Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 14

“Semua Orang Akan Tahu bahawa Kamulah Murid-Muridku”

“Semua Orang Akan Tahu bahawa Kamulah Murid-Muridku”

Jika kamu saling mengasihi, semua orang akan tahu bahawa kamulah murid-muridku.”​—YOH. 13:35.

LAGU 106 Memupuk Sifat Kasih

PENGENALAN a

Setelah melihat kasih yang ditunjukkan antara umat Yehuwa, bagaimanakah hal itu mempengaruhi pandangan banyak orang yang bukan Saksi? (Lihat perenggan 1)

1. Mengapakah ramai orang yang menghadiri perjumpaan kita berasa kagum? (Lihat juga gambar.)

 BAYANGKAN sepasang suami isteri datang ke Dewan Perjumpaan Saksi-Saksi Yehuwa buat kali pertama. Mereka sangat kagum kerana saudara saudari menyambut mereka dengan mesra dan menunjukkan kasih kepada satu sama lain. Dalam perjalanan pulang selepas perjumpaan, isteri itu memberitahu suaminya, “Saksi-Saksi Yehuwa memang berbeza. Saya suka mereka.”

2. Mengapakah sesetengah orang tersandung?

2 Kasih yang ditunjukkan saudara saudari dalam sidang sangat istimewa. Namun, mereka semua tidak sempurna. (1 Yoh. 1:8) Jadi, apabila kita semakin mengenali saudara saudari kita, kita akan nampak kelemahan mereka. (Rm. 3:23) Sedihnya, sesetengah orang membiarkan ketidaksempurnaan rakan seiman membuat mereka tersandung.

3. Apakah tanda pengenal pengikut Yesus yang sejati? (Yohanes 13:34, 35)

3 Sila lihat lagi ayat tema rencana ini. (Baca Yohanes 13:34, 35.) Apakah tanda pengenal pengikut Yesus yang sejati? Kasih, bukan kesempurnaan. Selain itu, Yesus tidak berkata, “Kamu akan tahu bahawa kamulah murid-muridku.” Sebaliknya, dia berkata, “Semua orang akan tahu bahawa kamulah murid-muridku.” Maksudnya, jika para pengikut Yesus saling mengasihi dan tidak mementingkan diri, bukan sahaja mereka, malah orang yang di luar sidang pun akan sedar bahawa mereka ialah orang Kristian sejati.

4. Apakah sesetengah soalan yang mungkin ditanya oleh orang yang bukan Saksi?

4 Sesetengah orang yang bukan Saksi mungkin bertanya, “Mengapakah kasih merupakan tanda pengenal pengikut Yesus yang sejati? Bagaimanakah Yesus menunjukkan kasih kepada para rasulnya? Bagaimanakah kita dapat meniru teladan Yesus hari ini?” Sebenarnya, para Saksi juga perlu merenungkan soalan-soalan ini. Dengan berbuat demikian, kita akan dibantu untuk menunjukkan kasih yang lebih mendalam, bahkan semasa ketidaksempurnaan orang lain membuat kita berasa marah.​—Ef. 5:2.

MENGAPAKAH KASIH IALAH TANDA PENGENAL ORANG KRISTIAN SEJATI?

5. Jelaskan kata-kata Yesus di Yohanes 15:12, 13.

5 Yesus menyatakan bahawa para pengikutnya harus menunjukkan kasih dalam cara yang istimewa. (Baca Yohanes 15:12, 13.) Dia memberi mereka perintah ini: “Kamu harus saling mengasihi, sebagaimana aku sudah mengasihi kamu.” Kemudian, Yesus menjelaskan bahawa murid-muridnya harus menunjukkan kasih yang rela berkorban. Maksudnya, orang Kristian harus lebih mengasihi rakan seiman daripada mengasihi diri sendiri, dan bahkan sanggup mati demi mereka jika perlu. b

6. Bagaimanakah Firman Tuhan mengajar kita tentang pentingnya menunjukkan kasih?

6 Firman Tuhan mengajar kita bahawa menunjukkan kasih sangat penting. Contohnya, Bible menyatakan, “Tuhan itu kasih.” (1 Yoh. 4:8) “Kamu mesti mengasihi orang lain sepertimana kamu mengasihi dirimu sendiri.” (Mat. 22:39) “Kasih dapat menutup banyak dosa.” (1 Ptr. 4:8) “Kasih itu abadi.” (1 Kor. 13:8) Ayat-ayat ini merupakan ayat Bible kegemaran banyak orang. Memandangkan Bible begitu sering menyebut tentang kasih, jelaslah bahawa memupuk dan menunjukkan kasih adalah sangat penting.

7. Mengapakah Syaitan tidak dapat mengajar orang untuk saling mengasihi dan bersatu padu?

7 Banyak orang berkata, “Mana mungkin kita dapat cari agama yang benar? Semua agama kata mereka ajarkan kebenaran, tetapi ajaran mereka tentang Tuhan berbeza-beza.” Syaitan telah menubuhkan banyak agama palsu dan berjaya mengelirukan orang. Tetapi dia tidak mungkin dapat mengumpulkan orang dari serata dunia dan mengajar mereka untuk saling mengasihi. Hanya Yehuwa yang dapat melakukannya. Mengapa? Kerana kasih sejati berasal daripada Yehuwa. Maka, hanya orang yang mendapat berkat dan kuasa suci-Nya dapat menunjukkan kasih sejati kepada satu sama lain. (1 Yoh. 4:7) Itulah sebabnya Yesus berkata bahawa kasih sejati ialah tanda pengenal para pengikutnya.

8-9. Apakah reaksi sesetengah orang setelah melihat kasih yang ditunjukkan dalam kalangan Saksi-Saksi Yehuwa?

8 Seperti yang dinubuatkan oleh Yesus, ramai orang telah mengenali pengikut Yesus yang sejati menerusi kasih yang ditunjukkan mereka terhadap satu sama lain. Contohnya, seorang saudara yang bernama Ian mengingat kembali konvensyen pertama yang dihadirinya di stadium yang berdekatan rumahnya. Beberapa bulan sebelum menghadiri konvensyen itu, Ian juga menghadiri acara sukan di stadium yang sama. Dia berkata, “Suasana semasa konvensyen itu jauh berbeza. Semua orang sangat sopan dan berpakaian kemas, dan anak-anak pun berkelakuan baik.” Dia menambah, “Hal yang paling menyentuh hati saya ialah ketenangan yang terpapar di wajah mereka. Itulah yang saya cari-cari selama ini. Walaupun saya tidak ingat ceramah yang disampaikan pada hari itu, kelakuan para Saksi telah terpahat di hati saya.” c Sudah tentu, para Saksi berkelakuan sebegini kerana memiliki kasih sejati terhadap satu sama lain. Oleh sebab kita mengasihi saudara saudari kita, kita akan melayan mereka dengan baik dan hormat.

9 Perhatikan lagi pengalaman seorang saudara yang bernama John. Mengenang kembali masanya dia mula menghadiri perjumpaan, dia berkata, “Semua orang di sidang sangat mesra dan baik. Kasih yang mereka tunjukkan buat saya yakin saya sudah menemui agama yang benar.” d Terdapat banyak pengalaman sebegini yang membuktikan bahawa umat Yehuwa ialah orang Kristian sejati.

10. Kita harus menunjukkan kasih sejati terutamanya dalam situasi apa? (Lihat juga nota kaki.)

10 Seperti yang dinyatakan di awal rencana, semua rakan seiman kita tidak sempurna. Ada kalanya, mereka akan melakukan atau mengatakan sesuatu yang membuat kita marah. e (Yak. 3:2) Dalam situasi sebegini, kita berpeluang untuk menunjukkan kasih sejati melalui reaksi kita. Mari kita belajar daripada teladan Yesus.​—Yoh. 13:15.

BAGAIMANAKAH YESUS MENUNJUKKAN KASIH KEPADA PARA RASULNYA?

Yesus melayan para rasulnya dengan penuh kasih biarpun semasa melihat kelemahan mereka (Lihat perenggan 11-13)

11. Apakah kelemahan Yakobus dan Yohanes? (Lihat juga gambar.)

11 Yesus tidak mengharapkan kesempurnaan daripada para pengikutnya. Sebaliknya, dia membantu mereka mengatasi kelemahan mereka supaya mereka menyenangkan hati Yehuwa. Pernah sekali, dua orang rasulnya, iaitu Yakobus dan Yohanes, meminta ibu mereka untuk berjumpa dengan Yesus dan memohon agar mereka berdua diberi kedudukan yang terkemuka dalam Kerajaan Tuhan. (Mat. 20:20, 21) Perbuatan Yakobus dan Yohanes menunjukkan bahawa mereka sombong dan bercita-cita tinggi.​—Ams. 16:18.

12. Adakah Yakobus dan Yohanes sahaja yang mempunyai kelemahan? Jelaskan.

12 Namun, bukan Yakobus dan Yohanes sahaja yang mempunyai kelemahan. Perhatikan reaksi rasul-rasul lain terhadap perbuatan mereka: “Semasa 10 orang murid yang lain mendengar hal ini, mereka marah terhadap dua orang adik-beradik itu.” (Mat. 20:24) Nampaknya pertengkaran yang sengit berlaku antara Yakobus, Yohanes, dan rasul-rasul yang lain. Sepuluh orang rasul yang lain mungkin berkata, “Berani kamu minta kedudukan tinggi dalam Kerajaan Tuhan! Kamu fikir kamu siapa? Kami pun bekerja keras bersama Yesus dan layak diberi kedudukan tinggi!” Tidak kira apa yang mereka fikirkan atau katakan pada masa itu, mereka lupa bahawa mereka harus menunjukkan kasih terhadap satu sama lain.

13. Apakah reaksi Yesus terhadap kelemahan para rasulnya? (Matius 20:25-28)

13 Apakah reaksi Yesus terhadap kelemahan para rasulnya? Dia tidak naik marah dan berkata bahawa dia mahu menggantikan mereka dengan orang yang lebih rendah hati, yang sentiasa menunjukkan kasih. Sebaliknya, Yesus menasihati mereka dengan sabar kerana dia tahu mereka ingin melakukan apa yang betul. (Baca Matius 20:25-28.) Yesus terus melayan mereka dengan penuh kasih, biarpun itu bukan kali pertama atau kali terakhir mereka bertengkar tentang siapa yang lebih besar.​—Mrk. 9:34; Luk. 22:24.

14. Apakah latar belakang para rasul Yesus?

14 Yesus tentu mengambil kira latar belakang para rasulnya. (Yoh. 2:24, 25) Dalam masyarakat orang Yahudi, para pemimpin agama mengajar bahawa orang mesti mengejar kedudukan dan kemasyhuran. (Mat. 23:6; bandingkan video Tempat Duduk Paling Depan di Sinagoga dalam nota pembelajaran bagi Matius 23:6 dalam Alkitab Edisi Pelajaran bahasa Indonesia.) Para pemimpin agama ini juga menganggap diri lebih baik daripada orang lain. f (Luk. 18:9-12) Yesus sedar bahawa keadaan sebegini dapat mempengaruhi pandangan para rasul terhadap diri mereka sendiri dan orang lain. (Ams. 19:11) Dia tidak mengharapkan kesempurnaan daripada mereka atau menengking mereka semasa mereka berbuat silap. Dia tahu bahawa para rasulnya ingin melakukan apa yang benar. Jadi dengan sabar, Yesus membantu mereka memupuk kasih dan menjauhi sikap sombong dan suka bersaing.

BAGAIMANAKAH KITA DAPAT MENGIKUT TELADAN YESUS?

15. Apakah yang dapat kita belajar daripada apa yang berlaku antara rasul-rasul Yesus?

15 Kita dapat belajar sesuatu daripada apa yang berlaku antara rasul-rasul Yesus. Yakobus dan Yohanes memang tidak patut meminta kedudukan yang terkemuka dalam Kerajaan Tuhan. Tetapi rasul-rasul lain juga bersalah kerana membiarkan perbuatan Yakobus dan Yohanes menggugat perpaduan mereka. Yesus pula melayan semua rasulnya dengan baik dan pengasih. Apakah pengajarannya bagi kita? Yang penting bukan hanya apa yang orang lain lakukan, tetapi juga reaksi kita terhadap kesilapan dan kelemahan mereka. Semasa kita tidak senang hati terhadap seorang rakan seiman, kita boleh menanya diri, “Mengapakah saya begitu marah dengan perbuatannya? Adakah reaksi saya menunjukkan bahawa saya ada kelemahan yang perlu diperbaiki? Adakah orang yang membuat saya marah itu sedang bergelut dengan masalah? Biarpun saya ada alasan untuk naik marah, dapatkah saya menunjukkan kasih dan memaafkannya?” Ingatlah, apabila kita menunjukkan kasih, kita membuktikan bahawa kita ialah pengikut Yesus yang sejati.

16. Apa lagi yang dapat kita belajar daripada teladan Yesus?

16 Teladan Yesus juga mengajar kita pentingnya memahami rakan seiman kita. (Ams. 20:5) Memang benar, Yesus dapat membaca hati orang, manakala kita tidak dapat. Meskipun begitu, kita dapat bersabar terhadap kelemahan saudara saudari kita. (Ef. 4:1, 2; 1 Ptr. 3:8) Adalah lebih mudah untuk berbuat demikian jika kita mengenali latar belakang mereka. Perhatikan contoh berikut.

17. Apakah hasilnya apabila seorang penyelia litar berusaha untuk mengenali saudaranya dengan lebih baik?

17 Seorang penyelia litar di Afrika Timur berkata bahawa dahulu, dia berasa seorang saudara bersikap kasar. Apakah yang dilakukan oleh penyelia litar itu? Dia berkata, “Daripada mengelakkan saudara itu, saya berusaha untuk mengenalinya dengan lebih baik.” Hasilnya, dia mendapat tahu bagaimana latar belakang saudara itu telah mempengaruhi keperibadiannya. Penyelia litar itu menambah, “Saudara itu telah berusaha keras untuk membaiki keperibadiannya, dan dia sudah membuat banyak perubahan. Apabila saya tahu hal ini, saya berasa kagum terhadapnya. Kami telah menjadi kawan baik.” Ya, jika kita cuba mengenali saudara saudari kita, biasanya kita akan berasa lebih mudah untuk mengasihi mereka.

18. Jika kita disakiti oleh rakan seiman kita, apakah soalan-soalan yang boleh kita tanya? (Amsal 26:20)

18 Ada kalanya, kita mungkin berasa bahawa kita perlu berjumpa dengan rakan seiman yang telah menyakiti hati kita. Namun, sebelum berbuat demikian, tanyalah diri soalan-soalan seperti, “Adakah saya benar-benar mengetahui apa yang berlaku?” (Ams. 18:13) “Adakah orang itu tidak sengaja?” (Pkh. 7:20) “Pernahkah saya melakukan kesilapan yang sama?” (Pkh. 7:21, 22) “Jika saya berjumpa dengan orang itu, adakah saya akan merumitkan lagi masalah?” (Baca Amsal 26:20.) Apabila kita merenungkan soalan-soalan seperti ini, kita mungkin memutuskan untuk melupakan sahaja apa yang berlaku kerana kita mengasihi rakan seiman kita.

19. Apakah tekad anda?

19 Sebagai satu kumpulan, Saksi-Saksi Yehuwa memang membuktikan bahawa mereka ialah pengikut Yesus yang sejati. Apabila kita masing-masing menunjukkan kasih kepada saudara saudari kita meskipun mereka tidak sempurna, kita membuktikan bahawa kita ialah orang Kristian sejati. Dengan berbuat demikian, kita mungkin membantu orang lain sedar bahawa kita menganuti agama yang benar, dan mendorong mereka untuk menyembah Yehuwa, Tuhan yang pengasih, bersama kita. Oleh itu, marilah kita bertekad untuk terus menunjukkan kasih yang menjadi tanda pengenal orang Kristian sejati.

LAGU 17 “Aku Rela”

a Banyak orang tertarik kepada kebenaran kerana mereka melihat kasih sejati yang kita tunjukkan kepada satu sama lain. Namun oleh sebab kita tidak sempurna, ada kalanya kita mungkin berasa susah untuk menunjukkan kasih kepada rakan seiman kita. Dalam rencana ini, kita akan mengkaji mengapa penting untuk menunjukkan kasih dan bagaimana kita dapat meniru teladan Yesus semasa ketidaksempurnaan orang lain membuat kita berasa marah.

c Lihat rencana “Akhirnya, Hidup Saya Mempunyai Makna” dalam Menara Pengawal terbitan 1 November 2012.

d Lihat rencana “Saya Rasa Hidup Saya Sangat Seronok” dalam Menara Pengawal terbitan 1 Mei 2012.

e Kesilapan yang disebut dalam rencana ini tidak merangkumi dosa serius yang harus ditangani oleh para penatua, seperti dosa yang disebut di 1 Korintus 6:9, 10.

f Menurut laporan, seorang rabbi yang hidup bertahun-tahun kemudian berkata, “Dalam dunia ini, ada sekurang-kurangnya tiga puluh orang yang alim seperti Abraham. Jika ada tiga puluh orang sebegini, saya dan anak lelaki saya tergolong antara mereka. Jika ada sepuluh orang sebegini, saya dan anak lelaki saya tergolong antara mereka. Jika ada lima orang sebegini, saya dan anak lelaki saya tergolong antara mereka. Jika ada dua orang sebegini, dua orang itu ialah saya dan anak lelaki saya. Jika hanya ada satu orang sebegini, sayalah orang itu.”