Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 9

Para Saudara Muda—Buktikanlah bahawa Anda Dapat Diharapkan!

Para Saudara Muda—Buktikanlah bahawa Anda Dapat Diharapkan!

Seperti titisan embun pada waktu pagi, pasukan pemuda Tuanku kelihatan suci dan berseri-seri.”​MZM. 110:3.

LAGU 39 Mengukir Nama Baik di Mata Tuhan

PENGENALAN *

1. Apakah kelebihan yang dimiliki saudara-saudara muda kita?

PARA saudara muda, anda mempunyai banyak potensi. Ramai daripada anda kuat dan bertenaga, dan anda sering membantu saudara saudari di sidang. (Ams. 20:29) Anda mungkin menanti-nantikan masanya anda dilantik sebagai pembantu sidang. Namun, anda mungkin berasa bahawa orang lain menganggap anda terlalu muda atau tidak cukup pengalaman untuk memikul tanggungjawab yang penting. Biarpun anda masih muda, terdapat hal-hal yang dapat anda lakukan sekarang untuk membuktikan bahawa anda dapat diharapkan dan dihormati.

2. Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana ini?

2 Dalam rencana ini, kita akan membincangkan kisah hidup Raja Daud. Kita juga akan membincangkan beberapa peristiwa yang terjadi dalam kehidupan Asa dan Yehosafat, iaitu dua orang raja Yehuda. Kita akan mengkaji cabaran yang dihadapi tiga orang raja itu, reaksi mereka, dan apa yang dapat dipelajari para saudara muda daripada mereka.

BELAJAR DARIPADA RAJA DAUD

3. Bagaimanakah orang muda dapat membantu saudara saudari yang lanjut usia?

3 Semasa Daud masih muda, dia sudah sangat akrab dengan Yehuwa, dan dia juga mempelajari kemahiran yang dapat digunakan untuk membantu orang lain. Misalnya, dia telah menjadi seorang ahli muzik yang mahir dan menggunakan kemahirannya untuk membantu Saul, iaitu raja yang dilantik oleh Tuhan. (1 Sam. 16:16, 23) Para saudara muda, adakah anda memiliki kemahiran yang dapat digunakan untuk membantu orang lain di sidang? Sebagai contoh, anda mungkin mahir menggunakan tablet atau alat elektronik lain. Jadi, anda boleh menunjukkan kepada saudara saudari yang lanjut usia cara menggunakan alat elektronik mereka semasa menghadiri perjumpaan dan membuat pembelajaran peribadi. Mereka pasti sangat menghargai bantuan anda.

Daud bertanggungjawab dan dapat diharapkan semasa menjaga kawanan bebiri bapanya. Dia bahkan melindungi biri-biri bapanya daripada seekor beruang (Lihat perenggan 4)

4. Apakah sifat-sifat Daud yang dapat ditiru oleh para saudara muda? (Lihat gambar pada muka depan majalah.)

4 Dalam kehidupan sehariannya, Daud menunjukkan bahawa dia bertanggungjawab dan dapat diharapkan. Sebagai contoh, semasa muda, dia menjaga biri-biri bapanya dengan bersungguh-sungguh. Sebenarnya, kerja itu berbahaya. Pada kemudian hari, Daud memberitahu Raja Saul, “Semasa hamba menggembala ternakan bapa hamba, seekor singa datang lalu menerkam seekor biri-biri. Pernah juga seekor beruang datang dan melakukan hal yang sama. Hamba mengejar binatang itu dan menyerangnya lalu menyelamatkan biri-biri itu.” (1 Sam. 17:34, 35) Ya, Daud melindungi biri-biri bapanya dengan berani kerana dia ingin melaksanakan tanggungjawabnya dengan baik. Para saudara muda, bagaimanakah anda dapat meniru teladan Daud? Tidak kira apa tugasan yang anda terima, lakukannya dengan bersungguh-sungguh.

5. Menurut Mazmur 25:14, apakah hal terpenting yang dapat dilakukan oleh para saudara muda?

5 Semasa Daud masih muda, dia sudah menjalin hubungan yang akrab dengan Yehuwa. Hubungan itu jauh lebih penting daripada keberanian Daud atau kemahirannya dalam bidang muzik. Bagi Daud, Yehuwa bukan sekadar Tuhannya tetapi juga Sahabat akrabnya. (Baca Mazmur 25:14.) Oleh itu, para saudara muda, hal terpenting yang dapat anda lakukan sekarang adalah untuk menguatkan hubungan anda dengan Bapa anda yang di syurga. Jika anda berbuat demikian, anda mungkin diberikan lebih banyak tanggungjawab dalam sidang.

6. Apakah pandangan negatif sesetengah orang terhadap Daud?

6 Salah satu cabaran yang dihadapi Daud ialah pandangan negatif orang lain terhadapnya. Sebagai contoh, semasa Daud menawarkan diri untuk melawan Goliat, Raja Saul cuba menghalangnya dengan berkata, “Kamu masih muda.” (1 Sam. 17:31-33) Sebelum itu, Eliab, iaitu abang kepada Daud, menuduhnya tidak bertanggungjawab. (1 Sam. 17:26-30) Namun, Yehuwa mengenali sifat sebenar Daud. Dia tahu bahawa Daud bukanlah seorang pemuda yang tidak matang atau tidak bertanggungjawab. Oleh sebab Daud bergantung pada Sahabatnya, Yehuwa, dia berjaya mengalahkan Goliat.​—1 Sam. 17:45, 48-51.

7. Apakah yang dapat anda pelajari daripada Daud?

7 Apakah yang dapat anda pelajari daripada Daud? Pertama, anda perlu bersabar kerana orang yang mengenali anda sejak anda seorang budak kecil, mungkin memerlukan masa untuk memandang anda sebagai pemuda yang bakal menjadi orang dewasa. Namun, yakinlah bahawa Yehuwa bukan sekadar melihat rupa luaran anda. Dia juga mengetahui sifat sebenar anda dan potensi anda. (1 Sam. 16:7) Kedua, anda perlu menguatkan hubungan anda dengan Tuhan. Daud telah menjalin hubungan yang akrab dengan Yehuwa dengan memerhatikan ciptaan-Nya dan merenungkan bagaimana ciptaan Yehuwa menyingkapkan sifat-sifat-Nya. (Mzm. 8:3, 4; 139:14; Rm. 1:20) Ketiga, anda perlu bergantung pada Yehuwa. Sebagai contoh, adakah rakan sekolah anda mengejek anda kerana anda seorang Saksi? Jika ya, mintalah bantuan Yehuwa untuk mengatasi cabaran ini. Kemudian, terapkan nasihat daripada Bible, bahan bacaan Bible, dan video kita. Setiap kali anda melihat bagaimana Yehuwa membantu anda mengatasi cabaran, keyakinan anda terhadap-Nya akan bertambah. Apabila orang lain melihat bagaimana anda bergantung pada Yehuwa, keyakinan mereka terhadap anda pun akan bertambah.

Para saudara muda dapat membantu orang lain dalam pelbagai cara (Lihat perenggan 8-9)

8-9. Apakah yang membantu Daud untuk menunggu dengan sabar sebelum dia menjadi raja? Apakah yang dapat dipelajari oleh para saudara muda daripada Daud?

8 Fikirkan satu lagi cabaran yang dihadapi Daud. Setelah dia diurapi sebagai raja, dia perlu menunggu selama bertahun-tahun sebelum dia dapat memerintah negeri Yehuda. (1 Sam. 16:13; 2 Sam. 2:3, 4) Apakah yang membantunya untuk menunggu dengan sabar? Daripada dibanjiri rasa tawar hati, Daud bertumpu kepada apa yang dapat dilakukannya. Misalnya, semasa Daud hidup sebagai pelarian di kawasan orang Filistin, dia menggunakan peluang itu untuk melawan musuh orang Israel. Dengan berbuat demikian, dia telah menjaga keselamatan negeri Yehuda.​—1 Sam. 27:1-12.

9 Para saudara muda, apakah yang dapat anda pelajari daripada Daud? Gunakanlah peluang yang anda miliki sekarang untuk berkhidmat kepada Yehuwa dan rakan seiman anda. Perhatikan pengalaman seorang saudara yang bernama Ricardo. * Semasa dia berumur kira-kira 10 tahun, dia bercita-cita untuk menjadi perintis biasa, tetapi para penatua memberitahunya bahawa dia belum bersedia. Namun, Ricardo tidak berputus asa atau berasa marah. Sebaliknya, dia meluangkan lebih banyak masa dalam kerja penyebaran. Ricardo berkata, “Mengenang kembali kehidupan saya, saya sedar bahawa saya memang perlu membuat kemajuan. Jadi, saya berfokus untuk mengunjungi setiap orang yang telah menunjukkan minat, membuat persiapan yang baik untuk setiap kunjungan kembali, dan saya berjaya mengadakan pembelajaran Bible buat kali pertama. Apabila pengalaman saya bertambah, keyakinan saya juga bertambah.” Kini, Ricardo seorang perintis biasa yang mahir, dan dia juga seorang pembantu sidang.

10. Apakah yang dilakukan oleh Daud sebelum dia membuat keputusan yang penting?

10 Fikirkan satu lagi peristiwa yang terjadi dalam kehidupan Daud. Pernah sekali, semasa dia dan anak-anak buahnya hidup sebagai pelarian, mereka meninggalkan keluarga mereka di rumah kerana hendak pergi berperang. Ketika itu, pihak musuh telah menyerang tempat tinggal mereka dan menawan ahli keluarga mereka. Sebagai seorang pahlawan yang berpengalaman, Daud boleh berfikir bahawa dia sendiri dapat memikirkan jalan untuk menyelamatkan mereka. Namun, dia tidak berbuat demikian. Sebaliknya, dia bergantung pada bimbingan Yehuwa. Melalui Imam Abiatar, Daud menanya Yehuwa, “Haruskah kami mengejar kumpulan perompak itu?” Yehuwa menyatakan bahawa Daud harus pergi dan dia pasti berjaya. (1 Sam. 30:7-10) Para saudara muda, apakah yang dapat anda pelajari daripada peristiwa ini?

Saudara-saudara muda patut meminta nasihat para penatua (Lihat perenggan 11)

11. Apakah yang dapat anda lakukan sebelum membuat keputusan?

11 Sebelum anda membuat keputusan, mintalah nasihat orang lain, contohnya daripada ibu bapa anda. Anda juga dapat meminta nasihat daripada para penatua yang berpengalaman. Yehuwa mempercayai mereka dan memberikan mereka sebagai “kurnia” kepada sidang. (Ef. 4:8) Oleh itu, anda juga dapat mempercayai mereka. Jika anda meniru iman mereka dan mengikut cadangan mereka, anda akan meraih manfaat. Sekarang, mari kita membincangkan contoh Raja Asa.

BELAJAR DARIPADA RAJA ASA

12. Apakah sifat-sifat yang dimiliki oleh Raja Asa semasa dia mula memerintah?

12 Semasa Raja Asa muda, dia seorang yang rendah hati dan berani. Sebagai contoh, setelah dia menggantikan bapanya Abia sebagai raja, dia berusaha menghapuskan penyembahan berhala di negerinya. Selain itu, dia “menyuruh orang Yehuda untuk menyembah Yehuwa, Tuhan nenek moyang mereka. Dia juga menyuruh mereka untuk mematuhi Hukum dan perintah-perintah Tuhan.” (2 Taw. 14:1-7) Kemudian, apabila Zerah, seorang lelaki Etiopia, membawa 1,000,000 orang askar untuk menyerang Yehuda, Asa segera meminta bantuan Yehuwa. Dia berdoa, “Ya Yehuwa, Engkau dapat menolong sesiapa pun, tidak kira sama ada bilangan mereka banyak atau sedikit, atau sama ada mereka kuat atau lemah. Ya Yehuwa, Tuhan kami, bantulah kami kerana kami bergantung pada-Mu.” Kata-kata Asa menunjukkan keyakinannya yang teguh bahawa Yehuwa mampu menyelamatkan dia dan rakyatnya. Oleh sebab Asa bertindak dengan bijak dan bergantung pada Bapanya yang di syurga, “Yehuwa mengalahkan askar Etiopia.”​—2 Taw. 14:8-12.

13. Apakah yang berlaku kepada Asa pada kemudian hari, dan mengapa?

13 Semasa Asa berdepan dengan pihak musuh yang mempunyai 1,000,000 orang askar, dia bergantung pada Yehuwa, dan Yehuwa membantunya mengatasi cabaran besar itu. Namun sedihnya, semasa berdepan dengan cabaran yang lebih kecil, Asa tidak bergantung pada Yehuwa. Semasa Raja Baesa dari Israel hendak menyerang negeri Yehuda, Asa meminta bantuan daripada raja Siria, dan keputusannya membawa padah. Yehuwa mengutus Nabi Hanani untuk memberitahu Asa, “Tuanku bergantung pada raja Siria, dan bukannya pada Yehuwa, Tuhan tuanku. Oleh itu, peluang untuk mengalahkan tentera raja Siria terlepas daripada tangan tuanku.” Sejak masa itu, Asa perlu sentiasa berperang. (2 Taw. 16:7, 9; 1 Raj. 15:32) Apakah pengajarannya?

14. Bagaimanakah anda dapat menunjukkan bahawa anda terus bergantung pada Yehuwa? Menurut 1 Timotius 4:12, apakah hasilnya jika anda berbuat demikian?

14 Para saudara muda, teruslah bersikap rendah hati dan teruslah bergantung pada Yehuwa. Semasa anda dibaptis, anda sudah menunjukkan bahawa anda sangat beriman dan percaya kepada Yehuwa, dan Yehuwa telah menerima anda sebagai ahli keluarga-Nya dengan gembira. Namun, selepas dibaptis, anda masih perlu terus bergantung pada Yehuwa. Memang adalah lebih mudah untuk bergantung pada-Nya semasa anda perlu membuat keputusan besar yang akan mempengaruhi kehidupan anda. Namun, bagaimana pula dengan keputusan lain, contohnya dalam soal hiburan, pekerjaan, dan matlamat hidup? Teruslah bergantung pada Yehuwa semasa membuat keputusan sebegini dan janganlah bergantung pada kebijaksanaan diri anda sendiri. Carilah prinsip Bible yang dapat membantu anda dan terapkan prinsip itu. (Ams. 3:5, 6) Jika anda berbuat demikian, Yehuwa akan berasa gembira dan saudara saudari di sidang akan lebih menghormati anda.​—Baca 1 Timotius 4:12.

BELAJAR DARIPADA RAJA YEHOSAFAT

15. Menurut 2 Tawarikh 18:1-3; 19:2, apakah kesilapan yang dilakukan oleh Raja Yehosafat?

15 Saudara-saudara muda, seperti rakan seiman anda yang lain, anda juga tidak sempurna. Jadi, ada kalanya anda akan berbuat silap. Namun, janganlah membiarkan hal ini menghalang anda daripada berkhidmat kepada Yehuwa dengan sedaya upaya. Fikirkan contoh Raja Yehosafat. Dia mempunyai banyak sifat yang terpuji. Contohnya, semasa dia baru memerintah, “dia mencari Tuhan yang disembah oleh bapanya, dan mematuhi perintah Tuhan.” Dia juga mengutus para pegawainya ke kota-kota di Yehuda untuk mengajar rakyat tentang Yehuwa. (2 Taw. 17:4, 7) Walaupun Yehosafat seorang yang baik, dia pernah membuat keputusan buruk lalu ditegur oleh seorang utusan Yehuwa. (Baca 2 Tawarikh 18:1-3; 19:2.) Apakah yang dapat anda pelajari daripada kisah itu?

Para saudara muda yang rajin dan dapat diharapkan akan mempunyai reputasi yang baik (Lihat perenggan 16)

16. Apakah yang anda pelajari daripada pengalaman Rajeev?

16 Terimalah dan ikutlah nasihat yang diberikan. Seperti banyak pemuda lain, anda mungkin berasa susah untuk mengutamakan Yehuwa dalam kehidupan anda. Namun, janganlah tawar hati. Perhatikan pengalaman seorang saudara muda yang bernama Rajeev. Semasa dia seorang remaja, dia tidak mempunyai hala tuju yang jelas dalam kehidupannya. Dia berkata, “Seperti banyak orang muda lain, saya lebih suka bersukan dan berseronok daripada menghadiri perjumpaan atau menginjil.” Apakah yang membantu Rajeev berubah? Seorang penatua yang baik hati telah menasihatinya dan membantunya lebih memahami prinsip di 1 Timotius 4:8. Rajeev telah menerima nasihat itu dengan rendah hati dan menilai semula keutamaan hidupnya. Dia berkata, “Saya memutuskan untuk mendahulukan matlamat rohani.” Apakah hasilnya? Rajeev menjelaskan, “Beberapa tahun selepas menerima nasihat itu, saya memenuhi syarat untuk menjadi pembantu sidang.”

BUATLAH YEHUWA BANGGA DENGAN ANDA

17. Apakah perasaan saudara saudari di sidang terhadap para saudara muda yang menyembah Yehuwa?

17 Para saudara muda, saudara saudari di sidang sangat gembira kerana dapat “berganding bahu” dengan anda untuk menyembah Yehuwa! (Zef. 3:9) Hati kami tersentuh semasa melihat semangat anda yang membara dan kesungguhan anda dalam menjalankan tugas. Kami amat menghargai dan mengasihi anda!​—1 Yoh. 2:14.

18. Menurut Amsal 27:11, apakah perasaan Yehuwa terhadap para saudara muda yang menyembah-Nya?

18 Saudara-saudara muda, jangan sekali-kali lupa bahawa Yehuwa mengasihi anda dan yakin terhadap anda. Dia sudah menubuatkan bahawa pada hari-hari terakhir, sekumpulan besar pemuda akan berkhidmat kepada-Nya dengan sukarela. (Mzm. 110:1-3) Dia tahu bahawa anda mengasihi-Nya dan ingin melakukan yang terbaik untuk-Nya. Jadi, bersabarlah dengan saudara saudari anda, dan bersabarlah dengan diri anda juga. Semasa anda berbuat silap, terimalah nasihat dan disiplin yang diberikan, dan ingatlah bahawa semua itu diberikan oleh Yehuwa. (Ibr. 12:6) Jika anda diberikan tugasan, lakukannya dengan bersungguh-sungguh. Yang terpenting, tidak kira apa yang anda lakukan, buatlah Bapa anda yang di syurga bangga dengan anda.​—Baca Amsal 27:11.

LAGU 135 Seruan Bapa Yehuwa, “Anakku, Jadilah Bijak”

^ per. 5 Apabila saudara-saudara muda menjadi semakin matang secara rohani, mereka ingin meluaskan khidmat mereka kepada Yehuwa. Agar memenuhi syarat untuk dilantik sebagai pembantu sidang, mereka perlu membuktikan kepada saudara saudari di sidang bahawa mereka dapat diharapkan dan dihormati. Bagaimanakah saudara-saudara muda dapat berbuat demikian?

^ per. 9 Sesetengah nama telah diubah.