Pertanyaan Pembaca
Mengapakah penebus yang disebut oleh Boaz berkata bahawa jika dia mengahwini Rut, hal itu akan “merugikan” dia? (Rut 4:1, 6, nota kaki)
Pada zaman Bible, jika seorang suami mati tanpa anak, sesetengah persoalan timbul: Apakah yang akan berlaku kepada tanah yang dimilikinya? Adakah nama keluarganya akan hilang buat selama-lamanya? Hukum Musa menjawab soalan-soalan ini.
Jika seorang lelaki memiliki tanah tetapi kemudiannya meninggal, atau jika dia jatuh miskin dan terpaksa menjual tanahnya, apakah yang akan berlaku kepada tanah itu? Saudara kandungnya atau saudara-maranya yang dekat dapat menebus, atau membeli tanah itu, supaya tanah itu dapat terus menjadi milik keluarganya.—Im. 25:23-28; Bil. 27:8-11.
Bagaimana pula dengan nama keluarga lelaki yang sudah meninggal itu? Saudara kandungnya atau saudara-mara dekatnya akan mengahwini balunya. Kemudian, anak yang dilahirkan akan mewarisi nama dan harta lelaki yang sudah meninggal itu. Aturan ini juga memastikan keperluan balu itu dijaga.—Ul. 25:5-7; Mat. 22:23-28.
Perhatikan contoh Naomi. Dia berkahwin dengan seorang lelaki yang bernama Elimelekh. Apabila suaminya dan dua orang anak lelakinya meninggal, Naomi kehilangan tempat bergantung. (Rut 1:1-5) Setelah kembali ke negeri Yehuda, Naomi menyuruh menantunya Rut untuk meminta Boaz menebus tanah mereka, kerana Boaz ialah saudara dekat Elimelekh. (Rut 2:1, 19, 20; 3:1-4) Tetapi Boaz sedar bahawa terdapat seorang lagi saudara yang lebih dekat daripadanya, dan saudara itu lebih berhak untuk menebus tanah mereka.—Rut 3:9, 12, 13.
Pada mulanya, penebus yang lebih layak itu sedia membantu. (Rut 4:1-4) Dia tahu dia perlu membeli tanah milik Elimelekh. Tetapi dia juga tahu bahawa Naomi terlalu tua untuk beranak. Jadi akhirnya, tanah milik Elimelekh akan menjadi miliknya, dan hal itu akan menguntungkannya.
Tetapi penebus itu mengubah fikirannya apabila dia sedar bahawa dia juga perlu mengahwini Rut. Maka dia berkata, “Kalau begitu, saya tidak dapat menebusnya. Jika saya menebusnya, hal itu akan merugikan saya.” (Rut 4:5, 6) Mengapakah dia mengubah fikirannya?
Jika seseorang menebus tanah Elimelekh dan mengahwini Rut, anak lelaki mereka akan mewarisi tanah Elimelekh. Bagaimanakah hal ini akan merugikan penebus itu? Bible tidak menjelaskan sebabnya. Tetapi berikut merupakan beberapa kemungkinan:
Pertama, biarpun dia membelanjakan wang untuk membeli tanah Elimelekh, tanah itu tidak akan menjadi milikinya. Tanah itu akan menjadi milik anak lelaki Rut.
Kedua, penebus itu mempunyai tanggungjawab untuk menyara hidup Naomi dan Rut.
Ketiga, jika penebus itu sudah mempunyai anak sendiri, dan pada kemudian hari Rut melahirkan anak-anak lain baginya, harta warisan penebus itu harus dibahagikan antara semua anak itu.
Keempat, jika penebus itu tidak mempunyai anak-anak sendiri, anak lelaki yang dilahirkan oleh Rut bersamanya bukan sahaja akan mewarisi tanah Elimelekh tetapi juga akan mewarisi tanah penebus itu. Maka tanahnya akan menjadi milik seseorang yang mewarisi nama Elimelekh. Penebus itu tidak mahu mengalami kerugian semata-mata untuk membantu Naomi. Dia membiarkan Boaz memikul tanggungjawab itu. Boaz pula sudi berbuat demikian kerana dia mahu tanah Elimelekh tetap menjadi milik keturunan Elimelekh.—Rut 4:10.
Nampaknya, penebus itu lebih mementingkan namanya dan harta warisannya daripada membantu orang lain. Namun, tindakannya itu sebenarnya merugikannya. Namanya tidak diketahui sehingga sekarang. Dia juga kehilangan penghormatan istimewa yang diberikan kepada Boaz, iaitu menjadi nenek moyang kepada Yesus Kristus, Mesias yang dijanjikan. Sayang seribu sayang, bukan?—Mat. 1:5; Luk. 3:23, 32.