Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 13

Gunakan Ciptaan untuk Mengajar Anak Anda tentang Yehuwa

Gunakan Ciptaan untuk Mengajar Anak Anda tentang Yehuwa

“Siapakah yang menciptakan bintang-bintang?”​—YES. 40:26.

LAGU 11 Ciptaan Memuji Tuhan

PENGENALAN a

1. Apakah yang diingini oleh ibu bapa bagi anak mereka?

 IBU BAPA, anda tentu ingin membantu anak anda mengenali dan mengasihi Yehuwa. Memandangkan Tuhan tidak dapat dilihat, bagaimanakah anda dapat membantu anak anda percaya bahawa Tuhan benar-benar wujud dan menghampiri-Nya?​—Yak. 4:8.

2. Bagaimanakah ibu bapa dapat mengajar anak mereka tentang sifat Yehuwa?

2 Satu cara penting ibu bapa dapat membantu anak menghampiri Yehuwa adalah dengan mempelajari Bible bersama mereka. (2 Tim. 3:14-17) Namun, terdapat satu lagi cara anak-anak dapat belajar tentang Yehuwa. Dalam buku Amsal, seorang bapa menasihati anaknya agar tidak melupakan sifat-sifat Yehuwa yang jelas kelihatan melalui ciptaan. (Ams. 3:19-21) Sekarang kita akan membincangkan beberapa cara yang dapat digunakan oleh ibu bapa untuk mengajar anak mereka tentang sifat-sifat Yehuwa melalui ciptaan.

GUNAKAN CIPTAAN UNTUK MENGAJAR ANAK ANDA—BAGAIMANA?

3. Ibu bapa harus membantu anak melihat apa?

3 Bible menyatakan bahawa “[sifat-sifat Tuhan] yang tidak kelihatan, iaitu kuasa-Nya yang kekal dan kedudukan-Nya sebagai Tuhan, dapat dilihat dengan jelas melalui segala yang diciptakan-Nya.” (Rm. 1:20) Ibu bapa, adakah anda suka melakukan kegiatan di luar rumah bersama anak-anak anda? Jika ya, gunakanlah masa itu untuk membantu anak anda melihat sifat-sifat agung Yehuwa menerusi “segala yang diciptakan-Nya.” Perhatikan apa yang dapat kita belajar daripada teladan Yesus.

4. Bagaimanakah Yesus menggunakan ciptaan untuk mengajar para pengikutnya? (Lukas 12:24, 27-30)

4 Perhatikan bagaimana Yesus menggunakan ciptaan untuk mengajar. Pernah sekali, dia menyuruh para pengikutnya untuk memperhatikan burung gagak dan bunga-bunga. (Baca Lukas 12:24, 27-30.) Yesus boleh menyebut mana-mana sahaja ciptaan Tuhan, tetapi dia memilih ciptaan yang sering dilihat oleh para pengikutnya. Bayangkan Yesus menunjuk ke arah langit semasa bercakap tentang burung, dan menunjuk ke arah padang semasa bercakap tentang bunga. Apakah yang dilakukannya selepas menyebut dua contoh itu? Dia mengajar para pengikutnya tentang sifat Yehuwa, iaitu kemurahan hati dan kebaikan hati. Mereka diingatkan bahawa sepertimana Bapa mereka yang di syurga menjaga burung dan bunga, Dia pasti memberi hamba-hamba-Nya makanan dan pakaian yang diperlukan.

5. Bagaimanakah ibu bapa dapat meniru teladan Yesus semasa mengajar anak tentang Yehuwa?

5 Ibu bapa, bagaimanakah anda dapat meniru cara Yesus mengajar? Anda boleh memberitahu anak anda binatang atau tumbuhan kegemaran anda. Kemudian, jelaskan bagaimana ciptaan itu menyingkapkan sifat Yehuwa. Selepas itu, tanyalah anak anda apa tumbuhan atau binatang kegemarannya. Jika anda menggunakan ciptaan kegemarannya untuk mengajarnya tentang sifat-sifat Yehuwa, barangkali dia akan lebih menumpukan perhatian.

6. Apakah yang dapat kita pelajari daripada ibu Christopher?

6 Adakah ibu bapa perlu menghabiskan banyak masa untuk menyelidiki tumbuhan atau binatang tertentu sebelum dapat mengajar anak mereka tentang Yehuwa? Tidak semestinya. Yesus tidak memberikan penjelasan yang panjang lebar tentang tabiat makan burung gagak atau struktur sel bunga. Biarpun anak anda suka perincian sebegini tentang ciptaan Yehuwa, ada kalanya pernyataan atau soalan yang ringkas sudah cukup untuk mengajarnya tentang Yehuwa. Mengenang kembali zaman kanak-kanaknya, seorang saudara yang bernama Christopher berkata, “Ibu saya akan mengatakan sesuatu yang ringkas untuk membantu kami menghargai ciptaan di sekeliling kami. Contohnya, semasa kami nampak gunung, dia akan kata, ‘Lihat gunung-gunung yang besar dan cantik itu! Yehuwa sangat hebat, bukan?’ Semasa kami di tepi pantai, dia akan kata, ‘Lihat ombak yang menghempas pantai! Tuhan sangat berkuasa, bukan?’” Christopher berkata, “Kata-katanya yang ringkas itu telah merangsang fikiran kami dan melekat di hati dan minda kami.”

7. Bagaimanakah anda dapat melatih anak anda untuk merenungkan ciptaan Tuhan?

7 Seraya anak anda semakin membesar, anda dapat melatih mereka untuk merenungkan bagaimana ciptaan menyingkapkan keperibadian Yehuwa. Anda boleh menyebut salah satu ciptaan Tuhan dan tanya anak anda, “Apa yang kamu belajar tentang Yehuwa daripada ciptaan ini?” Jawapan mereka mungkin membuat anda berasa kagum dan gembira.​—Mat. 21:16.

GUNAKAN CIPTAAN UNTUK MENGAJAR ANAK ANDA—BILA?

8. Semasa ibu bapa di Israel berjalan, mereka berpeluang untuk melakukan apa?

8 Ibu bapa di Israel digalakkan untuk mengajar anak-anak mereka perintah Yehuwa ‘semasa mereka berjalan.’ (Ul. 11:19) Di kawasan desa negeri Israel, terdapat pelbagai jenis binatang, burung, dan bunga. Jadi, semasa berjalan di situ, ibu bapa berpeluang untuk membangkitkan minat anak mereka terhadap ciptaan Yehuwa. Bagaimanakah ibu bapa pada zaman moden dapat melakukan hal yang sama? Perhatikan beberapa contoh.

9. Apakah yang dapat anda belajar daripada Punitha dan Katya?

9 Punitha, seorang ibu yang tinggal di sebuah bandar besar di India, berkata, “Semasa kami melawat saudara-mara di kampung, kami menggunakan peluang itu untuk mengajar anak kami tentang ciptaan Yehuwa yang menakjubkan. Saya rasa anak saya lebih mengenali ciptaan Tuhan apabila mereka berada jauh dari bandar raya yang sesak.” Ibu bapa, jika anda meluangkan masa bersama anak anda di tempat yang indah, pengalaman itu akan sentiasa terpahat di ingatan mereka. Katya, seorang saudari dari Moldova, berkata, “Kenangan terindah saya semasa kanak-kanak ialah meluangkan masa bersama ibu bapa di kawasan luar bandar. Saya bersyukur kerana mereka mengajar saya untuk berhenti dan memerhatikan ciptaan Yehuwa, serta mengenali sifat-sifat-Nya menerusi ciptaan-Nya.”

Biarpun anda hidup di bandar, anda masih dapat menggunakan ciptaan untuk mengajar anak anda tentang Yehuwa (Lihat perenggan 10)

10. Apakah yang dapat dilakukan oleh ibu bapa jika mereka tidak dapat membawa anak-anak ke kawasan luar bandar? (Lihat kotak “ Bantuan untuk Ibu Bapa.”)

10 Bagaimana pula jika anda tidak dapat membawa anak-anak anda ke kawasan luar bandar? Amol, yang juga tinggal di India, berkata, “Di kawasan saya, ibu bapa perlu bekerja untuk masa yang lama untuk mencari makan, dan percutian di luar bandar sangat mahal. Namun, di taman bunga yang kecil atau dari bumbung rumah, kami dapat memerhatikan ciptaan Yehuwa dan berbual tentang sifat-sifat-Nya.” Ya, jika anda mencari dengan teliti, anda akan menjumpai banyak ciptaan Tuhan di sekeliling rumah anda untuk ditunjukkan kepada anak-anak anda, seperti burung, serangga, tumbuhan, dan sebagainya. (Mzm. 104:24) Karina, dari Jerman, berkata, “Ibu saya sangat suka bunga. Semasa saya kecil, setiap kali kami keluar bersiar-siar, dia akan tunjukkan bunga-bunga yang cantik.” Selain itu, organisasi kita telah menyediakan banyak video dan bahan bacaan tentang ciptaan Tuhan. Jadi, anda boleh menggunakannya untuk mengajar anak anda. Ya, tidak kira apa situasi anda, anda dapat membantu anak anda untuk mengenali ciptaan Tuhan. Sekarang mari kita membincangkan beberapa sifat Yehuwa yang dapat anda ajarkan kepada anak-anak anda.

SIFAT-SIFAT YEHUWA “YANG TIDAK KELIHATAN . . . DAPAT DILIHAT DENGAN JELAS”

11. Bagaimanakah ibu bapa dapat membantu anak mereka melihat kasih Yehuwa?

11 Untuk membantu anak anda melihat kasih Yehuwa, anda boleh menunjukkan bagaimana banyak binatang menjaga anak mereka. (Mat. 23:37) Anda juga boleh menjelaskan bahawa Yehuwa telah menciptakan banyak jenis binatang dan tumbuhan. Karina, yang disebut tadi, berkata, “Semasa kami keluar bersiar-siar, ibu saya akan menggalakkan saya untuk berhenti dan melihat keistimewaan dan kecantikan setiap bunga. Kemudian, dia akan beritahu saya semua itu mencerminkan kasih Yehuwa. Sekarang, saya masih meneliti kepelbagaian, bentuk, dan warna bunga-bunga, dan saya diingatkan bahawa Yehuwa sangat mengasihi kita.”

Anda boleh mengajar anak anda bagaimana tubuh manusia yang menakjubkan mencerminkan kebijaksanaan Tuhan (Lihat perenggan 12)

12. Bagaimanakah ibu bapa dapat membantu anak-anak mereka melihat kebijaksanaan Tuhan? (Mazmur 139:14) (Lihat juga gambar.)

12 Yehuwa jauh lebih bijak daripada kita. (Rm. 11:33) Ibu bapa, bantulah anak anda melihat kebijaksanaan Tuhan. Sebagai contoh, anda boleh menjelaskan bagaimana air membentuk awan di langit dan dapat bergerak dengan senang dari satu tempat ke tempat lain. (Ayb. 38:36, 37) Anda juga boleh menjelaskan bagaimana tubuh manusia diciptakan dengan cara yang menakjubkan. (Baca Mazmur 139:14.) Perhatikan contoh seorang bapa yang bernama Vladimir. Dia berkata, “Pada suatu hari, anak lelaki kami yang sedang berbasikal terjatuh lalu cedera. Beberapa hari kemudian, lukanya sembuh. Saya dan isteri saya menjelaskan bahawa Yehuwa telah menciptakan tubuh kita dengan kebolehan untuk sembuh sendiri. Kami juga memberitahunya bahawa tiada ciptaan manusia yang seperti itu. Sebagai contoh, kereta yang ditimpa kemalangan tidak ada kebolehan untuk membaiki diri sendiri. Pengalaman ini telah membantu anak kami melihat kebijaksanaan Yehuwa.”

13. Bagaimanakah ibu bapa dapat membantu anak-anak mereka melihat kuasa Tuhan? (Yesaya 40:26)

13 Yehuwa telah menciptakan dan mengaturkan bintang-bintang di langit. Dia menjemput kita untuk memandang ke langit dan memikirkan kuasa-Nya yang menakjubkan. (Baca Yesaya 40:26.) Anda boleh menggalakkan anak anda untuk melihat ke langit dan merenungkan apa yang mereka lihat. Mengenang kembali zaman kanak-kanaknya, Tingting, seorang saudari dari Taiwan, berkata, “Mak telah membawa saya berkhemah di luar bandar, dan kami dapat melihat bintang-bintang di langit dengan jelas pada waktu malam. Pada masa itu, saya menghadapi tekanan rakan sebaya, dan saya risau saya tidak dapat menyembah Yehuwa dengan setia. Mak menggalakkan saya untuk memikirkan betapa besarnya kuasa Yehuwa kerana Dia dapat menciptakan bintang-bintang di langit. Kemudian mak mengingatkan saya bahawa Yehuwa dapat menggunakan kuasa-Nya untuk membantu saya menghadapi apa sahaja cabaran. Selepas meneliti ciptaan Yehuwa, saya terdorong untuk lebih mengenali-Nya, dan saya lebih bertekad untuk menyembah-Nya dengan setia.”

14. Bagaimanakah ibu bapa dapat membantu anak mereka sedar bahawa Yehuwa ialah Tuhan yang gembira?

14 Ciptaan Yehuwa menunjukkan bahawa Dia ialah Tuhan yang gembira, dan Dia juga mahu kita gembira. Para saintis memerhatikan bahawa kebanyakan binatang, termasuk burung dan ikan, suka bermain. (Ayb. 40:20) Pernahkah anak-anak anda ketawa dengan riang semasa melihat anak kucing bermain dengan bola benang atau melihat beberapa ekor anak anjing bermain sesama sendiri? Pada masa depan, semasa gelagat lucu seekor binatang membuat anak anda ketawa, ingatkanlah mereka bahawa kita menyembah Tuhan yang gembira.​—1 Tim. 1:11.

MENIKMATI CIPTAAN YEHUWA BERSAMA KELUARGA

Anak-anak anda mungkin berasa lebih relaks dan sudi meluahkan perasaan mereka semasa menikmati keindahan alam semula jadi bersama anda (Lihat perenggan 15)

15. Bagaimanakah ibu bapa dapat mengetahui apa yang difikirkan oleh anak-anak mereka? (Amsal 20:5) (Lihat juga gambar.)

15 Ada kalanya, anak-anak suka memendamkan perasaan dan masalah mereka. Jika itulah cabaran anda, bagaimanakah anda dapat membantu anak anda untuk meluahkan isi hati mereka? (Baca Amsal 20:5.) Sesetengah ibu bapa mendapati bahawa anak-anak mereka lebih sudi menceritakan perasaan sendiri semasa keluarga mereka sedang menikmati keindahan alam semula jadi. Mengapa? Satu sebab ialah dalam persekitaran sebegini, tidak ada banyak hal yang menyimpangkan perhatian ibu bapa atau anak-anak. Seorang bapa di Taiwan yang bernama Masahiko menyebut satu lagi sebab. Dia berkata, “Semasa kami pergi hiking di gunung atau berjalan di pantai bersama anak-anak kami, mereka selalunya lebih relaks. Maka, adalah lebih senang bagi kami untuk berbual dengan mereka dan mengetahui isi hati mereka.” Katya, yang disebut sebelum ini, berkata, “Selepas waktu sekolah, ibu saya akan bawa saya ke sebuah taman yang cantik. Oleh sebab suasana di situ sangat tenang, saya rasa senang untuk memberitahu ibu saya apa yang berlaku di sekolah atau apa yang merisaukan saya.”

16. Bagaimanakah sebuah keluarga dapat bersantai dan berseronok sambil menikmati ciptaan Yehuwa?

16 Apabila sebuah keluarga bersantai dan berseronok sambil menikmati ciptaan Yehuwa, hubungan antara ahli keluarga akan menjadi lebih erat. Bible berkata bahawa “ada waktu untuk ketawa” dan “ada waktu untuk melompat-lompat.” (Pkh. 3:1, 4, nota kaki) Yehuwa telah menciptakan banyak tempat yang indah di bumi supaya kita dapat berekreasi. Banyak keluarga suka pergi ke taman negara, kawasan desa, gunung, atau pantai. Kanak-kanak mungkin suka berlari dan bermain di taman, melihat binatang, atau berenang di sungai, tasik, atau laut. Sememangnya, kita mempunyai banyak peluang untuk menikmati alam semula jadi yang diciptakan oleh Yehuwa!

17. Mengapakah ibu bapa harus mengajar anak mereka untuk menikmati ciptaan Tuhan?

17 Di dunia baharu nanti, ibu bapa dan anak-anak akan menikmati ciptaan Yehuwa dengan sepenuhnya. Pada waktu itu, kita tidak akan takut terhadap binatang, dan binatang pun tidak akan takut terhadap kita. (Yes. 11:6-9) Kita juga akan mempunyai jauh lebih banyak masa untuk menikmati ciptaan Yehuwa. (Mzm. 22:26) Namun para ibu bapa, janganlah menunggu sehingga masa itu untuk mengajar anak anda menikmati ciptaan Tuhan. Jika anda menggunakan ciptaan untuk mengajar anak anda tentang Yehuwa mulai sekarang, anak anda mungkin mempunyai perasaan yang sama seperti Raja Daud yang berkata, “Ya Yehuwa, tiada yang dapat melakukan apa yang Engkau lakukan.”​—Mzm. 86:8.

LAGU 134 Anak-Anak Anugerah Tuhan

a Ramai saudara saudari masih ingat bagaimana mereka menikmati ciptaan Tuhan bersama ibu bapa semasa mereka kecil. Mereka tidak pernah lupa bagaimana ibu bapa mereka menggunakan waktu sebegini untuk mengajar mereka tentang keperibadian Yehuwa. Jika anda mempunyai anak, bagaimanakah anda dapat menggunakan ciptaan untuk mengajar mereka tentang sifat-sifat Tuhan? Rencana ini akan menjawab soalan tersebut.