Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 12

Belajar Lebih Banyak tentang Yehuwa menerusi Ciptaan-Nya

Belajar Lebih Banyak tentang Yehuwa menerusi Ciptaan-Nya

“Sejak dunia diciptakan, sifat-sifat-Nya yang tidak kelihatan . . . dapat dilihat dengan jelas melalui segala yang diciptakan-Nya.”​—RM. 1:20.

LAGU 6 Langit Memuliakan Tuhan

PENGENALAN a

1. Apakah yang membantu Ayub lebih mengenali Yehuwa?

 ANTARA semua perbualan yang pernah diadakan oleh Ayub seumur hidupnya, dia pasti tidak dapat melupakan perbualannya dengan Tuhan Yehuwa. Yehuwa telah menyebut tentang beberapa ciptaan-Nya yang menakjubkan untuk meyakinkan Ayub bahawa Dia memang bijaksana dan mampu menjaga hamba-hamba-Nya. Misalnya, Tuhan mengingatkan Ayub bahawa memandangkan Dia dapat menjaga semua binatang di bumi, Dia tentu dapat menjaga keperluan Ayub. (Ayb. 38:39-41; 39:1, 5, 13-16) Dengan memerhatikan ciptaan, Ayub telah belajar banyak hal tentang sifat-sifat Tuhan.

2. Mengapakah tidak selalunya mudah untuk meneliti ciptaan Yehuwa?

2 Kita juga dapat belajar lebih banyak tentang Tuhan apabila kita meneliti ciptaan-Nya. Namun, hal itu tidak selalunya mudah. Jika kita tinggal di kawasan bandar, kita mungkin jarang dapat melihat alam semula jadi. Biarpun kita tinggal di kawasan luar bandar, kita mungkin tiada masa untuk meneliti ciptaan Tuhan. Sekarang, mari kita membincangkan mengapa bermanfaat untuk meluangkan masa dan usaha bagi meneliti ciptaan Tuhan. Kita juga akan membincangkan bagaimana Yehuwa dan Yesus menggunakan ciptaan untuk mengajar, dan apa yang perlu kita lakukan untuk belajar lebih banyak tentang Yehuwa menerusi alam semula jadi.

MENGAPAKAH KITA PATUT MEMPERHATIKAN CIPTAAN TUHAN?

Yehuwa mahu Adam menikmati hasil ciptaan-Nya dan menamakan binatang-binatang (Lihat perenggan 3)

3. Apakah yang menunjukkan bahawa Yehuwa mahu Adam menikmati hasil ciptaan-Nya?

3 Yehuwa mahu Adam menikmati hasil ciptaan-Nya. Setelah menciptakan Adam, Tuhan menempatkannya di sebuah firdaus yang indah supaya dia dapat menerokainya. Tuhan juga menyuruh Adam menjaga firdaus itu dan meluaskannya ke seluruh bumi. (Kej. 2:8, 9, 15) Bayangkan betapa gembira dan terujanya Adam semasa dia menjaga Taman Eden dan memerhatikan benih bercambah dan bunga berkembang mekar! Yehuwa juga memberi Adam tugas untuk menamakan setiap binatang. (Kej. 2:19, 20) Sebenarnya, Yehuwa boleh melakukan tugas itu, tetapi Dia mempercayakannya kepada Adam. Sudah tentu, sebelum menamakan setiap binatang, Adam telah memerhatikan perangai dan ciri-ciri mereka. Kerja ini pasti memberi Adam sukacita yang besar dan membuatnya sedar bahawa Bapanya memang bijaksana, kreatif, dan berjiwa seni.

4. (a) Apakah satu sebab kita patut meneliti ciptaan Tuhan? (b) Apakah ciptaan Tuhan yang paling anda suka?

4 Satu sebab kita patut meneliti ciptaan Tuhan adalah kerana Yehuwa mahu kita berbuat demikian. Dia menjemput kita, “Pandanglah ke langit dan perhatikanlah.” Kemudian Dia bertanya, “Siapakah yang menciptakan bintang-bintang?” Jawapannya jelas sekali. (Yes. 40:26) Ciptaan Yehuwa bukan sahaja terdapat di langit, tetapi juga di bumi dan laut, dan kita dapat belajar daripada semua ciptaan itu. (Mzm. 104:24, 25) Fikirkan juga cara kita diciptakan. Tuhan telah mengurniai kita kebolehan untuk menghayati keindahan alam semula jadi. Dia juga memberi kita deria penglihatan, pendengaran, bau, sentuhan, dan rasa, supaya kita dapat menikmati pelbagai hasil ciptaan-Nya.

5. Menurut Roma 1:20, apakah manfaatnya meneliti ciptaan Tuhan?

5 Menurut Bible, terdapat satu lagi sebab kita patut meneliti ciptaan Tuhan, iaitu kita dapat mengenali sifat-sifat Tuhan menerusi ciptaan-Nya. (Baca Roma 1:20.) Contohnya, rekaan dalam alam semula jadi membuktikan bahawa Tuhan sangat bijaksana. Selain itu, kita dapat menikmati berbagai-bagai jenis makanan. Tidakkah hal ini menunjukkan bahawa Tuhan mengasihi manusia? Apabila kita memperhatikan sifat-sifat Yehuwa menerusi ciptaan-Nya, kita semakin mengenali-Nya dan terdorong untuk menghampiri-Nya. Sekarang, mari kita membincangkan bagaimana Yehuwa pernah menggunakan ciptaan-Nya untuk mengajar manusia tentang diri-Nya.

TUHAN MENGGUNAKAN CIPTAAN UNTUK MENGAJAR KITA TENTANG DIRI-NYA

6. Apakah yang dapat kita belajar daripada burung yang berhijrah?

6 Yehuwa mempunyai jadual masa. Setiap tahun antara hujung bulan Februari sehingga pertengahan Mei, orang Israel akan melihat burung bangau terbang ke arah utara untuk berhijrah. Tuhan memberitahu orang Israel bahawa “burung bangau tahu akan musimnya.” (Yer. 8:7) Sebagaimana Yehuwa menetapkan waktu bagi burung bangau untuk berhijrah, Dia juga telah menetapkan waktu untuk membinasakan orang jahat. Hari ini, semasa kita melihat burung yang berhijrah, kita diingatkan bahawa Yehuwa akan mengakhiri dunia jahat ini “pada masa yang ditentukan” oleh-Nya.​—Hab. 2:3.

7. Semasa melihat burung terbang tinggi, kita diyakinkan akan hal apa? (Yesaya 40:31)

7 Yehuwa menguatkan hamba-hamba-Nya. Menerusi Yesaya, Yehuwa berjanji untuk menguatkan umat-Nya yang lemah dan tawar hati, supaya mereka “menjadi seperti burung helang yang terbang tinggi dengan sayapnya.” (Baca Yesaya 40:31.) Burung helang dapat terbang tinggi tanpa perlu mengepak-ngepakkan sayapnya kerana dibantu oleh angin panas yang naik dari bumi. Setiap kali orang Israel melihat hal ini, mereka diingatkan bahawa sebagaimana Yehuwa dapat memberikan kekuatan kepada burung helang, Dia juga dapat memberikan kekuatan kepada hamba-hamba-Nya. Jadi, semasa anda melihat seekor burung mengembangkan sayapnya dan terbang tinggi di langit, ingatlah bahawa Yehuwa dapat memberi anda kekuatan untuk mengatasi masalah anda.

8. Apakah yang dipelajari Ayub setelah memperhatikan ciptaan Tuhan? Apakah yang dapat kita pelajari apabila kita meneliti ciptaan Tuhan?

8 Yehuwa memang dapat dipercayai. Yehuwa telah menguatkan keyakinan Ayub terhadap-Nya. (Ayb. 32:2; 40:6-8) Semasa berbual dengan Ayub, Tuhan menyebut tentang banyak ciptaan-Nya, termasuk bintang, awan, dan petir. Yehuwa juga menyebut tentang binatang seperti lembu liar dan kuda. (Ayb. 38:32-35; 39:9, 19, 20) Semua ciptaan ini membuktikan bahawa Yehuwa bukan sahaja sangat berkuasa, malah sangat pengasih dan bijaksana. Perbualan ini telah membina keyakinan Ayub terhadap Yehuwa. (Ayb. 42:1-6) Begitu juga, apabila kita meneliti ciptaan Tuhan, keyakinan kita terhadap Yehuwa akan bertambah kuat. Kita diingatkan bahawa Yehuwa jauh lebih bijaksana dan berkuasa daripada kita, dan bahawa Dia dapat dan akan melenyapkan semua penderitaan kita.

YESUS MENGGUNAKAN CIPTAAN UNTUK MENGAJAR TENTANG BAPANYA

9-10. Apakah yang kita pelajari tentang Yehuwa daripada matahari dan hujan?

9 Yesus sangat mengenali alam semula jadi. Sebagai “jurubina yang mahir,” dia pernah membantu Bapanya menciptakan alam semesta. (Ams. 8:30) Semasa Yesus berada di bumi, dia menggunakan ciptaan Tuhan untuk mengajar murid-muridnya tentang Yehuwa. Perhatikan beberapa contoh.

10 Yehuwa mengasihi semua orang. Dalam Ceramah Di Atas Gunung, Yesus menyebut dua ciptaan Tuhan yang dianggap biasa oleh banyak orang, iaitu matahari dan hujan. Kedua-dua ciptaan ini sangat penting untuk memelihara kehidupan. Yehuwa boleh memilih untuk tidak memberikannya kepada manusia yang tidak menyembah-Nya. Tetapi dengan penuh kasih, Dia memberikan matahari dan hujan kepada semua manusia. (Mat. 5:43-45) Dengan menggunakan matahari dan hujan, Yesus mengajar kita bahawa Yehuwa mahu kita menunjukkan kasih kepada semua orang. Jadi, setiap kali kita melihat langit yang merah marak semasa matahari terbenam atau menghirup udara segar selepas hujan turun, renungkanlah bagaimana Yehuwa menunjukkan kasih tanpa berat sebelah. Hal itu akan mendorong kita untuk meniru kasih-Nya dan menginjil kepada semua orang.

11. Kita yakin akan apa setelah memerhatikan burung di langit?

11 Yehuwa menjaga keperluan fizikal kita. Dalam Ceramah Di Atas Gunung, Yesus juga berkata, “Perhatikanlah burung di langit yang tidak menyemai benih, menuai, atau mengumpulkan hasil ke dalam jelapang. Namun Bapa kamu yang di syurga masih memberi burung makanan. Bukankah kamu jauh lebih berharga daripada burung-burung?” (Mat. 6:26) Dengan menggunakan ciptaan Tuhan, Yesus meyakinkan kita bahawa Yehuwa akan menjaga keperluan fizikal kita! (Mat. 6:31, 32) Sampai hari ini, ajaran Yesus ini telah menggalakkan hamba Tuhan yang setia. Seorang saudari muda yang merintis di Sepanyol berasa tawar hati kerana tidak dapat menjumpai tempat tinggal yang sesuai. Namun, selepas melihat burung memakan biji-bijian dan buah beri, dia tidak lagi tawar hati. Dia berkata, “Burung-burung ini mengingatkan saya bahawa Yehuwa menjaga mereka dan Dia juga akan menjaga saya.” Tidak lama kemudian, saudari itu telah menjumpai tempat tinggal.

12. Menurut Matius 10:29-31, apakah yang dapat kita pelajari tentang Yehuwa daripada burung pipit?

12 Yehuwa menghargai setiap seorang daripada kita. Sebelum mengutus para rasul keluar menginjil, Yesus telah bercakap tentang burung pipit untuk membantu mereka agar tidak takut akan tentangan. (Baca Matius 10:29-31.) Burung pipit dapat dijumpai di mana-mana sahaja di Israel dan dianggap tidak bernilai pada zaman Yesus. Namun Yesus memberitahu murid-muridnya, “Tidak seekor pun jatuh ke tanah tanpa diketahui oleh Bapa kamu.” Kemudian dia menambah, “Kamu lebih berharga daripada banyak burung pipit.” Dengan menggunakan contoh burung pipit, Yesus meyakinkan para pengikutnya bahawa Yehuwa menghargai setiap seorang daripada mereka. Oleh itu, mereka tidak perlu takut menghadapi tentangan. Semasa murid-murid Yesus menginjil di pekan atau kampung dan melihat burung pipit, mereka pasti teringat kata-kata Yesus. Jadi, setiap kali anda nampak seekor burung kecil, ingatlah bahawa Yehuwa menghargai anda sebagai individu kerana anda “lebih berharga daripada banyak burung pipit.” Dengan adanya sokongan Yehuwa, anda dapat menghadapi tentangan dengan berani.​—Mzm. 118:6.

BAGAIMANAKAH KITA DAPAT BELAJAR LEBIH BANYAK TENTANG TUHAN MELALUI CIPTAAN?

13. Apakah yang perlu kita lakukan supaya dapat belajar daripada ciptaan Tuhan?

13 Kita dapat belajar banyak hal lagi tentang Yehuwa menerusi ciptaan-Nya. Bagaimana? Mula-mula, kita perlu meluangkan masa untuk meneliti ciptaan Tuhan. Selepas itu, kita perlu merenungkan apa yang dapat kita pelajari tentang Yehuwa daripada ciptaan-Nya. Namun untuk melakukannya, kita perlu mencurahkan usaha. Géraldine, seorang saudari dari Cameroon, berkata, “Saya membesar di bandar, jadi saya sedar saya perlu mencurahkan usaha untuk meneliti alam semula jadi.” Seorang penatua yang bernama Alfonso berkata, “Saya perlu jadualkan masa untuk meneliti ciptaan Tuhan seorang diri dan merenungkan apa yang saya belajar tentang Yehuwa daripada ciptaan itu.”

Sambil memerhatikan ciptaan di sekelilingnya, Daud merenungkan apa yang dapat dipelajarinya tentang Yehuwa (Lihat perenggan 14)

14. Apakah yang dipelajari oleh Daud setelah merenungkan ciptaan Tuhan?

14 Setelah merenungkan ciptaan Tuhan, Daud berkata kepada Yehuwa, “Apabila aku melihat langit yang Engkau hasilkan dengan tangan-Mu, bulan dan bintang yang telah Engkau ciptakan, siapakah manusia fana sehingga Engkau mengingat mereka?” (Mzm. 8:3, 4) Semasa Daud menatap langit malam yang penuh dengan bintang, dia bukan sahaja berasa kagum dengan alam semesta yang terbentang luas. Dia juga membuat perenungan dan sedar betapa agungnya Yehuwa. Daud juga pernah merenungkan bagaimana dia membesar dalam rahim ibunya. Apabila dia memikirkan bagaimana dia dibentuk dalam cara yang begitu menakjubkan, dia semakin menghargai kebijaksanaan Yehuwa.​—Mzm. 139:14-17.

15. Pernahkah anda belajar tentang sifat Yehuwa menerusi ciptaan-Nya? Berikan contoh. (Mazmur 148:7-10)

15 Seperti Daud, anda tidak perlu pergi ke tempat yang jauh untuk mencari ciptaan Tuhan dan merenungkannya. Ciptaan di sekeliling anda pun dapat menyingkapkan banyak sifat Yehuwa. Contohnya, semasa anda merasai panas daripada matahari, ingatlah akan kuasa Yehuwa. (Yer. 31:35) Semasa anda melihat burung membina sarang, ingatlah akan kebijaksanaan Tuhan. Semasa anda melihat anak anjing mengejar ekornya sendiri, ingatlah bahawa Yehuwa mahu anda senyum dan ketawa. Semasa anda melihat seorang ibu menimang bayinya, bersyukurlah kepada Yehuwa atas kasih-Nya. Ya, semua ciptaan Yehuwa, tidak kira yang besar atau kecil, dekat mahupun jauh, menonjolkan sifat-sifat-Nya yang mulia. Maka kita ada banyak peluang untuk belajar tentang Yehuwa daripada ciptaan-Nya.​—Baca Mazmur 148:7-10.

16. Apakah sepatutnya tekad kita?

16 Tuhan kita sememangnya maha bijaksana, pengasih, berkuasa, dan kreatif! Kita dapat memperhatikan semua sifat ini dan sifat-sifat-Nya yang lain menerusi alam semula jadi. Namun, kita perlu meluangkan masa untuk menghayati ciptaan Yehuwa dan merenungkan apa yang dapat kita pelajari tentang Tuhan. Dengan berbuat demikian, kita akan semakin menghampiri Pencipta kita. (Yak. 4:8) Dalam rencana seterusnya, kita akan membincangkan bagaimana ibu bapa dapat menggunakan ciptaan Tuhan untuk membantu anak-anak mereka menghampiri Yehuwa.

LAGU 5 Perbuatan Tuhan yang Menakjubkan

a Kita berasa kagum semasa melihat ciptaan Yehuwa, daripada matahari yang berkuasa hingga kelopak bunga yang kecil. Melalui ciptaan, kita juga dapat mengenali keperibadian Yehuwa. Dalam rencana ini, kita akan membincangkan mengapa kita patut meluangkan masa untuk meneliti ciptaan Tuhan dan bagaimana hal itu dapat membantu kita menghampiri-Nya.