Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 12

Kasih Membantu Kita Menghadapi Kebencian

Kasih Membantu Kita Menghadapi Kebencian

Aku memberi kamu perintah-perintah ini supaya kamu saling mengasihi. Jika dunia membenci kamu, ingatlah bahawa dunia sudah membenci aku sebelum membenci kamu.”​—YOH. 15:17, 18.

LAGU 129 Terus Bertahan Sampai Akhir

PENGENALAN *

1. Menurut Matius 24:9, mengapakah kita tidak berasa hairan semasa dibenci oleh dunia?

YEHUWA menciptakan kita dengan keupayaan untuk menunjukkan kasih dan keinginan untuk dikasihi. Jadi semasa kita dibenci, kita akan berasa sangat sedih dan takut. Seorang saudari di Eropah yang bernama Georgina berkata, “Semasa saya berumur 14 tahun, ibu saya membenci saya kerana saya menyembah Yehuwa. Saya berasa sedih dan sunyi, dan mula berfikir bahawa saya bukanlah orang yang baik.” * Seorang saudara yang bernama Danylo pula menulis, “Semasa askar memukul saya, memaki saya, dan mengugut saya kerana saya seorang Saksi, saya berasa takut dan dihina.” Ya, kita memang akan sakit hati semasa dibenci. Namun kita tidak berasa hairan kerana Yesus sudah menubuatkan bahawa para pengikutnya akan dibenci.​—Baca Matius 24:9.

2-3. Mengapakah para pengikut Yesus dibenci?

2 Mengapakah dunia ini membenci para pengikut Yesus? Seperti Yesus, kita “bukan sebahagian daripada dunia.” (Yoh. 15:17-19) Oleh itu, walaupun kita menghormati pihak kerajaan, kita enggan mencampuri urusan politik, menabik bendera, atau menyanyikan lagu kebangsaan. Sebaliknya, kita hanya mengaku taat setia kepada Yehuwa. Selain itu, kita menjunjung hak Tuhan untuk memerintah manusia, tetapi Syaitan dan “keturunannya” sentiasa mencabar hak itu. (Kej. 3:1-5, 15) Tambahan lagi, kita memberitahu orang bahawa Kerajaan Tuhan ialah satu-satunya penyelesaian kepada masalah manusia dan akan melenyapkan semua musuh Tuhan tidak lama lagi. (Dan. 2:44; Why. 19:19-21) Mesej ini merupakan berita baik bagi orang yang rendah hati, tetapi merupakan berita buruk bagi orang yang jahat.​—Mzm. 37:10, 11.

3 Kita juga dibenci kerana kita hidup menurut piawaian moral Tuhan yang sangat berbeza daripada piawaian moral dunia. Sebagai contoh, Tuhan telah membinasakan Sodom dan Gomora kerana penduduk di situ melakukan perbuatan seks yang sangat menjijikkan. Namun, ramai orang zaman sekarang berasa bahawa perbuatan seks sebegini tidak salah. (Yud. 7) Oleh sebab kita berpegang teguh pada piawaian moral Bible, ramai orang mengejek kita dan berkata bahawa kita berfikiran sempit.​—1 Ptr. 4:3, 4.

4. Apakah sifat-sifat yang dapat menguatkan kita semasa orang membenci kita?

4 Apakah yang dapat membantu kita untuk tetap bertabah biarpun dibenci dan dihina? Kita perlu memupuk iman yang kuat bahawa Yehuwa akan membantu kita. Iman kita bagaikan perisai yang dapat “memadamkan semua anak panah berapi daripada Si Jahat.” (Ef. 6:16) Namun, sekadar memiliki iman tidak mencukupi. Kita juga perlu memiliki kasih kerana kasih akan membantu kita menanggung segala sesuatu, menghadapi segala sesuatu dengan tabah, dan “tidak cepat naik marah.” (1 Kor. 13:4-7, 13) Sekarang, mari kita lihat bagaimana kasih kepada Yehuwa, kasih kepada rakan seiman, dan kasih kepada musuh dapat membantu kita tetap menyembah Yehuwa meskipun dibenci.

KASIH KEPADA YEHUWA MEMBANTU KITA BERTABAH

5. Bagaimanakah kasih Yesus kepada Yehuwa telah membantunya?

5 Pada malam sebelum dia dibunuh, Yesus berkata kepada para pengikutnya yang setia, “Aku melakukan apa yang diperintahkan oleh Bapa [kerana] aku mengasihi Bapa.” (Yoh. 14:31) Kasih Yesus kepada Yehuwa telah membantunya menghadapi cubaan yang berat dengan tabah. Jadi jika kita mengasihi Yehuwa, kita pun dapat bertabah.

6. Menurut Roma 5:3-5, apakah perasaan para penyembah Yehuwa semasa dunia membenci mereka?

6 Sejak dahulu lagi, kasih kepada Tuhan telah membantu para penyembah Yehuwa untuk menghadapi penganiayaan dengan tabah. Misalnya, semasa Majlis Orang Yahudi melarang para rasul menginjil, kasih kepada Tuhan telah mendorong mereka untuk “patuh kepada Tuhan sebagai pemerintah dan bukannya kepada manusia.” (Kis. 5:29; 1 Yoh. 5:3) Dewasa ini, kasih kepada Tuhan juga membantu rakan seiman kita tetap setia semasa dianiaya dengan kejam oleh kerajaan yang berpengaruh. Ya, tentangan dan penganiayaan tidak dapat mematahkan semangat umat Yehuwa. Sebaliknya, mereka berbesar hati semasa menghadapi kebencian dunia.​—Kis. 5:41; baca Roma 5:3-5.

7. Apakah sepatutnya reaksi kita semasa ditentang oleh ahli keluarga?

7 Barangkali, cabaran terbesar yang kita hadapi ialah tentangan daripada ahli keluarga. Semasa kita mula mempelajari kebenaran, ada antara mereka yang mungkin berfikir bahawa kita sudah disesatkan atau sudah gila, dan ada antara mereka yang bahkan mungkin menentang kita dengan kuat. (Bandingkan Markus 3:21.) Reaksi sebegini tidak menghairankan kerana Yesus sudah menyatakan, “Musuh seseorang ialah anggota rumah tangganya sendiri.” (Mat. 10:36) Sudah tentu, tidak kira bagaimana saudara-mara kita melayan kita, kita tidak akan memusuhi mereka. Sebaliknya, apabila kita semakin mengasihi Yehuwa, kita akan semakin mengasihi orang lain. (Mat. 22:37-39) Meskipun begitu, kita sama sekali tidak akan mengetepikan hukum dan prinsip Bible semata-mata untuk menggembirakan hati manusia.

Biarpun kita perlu menderita buat seketika, Yehuwa akan sentiasa berada di sisi kita untuk melegakan dan menguatkan kita (Lihat perenggan 8-10)

8-9. Apakah yang membantu seorang saudari untuk tetap tabah semasa ditentang dengan kuat?

8 Georgina, yang disebut tadi, telah ditentang dengan kuat oleh ibunya. Dia berkata, “Pada mulanya, saya dan ibu saya belajar Bible dengan Saksi-Saksi Yehuwa, tetapi enam bulan kemudian, semasa saya ingin menghadiri perjumpaan, dia mula menentang saya. Rupa-rupanya dia sudah dipengaruhi golongan murtad, dan dia akan mengulangi tuduhan mereka semasa bercakap dengan saya. Ibu saya juga akan menghina saya, menarik rambut saya, mencekik saya, dan membuang bahan bacaan saya. Saya telah dibaptis semasa berumur 15 tahun. Tetapi ibu saya cuba menghalang saya daripada menyembah Yehuwa. Dia telah menghantar saya ke pusat pemulihan akhlak bagi remaja bermasalah. Di situ terdapat remaja yang mengambil dadah dan melakukan jenayah. Semasa ditentang oleh orang yang sepatutnya mengasihi dan menjaga anda, hal itu memang sangat mencabar.”

9 Apakah yang membantu Georgina bertabah? Dia berkata, “Pada hari ibu saya mula menentang saya, saya baru sahaja habis membaca seluruh Bible. Saya sudah yakin sepenuhnya bahawa saya telah menjumpai kebenaran dan saya berasa sangat akrab dengan Yehuwa. Saya sering berdoa kepada-Nya, dan Dia mendengar doa saya. Semasa saya tinggal di pusat pemulihan akhlak, seorang saudari menjemput saya ke rumahnya untuk mengkaji Bible bersamanya. Selain itu, saudara saudari juga menguatkan saya dan melayan saya seperti ahli keluarga mereka. Pengalaman ini mengajar saya bahawa Yehuwa jauh lebih kuat daripada penentang kita tidak kira siapa mereka.”

10. Semasa kita ditentang, apakah yang pasti akan dilakukan oleh Yehuwa?

10 Rasul Paulus menulis bahawa tiada apa-apa pun yang dapat “memisahkan kita daripada kasih Tuhan yang ditunjukkan melalui Kristus Yesus, Tuan kita.” (Rm. 8:38, 39) Biarpun kita perlu menderita buat suatu ketika, Yehuwa akan sentiasa berada di sisi kita untuk melegakan dan menguatkan kita. Dia juga akan membantu kita menerusi keluarga rohani kita seperti yang ditunjukkan dalam pengalaman Georgina.

KASIH KEPADA RAKAN SEIMAN MEMBANTU KITA BERTABAH

11. Bagaimanakah kasih yang disebut oleh Yesus di Yohanes 15:12, 13 membantu para pengikutnya? Berikan contoh.

11 Pada malam sebelum dia dibunuh, Yesus mengingatkan para pengikutnya untuk saling mengasihi. (Baca Yohanes 15:12, 13.) Dia berbuat demikian kerana dia tahu bahawa kasih yang rela berkorban akan membantu mereka untuk tetap bersatu dan bertabah semasa dibenci dunia. Perhatikan contoh sidang di Tesalonika. Sejak sidang itu ditubuhkan, saudara saudari di situ dianiaya. Namun, mereka tetap mengasihi satu sama lain, dan mereka juga begitu setia sehingga menjadi teladan bagi orang Kristian yang lain. (1 Tes. 1:3, 6, 7) Paulus telah menggalakkan mereka untuk terus menunjukkan kasih dan berbuat demikian “dengan lebih bersungguh-sungguh lagi.” (1 Tes. 4:9, 10) Hal ini penting kerana kasih akan mendorong mereka untuk melegakan orang yang murung dan memberikan sokongan kepada orang yang lemah. (1 Tes. 5:14) Adakah mereka mengikut nasihat Paulus? Ya. Dalam surat Paulus yang kedua, yang ditulis kira-kira setahun kemudian, dia memberitahu mereka, ‘Kasih kamu semua terhadap satu sama lain semakin mendalam.’ (2 Tes. 1:3-5) Ya, kasih telah membantu mereka untuk tetap tabah semasa menghadapi kesusahan dan penganiayaan.

Kasih Kristian dapat membantu kita tetap tabah semasa dibenci (Lihat perenggan 12) *

12. Bagaimanakah saudara saudari di sebuah negara menunjukkan kasih kepada satu sama lain pada masa peperangan?

12 Perhatikan pengalaman Danylo, yang disebut tadi dan isterinya. Semasa pekan mereka dilanda peperangan, mereka terus menghadiri perjumpaan, menginjil, dan mengongsi makanan mereka dengan saudara saudari. Pada suatu hari, askar-askar yang bersenjata datang ke rumah Danylo. Danylo berkata, “Mereka menyuruh saya berhenti menjadi Saksi. Apabila saya menolak, mereka memukul saya, dan berpura-pura hendak menembak saya. Tetapi mereka hanya melepaskan tembakan di atas kepala saya. Sebelum beredar, mereka mengugut akan kembali untuk merogol isteri saya. Jadi, rakan seiman kami segera mengaturkan supaya kami menaiki kereta api ke pekan yang lain. Saya tidak akan melupakan kasih mereka. Setibanya di destinasi kami, saudara saudari di situ memberi kami makanan dan membantu saya untuk mencari pekerjaan dan tempat tinggal. Hasilnya, kami pun dapat menyediakan tempat tinggal bagi Saksi lain yang terpaksa meninggalkan tempat tinggal akibat peperangan.” Pengalaman sebegini menunjukkan bahawa kasih Kristian dapat membantu kita tetap tabah semasa dibenci.

KASIH KEPADA MUSUH MEMBANTU KITA BERTABAH

13. Bagaimanakah kuasa suci Tuhan membantu kita tetap menyembah Yehuwa bahkan sewaktu dibenci?

13 Yesus mengajar para pengikutnya untuk mengasihi musuh mereka. (Mat. 5:44, 45) Adakah hal ini mudah? Tidak. Tetapi kita dapat melakukannya dengan bantuan kuasa suci Tuhan. Buah kuasa suci Tuhan yang merangkumi sifat-sifat seperti kasih, kesabaran, kebaikan hati, kelemahlembutan, dan kawalan diri, dapat membantu kita bertabah meskipun dibenci. (Gal. 5:22, 23) Ramai penentang telah mengubah sikap mereka, dan ada yang bahkan menjadi saudara saudari kita setelah melihat bagaimana suami, isteri, anak, atau jiran mereka, menunjukkan sifat-sifat yang disebut tadi. Jadi, jika anda berasa susah untuk mengasihi orang yang membenci anda kerana anda menyembah Yehuwa, berdoalah meminta kuasa suci Tuhan. (Luk. 11:13) Selain itu, yakinlah sepenuhnya bahawa cara Yehuwa sentiasa merupakan cara yang terbaik untuk diikuti.​—Ams. 3:5-7.

14-15. Bagaimanakah nasihat di Roma 12:17-21 membantu Yasmeen untuk menunjukkan kasih kepada suaminya yang menentangnya?

14 Perhatikan contoh Yasmeen, yang tinggal di Timur Tengah. Semasa dia menjadi seorang Saksi, suaminya berfikir bahawa dia sudah ditipu lalu mencuba menghalangnya daripada menyembah Tuhan. Suami Yasmeen menghinanya dan menyuruh saudara-mara, pemimpin agama, dan bomoh, untuk mengugutnya dan menuduhnya memecahbelahkan keluarganya. Pernah sekali, suaminya bahkan datang ke perjumpaan untuk menengking saudara saudari! Yasmeen sering menangis kerana dilayan dengan begitu buruk.

15 Semasa di Dewan Perjumpaan, keluarga rohani Yasmeen telah melegakan dan menguatkannya. Para penatua juga menggalakkannya untuk menerapkan nasihat di Roma 12:17-21. (Baca.) Yasmeen berkata, “Saya berasa susah untuk mengikut nasihat itu. Jadi saya memohon bantuan Yehuwa dan cuba sedaya upaya untuk menerapkan nasihat Bible. Semasa suami saya sengaja membuang tanah di atas lantai dapur, saya membersihkan lantai. Semasa dia menghina saya, saya menjawab dengan lembut, dan semasa dia sakit, saya menjaganya.”

Jika kita menunjukkan kasih kepada para penentang, kita mungkin dapat mengubah sikap mereka (Lihat perenggan 16-17) *

16-17. Apakah yang anda pelajari daripada pengalaman Yasmeen?

16 Yasmeen diberkati kerana menunjukkan kasih kepada suaminya. Dia berkata, “Suami saya mula lebih mempercayai saya kerana dia tahu saya akan sentiasa bercakap benar. Dia juga mula mendengar dengan hormat semasa kami berbincang tentang agama, dan dia sudi bekerjasama dengan saya untuk mewujudkan kedamaian di rumah. Sekarang, dia menggalakkan saya untuk menghadiri perjumpaan. Hubungan kami berdua sudah bertambah baik, dan suasana di rumah pun lebih tenteram. Saya harap suatu hari nanti, hati suami saya akan terbuka, dan dia akan sembah Yehuwa bersama saya.”

17 Pengalaman Yasmeen menunjukkan bahawa kasih dapat “menanggung segala sesuatu, . . . tidak hilang harapan terhadap segala sesuatu, dan menghadapi segala sesuatu dengan tabah.” (1 Kor. 13:4, 7) Rasa benci memang dapat menyakiti kita, tetapi kasih dapat membantu kita untuk mengatasinya. Kasih yang kita tunjukkan dapat mengubah sikap penentang kita dan menggembirakan hati Yehuwa. Namun, jika para penentang terus membenci kita, kita masih dapat bersukacita. Mengapa?

BERBAHAGIA APABILA DIBENCI

18. Mengapakah kita dapat bersukacita semasa dibenci?

18 Yesus berkata, “Berbahagialah kamu apabila kamu dibenci.” (Luk. 6:22) Namun, hal ini tidak bermaksud bahawa kita suka dibenci atau ingin dianiaya demi kepercayaan kita. Jadi mengapakah kita dapat bersukacita semasa dibenci? Terdapat tiga sebab: Pertama, jika kita tetap tabah semasa dibenci, kita menyenangkan hati Tuhan. (1 Ptr. 4:13, 14) Kedua, iman kita yang telah diuji akan menjadi lebih kuat dan lebih bernilai di mata Tuhan. (1 Ptr. 1:7) Ketiga, jika kita tetap tabah, kita akan menerima ganjaran yang tidak ternilai, iaitu kehidupan kekal.​—Rm. 2:6, 7.

19. Mengapakah para rasul bersukacita selepas dicambuk?

19 Tidak lama selepas Yesus dibangkitkan, para rasul telah merasai sukacita yang disebutnya itu. Setelah dicambuk dan dilarang untuk menginjil, “mereka bersukacita kerana Tuhan menganggap mereka layak dihina demi nama Yesus.” (Kis. 5:40-42) Ya, kasih mereka kepada Tuan mereka lebih kuat daripada rasa takut mereka kepada musuh yang membenci mereka. Kasih itu telah mendorong mereka untuk menyebarkan berita baik tanpa henti-henti. Dewasa ini, ramai antara rakan seiman kita terus menyembah Yehuwa dengan setia meskipun menghadapi kesusahan. Mereka yakin bahawa Yehuwa tidak akan melupakan kerja mereka dan kasih yang ditunjukkan oleh mereka demi nama-Nya.​—Ibr. 6:10.

20. Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana seterusnya?

20 Selagi sistem dunia ini belum dibinasakan, kita akan terus dibenci. (Yoh. 15:19) Namun, kita tidak perlu berasa takut. Mengapa? Dalam rencana seterusnya, kita akan melihat bagaimana Yehuwa “akan menguatkan . . . dan melindungi” umat-Nya yang setia. (2 Tes. 3:3) Oleh itu, marilah kita terus mengasihi Yehuwa, saudara saudari kita, dan bahkan musuh kita. Dengan berbuat demikian, kita akan tetap bersatu dan iman kita akan tetap teguh. Selain itu, kita akan memuliakan Yehuwa dan membuktikan bahawa kasih jauh lebih berkuasa daripada kebencian.

LAGU 106 Memupuk Sifat Kasih

^ per. 5 Dalam rencana ini, kita akan melihat bagaimana kasih kepada Yehuwa, kasih kepada rakan seiman, dan kasih kepada musuh, dapat membantu kita untuk tetap menyembah Yehuwa meskipun dibenci oleh dunia. Kita juga akan melihat mengapa Yesus mengatakan bahawa kita dapat berbahagia meskipun dibenci.

^ per. 1 Nama telah diubah.

^ per. 58 KETERANGAN GAMBAR: Selepas para askar mengugut Danylo, saudara saudari membantu dia dan isterinya berpindah, dan mereka disambut dengan mesra.

^ per. 60 KETERANGAN GAMBAR: Yasmeen ditentang oleh suaminya, tetapi para penatua memberinya nasihat yang baik. Yasmeen menunjukkan bahawa dia seorang isteri yang baik, dan dia menjaga suaminya semasa suaminya sakit.