Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 10

Mengapakah Anda Patut Dibaptis?

Mengapakah Anda Patut Dibaptis?

“Hendaklah kamu masing-masing dibaptis.”​—KIS. 2:38.

LAGU 34 Berjalan di Haluan yang Benar

PENGENALAN a

1-2. Apakah suasananya semasa seseorang dibaptis? Apakah yang akan dibincangkan dalam rencana ini?

 PERNAHKAH anda melihat sekumpulan orang yang bakal dibaptis? Mereka menjawab “ya” dengan suara yang lantang kepada dua soalan yang ditanyakan semasa ceramah pembaptisan. Senyuman yang lebar terukir pada wajah kawan dan keluarga mereka. Apabila calon pembaptisan keluar dari air, anda melihat wajah mereka yang berseri-seri dan mendengar tepukan gemuruh para hadirin. Secara purata, ribuan orang membaktikan diri dan dibaptis sebagai Saksi-Saksi Yehuwa setiap minggu.

2 Bagaimana pula dengan anda? Jika anda merancang untuk dibaptis, anda ialah seorang yang sangat istimewa dalam dunia yang jahat ini, kerana anda ‘sedang mencari Yehuwa.’ (Mzm. 14:1, 2) Rencana ini disediakan khas untuk anda, tidak kira anda tua atau muda. Rencana ini juga akan menguatkan tekad orang yang sudah dibaptis untuk menyembah Yehuwa buat selama-lamanya. Mari kita membincangkan tiga sebab penting kita mahu menyembah Yehuwa.

ANDA MENGASIHI KEBENARAN DAN APA YANG BENAR

Syaitan telah merosakkan nama baik Yehuwa selama ribuan tahun, dan dia terus berdusta tentang Yehuwa (Lihat perenggan 3-4)

3. Mengapakah penyembah Yehuwa mencintai kebenaran dan apa yang benar? (Mazmur 119:128, 163)

3 Yehuwa memerintahkan penyembah-Nya untuk “mencintai kebenaran.” (Za. 8:19) Yesus juga menggalakkan pengikutnya untuk lapar dan haus akan apa yang benar. (Mat. 5:6) Maksudnya, seseorang harus mempunyai keinginan yang kuat untuk melakukan apa yang baik, benar, dan murni di mata Tuhan. Adakah anda mencintai kebenaran dan apa yang benar? Sudah tentu anda rasa muak terhadap semua perkara yang jahat, termasuk dusta. (Baca Mazmur 119:128, 163.) Orang yang berdusta sedang meniru teladan Syaitan, pemerintah dunia ini. (Yoh. 8:44; 12:31) Syaitan mahu mencemari nama suci Yehuwa. Maka dia menyebarkan dusta tentang Tuhan kita sejak pemberontakan di Taman Eden. Dia menuduh Yehuwa sebagai Pemerintah yang mementingkan diri, tidak jujur, dan menahan apa yang baik daripada manusia. (Kej. 3:1, 4, 5) Dusta Syaitan tentang Yehuwa telah meracuni hati dan minda orang sampai hari ini. Apabila manusia tidak “mencintai kebenaran,” Syaitan dapat menggoda mereka untuk melakukan pelbagai perkara yang jahat.​—Rm. 1:25-31.

4. Bagaimanakah Yehuwa membuktikan bahawa Dia ialah “sumber kebenaran”? (Lihat juga gambar.)

4 Yehuwa ialah “sumber kebenaran,” dan Dia sudi mengajarkan kebenaran kepada orang yang mengasihi-Nya. (Mzm. 31:5) Dengan berbuat demikian, Dia membantu mereka agar tidak ditipu oleh dusta Syaitan. Yehuwa juga mengajar para penyembah-Nya untuk bersikap jujur dan berbuat baik supaya mereka menikmati ketenangan dan mempunyai harga diri. (Ams. 13:5, 6) Semasa belajar Bible, adakah anda rasa Yehuwa telah membantu anda dalam cara-cara ini? Anda belajar bahawa haluan Yehuwa membawa manfaat yang terbesar bagi anda dan semua manusia. (Mzm. 77:13) Maka anda ingin berusaha untuk melakukan apa yang benar di mata Tuhan. (Mat. 6:33) Anda juga mahu mempertahankan kebenaran dan membersihkan nama Yehuwa daripada dusta Syaitan. Bagaimanakah anda dapat melakukannya?

5. Bagaimanakah anda dapat mempertahankan kebenaran dan apa yang benar?

5 Anda dapat membaktikan diri kepada Yehuwa dan dibaptis. Dengan memilih haluan ini, anda menunjukkan bahawa anda menolak dusta Syaitan, menjunjung kebenaran, menginginkan pemerintahan Yehuwa, dan mahu melakukan apa yang benar di mata-Nya. Apabila anda mencintai apa yang benar, anda akan terdorong untuk membaktikan diri kepada Yehuwa melalui doa dan menyatakan keputusan anda di depan orang ramai dengan dibaptis.

ANDA MENGASIHI YESUS KRISTUS

6. Menurut Mazmur 45:4, apakah beberapa sebab anda mengasihi Yesus Kristus?

6 Mengapakah anda mengasihi Yesus Kristus? Perhatikan beberapa sebab yang disebut di Mazmur 45:4. (Baca.) Menurut ayat itu, Yesus mencintai kebenaran, keadilan, dan kerendahan hati. Jika anda juga mencintai kebenaran dan keadilan, anda tentu mengasihi Yesus Kristus. Yesus telah mempertahankan apa yang benar dengan berani. (Yoh. 18:37) Tetapi, bagaimanakah dia menggalakkan orang untuk bersikap rendah hati?

7. Bagaimanakah Yesus menunjukkan kerendahan hati?

7 Yesus menggalakkan orang untuk bersikap rendah hati menerusi teladannya. Misalnya, dia menghalakan segala pujian kepada Bapanya dan bukannya kepada dirinya sendiri. (Mrk. 10:17, 18; Yoh. 5:19) Apakah perasaan anda setelah melihat kerendahan hati Yesus? Tidakkah anda terdorong untuk mengasihinya dan mengikut teladannya? Sudah tentu. Yesus bersikap rendah hati kerana dia mengasihi Bapanya dan meniru sifat-sifat Bapanya dengan sempurna. (Mzm. 18:35; Ibr. 1:3) Tidakkah anda tertarik kepada Yesus kerana kerendahan hatinya?

8. Mengapakah kita mengasihi Yesus, Raja kita?

8 Kita mengasihi Yesus, Raja kita, kerana dia ialah Pemerintah yang terbaik. Fikirkan: Yesus telah dilatih dan dilantik oleh Yehuwa sebagai pemerintah. (Yes. 50:4, 5) Selain itu, Yesus rela berkorban dan sentiasa menunjukkan kasih. (Yoh. 13:1) Ya, Yesus, Raja kita, memang layak dikasihi. Jika kita mengasihi Yesus, kita akan mematuhi perintahnya, dan Yesus akan menganggap kita sebagai sahabatnya. (Yoh. 14:15; 15:14, 15) Tidakkah anda berasa bangga untuk menjadi sahabat Yesus?

9. Apakah persamaan antara pembaptisan orang Kristian dengan pembaptisan Yesus?

9 Salah satu perintah Yesus ialah pengikutnya harus dibaptis. (Mat. 28:19, 20) Yesus sendiri pun dibaptis. Terdapat beberapa persamaan dan perbezaan antara pembaptisan Yesus dengan pembaptisan orang Kristian. (Lihat kotak “ Perbezaan antara Pembaptisan Yesus dengan Pembaptisan Pengikutnya.”) Apakah persamaannya? Semasa dibaptis, Yesus menunjukkan bahawa dia mahu melakukan kehendak Bapanya. (Ibr. 10:7) Begitu juga, semasa orang Kristian dibaptis, mereka menunjukkan bahawa mereka menjadikan kehendak Yehuwa keutamaan hidup mereka. Dengan dibaptis, mereka sedang meniru teladan Tuan mereka, Yesus.

10. Mengapakah anda mengasihi Yesus? Kasih terhadap Yesus harus mendorong anda untuk melakukan apa?

10 Anda menerima Yesus sebagai Anak tunggal Yehuwa dan Raja yang dilantik oleh Tuhan untuk memerintah kita. Anda tahu bahawa Yesus rendah hati dan meniru sifat Bapanya dengan sempurna. Anda belajar bahawa dia telah menyediakan makanan untuk orang yang lapar, melegakan hati orang yang murung, dan bahkan menyembuhkan orang yang sakit. (Mat. 14:14-21) Anda telah menyaksikan bagaimana Yesus memimpin sidangnya pada zaman ini. (Mat. 23:10) Anda juga tahu bahawa selaku Raja Kerajaan Tuhan, dia akan melakukan lebih banyak perkara yang menakjubkan bagi kita pada masa depan. Bagaimanakah anda dapat menunjukkan bahawa anda mengasihi Yesus? Anda perlu mengikut teladannya. (Yoh. 14:21) Salah satu cara anda dapat berbuat demikian adalah dengan membaktikan diri dan dibaptis.

ANDA MENGASIHI TUHAN YEHUWA

11. Apakah sebab terpenting anda ingin dibaptis, dan mengapa?

11 Apakah sebab terpenting anda ingin dibaptis? Kasih untuk Yehuwa. Semasa menyatakan hukum yang terbesar, Yesus berkata, “Kamu mesti mengasihi Yehuwa, Tuhanmu, dengan segenap hati, dengan segenap jiwa, dengan segenap akal, dan dengan segenap kekuatan.” (Mrk. 12:30) Adakah kata-kata ini menggambarkan kasih anda kepada Yehuwa?

Yehuwa ialah Sumber segala perkara baik yang anda nikmati sekarang dan pada masa depan (Lihat perenggan 12-13)

12. Mengapakah anda mengasihi Yehuwa? (Lihat juga gambar.)

12 Ada banyak sebab anda mengasihi Yehuwa. Contohnya, anda tahu bahawa Dia ialah “sumber segala kehidupan” dan Pemberi “setiap kurniaan yang baik dan setiap pemberian yang sempurna.” (Mzm. 36:9; Yak. 1:17) Segala sesuatu yang anda nikmati berasal daripada Tuhan kita yang murah hati dan pengasih.

13. Mengapakah tebusan ialah kurniaan yang sangat berharga?

13 Mengapakah kita dapat berkata bahawa tebusan ialah kurniaan yang sangat berharga daripada Yehuwa? Fikirkan betapa eratnya persahabatan antara Yehuwa dan Yesus. Yesus berkata, “Bapa mengasihi aku” dan “aku mengasihi Bapa.” (Yoh. 10:17; 14:31) Hubungan mereka bertambah rapat selepas meluangkan berbilion-bilion tahun bersama. (Ams. 8:22, 23, 30) Bayangkan betapa sedihnya Yehuwa apabila Dia mengizinkan Anak-Nya diseksa lalu dibunuh. Sememangnya, Yehuwa begitu mengasihi semua manusia, termasuk anda, sehingga rela mengorbankan Anak kesayangan-Nya agar kita dapat hidup selama-lamanya. (Yoh. 3:16; Gal. 2:20) Bukankah itu sebab terpenting bagi kita untuk mengasihi Yehuwa?

14. Apakah matlamat hidup yang terbaik bagi anda?

14 Apabila anda semakin mengenali Yehuwa, anda akan semakin mengasihi-Nya. Anda tentu ingin menghampiri-Nya sekarang dan untuk selama-lamanya. Bagaimanakah anda dapat membuat hati Yehuwa gembira? (Ams. 23:15, 16) Anda dapat berbuat demikian, bukan sahaja melalui kata-kata, tetapi juga melalui perbuatan. Ya, tunjukkanlah menerusi cara hidup anda bahawa anda benar-benar mengasihi Yehuwa. (1 Yoh. 5:3) Itulah matlamat hidup yang terbaik bagi anda.

15. Bagaimanakah anda dapat menunjukkan kasih kepada Yehuwa?

15 Bagaimanakah anda dapat menunjukkan kasih kepada Yehuwa? Anda dapat membaktikan diri kepada Yehuwa melalui doa. (Mzm. 40:8) Kemudian, anda akan dibaptis di khalayak umum untuk menunjukkan bahawa anda sudah membaktikan diri. Seperti yang telah dibincangkan dalam rencana ini, pembaptisan ialah detik gembira yang bersejarah. Setelah dibaptis, anda memulakan kehidupan baharu. Anda tidak lagi hidup untuk diri sendiri, tetapi untuk Yehuwa. (Rm. 14:8; 1 Ptr. 4:1, 2) Itu memang keputusan yang sangat besar. Tetapi hal itu membuka jalan bagi anda untuk menikmati kehidupan yang terbaik.

16. Menurut Mazmur 41:12, bagaimanakah Yehuwa akan memberkati mereka yang menggunakan kehidupan mereka untuk menyembah-Nya?

16 Yehuwa ialah Individu yang paling murah hati. Tidak kira apa yang anda berikan kepada-Nya, Dia akan beri anda jauh lebih banyak lagi. (Mrk. 10:29, 30) Jika anda menggunakan kehidupan anda untuk berkhidmat kepada Yehuwa, Dia akan memberi anda kehidupan yang paling menarik, bermakna, dan memuaskan, bahkan dalam dunia jahat sekarang. Bukan itu sahaja, ikatan kasih anda dengan Yehuwa akan terus bertambah kuat kerana anda akan diberi kehidupan kekal dan dapat terus menyembah Yehuwa buat selama-lamanya.​—Baca Mazmur 41:12.

17. Apakah yang dapat anda berikan kepada Yehuwa?

17 Yehuwa ialah Pemilik syurga dan bumi. Selain itu, setiap detik indah dan setiap perkara baik yang anda nikmati, dikurniakan oleh Yehuwa. Namun, apabila kasih anda untuk Yehuwa mendorong anda untuk membaktikan diri dan dibaptis, anda memberi Yehuwa sesuatu yang tidak dimiliki-Nya, iaitu kesetiaan dan khidmat anda kepada-Nya. (Ayb. 1:8; 41:11; Ams. 27:11) Bukankah itu cara terbaik untuk membalas kasih Yehuwa?

SUDAHKAH ANDA BERSEDIA?

18. Apakah soalan-soalan yang boleh anda tanya?

18 Sudahkah anda bersedia untuk dibaptis? Hanya anda yang dapat menjawab soalan itu. Namun anda juga boleh memikirkan soalan ini: “Apakah yang menghalang saya daripada dibaptis?” (Kis. 8:36) Ingatlah tiga sebab yang mendorong kita untuk dibaptis: Pertama, kita mengasihi kebenaran dan apa yang benar. Kedua, kita mengasihi Yesus Kristus. Ketiga, kita mengasihi Tuhan Yehuwa. Maka tanyalah diri, “Adakah saya menantikan masanya semua orang bersikap jujur dan melakukan apa yang benar? Adakah saya sudi meniru teladan Yesus dan mahu dia menjadi Raja saya? Adakah saya mahu menggembirakan hati Yehuwa dan berkhidmat kepada-Nya?” Jika jawapan anda kepada soalan-soalan itu ialah “ya,” tunggu apa lagi? Anda memang sudah bersedia untuk dibaptis!​—Kis. 16:33.

19. Mengapakah anda tidak perlu teragak-agak untuk dibaptis? Jelaskan. (Yohanes 4:34)

19 Jika anda teragak-agak untuk dibaptis, fikirkan satu perumpamaan yang disebut oleh Yesus. (Baca Yohanes 4:34.) Yesus berkata bahawa melakukan kehendak Bapanya adalah seperti makanan. Mengapa? Yesus tahu bahawa sebagaimana makanan bermanfaat bagi kita, semua perintah Yehuwa bermanfaat untuk kita. Yehuwa sama sekali tidak akan menyuruh kita melakukan sesuatu yang memudaratkan diri sendiri. Adakah Yehuwa menghendaki anda dibaptis? Ya. (Kis. 2:38) Maka perintah itu pasti bermanfaat juga. Semasa menghadiri jamuan terbaik, anda tidak akan teragak-agak untuk menjamu selera. Jika begitu, janganlah teragak-agak untuk dibaptis.

20. Apakah yang akan dibincangkan dalam rencana seterusnya?

20 Banyak orang mungkin berkata bahawa mereka belum bersedia untuk dibaptis. Keputusan untuk membaktikan diri kepada Yehuwa dan dibaptis ialah keputusan yang terpenting dalam kehidupan seseorang. Jadi memang wajar untuk berfikir masak-masak dan meluangkan masa dan usaha yang diperlukan jika anda ingin dibaptis. Apakah yang dapat anda lakukan sekarang agar layak dibaptis? Itulah soalan yang akan dijawab dalam rencana yang berikutnya.

LAGU 28 Menjadi Sahabat Yehuwa

a Pembaptisan ialah langkah penting yang harus diambil oleh setiap pelajar Bible. Apakah yang mendorong seorang pelajar untuk dibaptis? Kasih. Tetapi kasih untuk apa dan siapa? Dalam rencana ini, kita akan menjumpai jawapan kepada soalan ini dan membincangkan kehidupan yang dinikmati oleh orang Kristian yang sudah dibaptis.