidak akan meninggalkanmu.” Kata-kata itu memang benar. Hari ini, terdapat lebih daripada 30,000 orang Saksi di Rwanda yang menyembah Yehuwa dengan sukacita!
BERTEKAD UNTUK TETAP SETIA
Selepas berkahwin untuk hampir 58 tahun, Elly meninggal pada tahun 2011. Saya berdoa kepada Yehuwa untuk meluahkan kesedihan saya, dan Dia melegakan hati saya. Saya juga mendapat kelegaan semasa mengongsikan berita baik kepada orang lain.
Kini, saya sudah berumur lebih daripada 90 tahun, dan saya masih menginjil setiap minggu. Saya gembira dapat membantu Bahagian Perundangan di pejabat cawangan Belgium, mengongsi pengalaman saya dengan orang lain, dan menggembala ahli Bethel yang muda.
Sekitar 84 tahun lalu, saya berdoa kepada Yehuwa buat kali pertama. Doa itu menandakan bermulanya persahabatan saya dengan Yehuwa yang makin hari makin erat. Saya amat bersyukur kerana Yehuwa telah menjawab doa saya sepanjang hidup saya.—Mzm. 66:19. b