Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 11

LAGU 129 Terus Bertahan Sampai Akhir

Anda Dapat Terus Menyembah Yehuwa Meskipun Dikecewakan

Anda Dapat Terus Menyembah Yehuwa Meskipun Dikecewakan

“Kamu juga . . . tidak berputus asa demi namaku.”​—WHY. 2:3.

FOKUS

Kita dapat terus menyembah Yehuwa walaupun kita berasa kecewa.

1. Apakah berkat-berkat yang kita terima kerana menjadi sebahagian daripada organisasi Yehuwa?

 KITA sangat bersyukur kerana dapat menjadi sebahagian daripada organisasi Yehuwa pada hari-hari terakhir ini. Walaupun keadaan dunia menjadi semakin buruk, Yehuwa memberi kita saudara saudari untuk menyokong kita. (Mzm. 133:1) Dia juga mengajar kita cara untuk memiliki keluarga yang bahagia. (Ef. 5:33–6:1) Selain itu, Dia memberi kita kebijaksanaan dan pengertian yang diperlukan supaya kita memperoleh ketenangan yang sejati.

2. Apakah yang perlu kita lakukan, dan mengapa?

2 Namun, kita perlu berusaha keras agar dapat menyembah Yehuwa dengan setia. Mengapa? Ada kalanya, kita mungkin tersinggung kerana ketidaksempurnaan orang lain. Kita juga mungkin berasa kecewa dengan diri sendiri, terutamanya jika kita asyik mengulangi kesilapan kita. Dalam rencana ini, kita akan membincangkan bagaimana kita dapat terus menyembah Yehuwa (1) semasa rakan seiman menyinggung perasaan kita, (2) semasa pasangan kita membuat kita kecewa, dan (3) semasa kita kecewa dengan diri sendiri. Kita juga akan belajar daripada watak-watak Bible yang setia.

SEMASA RAKAN SEIMAN MENYINGGUNG PERASAAN ANDA

3. Apakah cabaran yang dihadapi oleh umat Yehuwa?

3 Cabaran. Sesetengah saudara saudari kita mungkin memiliki perangai yang menjengkelkan kita. Yang lain pula mungkin mengecewakan kita atau melayan kita dengan buruk. Mereka yang mengambil pimpinan dalam sidang juga mungkin berbuat silap. Hal-hal sebegini mungkin membuat sesetengah orang berfikir bahawa ini bukan organisasi Tuhan. Akibatnya, mereka tidak mahu “berganding bahu” lagi dengan saudara saudari mereka untuk menyembah Tuhan. (Zef. 3:9) Mereka mungkin mengelakkan orang yang menyakiti mereka atau bahkan tidak lagi menghadiri perjumpaan. Adakah perbuatan sebegitu bijak? Perhatikan contoh seorang watak Bible yang juga menghadapi masalah yang sama.

4. Apakah cabaran yang dihadapi Rasul Paulus?

4 Watak Bible. Rasul Paulus tahu bahawa rakan seimannya tidak sempurna. Sebagai contoh, semasa dia baru menjadi orang Kristian, sesetengah orang di sidang ragu-ragu terhadapnya. (Kis. 9:26) Kemudian, sesetengah orang bercakap buruk tentangnya kerana ingin merosakkan nama baiknya. (2 Kor. 10:10) Paulus juga melihat seorang penatua melakukan kesilapan yang mungkin membuat orang lain tersandung. (Gal. 2:​11, 12) Selain itu, Markus, seorang kawan rapatnya, pernah membuatnya sangat kecewa. (Kis. 15:​37, 38) Paulus boleh memutuskan bahawa dia tidak mahu bergaul lagi dengan orang yang menyinggung perasaannya. Tetapi, dia tetap berpandangan positif terhadap saudara saudarinya, dan dia terus menyembah Yehuwa. Apakah yang membantunya berbuat demikian?

5. Apakah yang membantu Paulus agar tidak menjauhi saudara saudarinya? (Kolose 3:​13, 14) (Lihat juga gambar.)

5 Paulus mengasihi saudara saudarinya. Kasih itu membantunya bertumpu kepada sifat-sifat baik mereka, bukannya ketidaksempurnaan mereka. Kasih itu juga menggerakkan Paulus untuk mengikut nasihat yang ditulisnya sendiri di Kolose 3:​13, 14. (Baca.) Perhatikan bagaimana Paulus melayan Markus. Semasa perjalanan Paulus yang pertama sebagai mubaligh, Markus telah meninggalkannya, tetapi Paulus tidak menyimpan dendam. Bertahun-tahun kemudian, dalam suratnya kepada sidang di Kolose, Paulus memuji Markus dan menulis bahawa Markus ialah “sumber kelegaan hati yang besar” dan rakan sekerja yang berharga. (Kol. 4:​10, 11) Semasa Paulus dipenjarakan di Roma, dia meminta Markus untuk datang dan membantunya. (2 Tim. 4:11) Jelaslah, Paulus tidak menjauhi rakan seiman yang pernah membuatnya tersinggung. Apakah yang dapat kita pelajari daripada Paulus?

Paulus pernah berselisih faham dengan Barnabas dan Markus. Tetapi dia tidak berdendam dan gembira untuk bekerjasama dengan Markus (Lihat perenggan 5)


6-7. Bagaimanakah kita dapat terus menunjukkan kasih kepada saudara saudari kita walaupun mereka tidak sempurna? (1 Yohanes 4:7)

6 Pengajaran. Yehuwa mahu kita terus menunjukkan kasih kepada saudara saudari kita. (Baca 1 Yohanes 4:7.) Jika seorang rakan seiman gagal menunjukkan sifat Kristian tertentu, kita percaya bahawa dia tidak sengaja berbuat demikian dan dia sebenarnya sedang berusaha untuk mematuhi prinsip Bible. (Ams. 12:18) Yehuwa mengasihi hamba-Nya yang setia biarpun mereka tidak sempurna. Jika kita berbuat silap, Dia tidak memutuskan persahabatan-Nya dengan kita atau menjadi marah. (Mzm. 103:9) Kita tentu mahu meniru Bapa kita yang rela mengampuni, bukan?​—Ef. 4:32–5:1.

7 Kita juga perlu ingat bahawa apabila akhir semakin dekat, kita perlu menjaga hubungan yang erat dengan rakan seiman kita. Penganiayaan yang kita hadapi mungkin bertambah, dan kita bahkan mungkin dipenjarakan kerana iman kita. Jika hal itu berlaku, kita akan sangat memerlukan sokongan saudara saudari kita. (Ams. 17:17) Perhatikan apa yang berlaku kepada Josep, a seorang penatua di Sepanyol. Dia dan saudara-saudara lain dipenjarakan bersama-sama kerana enggan menyertai tentera. Dia berkata, “Memandangkan kami tinggal bersama-sama di dalam penjara, memang mudah untuk berasa jengkel terhadap satu sama lain. Kami perlu bersabar terhadap satu sama lain dan saling mengampuni dengan rela hati. Sikap ini membantu kami tetap bersatu dan melindungi kami daripada banduan yang tidak menyembah Yehuwa. Pernah sekali, lengan saya cedera dan dibalut dengan simen, jadi ada banyak hal yang tidak dapat saya lakukan. Tetapi seorang saudara tolong cuci baju saya dan melakukan hal-hal lain untuk saya. Saya telah merasai kasih sejati pada saat saya paling memerlukannya.” Pengalaman ini mengajar kita bahawa jika ada apa-apa masalah yang timbul antara kita dengan rakan seiman, sekaranglah masanya untuk menyelesaikannya.

SEMASA PASANGAN HIDUP MENGECEWAKAN ANDA

8. Apakah cabaran yang dihadapi suami isteri?

8 Cabaran. Bible berkata bahawa semua orang yang berkahwin “akan menghadapi banyak kesusahan.” (1 Kor. 7:28) Mengapa? Kerana suami dan isteri tidak sempurna dan memiliki sifat dan cita rasa yang berbeza. Selain itu, mereka juga mungkin berasal daripada budaya atau latar belakang yang berbeza. Selepas berkahwin, mereka mungkin terkejut semasa melihat sesetengah sifat pasangan mereka kerana tidak mengetahuinya sebelum berkahwin. Hal-hal ini mungkin menimbulkan ketegangan. Sesetengah orang menyalahkan pasangan mereka biarpun mereka sendiri juga bersalah. Daripada bekerjasama untuk mengatasi masalah, mereka mungkin berfikir untuk berpisah atau bercerai. Adakah ini penyelesaiannya? b Mari kita lihat seorang watak Bible yang tetap setia kepada Yehuwa meskipun menghadapi masalah yang besar dalam perkahwinannya.

9. Apakah cabaran yang dihadapi oleh Abigail?

9 Watak Bible. Suami Abigail ialah Nabal, dan Bible kata Nabal seorang yang kasar dan berkelakuan buruk. (1 Sam. 25:3) Abigail pasti berasa susah untuk tinggal bersama lelaki seperti ini. Adakah Abigail mempunyai peluang untuk mengakhiri perkahwinannya? Ya. Semasa Daud ingin membunuh Nabal kerana menghinanya serta anak buahnya, Abigail sebenarnya dapat melarikan diri dan membiarkan Daud meneruskan rancangannya. (1 Sam. 25:​9-13) Tetapi dia tidak berbuat demikian. Sebaliknya, dia merayu agar Daud membiarkan Nabal terus hidup. (1 Sam. 25:​23-27) Mengapakah Abigail berbuat demikian?

10. Mengapakah Abigail tidak mengakhiri perkahwinannya meskipun suaminya begitu jahat?

10 Abigail mengasihi Yehuwa dan memiliki pandangan-Nya terhadap perkahwinan. Dia pasti mengetahui apa yang difirmankan oleh Tuhan semasa Dia mengadakan perkahwinan untuk Adam dan Hawa. (Kej. 2:24) Abigail tahu bahawa perkahwinan itu suci bagi Yehuwa, dan dia mahu menggembirakan hati-Nya. Oleh itu, dia melakukan apa sahaja yang terdaya untuk menyelamatkan suaminya dan keluarganya. Dia segera bertindak untuk menghalang Daud daripada membunuh Nabal. Dia juga sudi meminta maaf atas kesalahan yang tidak dilakukannya. Yehuwa tentu mengasihi Abigail kerana bersikap berani dan tidak mementingkan diri. Apakah yang dapat dipelajari para suami dan isteri daripada teladan Abigail?

11. (a) Yehuwa mahu suami dan isteri melakukan apa? (Efesus 5:33) (b) Apakah yang anda belajar daripada pengalaman Carmen? (Lihat juga gambar.)

11 Pengajaran. Yehuwa mahu suami dan isteri menghormati aturan perkahwinan biarpun mereka kecewa dengan pasangan hidup mereka. Yehuwa pasti senang hati semasa melihat suami isteri yang berusaha keras untuk menyelesaikan masalah mereka dan menunjukkan kasih dan hormat terhadap satu sama lain. (Baca Efesus 5:33.) Perhatikan contoh Carmen. Kira-kira enam tahun selepas berkahwin, dia mula belajar Bible dengan Saksi-Saksi Yehuwa lalu dibaptis. Dia berkata, “Suami saya marah. Dia cemburu kerana saya meluangkan banyak masa untuk Yehuwa. Jadi dia menghina saya dan mengugut akan meninggalkan saya.” Biarpun begitu, Carmen berusaha menjaga perkahwinannya. Selama 50 tahun, dia berusaha menunjukkan kasih dan hormat dalam perkahwinannya. Dia berkata, “Seraya masa berlalu, saya belajar untuk lebih memahami suami saya dan bercakap kepadanya dengan lembut. Saya tahu Yehuwa anggap perkahwinan itu suci, jadi saya lakukan apa yang saya mampu untuk melindunginya. Saya mengasihi Yehuwa, jadi saya tidak pernah cuba meninggalkan suami saya.” c Jika timbulnya masalah dalam perkahwinan anda, yakinlah bahawa Yehuwa akan menyokong dan membantu anda.

Abigail sudi melakukan apa yang dia mampu untuk menyelamatkan keluarganya. Apakah yang anda pelajari daripadanya? (Lihat perenggan 11)


SEMASA ANDA KECEWA DENGAN DIRI SENDIRI

12. Apakah cabaran yang mungkin kita hadapi jika kita melakukan dosa yang serius?

12 Cabaran. Kita mungkin berasa ingin putus asa jika kita melakukan dosa yang serius. Bible menyatakan bahawa dosa sebegini mungkin membuat kita hancur hati dan remuk hati. (Mzm. 51:17) Seorang saudara yang bernama Robert telah berusaha keras selama bertahun-tahun agar memenuhi syarat untuk menjadi pembantu sidang. Tetapi selepas dilantik, dia melakukan dosa serius dan sedar bahawa dia telah mengkhianati Yehuwa. Dia berkata, “Saya rasa sangat bersalah. Hati saya hancur berkecai. Saya berdoa kepada Yehuwa sambil menangis. Masa itu saya fikir Tuhan tidak akan dengar doa saya lagi kerana saya sudah membuat-Nya kecewa.” Jika kita telah melakukan dosa yang serius, kita mungkin begitu hancur hati sehingga berhenti menyembah Yehuwa kerana berfikir Yehuwa tidak akan menerima kita lagi. (Mzm. 38:4) Jika anda berasa begitu, perhatikan seorang watak Bible yang terus menyembah Yehuwa biarpun dia melakukan dosa yang serius.

13. Apakah dosa besar yang dilakukan oleh Rasul Petrus, dan apakah dosa lain yang dilakukannya sebelum itu?

13 Watak Bible. Pada malam sebelum Yesus dihukum mati, Rasul Petrus melakukan beberapa kesilapan yang akhirnya menyebabkannya melakukan dosa yang amat berat. Pertama, Petrus terlalu yakin pada dirinya dan berkata bahawa dia akan tetap setia biarpun rasul-rasul lain meninggalkan Yesus. (Mrk. 14:​27-29) Kemudian, semasa di Taman Getsemani, Petrus berulang kali tertidur dan tidak berjaga-jaga. (Mrk. 14:​32, 37-41) Selepas itu, semasa Yesus ditangkap, Petrus melarikan diri. (Mrk. 14:50) Akhirnya, sebanyak tiga kali, Petrus menyangkal Yesus dan bahkan bersumpah bahawa dia tidak mengenalnya. (Mrk. 14:​66-71) Apakah reaksi Petrus semasa dia sedar dia telah melakukan dosa yang amat berat? Dia tidak dapat menahan rasa sedih lalu menangis tersedu-sedu kerana berasa bersalah. (Mrk. 14:72) Beberapa jam kemudian, semasa Yesus dibunuh, Petrus pasti berasa sangat tidak berguna dan kecewa dengan dirinya!

14. Apakah yang membantu Petrus terus menyembah Yehuwa? (Lihat gambar.)

14 Terdapat beberapa hal yang membantu Petrus untuk terus menyembah Yehuwa walaupun dia telah melakukan dosa yang serius. Mula-mula, dia tidak mengasingkan diri. Sebaliknya, dia berkumpul bersama rakan seimannya dan menerima kelegaan daripada mereka. (Luk. 24:33) Selain itu, Yesus telah berjumpa dengan Petrus selepas dibangkitkan. Nampaknya, Yesus telah memberinya galakan pada masa itu. (Luk. 24:34; 1 Kor. 15:5) Tambahan lagi, Yesus tidak memarahi Petrus atas dosanya, malah memberitahu sahabatnya itu bahawa dia akan diberi lebih banyak tanggungjawab. (Yoh. 21:​15-17) Petrus tidak berputus asa terhadap dirinya kerana dia yakin bahawa Tuannya Yesus masih mengasihinya, dan kerana dia merasai sokongan daripada rakan seimannya. Apakah yang dapat kita pelajari daripada Petrus?

Yohanes 21:​15-17 menunjukkan bahawa Yesus tidak berputus asa terhadap Petrus. Hasilnya, Petrus digalakkan untuk terus menyembah Yehuwa (Lihat perenggan 14)


15. Yehuwa mahu kita yakin akan hal apa? (Mazmur 86:5; Roma 8:​38, 39) (Lihat juga gambar.)

15 Pengajaran. Yehuwa mahu kita yakin bahawa Dia mengasihi kita dan sudi mengampuni kita. (Baca Mazmur 86:5; Roma 8:​38, 39.) Apabila kita berdosa, kita memang akan berasa bersalah. Hal itu normal dan memang wajar. Namun, kita tidak harus berfikir bahawa kita tidak layak dikasihi atau diampuni. Sebaliknya, kita harus segera mendapatkan bantuan. Robert, yang disebut tadi, berkata, “Saya berdosa kerana saya bergantung pada kekuatan sendiri untuk melawan godaan.” Dia sedar bahawa dia perlu memberitahu para penatua. Dia berkata, “Sebaik sahaja saya berbuat demikian, mereka bantu saya merasai kasih Yehuwa. Para penatua juga tidak berputus asa terhadap saya. Mereka meyakinkan saya bahawa Yehuwa tidak meninggalkan saya.” Jika kita sudah bertaubat daripada dosa, mencari bantuan, dan bertekad untuk tidak mengulangi dosa kita, kita boleh yakin bahawa Yehuwa sangat mengasihi kita dan ingin mengampuni kita. (1 Yoh. 1:​8, 9) Keyakinan itu akan membantu kita terus menyembah Yehuwa biarpun kita kecewa dengan diri sendiri.

Apakah perasaan anda semasa melihat para penatua berusaha untuk membantu anda? (Lihat perenggan 15)


16. Mengapakah anda bertekad untuk terus menyembah Yehuwa?

16 Yehuwa sangat menghargai usaha kita untuk menyembah-Nya pada hari-hari terakhir yang mencabar ini. Dengan adanya bantuan Yehuwa, kita dapat terus menyembah-Nya walaupun mengalami kekecewaan. Jika saudara saudari kita membuat kita tersinggung, kita ingin menunjukkan kasih dan mengampuni mereka. Jika timbulnya masalah dalam perkahwinan, kita mahu berusaha mengatasinya kerana kita amat mengasihi Tuhan dan menghormati aturan-Nya. Jika kita berbuat dosa, kita mahu meminta bantuan Yehuwa, percaya bahawa Dia mengasihi kita dan sudi mengampuni kita, dan terus berkhidmat kepada-Nya. Marilah kita terus “berbuat baik tanpa berputus asa.” Dengan itu, kita pasti menuai berkat yang melimpah!​—Gal. 6:9.

BAGAIMANAKAH KITA DAPAT TERUS MENYEMBAH YEHUWA SEMASA . . .

  • rakan seiman membuat kita tersinggung?

  • pasangan kita mengecewakan kita?

  • kita kecewa dengan diri sendiri?

LAGU 139 Bayangkan Dirimu di Dunia Baharu

a Sesetengah nama telah diubah.

b Firman Tuhan tidak menggalakkan perpisahan dan menjelaskan bahawa suami isteri yang berpisah tidak bebas untuk berkahwin semula. Namun, sesetengah orang Kristian menganggap situasi tertentu sebagai sebab untuk berpisah. Lihat penjelasan 4 “Perpisahan” dalam buku Nikmati Hidup Selama-Lamanya!