RENCANA PEMBELAJARAN 12
LAGU 77 Cahaya Bersinar dari Kegelapan
Jauhilah Kegelapan dan Teruslah Hidup dalam Cahaya
“Dahulu kamu pernah hidup dalam kegelapan, tetapi sekarang kamu hidup dalam cahaya.”—EF. 5:8.
FOKUS
Apa yang dapat kita belajar daripada kegelapan dan cahaya yang disebut oleh Paulus di Efesus bab 5.
1-2. (a) Apakah keadaan Paulus semasa dia menulis suratnya kepada sidang di Efesus? (b) Apakah soalan-soalan yang akan kita jawab?
SEMASA Paulus dikurung di Roma, dia tidak dapat melawat saudara saudarinya. Namun, dia tetap mahu menggalakkan mereka, maka dia menulis surat kepada mereka. Suratnya yang ditujukan kepada orang Kristian terurap di Efesus ditulis sekitar tahun 60 atau 61 M.—Ef. 1:1; 4:1.
2 Hampir 10 tahun sebelum itu, Paulus meluangkan banyak masa untuk menginjil dan mengajar orang di Efesus tentang berita baik. (Kis. 19:1, 8-10; 20:20, 21) Dia sangat mengasihi rakan seimannya dan ingin membantu mereka tetap setia kepada Yehuwa. Namun, mengapakah dia menulis tentang kegelapan dan cahaya? Apakah pengajarannya bagi semua orang Kristian? Mari kita menjawab soalan-soalan ini.
DARI KEGELAPAN KE CAHAYA
3. Apakah perbandingan yang digunakan oleh Paulus dalam suratnya kepada sidang di Efesus?
3 Paulus menulis kepada orang Kristian di Efesus, “Dahulu kamu pernah hidup dalam kegelapan, tetapi sekarang kamu hidup dalam cahaya.” (Ef. 5:8) Paulus menggunakan perbandingan antara cahaya dengan kegelapan untuk menggambarkan perubahan besar yang dilalui oleh orang Kristian di Efesus. Mari kita lihat mengapa Paulus berkata bahawa mereka “pernah hidup dalam kegelapan.”
4. Bagaimanakah orang di Efesus berada dalam kegelapan dari segi agama?
4 Agama palsu. Sebelum mempelajari kebenaran dan menjadi orang Kristian, orang di Efesus menganuti agama palsu dan terikat kepada kepercayaan karut. Di kota Efesus, terdapat kuil Artemis, yang dianggap salah satu daripada tujuh keajaiban dunia kuno. Orang yang beribadat di kuil itu menyembah berhala. Tukang perak di Efesus juga mengaut keuntungan yang lumayan kerana menjual model kuil Artemis. (Kis. 19:23-27) Selain itu, kota Efesus terkenal kerana amalan sihir.—Kis. 19:19.
5. Bagaimanakah orang di Efesus berada dalam kegelapan dari segi moral?
5 Perbuatan yang tidak bermoral. Orang di Efesus terkenal kerana melakukan perbuatan yang jijik dan tidak bermoral tanpa rasa malu. Lakonan di panggung mereka dan bahkan perayaan agama mereka biasanya berkaitan dengan seks. (Ef. 5:3) Ramai penduduk Efesus “tidak lagi peduli tentang piawaian moral.” Dalam bahasa asal, ungkapan ini ialah “tidak lagi berasa sakit.” (Ef. 4:17-19) Sebelum mempelajari standard Yehuwa, hati nurani mereka langsung tidak terganggu semasa berbuat salah, dan mereka tidak peduli tentang pandangan Yehuwa. Itulah sebabnya Paulus menulis, “Fikiran mereka diselubungi kegelapan dan mereka terasing daripada kehidupan yang datang daripada Tuhan.”
6. Mengapakah Paulus dapat berkata kepada orang Kristian di Efesus, “Sekarang kamu hidup dalam cahaya”?
6 Namun, sesetengah orang di Efesus telah meninggalkan kegelapan dan hidup menurut cahaya daripada Firman Tuhan. (Mzm. 119:105) Orang Kristian di Efesus telah meninggalkan agama palsu serta perbuatan yang tidak bermoral. Mereka ‘mengikut teladan Tuhan’ dan berusaha sedaya upaya untuk menyembah-Nya dan menyenangkan hati-Nya. (Ef. 5:1) Itulah sebabnya Paulus dapat berkata kepada mereka, “Sekarang kamu hidup dalam cahaya kerana kamu bersatu dengan Tuan kita.”—Ef. 5:8.
7. Mengapakah keadaan kita agak mirip dengan keadaan banyak orang Kristian di Efesus?
7 Begitu juga, sebelum kita mempelajari kebenaran, kita berada dalam kegelapan dari segi agama dan moral. Ada antara kita yang menyambut perayaan agama palsu, dan ada juga yang hidup tidak bermoral. Namun, setelah kita mempelajari standard Yehuwa tentang apa yang betul dan salah, kita membuat perubahan agar dapat hidup selaras dengan standard Yehuwa. Hasilnya, kita meraih banyak manfaat. (Yes. 48:17) Meskipun begitu, kita perlu terus berjuang agar dapat tetap menjauhi kegelapan dan ‘terus hidup sebagai anak-anak cahaya.’ Apakah yang dapat kita lakukan?
MENJAUHI KEGELAPAN
8. Menurut Efesus 5:3-5, apakah yang harus dijauhi oleh orang Kristian di Efesus?
8 Baca Efesus 5:3-5. Untuk tetap menjauhi kegelapan, orang Kristian di Efesus perlu terus menjauhi amalan yang tidak disenangi Yehuwa. Hal itu bukan sahaja merangkumi perbuatan seks yang tidak bermoral, tetapi juga kata-kata lucah. Paulus memberikan amaran bahawa orang yang melakukan hal sebegini “tidak akan mewarisi apa-apa dalam Kerajaan Kristus dan Tuhan.”
9. Mengapakah kita mesti menolak apa sahaja yang mungkin menyebabkan kita melakukan perbuatan yang tidak bermoral?
9 Kita juga perlu terus berjuang agar menjauhi perbuatan “yang tidak berguna, dan yang berkaitan dengan kegelapan.” (Ef. 5:11) Sudah ada banyak pengalaman yang membuktikan bahawa semakin kerap seseorang melihat, mendengar, atau bercakap tentang perkara yang lucah, semakin mudah dia terjerat dalam perbuatan yang berdosa. (Kej. 3:6; Yak. 1:14, 15) Di sebuah negara, banyak Saksi menjadi “kawan” dalam kumpulan chat dalam talian. Pada mulanya, mereka berbual tentang hal-hal rohani. Tetapi lama-kelamaan, mereka mula berbual tentang seks. Beberapa Saksi yang menyertai kumpulan chat itu mengaku bahawa perbualan yang lucah itu telah menyebabkan mereka melakukan perbuatan yang tidak bermoral.
10. Bagaimanakah Syaitan cuba memperdaya kita? (Efesus 5:6)
10 Dunia Syaitan cuba memperdaya kita dan membuat kita berfikir bahawa apa yang dianggap najis dan tidak bermoral oleh Yehuwa sebenarnya tidak salah. (2 Ptr. 2:19) Hal ini tidak menghairankan kerana sejak dahulu lagi, Si Iblis suka mengelirukan orang supaya mereka tidak dapat membezakan apa yang betul daripada apa yang salah. (Yes. 5:20; 2 Kor. 4:4) Fikirkan: Mengapakah begitu banyak wayang, rancangan TV, dan laman web, mempamerkan perbuatan yang melanggar prinsip Yehuwa? Itulah muslihat Syaitan untuk memperdaya kita! Dia mahu kita berfikir bahawa amalan dan gaya hidup yang najis bukan sahaja tidak salah atau berbahaya, malah menyeronokkan.—Baca Efesus 5:6.
11. Bagaimanakah pengalaman Angela menekankan pentingnya mengikut nasihat di Efesus 5:7? (Lihat juga gambar.)
11 Syaitan mahu kita bergaul dengan orang yang akan membuat kita susah berpegang pada standard Yehuwa. Paulus menasihati orang Kristian di Efesus agar ‘jangan ada apa-apa hubungan dengan orang’ yang suka melanggar hukum Tuhan. (Ef. 5:7) Namun, kita harus lebih berwaspada berbanding orang Kristian abad pertama, kerana pada zaman ini, pergaulan kita bukan hanya merangkumi mereka yang kita jumpa secara bersemuka, tetapi juga mereka yang kita jumpa melalui media sosial. Angela, a yang tinggal di Asia, mengaku bahawa media sosial sangat berbahaya. Dia berkata, “Media sosial ialah perangkap kerana dapat mengubah fikiran kita secara beransur-ansur. Saya mula rasa tiada salahnya memiliki ‘kawan’ yang tidak menghormati prinsip Bible. Akhirnya, saya bahkan berfikir bahawa kalau gaya hidup saya tidak disukai Yehuwa, itu pun tiada masalah.” Para penatua yang pengasih telah membantu Angela berubah. Dia berkata, “Sekarang, saya mengisi minda saya dengan hal-hal rohani, bukannya media sosial.”
12. Apakah yang akan membantu kita berpegang teguh pada standard Yehuwa?
12 Dunia ini berfikir bahawa perbuatan yang tidak bermoral boleh diterima. Kita tahu fikiran sebegini memang salah dan harus ditolak. (Ef. 4:19, 20) Tanyalah diri, “Adakah saya berusaha untuk mengelakkan pergaulan bersama rakan sekerja, rakan sekolah, atau dengan mereka yang tidak menghormati standard Yehuwa? Adakah saya berani menjunjung standard Yehuwa biarpun orang berkata saya ini berfikiran kolot?” Selain itu, 2 Timotius 2:20-22 mengingatkan kita agar berhati-hati bahkan semasa memilih sahabat dalam sidang, kerana ada antara mereka yang tidak membantu kita tetap setia kepada Yehuwa.
“HIDUP SEBAGAI ANAK-ANAK CAHAYA”
13. Apakah maksud “hidup sebagai anak-anak cahaya”? (Efesus 5:7-9)
13 Setelah menggalakkan orang Kristian di Efesus untuk terus menjauhi kegelapan, Paulus menggesa mereka, “Teruslah hidup sebagai anak-anak cahaya.” (Baca Efesus 5:7-9.) Maksudnya, kita harus sentiasa berkelakuan sebagai orang Kristian sejati. Untuk membantu kita berbuat demikian, kita perlu membaca dan mengkaji Firman Tuhan dan bahan bacaan Bible secara tetap. Memandangkan Yesus Kristus ialah “cahaya dunia,” kita harus bertumpu khasnya kepada teladan dan ajarannya.—Yoh. 8:12; Ams. 6:23.
14. Bagaimanakah kuasa suci Tuhan membantu kita?
14 Kita juga memerlukan bantuan kuasa suci Tuhan untuk terus berkelakuan sebagai “anak-anak cahaya.” Mengapa? Kerana adalah susah untuk tetap bersih dalam dunia yang tidak bermoral ini. (1 Tes. 4:3-5, 7, 8) Kuasa suci Tuhan dapat membantu kita menolak fikiran dan pandangan dunia yang bertentangan dengan fikiran Tuhan. Kuasa suci Tuhan juga dapat membantu kita untuk melakukan “segala yang baik, yang jujur, dan yang benar.”—Ef. 5:9.
15. Bagaimanakah kita dapat menerima kuasa suci Tuhan? (Efesus 5:19, 20)
15 Satu cara kita dapat menerima kuasa suci Tuhan adalah dengan berdoa. Yesus kata Yehuwa akan “memberikan kuasa suci-Nya kepada mereka yang meminta daripada-Nya.” (Luk. 11:13) Kita juga menerima kuasa suci Tuhan apabila kita memuji Yehuwa bersama saudara saudari di perjumpaan. (Baca Efesus 5:19, 20.) Kuasa suci Tuhan akan memberi kita pengaruh yang positif dan membantu kita hidup dalam cara yang menyenangkan hati Tuhan.
16. Apakah yang akan membantu kita membuat keputusan yang bijak? (Efesus 5:10, 17)
16 Semasa membuat keputusan yang penting, kita perlu “memahami kehendak Yehuwa” dan bertindak selaras dengannya. (Baca Efesus 5:10, 17.) Jika kita mencari prinsip Bible yang berkaitan dengan situasi kita, kita sedang mencari nasihat Yehuwa. Apabila kita menerapkan prinsip Yehuwa, kita akan dapat membuat keputusan yang lebih bijak.
17. Bagaimanakah kita dapat menggunakan masa kita dengan bijak? (Efesus 5:15, 16) (Lihat juga gambar.)
17 Paulus juga menasihati orang Kristian di Efesus untuk menggunakan masa dengan bijak. (Baca Efesus 5:15, 16.) Musuh kita, “Si Jahat,” mahu kita begitu sibuk dengan hal-hal duniawi sehingga tiada masa untuk berkhidmat kepada Tuhan. (1 Yoh. 5:19) Jika seorang Kristian terlalu bertumpu kepada kekayaan, pendidikan, atau kerjayanya, sehingga tidak memikirkan apa yang dapat dilakukannya untuk Yehuwa, dia sudah diracuni oleh fikiran dunia. Sudah tentu, kekayaan, pendidikan, atau kerjaya bukanlah dosa, tetapi hal-hal ini tidak patut menjadi keutamaan hidup kita. Jika kita ingin hidup “sebagai anak-anak cahaya,” kita perlu ‘menggunakan masa dengan sebaik-baiknya’ dan berfokus kepada hal yang terpenting.
18. Apakah yang dilakukan oleh Donald untuk menggunakan masa dengan lebih baik?
18 Carilah peluang untuk melakukan lebih banyak untuk Yehuwa. Itulah yang dilakukan oleh Donald, yang tinggal di Afrika Selatan. Dia berkata, “Saya memikirkan situasi saya dan merayu agar Yehuwa membantu saya melakukan lebih banyak dalam kerja penyebaran. Saya berdoa supaya dapat mencari kerja yang memberi saya lebih banyak masa untuk menginjil. Dengan bantuan Yehuwa, saya dapat mencari kerja yang sesuai. Hasilnya, saya dan isteri saya dapat mula menceburi khidmat sepenuh masa bersama-sama.”
19. Bagaimanakah kita dapat terus “hidup sebagai anak-anak cahaya”?
19 Surat Paulus kepada sidang di Efesus pasti telah membantu mereka tetap setia kepada Yehuwa. Nasihat Paulus yang diilhami Tuhan juga bermanfaat untuk kita. Seperti yang telah kita pelajari, nasihat Paulus dapat membantu kita memilih hiburan atau sahabat dengan bijak, mendorong kita untuk mengkaji Bible secara tetap supaya kita terus dibimbing oleh cahaya kebenaran, dan menggalakkan kita untuk bergantung pada kuasa suci Tuhan supaya kita dapat memupuk sifat-sifat yang murni. Dengan menerapkan nasihat Paulus, kita akan dapat membuat keputusan yang bijak, yang selaras dengan fikiran Yehuwa. Apabila kita melakukan hal-hal ini, kita dapat menjauhi kegelapan dunia ini dan terus hidup dalam cahaya!
APAKAH JAWAPAN ANDA?
-
Apakah “kegelapan” dan “cahaya” yang dimaksudkan di Efesus 5:8?
-
Bagaimanakah kita dapat menjauhi “kegelapan”?
-
Bagaimanakah kita dapat terus “hidup sebagai anak-anak cahaya”?
LAGU 95 Cahaya Rohani Kian Terang
a Sesetengah nama telah diubah.
b KETERANGAN GAMBAR: Gambar menunjukkan salinan kuno surat Rasul Paulus kepada sidang di Efesus.