Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 10

Seluruh Sidang Dapat Membantu Pelajar Bible Maju sehingga Dibaptis

Seluruh Sidang Dapat Membantu Pelajar Bible Maju sehingga Dibaptis

Setiap anggota tubuh . . . menyumbang kepada pertumbuhan tubuh.”​EF. 4:16.

LAGU 85 Sambutlah Satu Sama Lain

PENGENALAN *

1-2. Siapakah yang dapat membantu seorang pelajar Bible untuk maju sehingga dibaptis?

“SAYA sangat suka apa yang saya pelajari, dan saya tahu itulah kebenaran. Tetapi, saya membuat perubahan dan maju sehingga dibaptis hanya setelah saya mula bergaul dengan saudara saudari.” Itulah kata-kata Amy dari Fiji. Pengalaman Amy mengajar kita satu hal yang penting: Bantuan saudara saudari di sidang diperlukan agar seorang pelajar Bible terus maju sehingga dibaptis.

2 Setiap penyiar dapat membantu pelajar Bible untuk menjadi ahli sidang. (Ef. 4:16) Leilani, seorang perintis di Vanuatu, berkata, “Terdapat pepatah yang menyatakan, ‘Usaha seluruh kampung diperlukan untuk membesarkan seorang anak.’ Jadi, saya rasa usaha seluruh sidang diperlukan untuk membantu seseorang menerima kebenaran dan menjadi murid Yesus.” Untuk membantu seorang anak menjadi orang dewasa yang berguna, ahli keluarga, sahabat, dan guru, perlu bekerjasama untuk menggalakkan anak itu dan mengajarnya hal-hal yang penting. Begitu juga, untuk membantu seorang pelajar maju sehingga dibaptis, semua penyiar perlu bekerjasama untuk menasihatinya, menggalakkannya, dan menjadi teladan yang baik baginya.​—Ams. 15:22.

3. Apakah yang anda pelajari daripada kata-kata Ana, Daniel, dan Leilani?

3 Mengapakah seorang guru Bible harus berasa gembira apabila penyiar lain membantu pelajar Biblenya? Ana, seorang perintis khas di Moldova, berkata, “Apabila seorang pelajar Bible mula membuat kemajuan, dia memerlukan banyak bantuan. Jika seorang guru Bible ingin membantunya seorang diri, hal itu memang sangat susah.” Daniel, * seorang perintis khas yang juga berkhidmat di Moldova, berkata, “Sering kali, penyiar lain dapat mengatakan sesuatu yang tidak pernah saya fikirkan, dan kata-kata mereka telah menyentuh hati pelajar Bible.” Leilani menambah, “Apabila pelajar Bible merasai kasih dan keprihatinan saudara saudari, mereka akan sedar bahawa kita memang ialah umat Yehuwa.”​—Yoh. 13:35.

4. Apakah yang akan dibincangkan dalam rencana ini?

4 Namun, anda mungkin tertanya-tanya, “Bagaimanakah saya dapat membantu seorang pelajar Bible untuk membuat kemajuan jika saya bukan gurunya?” Dalam rencana ini, kita akan membincangkan cara untuk berbuat demikian semasa kita dijemput untuk menyertai pembelajaran Bible penyiar lain, dan semasa seorang pelajar Bible mula menghadiri perjumpaan. Kita juga akan membincangkan bagaimana para penatua dapat membantu pelajar Bible untuk maju sehingga dibaptis.

SEMASA MENYERTAI PEMBELAJARAN BIBLE

Jika anda akan menyertai pembelajaran Bible penyiar lain, kajilah terlebih dahulu bahan yang akan dibincangkan (Lihat perenggan 5-7)

5. Apakah peranan anda jika anda dijemput untuk menyertai pembelajaran Bible penyiar lain?

5 Semasa sesi pembelajaran, seorang guru Bible memikul tanggungjawab utama untuk membantu pelajarnya memahami Firman Tuhan. Jika anda dijemput untuk ikut serta, ingatlah bahawa peranan anda adalah untuk membantu guru Bible itu. (Pkh. 4:9, 10) Bagaimanakah anda dapat memainkan peranan anda dengan baik?

6. Jika anda dijemput untuk menyertai pembelajaran Bible penyiar lain, bagaimanakah anda dapat menerapkan prinsip yang terdapat di Amsal 20:18?

6 Membuat persiapan yang baik. Mintalah guru Bible itu untuk memberitahu anda sedikit sebanyak tentang pelajar Biblenya. (Baca Amsal 20:18.) Tanyalah soalan-soalan seperti: “Apakah latar belakang pelajar Bible kamu? Apakah topik yang akan kamu bincangkan? Apakah ajaran penting yang hendak kamu sampaikan? Semasa sesi pembelajaran nanti, adakah apa-apa yang patut saya katakan dan lakukan, atau adakah apa-apa yang tidak patut saya katakan dan lakukan? Bagaimanakah saya dapat menggalakkan pelajar itu untuk membuat kemajuan?” Sudah pasti, guru Bible itu tidak akan mengongsi maklumat yang sulit. Namun, apa yang dikongsinya dapat membantu anda lebih mengenali pelajar Bible itu. Seorang mubaligh yang bernama Joy biasanya membincangkan hal-hal ini dengan penyiar yang akan menyertai pembelajaran Biblenya. Dia berkata, “Perbincangan sebegini membantu rakan saya untuk lebih mengambil berat terhadap pelajar Bible itu dan mengetahui apa yang harus dikatakan semasa sesi pembelajaran.”

7. Jika anda dijemput untuk menyertai pembelajaran Bible penyiar lain, mengapakah anda perlu mengkaji bahan yang akan dibincangkan?

7 Jika anda dijemput untuk menyertai pembelajaran Bible penyiar lain, kajilah bahan yang akan dibincangkan terlebih dahulu. (Ezr. 7:10) Daniel, yang disebut tadi, berkata, “Saya menghargai rakan yang membuat persiapan kerana mereka dapat memberikan komen yang bermakna semasa sesi pembelajaran.” Selain itu, apabila pelajar Bible itu memperhatikan bahawa anda dan gurunya membuat persiapan yang baik, dia akan terdorong untuk mengikut teladan anda berdua. Biarpun anda tidak dapat membuat persiapan yang teliti, luangkan sedikit masa untuk mengenal pasti isi-isi utama bagi bahan yang akan dibincangkan.

8. Bagaimanakah anda dapat mengucapkan doa yang bermakna semasa sesi pembelajaran Bible?

8 Doa merupakan bahagian yang penting dalam sesi pembelajaran Bible. Oleh itu, jika anda dijemput untuk mengucapkan doa, fikirkanlah terlebih dahulu apa yang ingin anda doakan. Dengan itu, doa anda akan menjadi lebih bermakna. (Mzm. 141:2) Hanae, yang tinggal di Jepun, masih mengingati doa yang diucapkan oleh seorang saudari yang menemani guru Biblenya. Hanae berkata, “Saya dapat rasakan bahawa dia sangat rapat dengan Yehuwa, dan saya mahu jadi seperti dia. Saya juga berasa dikasihi semasa dia menyebut nama saya dalam doanya.”

9. Menurut Yakobus 1:19, bagaimanakah anda dapat menjadi seorang rakan yang baik semasa sesi pembelajaran Bible?

9 Membantu guru Bible semasa sesi pembelajaran. Omamuyovbi, seorang perintis khas di Nigeria, berkata, “Seorang rakan yang baik akan mendengar semasa pembelajaran Bible berlangsung. Dia akan memberikan komen yang bermakna tetapi tidak akan bercakap terlalu banyak. Dia sedar bahawa guru Bible yang bertanggungjawab mengendalikan pembelajaran itu.” Bagaimanakah anda dapat mengetahui apa yang harus dikatakan dan bila anda harus mengatakannya? (Ams. 25:11) Dengarlah dengan teliti semasa guru Bible itu dan pelajarnya sedang bercakap. (Baca Yakobus 1:19.) Hanya dengan berbuat demikian, anda dapat memberikan bantuan pada masa yang sesuai. Sudah pasti, anda harus menggunakan pertimbangan yang baik. Sebagai contoh, anda tidak ingin bercakap terlalu banyak, mencelah semasa guru itu sedang menjelaskan sesuatu, atau menukar topik perbualan. Namun, anda boleh menggunakan perumpamaan, soalan, atau komen yang ringkas, untuk menonjolkan isi utama pembelajaran. Ada kalanya, anda mungkin berasa bahawa anda tidak mempunyai banyak hal untuk dikongsikan semasa sesi pembelajaran. Namun, jika anda memuji pelajar itu dan mengambil berat terhadapnya, hal itu pun dapat membantunya membuat kemajuan.

10. Bagaimanakah pengalaman anda dapat membantu seorang pelajar Bible?

10 Kongsi pengalaman anda. Jika sesuai, beritahulah pelajar itu secara ringkas bagaimana anda mempelajari kebenaran, mengatasi cabaran, atau merasai bantuan Yehuwa dalam kehidupan anda. (Mzm. 78:4, 7) Barangkali pengalaman anda merupakan apa yang diperlukan untuk menguatkan iman pelajar itu, menggalakkannya terus maju sehingga dibaptis, atau mengajarnya cara untuk mengatasi cabaran yang sedang dihadapinya. (1 Ptr. 5:9) Gabriel, seorang perintis yang tinggal di Brazil, masih ingat bagaimana pengalaman saudara saudari telah membantunya semasa dia masih seorang pelajar Bible. Dia berkata, “Pengalaman mereka mengajar saya bahawa Yehuwa mengetahui cabaran yang kita hadapi. Jika mereka dapat mengatasi cabaran, saya pun dapat melakukannya.”

SEMASA PELAJAR BIBLE MENGHADIRI PERJUMPAAN

Kita semua dapat menggalakkan seorang pelajar Bible untuk terus menghadiri perjumpaan (Lihat perenggan 11)

11-12. Semasa seorang pelajar Bible menghadiri perjumpaan, mengapakah kita patut mengalu-alukannya?

11 Jika seorang pelajar Bible menghadiri perjumpaan secara tetap, dia akan meraih manfaat dan dibantu untuk terus maju sehingga dibaptis. (Ibr. 10:24, 25) Biasanya, guru Biblenya akan menjemputnya untuk menghadiri perjumpaan. Semasa pelajar Bible itu datang ke Dewan Perjumpaan buat kali pertama, kita semua dapat menggalakkannya untuk terus menghadiri perjumpaan. Bagaimana?

12 Mengalu-alukan pelajar itu. (Rm. 15:7) Pelajar Bible yang berasa selesa semasa di perjumpaan biasanya akan terus menghadiri perjumpaan. Oleh itu, semasa seorang pelajar datang ke Dewan Perjumpaan, kita mahu menyambutnya dengan mesra dan memperkenalkannya kepada orang lain. Pada masa yang sama, kita tidak mahu terlalu ramah sehingga membuatnya berasa tidak selesa. Kita juga tidak mahu membiarkan pelajar itu seorang diri kerana menganggap bahawa dia sudah dijaga oleh gurunya. Gurunya mungkin belum tiba atau sibuk mengurus hal-hal lain. Semasa berbual dengan pelajar itu, dengarlah dengan teliti dan tunjukkanlah bahawa anda mengambil berat tentangnya. Apakah kesannya jika anda berbuat demikian? Perhatikan pengalaman Dmitrii. Dia baru dibaptis beberapa tahun yang lalu, tetapi kini sudah menjadi pembantu sidang. Mengenang kembali perjumpaan pertama yang dihadirinya, dia berkata, “Seorang saudara nampak saya menunggu dengan gementar di luar Dewan Perjumpaan, jadi dia membawa saya masuk ke dalam dewan. Saya tidak sangka ada begitu banyak orang yang datang untuk bersalam dengan saya. Saya begitu menikmati perjumpaan sehingga berharap bahawa setiap hari pun ada perjumpaan. Saya tidak pernah mengalami hal sebegini di tempat lain.”

13. Bagaimanakah teladan baik anda dapat membantu seorang pelajar Bible?

13 Menjadi teladan yang baik. Kelakuan anda dapat meyakinkan seorang pelajar Bible bahawa dia sudah menjumpai kebenaran. (Mat. 5:16) Vitalii, seorang perintis di Moldova, berkata, “Setelah memperhatikan cara hidup, pandangan, dan kelakuan saudara saudari di sidang, saya diyakinkan bahawa Saksi-Saksi Yehuwa ialah agama yang benar.”

14. Bagaimanakah teladan anda dapat membantu seorang pelajar Bible untuk terus membuat kemajuan?

14 Seorang pelajar Bible yang ingin memenuhi syarat untuk dibaptis perlu menerapkan apa yang dipelajarinya. Hal ini tidak selalunya mudah. Namun, apabila pelajar itu melihat bagaimana anda meraih manfaat kerana menerapkan prinsip Bible, dia mungkin terdorong untuk meniru teladan anda. (1 Kor. 11:1) Perhatikan pengalaman Hanae yang disebut tadi. Dia berkata, “Saya dapat melihat bagaimana saudara saudari menerapkan ajaran Bible yang sedang saya pelajari. Contoh mereka mengajar saya cara untuk menggalakkan orang lain, memaafkan orang lain, dan menunjukkan kasih. Saya dapat melihat mereka sentiasa bercakap baik tentang orang lain dan saya ingin mengikut teladan mereka.”

15. Bagaimanakah kita dapat menerapkan prinsip di Amsal 27:17 semasa membantu seorang pelajar Bible?

15 Bersahabat dengan pelajar itu. Apabila seorang pelajar terus menghadiri perjumpaan, tunjukkanlah bahawa anda mengambil berat terhadapnya. (Flp. 2:4) Cubalah berbual dengannya dan memujinya atas kemajuannya. Anda juga boleh bertanya tentang pembelajaran Biblenya, keluarganya, dan pekerjaannya. Namun, janganlah menanyakan soalan yang mungkin membuatnya berasa malu. Apabila anda sering berbual dengannya, anda dapat menjadi sahabatnya dan membantunya terus maju sehingga dibaptis. (Baca Amsal 27:17.) Hanae, yang kini berkhidmat sebagai perintis biasa, menceritakan apa yang berlaku semasa dia mula menghadiri perjumpaan. Dia berkata, “Apabila saya mendapat sahabat dalam sidang, saya lebih suka menghadiri perjumpaan dan saya akan datang bahkan semasa saya berasa penat. Saya sangat gembira untuk bergaul dengan kawan-kawan di sidang, dan hal ini membantu saya mengakhiri persahabatan saya dengan orang yang tidak menyembah Yehuwa. Saya ingin lebih menghampiri Yehuwa dan saudara saudari, jadi saya memutuskan untuk dibaptis.”

16. Apakah yang dapat anda lakukan supaya seorang pelajar Bible merasakan bahawa sidang adalah seperti keluarganya?

16 Apabila seorang pelajar Bible terus membuat kemajuan, bantulah dia untuk merasakan bahawa sidang adalah seperti keluarganya. Anda boleh berbuat demikian dengan menunjukkan kemurahan hati kepadanya. (Ibr. 13:2) Mengenang kembali masanya dia masih seorang pelajar Bible, Denis, yang kini berkhidmat di Moldova, berkata, “Sering kali, saya dan isteri dijemput untuk bergaul bersama saudara saudari. Kami sangat digalakkan semasa mendengar bagaimana Yehuwa telah membantu mereka. Pergaulan sebegini memberi kami keinginan untuk menyembah Yehuwa dan meyakinkan kami bahawa keputusan itu akan membawa kebahagiaan.” Setelah seorang pelajar Bible memenuhi syarat untuk menjadi penyiar, jemputlah dia untuk menginjil bersama-sama anda. Diego, seorang saudara dari Brazil, berkata, “Banyak rakan seiman mengajak saya keluar menginjil. Inilah cara yang terbaik untuk mengenali mereka. Saya belajar banyak hal daripada mereka dan berasa lebih rapat dengan Yehuwa dan Yesus.”

BAGAIMANA PARA PENATUA DAPAT MEMBANTU

Para penatua, keprihatinan anda dapat membantu pelajar Bible untuk membuat kemajuan (Lihat perenggan 17)

17. Bagaimanakah para penatua dapat membantu pelajar Bible?

17 Luangkan masa bersama pelajar Bible. Para penatua, kasih dan keprihatinan anda dapat membantu pelajar Bible untuk maju sehingga dibaptis. Jadi, dapatkah anda meluangkan masa untuk bercakap dengan pelajar Bible semasa di perjumpaan? Mereka dapat berasa bahawa anda mengambil berat terhadap mereka jika anda mengingati nama mereka, terutamanya apabila mereka mula memberikan komen. Selain itu, dapatkah anda mengaturkan masa untuk menyertai pembelajaran Bible penyiar lain? Usaha anda mungkin membawa hasil yang tidak dijangkakan. Jackie, seorang perintis di Nigeria, berkata, “Banyak pelajar Bible saya terkejut semasa mendapat tahu bahawa saudara yang menyertai pembelajaran Bible mereka ialah seorang penatua.” Salah seorang pelajar Biblenya berkata, “Paderi saya tidak akan berbuat demikian. Dia hanya akan melawat orang kaya dan itu pun kalau mereka sudi membayarnya.” Pelajar itu kini menghadiri perjumpaan.

18. Bagaimanakah para penatua dapat melaksanakan tanggungjawab mereka yang disebut di Kisah 20:28?

18 Melatih dan menggalakkan para guru Bible. Para penatua, anda diberi tanggungjawab yang penting untuk membantu para penyiar menjadi penginjil dan pengajar yang lebih mahir. (Baca Kisah 20:28.) Jika seorang penyiar berasa malu untuk mengendalikan pembelajaran Bible semasa anda menemaninya, tanyalah dia jika anda boleh membantu mengendalikan pembelajaran itu. Jackie, yang disebut tadi, berkata, “Para penatua sering bertanya tentang pelajar Bible saya. Jika mereka tahu saya menghadapi cabaran, mereka akan memberikan nasihat yang berguna.” Terdapat banyak cara para penatua dapat menggalakkan guru Bible. (1 Tes. 5:11) Jackie menambah, “Semasa para penatua menggalakkan saya dan berkata bahawa mereka menghargai kerja keras saya, saya sangat gembira. Kata-kata mereka yang menyegarkan membuat saya berasa seperti meminum air sejuk pada hari yang panas. Pujian mereka menguatkan keyakinan saya dan membuat saya lebih bersukacita semasa mengajar orang tentang Bible.”​—Ams. 25:25.

19. Apakah sukacita yang dapat kita semua raih?

19 Biarpun kita tidak mempunyai pelajar Bible buat masa sekarang, kita masih dapat membantu seseorang untuk terus maju secara rohani. Bagaimana? Jika kita menyertai pembelajaran Bible penyiar lain, kita mahu membuat persiapan yang baik supaya dapat memberikan komen yang dapat membantu guru Bible itu. Selain itu, kita juga tidak mahu bercakap terlalu banyak semasa sesi pembelajaran. Apabila pelajar Bible datang ke Dewan Perjumpaan, kita mahu bersahabat dengan mereka dan menjadi teladan yang baik untuk mereka. Para penatua pula dapat menggalakkan pelajar Bible dengan meluangkan masa bersama mereka, dan menguatkan semangat para guru Bible dengan melatih dan memuji mereka. Ingatlah, walaupun kita hanya dapat memainkan peranan yang kecil untuk membantu seseorang mengasihi dan menyembah Yehuwa, usaha kita akan membawa sukacita yang amat besar.

LAGU 79 Ajarlah Mereka untuk Berteguh

^ per. 5 Buat masa ini, ada antara kita yang tidak mempunyai pelajar Bible. Namun, kita semua dapat membantu seorang pelajar Bible untuk maju sehingga dibaptis. Rencana ini akan membincangkan bagaimana kita masing-masing dapat berbuat demikian.

^ per. 3 Nama telah diubah.