Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Kebaikan​—Bagaimanakah Anda Dapat Memupuknya?

Kebaikan​—Bagaimanakah Anda Dapat Memupuknya?

KITA semua ingin dipandang sebagai orang yang baik. Namun, tidak mudah untuk menunjukkan kebaikan dalam dunia sekarang. Ramai orang “tidak mencintai kebaikan.” (2 Tim. 3:3) Mereka menolak piawaian Yehuwa dan mengatakan bahawa “yang baik itu jahat dan yang jahat itu baik.” (Yes. 5:20) Selain itu, pengalaman buruk dan ketidaksempurnaan kita juga menghalang kita daripada berbuat baik. Kita mungkin berasa seperti Anne. * Walaupun dia sudah menyembah Yehuwa selama puluhan tahun, dia berkata, “Saya berasa susah untuk percaya bahawa saya dapat menjadi orang yang baik.”

Namun begitu, kita semua dapat memupuk kebaikan! Sifat ini dihasilkan oleh kuasa suci Tuhan, yang jauh lebih berkuasa daripada semua halangan yang disebut tadi. Mari kita mengkaji sifat kebaikan dengan lebih teliti dan melihat cara untuk menunjukkannya dengan lebih baik.

APAKAH ITU KEBAIKAN?

Orang yang memiliki sifat kebaikan akan berkelakuan murni. Dia hidup bermoral dan menjauhi apa sahaja yang jahat atau buruk, dan dia sentiasa mencari peluang untuk berbuat baik dan membantu orang lain.

Sesetengah orang sangat suka membantu keluarga dan kawan. Namun, untuk menjadi orang yang baik dalam mata Yehuwa, sekadar menolong keluarga dan kawan tidak cukup. Memang benar, kita tidak dapat menunjukkan kebaikan dengan seratus peratus. Bible menyatakan, “Tiada orang baik di bumi yang selalu berbuat baik dan tidak pernah berdosa.” (Pkh. 7:20) Rasul Paulus juga mengaku, “Aku tahu bahawa tidak ada sesuatu pun yang baik dalam diriku.” (Rm. 7:18) Oleh itu, jika kita ingin memupuk sifat kebaikan, kita mesti meminta bantuan Yehuwa, Sumber segala kebaikan.

“YA YEHUWA, ENGKAU BAIK”

Tuhan Yehuwa menetapkan piawaian bagi apa yang baik. Bible menyatakan, “Engkau baik dan segala perbuatan-Mu juga baik; ajarlah aku tentang peraturan-Mu.” (Mzm. 119:68) Mari kita lihat dua aspek kebaikan Yehuwa yang disebut dalam ayat itu.

Yehuwa baik. Sifat kebaikan tersulam dalam keperibadian Yehuwa. Semasa Yehuwa menyatakan kemuliaan-Nya kepada Musa, termasuk sifat kebaikan-Nya, Dia mengisytiharkan, “Akulah Yehuwa, Tuhan yang penuh rahmat dan belas kasihan. Akulah Yehuwa, Tuhan yang tidak cepat murka. Aku berpegang pada kebenaran dan menunjukkan kasih setia yang melimpah. Aku menunjukkan kasih setia kepada beribu-ribu generasi. Aku mengampunkan kesalahan dan dosa, tetapi Aku tidak akan membiarkan orang yang bersalah bebas daripada hukuman.” (Kel. 33:19; 34:6, 7) Jelaslah, kebaikan Yehuwa dinyatakan dengan sepenuhnya dalam segala hal. Semasa di bumi, Yesus menunjukkan kebaikan dengan sempurna, tetapi dia masih mengaku, “Tiada seorang pun yang baik kecuali Tuhan.”​—Luk. 18:19.

Ciptaan Yehuwa menonjolkan kebaikan-Nya

Perbuatan Yehuwa baik. Semua perbuatan Yehuwa menonjolkan kebaikan-Nya. “Ya Yehuwa, Engkau baik kepada semua orang, dan belas kasihan-Mu nyata dalam segala perbuatan-Mu.” (Mzm. 145:9) Yehuwa menunjukkan sifat kebaikan tanpa berat sebelah. Dia memberi semua orang nyawa dan memelihara kehidupan mereka. (Kis. 14:17) Yehuwa juga menunjukkan kebaikan-Nya dengan rela mengampuni kita. Pemazmur menulis, “Ya Yehuwa, Engkau baik dan suka mengampuni.” (Mzm. 86:5) Kita dapat yakin bahawa “Yehuwa tidak akan menahan apa-apa yang baik daripada orang yang berjalan dengan integriti.”​—Mzm. 84:11.

“BELAJARLAH BERBUAT BAIK”

Kita diciptakan menurut gambaran Tuhan. Oleh itu, kita mampu berbuat baik dan menjadi orang yang baik. (Kej. 1:27) Namun, kita perlu ‘belajar untuk berbuat baik.’ (Yes. 1:17) Bagaimana? Perhatikan tiga cara.

Pertama, berdoalah untuk meminta kuasa suci. Kuasa suci Tuhan dapat membantu orang Kristian memupuk kebaikan yang diingini Tuhan. (Gal. 5:22) Kuasa itu dapat membantu kita agar mencintai apa yang baik dan menolak apa yang jahat. (Rm. 12:9) Bible menyatakan bahawa Yehuwa dapat meneguhkan kita agar kita “sentiasa dapat melakukan dan mengatakan apa yang baik.”​—2 Tes. 2:16, 17.

Kedua, bacalah Firman Tuhan. Dengan itu, Yehuwa dapat mengajar dan melatih kita untuk melakukan “setiap perbuatan yang baik.” (2 Tim. 3:17) Apabila kita membaca dan merenungkan Bible, hati kita akan diisi dengan hal-hal yang baik tentang Tuhan dan kehendak-Nya. Dengan itu, kita seolah-olah menambahkan harta karun rohani kita untuk digunakan pada kemudian hari.​—Luk. 6:45; Ef. 5:9.

Ketiga, berusahalah untuk ‘meniru apa yang baik.’ (3 Yoh. 11) Terdapat banyak contoh yang baik dalam Bible. Sudah pasti, Yehuwa dan Yesus ialah contoh yang terunggul, tetapi kita juga dapat memikirkan contoh orang lain yang dikenali kerana kebaikan mereka, seperti Tabita dan Barnabas. (Kis. 9:36; 11:22-24) Semasa mengkaji kisah mereka, perhatikan bagaimana mereka membantu orang lain, dan fikirlah bagaimana anda juga dapat berbuat demikian untuk keluarga dan ahli sidang. Lihatlah manfaat yang diraih oleh Tabita dan Barnabas kerana sering berbuat baik, dan ingatlah bahawa anda juga dapat meraih manfaat yang sama.

Kita juga boleh merenungkan contoh zaman moden, seperti para penatua yang “mencintai apa yang baik,” dan saudari-saudari yang “mengajarkan apa yang baik” melalui tutur kata dan kelakuan mereka. (Tit. 1:8; 2:3) Seorang saudari yang bernama Roslyn berkata, “Sahabat saya mencurahkan usaha untuk membantu dan menggalakkan orang lain di sidang. Dia akan memikirkan keadaan mereka dan memberi mereka hadiah kecil atau bantuan yang praktikal. Saya rasa dia betul-betul orang yang baik.”

Yehuwa menggalakkan umat-Nya, “Berusahalah untuk melakukan hal yang baik.” (Amo. 5:14) Apabila kita berbuat demikian dan meraih hasilnya, kita bukan sahaja akan mencintai piawaian Tuhan, malah akan mendapat dorongan yang kuat untuk terus berbuat baik.

Kita berusaha berbuat baik dan menjadi orang yang baik

Untuk menjadi orang yang baik, kita tidak perlu melakukan sesuatu yang luar biasa atau memberikan hadiah yang mahal. Sebagai contoh, lukisan potret tidak dihasilkan dengan satu atau dua sentuhan berus, tetapi dengan banyak sentuhan berus. Begitu juga, sifat kebaikan diperlihatkan melalui banyak perbuatan yang kecil.

Bible menggesa kita agar “bersedia” berbuat baik. (2 Tim. 2:21; Tit. 3:1) Jika kita peka terhadap keadaan orang lain, kita akan menemui cara untuk melakukan sesuatu “demi kebaikan mereka, supaya mereka dikuatkan.” (Rm. 15:2) Kita mungkin dapat memberi mereka sesuatu. (Ams. 3:27) Kita boleh menjemput mereka untuk makan atau bergaul. Jika ada orang jatuh sakit, kita dapat menulis kad untuknya, melawatnya, atau menelefonnya. Ya, terdapat banyak peluang untuk mengucapkan “kata-kata baik yang dapat menguatkan orang, supaya orang yang mendengar akan mendapat manfaat.”​—Ef. 4:29.

Seperti Yehuwa, kita ingin berbuat baik tanpa berat sebelah. Cara yang terbaik untuk berbuat demikian adalah dengan memberitahu semua orang tentang berita baik Kerajaan Tuhan. Kita juga berusaha berbuat baik kepada orang yang membenci kita, seperti yang diperintahkan oleh Yesus. (Luk. 6:27) Menunjukkan kebaikan hati dan berbuat baik kepada orang lain selalu merupakan tindakan yang betul, kerana “tidak ada hukum yang melarang perkara-perkara sedemikian.” (Gal. 5:22, 23) Apabila kita berkelakuan baik meskipun dilayan dengan buruk atau dilanda kesusahan, kelakuan kita dapat menarik minat orang terhadap kebenaran dan memuliakan Tuhan.​—1 Ptr. 3:16, 17.

PERBUATAN BAIK MEMBAWA BERKAT

“Orang baik menuai berkat daripada perbuatannya.” (Ams. 14:14) Apakah sesetengah berkat itu? Apabila kita berbuat baik terhadap orang lain, mereka pun akan melayan kita dengan baik. (Ams. 14:22) Biarpun mereka tidak berbuat demikian, jika kita terus berbuat baik, kita mungkin dapat melembutkan hati mereka dan mendorong mereka untuk mengubah sikap sendiri.​—Rm. 12:20, nota kaki.

Ramai orang telah meraih manfaat kerana berhenti berbuat jahat dan berusaha berbuat baik. Nancy berkata, “Dahulu, saya bertindak melulu, hidup tidak bermoral, dan biadab. Tetapi apabila saya belajar tentang piawaian Tuhan dan berusaha berbuat baik, saya berasa lebih bahagia dan mempunyai harga diri.”

Sebab yang terpenting untuk memupuk kebaikan adalah kerana kita ingin menggembirakan Yehuwa. Biarpun orang lain tidak menyedari perbuatan kita, ingatlah bahawa Yehuwa memperhatikan setiap perbuatan dan fikiran kita yang baik. (Ef. 6:7, 8) Apakah hasilnya? “Orang baik diperkenankan oleh Yehuwa.” (Ams. 12:2) Maka, teruslah memupuk kebaikan. Yehuwa berjanji bahawa “setiap orang yang berbuat baik akan menerima kemuliaan, kehormatan, dan kedamaian.”​—Rm. 2:10.

^ per. 2 Sesetengah nama telah diubah.