Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 11

Cara Bersedia untuk Dibaptis

Cara Bersedia untuk Dibaptis

“Apakah yang menghalang aku daripada dibaptis?”​—KIS. 8:36.

LAGU 50 Doa Pembaktian Aku

PENGENALAN a

Di serata dunia, orang daripada pelbagai peringkat umur sedang membuat kemajuan rohani dan dibaptis (Lihat perenggan 1-2)

1-2. Jika anda belum lagi bersedia untuk dibaptis, mengapakah anda tidak patut berasa tawar hati? (Lihat gambar pada muka depan majalah.)

 ADAKAH anda ingin dibaptis? Itu matlamat yang sangat bagus. Sudahkah anda bersedia untuk mengambil langkah itu? Jika anda dan para penatua setuju bahawa anda sudah bersedia, anda boleh dibaptis tidak lama lagi. Selepas dibaptis, anda akan menikmati kehidupan yang bermakna dalam khidmat kepada Yehuwa.

2 Bagaimana pula jika anda mendapati bahawa anda belum bersedia, ataupun anda diberitahu bahawa anda perlu membuat lebih banyak kemajuan agar layak dibaptis? Janganlah tawar hati. Tidak kira anda tua atau muda, anda mampu membuat kemajuan sehingga layak dibaptis.

“APAKAH YANG MENGHALANG AKU?”

3. Apakah soalan yang ditanya oleh pegawai tinggi dari Etiopia kepada Filipus, dan apakah persoalan yang timbul? (Kisah 8:36, 38)

3 Baca Kisah 8:36, 38. Seorang pegawai dari Etiopia bertanya kepada Filipus, “Apakah yang menghalang aku daripada dibaptis?” Lelaki dari Etiopia itu ingin dibaptis, tetapi adakah dia betul-betul bersedia untuk mengambil langkah yang penting itu?

Pegawai tinggi dari Etiopia bertekad untuk terus belajar tentang Yehuwa (Lihat perenggan 4)

4. Bagaimanakah lelaki Etiopia itu menunjukkan bahawa dia bertekad untuk terus memperdalam pengetahuannya?

4 Lelaki Etiopia itu “telah pergi ke Yerusalem untuk beribadat.” (Kis. 8:27) Hal ini bermaksud dia seorang pemeluk agama Yahudi. Sudah tentu dia telah mengkaji Kitab Ibrani dan belajar tentang Yehuwa. Namun, dia tidak berpuas hati dengan pengetahuan yang asas. Bagaimanakah kita tahu? Semasa Filipus berjumpa dengan lelaki itu, dia sedang membaca kitab Nabi Yesaya. (Kis. 8:28) Kitab itu mengandungi kebenaran Bible yang mendalam. Jelaslah, lelaki Etiopia itu bertekad untuk terus memperdalam pengetahuan Biblenya.

5. Bagaimanakah lelaki Etiopia itu menerapkan apa yang dipelajarinya?

5 Lelaki itu ialah pegawai tinggi yang berkhidmat kepada Kandake, iaitu ratu negeri Etiopia, dan dia “bertanggungjawab mengurus semua harta ratu.” (Kis. 8:27) Maka dia pasti sangat sibuk dan mempunyai banyak tanggungjawab. Biarpun begitu, dia meluangkan masa untuk menyembah Yehuwa. Dia bukan sekadar belajar kebenaran, tetapi dia juga menerapkan apa yang dipelajarinya. Itulah sebabnya dia mengadakan perjalanan yang jauh dari Etiopia untuk menyembah Yehuwa di Rumah-Nya di Yerusalem. Perjalanan itu tentu mengambil masa yang lama dan memakan banyak belanja, tetapi lelaki itu sudi membuat apa sahaja pengorbanan yang diperlukan untuk beribadat kepada Yehuwa.

6-7. Bagaimanakah kasih lelaki Etiopia itu terhadap Yehuwa terus bertumbuh?

6 Filipus telah mengajar lelaki Etiopia itu beberapa kebenaran yang baharu, termasuk identiti Mesias. (Kis. 8:34, 35) Apakah reaksi lelaki itu setelah mengetahui apa yang dilakukan oleh Yesus baginya? Dia boleh memilih untuk terus menjadi penganut agama Yahudi dan tidak melakukan apa-apa. Namun, kasih lelaki itu untuk Yehuwa dan Yesus telah bertumbuh dan mendorongnya untuk dibaptis sebagai pengikut Yesus Kristus. Filipus nampak bahawa lelaki itu sudah bersedia, maka dia pun membaptiskan lelaki itu.

7 Lelaki Etiopia itu telah mengambil tiga langkah agar bersedia untuk dibaptis: Dia terus belajar, menerapkan apa yang dipelajarinya, dan memupuk kasih untuk Tuhan. Tiga langkah itu juga dapat membantu anda bersedia untuk dibaptis dan berkata dengan yakin, “Apakah yang menghalang aku daripada dibaptis?” Sekarang, mari kita bincang bagaimana anda dapat mengambil tiga langkah itu.

TERUS BELAJAR

8. Menurut Yohanes 17:3, apakah yang perlu anda lakukan?

8 Baca Yohanes 17:3 dan nota kaki. Adakah anda mula belajar Bible kerana kata-kata dalam ayat ini? Ramai antara kita mungkin menjawab, “Ya.” Namun, ayat ini juga menyatakan bahawa kita perlu terus belajar tentang “satu-satunya Tuhan yang benar.” Ya, kita perlu terus mengenali Tuhan buat selama-lamanya. (Pkh. 3:11) Apabila kita semakin mengenali Yehuwa, kita akan semakin menghampiri-Nya.​—Mzm. 73:28.

9. Apakah yang perlu kita lakukan setelah memiliki pengetahuan yang asas tentang kebenaran?

9 Semasa kita mula mengenali Yehuwa, kita perlu belajar “ajaran asas” Bible. Dalam suratnya kepada orang Kristian berbangsa Ibrani, Paulus menggambarkan ajaran sebegini sebagai “hal-hal asas,” tetapi dia tidak bermaksud bahawa ajaran sebegini tidak penting. Sebaliknya, dia menyamakan “ajaran asas” Bible dengan susu yang berkhasiat, yang diperlukan oleh bayi. (Ibr. 5:12; 6:1) Namun, dia juga memberitahu semua orang Kristian bahawa setelah mereka memahami ajaran asas ini, mereka perlu terus berusaha mempelajari kebenaran Bible yang mendalam. Adakah anda ingin memahami ajaran Bible yang dalam? Adakah anda ingin terus belajar dan memperdalam pengetahuan anda tentang Yehuwa dan tujuan-Nya?

10. Mengapakah sesetengah orang berasa susah untuk membuat pembelajaran?

10 Ramai orang berasa susah untuk membuat pembelajaran. Bagaimana pula dengan anda? Sesetengah orang tidak suka menggunakan buku untuk membuat pembelajaran. Mereka mungkin tidak diajar cara yang betul untuk membaca dan membuat pembelajaran semasa di bangku sekolah, atau mereka mungkin tidak menikmati proses pembelajaran. Jika itulah cabaran yang anda hadapi, janganlah risau kerana anda tidak keseorangan. Yehuwa dapat membantu anda kerana Dia sempurna dan merupakan Guru yang terbaik.

11. Bagaimanakah Yehuwa menunjukkan bahawa Dia ialah “Pendidik Agung”?

11 Yehuwa menggambarkan diri-Nya sebagai “Pendidik Agung.” (Yes. 30:20, 21) Dia Guru yang sabar, baik hati, dan bertimbang rasa, dan Dia mencari sifat-sifat baik pelajar-Nya. (Mzm. 130:3) Ingatlah, Yehuwa telah menciptakan otak kita, jadi Dia mengetahui kemampuan kita dan tidak akan menyuruh kita melakukan sesuatu yang mustahil dilakukan. (Mzm. 139:14) Semasa menciptakan kita, Dia memberi kita keinginan untuk belajar. Maka, Dia mahu kita belajar untuk selama-lamanya dan menikmati proses pembelajaran. Jadi, “pupuklah keinginan” untuk mempelajari kebenaran Bible mulai hari ini. (1 Ptr. 2:2) Tetapkan matlamat yang mampu anda capai, dan tetapkan masa untuk membaca dan mengkaji Bible. (Yos. 1:8) Dengan adanya berkat Yehuwa, anda akan lebih suka membaca Bible dan belajar tentang-Nya.

12. Mengapakah kita patut belajar tentang Yesus?

12 Kita digalakkan untuk merenungkan kehidupan dan kerja penyebaran Yesus di bumi secara tetap. Adalah sangat penting untuk mengikut jejak Yesus dengan teliti jika kita mahu menyembah Yehuwa pada masa yang susah ini. (1 Ptr. 2:21) Dalam Bible, Yesus memberitahu para pengikutnya cabaran yang bakal mereka hadapi. (Luk. 14:27, 28) Namun dia yakin bahawa mereka dapat tetap setia kepada Tuhan seperti dia. (Yoh. 16:33) Maka, belajarlah tentang kehidupan Yesus dan tetapkanlah matlamat untuk meniru teladannya dalam kehidupan seharian anda.

13. Apakah yang patut kita terus minta daripada Yehuwa, dan mengapa?

13 Sekadar memiliki pengetahuan tidak mencukupi. Tujuan utama kita menimba pengetahuan adalah untuk lebih mengenali Yehuwa dan memupuk sifat-sifat seperti kasih dan iman terhadap-Nya. (1 Kor. 8:1-3) Seraya anda mempelajari Bible, teruslah berdoa agar Yehuwa memberi anda lebih banyak iman. (Luk. 17:5) Dia pasti akan menjawab doa anda. Apabila anda membina iman yang berdasarkan pengetahuan yang tepat tentang Tuhan, anda akan dibantu untuk membuat kemajuan rohani.​—Yak. 2:26.

TERUS MENERAPKAN APA YANG DIPELAJARI

Sebelum Banjir, Nuh dan keluarganya bertindak selaras dengan apa yang dipelajari (Lihat perenggan 14)

14. Bagaimanakah Rasul Petrus menunjukkan bahawa kita perlu menerapkan apa yang kita pelajari? (Lihat juga gambar.)

14 Rasul Petrus menggunakan kisah Nuh untuk menjelaskan bahawa para pengikut Kristus perlu menerapkan apa yang mereka pelajari. Yehuwa telah memberitahu Nuh bahawa Dia akan mendatangkan banjir untuk membinasakan orang jahat. Namun, sekadar mengetahui bahawa banjir akan melanda tidak mencukupi untuk menyelamatkan Nuh dan keluarganya. Petrus menggambarkan waktu sebelum Banjir melanda sebagai masanya “bahtera dibina,” dan dia mengaitkan kerja pembinaan bahtera dengan pembaptisan. Dia berkata, “Peristiwa itu melambangkan pembaptisan yang kini menyelamatkan kamu.” (1 Ptr. 3:20, 21) Setelah mengetahui apa yang akan dilakukan oleh Tuhan, Nuh dan keluarganya mengambil tindakan. Mereka membina sebuah bahtera yang besar. (Ibr. 11:7) Sebagaimana Nuh dan keluarganya perlu mencurahkan usaha untuk membina bahtera, anda juga perlu mencurahkan usaha agar memenuhi syarat untuk dibaptis. Apakah yang perlu anda lakukan?

15. Apakah maksud bertaubat?

15 Salah satu hal yang perlu kita lakukan sebelum dibaptis ialah bertaubat secara ikhlas daripada dosa lampau kita. (Kis. 2:37, 38) Jika kita sudah bertaubat, kita akan membuat perubahan dalam kehidupan kita. Adakah anda sudah berhenti melakukan hal-hal yang Yehuwa benci, seperti perbuatan yang tidak bermoral, merokok, atau menggunakan kata-kata yang kesat? (1 Kor. 6:9, 10; 2 Kor. 7:1; Ef. 4:29) Jika anda belum berhenti melakukan hal-hal itu, berusahalah untuk berubah. Mintalah bantuan dan bimbingan daripada guru Bible atau para penatua. Jika anda masih muda dan tinggal bersama ibu bapa, mintalah bantuan mereka agar anda dapat membuang tabiat buruk yang menghalang anda daripada dibaptis.

16. Bagaimanakah anda dapat menjaga rutin rohani yang baik?

16 Menjaga rutin rohani yang baik juga sangat penting. Maksudnya, anda perlu melakukan hal-hal seperti menghadiri perjumpaan dan memberikan komen secara tetap. (Ibr. 10:24, 25) Apabila anda memenuhi syarat untuk menjadi penyiar, cubalah menginjil secara tetap. Semakin kerap anda keluar menginjil, anda akan semakin menikmati kerja itu. (2 Tim. 4:5) Jika anda masih muda dan tinggal bersama ibu bapa, tanyalah diri, “Adakah ibu bapa perlu ingatkan saya untuk menghadiri perjumpaan atau menginjil? Atau, adakah saya melakukannya tanpa disuruh?” Dengan mengambil inisiatif untuk menyertai kegiatan rohani, anda menunjukkan iman, kasih, dan kesyukuran anda kepada Tuhan Yehuwa. Apabila anda “melakukan hal-hal yang menunjukkan bahawa [anda] mengabdikan diri kepada Tuhan,” anda sedang memberikan hadiah kepada Yehuwa. (2 Ptr. 3:11; Ibr. 13:15) Yehuwa pasti gembira jika kita memberi-Nya hadiah dengan rela hati dan kerana kita ingin memberi-Nya yang terbaik.​—Bandingkan 2 Korintus 9:7.

TERUSLAH MENGUATKAN KASIH KEPADA YEHUWA

17-18. Apakah satu sifat penting yang akan membantu anda maju sehingga dibaptis, dan mengapa? (Amsal 3:3-6)

17 Apabila anda terus maju ke arah pembaptisan, anda akan menghadapi cabaran. Sesetengah orang mungkin mengejek, menentang, atau menganiaya anda kerana kepercayaan anda. (2 Tim. 3:12) Anda mungkin bekerja keras untuk membuang suatu tabiat buruk, tetapi ada kalanya anda kembali melakukan tabiat buruk itu lagi. Atau, anda mungkin berasa geram dan kecewa kerana matlamat anda untuk dibaptis seolah-olah tidak kesampaian. Apakah yang dapat membantu anda supaya tidak berputus asa? Kasih terhadap Yehuwa.

18 Kasih anda kepada Yehuwa ialah sifat yang sangat penting. (Baca Amsal 3:3-6.) Kasih yang mendalam terhadap Tuhan akan membantu anda mengatasi pelbagai cabaran hidup. Bible sering menyebut tentang kasih setia Yehuwa terhadap umat-Nya. Hal ini bermaksud Yehuwa tidak akan mengabaikan umat-Nya atau berhenti mengasihi mereka. (Mzm. 100:5) Anda diciptakan menurut gambaran Tuhan. (Kej. 1:26) Jadi bagaimanakah anda dapat meniru kasih Yehuwa?

Ungkapkan penghargaan kepada Yehuwa setiap hari (Lihat perenggan 19) b

19. Bagaimanakah anda dapat memperdalam penghargaan anda terhadap Yehuwa? (Galatia 2:20)

19 Mula-mulanya, pupuklah penghargaan terhadap Yehuwa. (1 Tes. 5:18) Setiap hari, tanyalah diri, “Bagaimanakah Yehuwa telah menunjukkan kasih kepada saya?” Kemudian, ucapkan terima kasih kepada Yehuwa menerusi doa, dan sebutkan secara khusus bagaimana Dia telah membantu anda. Seperti yang dilakukan Rasul Paulus, ingatlah bahawa perbuatan baik Yehuwa membuktikan bahawa Dia mengasihi anda sebagai seorang individu. (Baca Galatia 2:20.) Tanyalah diri, “Adakah saya mahu membalas kasih-Nya?” Kasih anda terhadap Yehuwa akan membantu anda untuk terus melawan godaan dan mengatasi cabaran. Selain itu, apabila anda mengasihi Yehuwa, anda akan menunjukkan kasih itu setiap hari dengan menjaga rutin rohani anda.

20. Bagaimanakah anda dapat membaktikan diri kepada Yehuwa? Mengapakah keputusan ini sangat penting?

20 Secara beransur-ansur, kasih anda kepada Yehuwa akan menggerakkan anda untuk membaktikan diri kepada-Nya. Bagaimanakah anda melakukannya? Anda mengucapkan satu doa yang khas untuk berjanji bahawa anda akan menyembah Yehuwa buat selama-lamanya, tidak kira pada masa yang susah atau senang. Keputusan ini sangat penting, kerana selepas anda membaktikan diri kepada Yehuwa, anda akan diberi harapan yang menakjubkan ini: Anda dapat menjadi milik Yehuwa buat selama-lamanya. Membaktikan diri ialah langkah yang serius dan hanya dibuat sekali dalam seumur hidup anda. Namun, anda tidak perlu takut untuk membuat keputusan ini. Sebenarnya, anda akan membuat banyak keputusan dalam kehidupan anda, dan sesetengah daripada keputusan itu memang bagus. Tetapi keputusan untuk membaktikan diri ialah keputusan terbaik yang akan anda buat. (Mzm. 50:14) Syaitan akan cuba melemahkan kasih anda terhadap Yehuwa dan berharap anda akan meninggalkan Yehuwa. Jangan biarkan Syaitan menang! (Ayb. 27:5) Kasih yang kuat terhadap Yehuwa akan membantu anda menunaikan ikrar pembaktian anda dan semakin menghampiri Yehuwa.

21. Mengapakah pembaptisan hanyalah permulaan haluan hidup Kristian anda?

21 Selepas membaktikan diri kepada Yehuwa, beritahulah para penatua bahawa anda ingin dibaptis. Hari pembaptisan anda sememangnya hari yang istimewa! Namun ingatlah, pembaptisan hanyalah permulaan, kerana anda akan berkhidmat kepada Yehuwa buat selama-lamanya. Maka mulai sekarang, kuatkanlah kasih anda kepada Yehuwa setiap hari. Dengan demikian, anda akan mencapai matlamat untuk dibaptis. Semoga kasih anda untuk Yehuwa dan Anak-Nya terus bertumbuh buat selama-lamanya!

LAGU 135 Seruan Bapa Yehuwa, “Anakku, Jadilah Bijak”

a Untuk membuat kemajuan rohani dan layak dibaptis, kita perlu mempunyai niat yang betul dan mengambil tindakan yang betul. Dalam rencana ini, kita akan belajar daripada contoh seorang pegawai tinggi dari Etiopia. Kita juga akan membincangkan langkah-langkah yang perlu diambil oleh seorang pelajar Bible agar layak dibaptis.

b KETERANGAN GAMBAR: Seorang saudari muda memberitahu Yehuwa dalam doa bahawa dia menghargai semua kurniaan-Nya.