Pertanyaan Pembaca
Mengapakah frasa “Engkau akan menjaga mereka” di Mazmur 12:7 merujuk kepada “orang yang ditindas” (ayat 5) dan bukannya “Firman Yehuwa” (ayat 6)?
Perhatikan konteks mazmur ini.
Mazmur 12:1-4 kata bahawa “orang yang dapat dipercayai sudah lenyap.” Sekarang, perhatikan Mazmur 12:5-7.
“‘Aku akan bangkit dan bertindak
Demi orang yang ditindas
Dan demi orang miskin yang berkeluh-kesah.
Aku akan menyelamatkan mereka daripada orang yang membenci mereka.’
Firman Yehuwa itu murni,
Seperti perak yang dimurnikan di dalam relau sebanyak tujuh kali.
Ya Yehuwa, Engkau akan menjaga mereka;
Engkau akan sentiasa melindungi mereka semua daripada generasi yang jahat ini.”
Ayat 5 menyatakan bahawa Tuhan akan menyelamatkan “orang yang ditindas.”
Kemudian ayat 6 menyatakan bahawa “Firman Yehuwa itu murni, seperti perak yang dimurnikan.” Semua orang Kristian pasti setuju dengan kata-kata ini.—Mzm. 18:30; 119:140.
Kemudian, Mazmur 12:7 kata, “Ya Yehuwa, Engkau akan menjaga mereka; Engkau akan sentiasa melindungi mereka.” Bagaimanakah kita tahu bahawa yang dijaga atau dilindungi itu ialah “orang yang ditindas” dan bukannya “Firman Yehuwa”?
Sesetengah orang berfikir bahawa yang dijaga itu ialah “Firman Yehuwa” kerana ayat 6 baru menyebut tentangnya. Memang benar, Tuhan telah menjaga dan memelihara Firman-Nya Bible meskipun banyak orang cuba mengharamkan dan membinasakannya.—Yes. 40:8; 1 Ptr. 1:25.
Namun, apa yang dikatakan di ayat 5 juga benar. Yehuwa pernah dan akan terus membantu dan menyelamatkan orang “yang berkeluh-kesah” dan “yang ditindas.”—Ayb. 36:15; Mzm. 6:4; 31:1, 2; 54:7; 145:20.
Jadi, mengapakah kita yakin bahawa apa yang dikatakan di ayat 7 merujuk kepada orang?
Kita perlu lihat konteks Mazmur 12.
Di ayat 1, Daud menulis bahawa dia dan orang lain sangat menderita kerana kebanyakan manusia tidak setia dan tidak jujur. Kemudian, dia menulis bahawa Yehuwa akan menghapuskan orang yang tidak mengawal lidah mereka. Mazmur ini memberikan jaminan bahawa Tuhan pasti bertindak demi umat-Nya kerana firman-Nya itu murni.
Oleh itu, kita dapat menyimpulkan bahawa yang akan dijaga dan dilindungi oleh Yehuwa di ayat 7 ialah mereka yang ditindas oleh orang jahat.
Terjemahan ini selaras dengan teks manuskrip Masoret Ibrani. Septuagint Yunani juga menggunakan perkataan “kami” sebanyak dua kali di ayat 7 untuk merujuk kepada orang setia yang ditindas. Selain itu, ayat 7 menyatakan bahawa “mereka semua,” iaitu orang yang setia, akan dilindungi “daripada generasi yang jahat ini.” (Mzm. 12:7, 8) Dalam sebuah terjemahan bahasa Aram, ayat 7 berbunyi, “Engkau, ya TUAN, akan melindungi orang yang baik, Engkau akan melindungi mereka daripada generasi yang jahat ini buat selama-lamanya.” Ini juga membuktikan bahawa Mazmur 12:7 merujuk kepada orang.
Maka ayat ini memberikan harapan kepada “orang yang setia” bahawa Tuhan akan bertindak untuk menyelamatkan mereka.