Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 9

LAGU 75 “Ku Sudi, Utuslah Aku!”

Sudahkah Anda Bersedia untuk Membaktikan Diri kepada Yehuwa?

Sudahkah Anda Bersedia untuk Membaktikan Diri kepada Yehuwa?

“Apakah yang dapat aku berikan kepada Yehuwa untuk membalas segala kebaikan-Nya terhadapku?”​—MZM. 116:12.

FOKUS

Rencana ini akan membantu anda untuk membina hubungan yang rapat dengan Yehuwa supaya anda mahu membaktikan diri kepada-Nya dan dibaptis.

1-2. Apakah yang perlu dilakukan oleh seseorang sebelum dibaptis?

 DALAM masa lima tahun yang lalu, lebih daripada sejuta orang telah dibaptis sebagai Saksi-Saksi Yehuwa. Ramai antara mereka diajar kebenaran “sejak bayi lagi,” seperti Timotius pada abad pertama. (2 Tim. 3:​14, 15) Yang lain pula belajar tentang Yehuwa semasa sudah dewasa atau bahkan semasa mereka sudah tua. Beberapa tahun lalu, seorang wanita yang belajar Bible dengan Saksi-Saksi Yehuwa telah dibaptis pada umur 97 tahun!

2 Jika anda masih seorang pelajar Bible, atau jika ibu bapa anda menyembah Yehuwa, adakah anda merancang untuk dibaptis? Jika ya, anda patut dipuji! Namun sebelum dibaptis, anda perlu membaktikan diri kepada Yehuwa. Dalam rencana ini, kita akan membincangkan maksud membaktikan diri. Kita juga akan membincangkan mengapa seseorang yang sudah bersedia untuk membaktikan diri dan dibaptis tidak perlu teragak-agak untuk mengambil langkah ini.

APAKAH MAKSUD MEMBAKTIKAN DIRI?

3. Berikan contoh orang yang membaktikan diri kepada Yehuwa.

3 Dalam Bible, seseorang yang membaktikan diri kepada Yehuwa dikhaskan untuk melakukan tugas yang suci. Seluruh bangsa Israel telah dibaktikan kepada Yehuwa, tetapi sesetengah orang Israel masih dapat membaktikan diri dalam cara yang istimewa. Sebagai contoh, pada bahagian depan serban Harun, terdapat kepingan emas yang berkilat. Kepingan emas itu ialah “tanda pembaktian suci,” yang menunjukkan bahawa dia dikhaskan untuk menjalankan tugas yang istimewa sebagai imam agung Israel. (Im. 8:9) Orang Nazir juga membaktikan diri kepada Yehuwa dalam cara yang istimewa. Perkataan Ibrani nazirʹ bererti “Orang yang Dikhaskan” atau “Orang yang Dibaktikan.” Orang Nazir perlu mematuhi pantang larang tertentu dalam Hukum Musa.​—Bil. 6:​2-8.

4. (a) Apakah maksud pembaktian anda kepada Yehuwa? (b) Apakah maksud ungkapan “menolak kepentingan sendiri”? (Lihat juga gambar.)

4 Apabila anda membaktikan diri kepada Yehuwa, hal ini bermaksud anda menjadi pengikut Yesus Kristus dan mahu mengutamakan kehendak Yehuwa dalam hidup. Yesus berkata, “Jika sesiapa ingin mengikutku, hendaklah dia menolak kepentingan sendiri.” (Mat. 16:24) Frasa Yunani yang diterjemahkan sebagai “menolak kepentingan sendiri” juga boleh diterjemahkan sebagai “berkata ‘tidak’ kepada dirinya.” Sebagai hamba Yehuwa yang sudah membaktikan diri, anda mesti menolak apa-apa yang tidak selaras dengan kehendak-Nya. (2 Kor. 5:​14, 15) Hal ini termasuk menolak “keinginan yang berdosa,” seperti perbuatan seks yang tidak bermoral. (Gal. 5:​19-21; 1 Kor. 6:18) Adakah hal ini mengekang kebebasan anda? Anda tidak akan berasa begitu jika anda mengasihi Yehuwa dan yakin bahawa hukum-Nya diberikan demi manfaat anda. (Mzm. 119:97; Yes. 48:​17, 18) Seorang saudara yang bernama Nicholas berkata, “Anda boleh menganggap hukum Yehuwa seperti pagar penjara yang menghalang anda daripada melakukan apa yang anda suka, atau menganggapnya seperti pagar sangkar singa yang melindungi anda daripada diterkam singa.”

Adakah anda memandang standard Yehuwa seperti pagar penjara yang mengurung anda, atau seperti pagar sangkar singa yang melindungi anda daripada diterkam singa? (Lihat perenggan 4)


5. (a) Bagaimanakah anda membaktikan diri kepada Yehuwa? (b) Apakah perbezaan antara pembaktian dengan pembaptisan? (Lihat juga gambar.)

5 Bagaimanakah anda membaktikan diri kepada Yehuwa? Anda berdoa kepada Yehuwa dan berjanji untuk menyembah-Nya sahaja dan mengutamakan kehendak-Nya. Dalam kata lain, anda berjanji untuk mengasihi Yehuwa “dengan segenap hati, dengan segenap jiwa, dengan segenap akal, dan dengan segenap kekuatan.” (Mrk. 12:30) Pembaktian dilakukan antara anda dengan Yehuwa sahaja, tetapi pembaptisan pula dilakukan di hadapan umum. Semasa dibaptis, anda menunjukkan kepada orang ramai bahawa anda sudah membaktikan diri kepada Tuhan. Ikrar pembaktian merupakan sesuatu yang suci dan anda harus menunaikannya. Yehuwa juga menghendaki anda berbuat demikian.​—Pkh. 5:​4, 5.

Membaktikan diri kepada Yehuwa bermaksud anda berdoa kepada-Nya dan berjanji untuk menyembah-Nya sahaja dan mengutamakan kehendak-Nya (Lihat perenggan 5)


MENGAPAKAH ANDA MEMBAKTIKAN DIRI KEPADA YEHUWA?

6. Apakah yang mendorong seseorang untuk membaktikan diri kepada Yehuwa?

6 Sebab utama anda membaktikan diri kepada Yehuwa adalah kerana anda mengasihi-Nya. Kasih anda bukan sekadar perasaan, tetapi juga berdasarkan “pengetahuan yang tepat” dan “pemahaman rohani.” (Kol. 1:9) Apabila anda semakin mengenali Yehuwa, kasih anda terhadap-Nya semakin bertambah. Setelah mengkaji Bible, anda yakin bahawa (1) Yehuwa benar-benar wujud, (2) Bible diilhami oleh-Nya, dan (3) Dia menggunakan organisasi-Nya untuk melaksanakan kehendak-Nya.

7. Apakah yang harus kita lakukan sebelum membaktikan diri kepada Yehuwa?

7 Mereka yang membaktikan diri kepada Yehuwa mesti mengetahui ajaran asas Bible dan mematuhi perintah Tuhan. Mereka juga berusaha sedaya upaya untuk menginjil kepada orang lain. (Mat. 28:​19, 20) Mereka sangat mengasihi Yehuwa dan mahu menyembah-Nya sahaja. Adakah anda juga berasa begitu? Jika anda betul-betul mengasihi Yehuwa, anda tidak akan mengambil langkah ini semata-mata untuk menyenangkan hati guru Bible anda atau ibu bapa anda, atau hanya kerana kawan-kawan anda telah berbuat demikian.

8. Bagaimanakah rasa syukur terhadap Yehuwa mendorong anda untuk membaktikan diri kepada-Nya? (Mazmur 116:​12-14)

8 Apabila anda memikirkan semua yang telah dilakukan oleh Yehuwa untuk anda, rasa syukur akan mendorong anda untuk membaktikan diri kepada-Nya. (Baca Mazmur 116:​12-14.) Bible berkata bahawa Yehuwa ialah Sumber “setiap kurniaan yang baik dan setiap pemberian yang sempurna.” (Yak. 1:17) Kurniaan-Nya yang paling istimewa ialah korban tebusan Anak-Nya, Yesus. Dengan adanya kurniaan ini, anda dapat menghampiri Yehuwa dan berpeluang untuk hidup selama-lamanya. (1 Yoh. 4:​9, 10, 19) Apabila anda menghargai korban tebusan dan berkat-berkat lain yang diberikan oleh Yehuwa, anda akan terdorong untuk membaktikan diri kepada-Nya. (Ul. 16:17; 2 Kor. 5:15) Untuk memperdalam penghargaan anda terhadap Yehuwa, sila lihat buku Nikmati Hidup Selama-Lamanya! pelajaran 46, poin 4, dan video tiga minit yang bertajuk Mempersembahkan Pemberian Kita kepada Tuhan.

SUDAHKAH ANDA BERSEDIA UNTUK MEMBAKTIKAN DIRI DAN DIBAPTIS?

9. Mengapakah seseorang tidak patut membandingkan diri dengan orang lain semasa membuat keputusan untuk membaktikan diri?

9 Anda mungkin rasa anda belum bersedia untuk membaktikan diri dan dibaptis. Barangkali anda mendapati bahawa anda masih perlu membuat perubahan agar hidup anda selaras dengan standard Yehuwa, atau anda memerlukan lebih banyak masa untuk menguatkan iman anda. (Kol. 2:​6, 7) Ingatlah, bukan semua pelajar Bible membuat kemajuan dengan kelajuan yang sama, dan bukan semua orang muda bersedia untuk membaktikan diri dan dibaptis pada usia yang sama. Maka, semasa menilai tahap kemajuan rohani anda, ukurlah baju di badan sendiri dan janganlah membandingkan diri dengan orang lain.​—Gal. 6:​4, 5.

10. Apakah yang dapat anda lakukan jika anda belum bersedia untuk membaktikan diri dan dibaptis? (Lihat juga kotak “ Bagi Mereka yang Dibesarkan dalam Kebenaran.”)

10 Biarpun anda belum bersedia untuk membaktikan diri dan dibaptis, teruslah berusaha untuk mencapai matlamat itu. Berdoalah agar Yehuwa memberkati usaha anda untuk membuat perubahan yang diperlukan. (Flp. 2:13; 3:16) Yehuwa pasti akan mendengar doa anda dan membantu anda.​—1 Yoh. 5:14.

MENGAPA SESETENGAH ORANG TERAGAK-AGAK

11. Bagaimanakah Yehuwa akan membantu anda tetap setia kepada-Nya?

11 Sesetengah orang sudah memenuhi syarat untuk membaktikan diri dan dibaptis tetapi masih teragak-agak untuk berbuat demikian. Mereka mungkin berfikir, “Macam mana kalau saya melakukan dosa yang serius dan disingkirkan?” Jika anda fikir begitu, percayalah bahawa Yehuwa akan memberikan segala bantuan yang anda perlukan supaya ‘jalan hidup anda selaras dengan kehendak-Nya dan menyenangkan hati-Nya dengan sepenuhnya.’ (Kol. 1:10) Dia juga akan memberi anda kekuatan untuk melakukan apa yang benar. Dia sudah membantu banyak orang, dan Dia pasti dapat membantu anda tetap setia kepada-Nya. (1 Kor. 10:13) Dengan adanya bantuan Yehuwa, kebanyakkan daripada umat-Nya berjaya menyembah-Nya dengan setia. Itulah sebabnya tidak ramai daripada umat-Nya yang disingkirkan.

12. Bagaimanakah kita dapat menghindari dosa yang serius?

12 Keinginan yang salah pasti timbul dalam hati semua manusia yang tidak sempurna. (Yak. 1:14) Namun, anda dapat memilih sama ada anda akan tunduk kepada godaan atau tidak. Keputusannya terletak di tangan anda. Sesetengah orang mendakwa bahawa manusia tidak dapat mengawal perasaan dan perbuatan sendiri. Tetapi hal itu tidak benar. Anda dapat belajar untuk mengawal keinginan yang salah. Biarpun keinginan yang salah timbul dari masa ke masa, anda masih dapat mengawal diri agar tidak melakukan dosa. Apakah yang dapat membantu anda? Berdoalah dan bacalah Bible setiap hari, hadirilah perjumpaan, dan buatlah kerja menginjil. Jika anda melakukan hal-hal ini secara tetap, anda dapat menunaikan ikrar pembaktian anda dan tetap setia kepada Yehuwa. Ingatlah bahawa Yehuwa berjanji untuk membantu anda.​—Gal. 5:16.

13. Apakah yang anda pelajari daripada teladan Yusuf?

13 Jika anda memutuskan terlebih dahulu apa yang akan anda lakukan sekiranya menghadapi godaan, anda akan berasa lebih mudah untuk menunaikan ikrar pembaktian anda. Terdapat beberapa watak Bible yang berbuat demikian biarpun mereka tidak sempurna. Sebagai contoh, biarpun Yusuf digoda berkali-kali oleh isteri Potifar, dia tetap berpendirian teguh. Bible menyatakan bahawa “Yusuf tetap tidak mahu berdua-duaan dengannya,” dan dia juga berkata, “Bagaimana mungkin aku melakukan perbuatan sejahat ini dan berdosa terhadap Tuhan?” (Kej. 39:​8-10) Jelaslah, Yusuf tahu apa yang harus dilakukannya, bahkan sebelum isteri Potifar cuba menggodanya. Hasilnya, Yusuf berasa lebih mudah untuk berpendirian teguh semasa digoda.

14. Apakah yang dapat membantu kita untuk menolak godaan?

14 Bagaimanakah anda dapat meniru teladan Yusuf? Anda boleh memutuskan sekarang apa yang akan anda lakukan jika godaan timbul. Belajarlah untuk segera menolak perbuatan yang dibenci Yehuwa dan jangan biarkan hal itu terus bermain di fikiran anda. (Mzm. 97:10; 119:165) Dengan itu, anda tidak akan berganjak semasa digoda kerana anda sudah tahu apa yang akan anda lakukan.

15. Bagaimanakah seseorang dapat menunjukkan bahawa dia ‘mencari Yehuwa dengan bersungguh-sungguh’? (Ibrani 11:6)

15 Anda mungkin yakin bahawa anda sudah menemui kebenaran dan ingin menyembah Yehuwa dengan sepenuh hati. Namun, masih ada sesuatu yang membuat anda teragak-agak untuk membaktikan diri dan dibaptis. Jika begitu, tirulah teladan Raja Daud. Dia merayu kepada Yehuwa, “Ya Tuhan, selidikilah aku dan selamilah hatiku. Periksalah aku dan ketahuilah kerunsinganku. Periksalah sama ada terdapat kecenderungan yang salah dalam diriku dan pimpinlah aku ke jalan yang abadi.” (Mzm. 139:​23, 24) Apabila anda terus berusaha untuk maju ke arah pembaktian dan pembaptisan, anda menunjukkan kepada Yehuwa bahawa anda sedang “mencari-Nya dengan bersungguh-sungguh,” dan Yehuwa pasti memberkati usaha anda.​—Baca Ibrani 11:6.

TERUS MENGHAMPIRI YEHUWA

16-17. Bagaimanakah Yehuwa memimpin mereka yang dibesarkan dalam kebenaran kepada-Nya? (Yohanes 6:44)

16 Yesus mengatakan bahawa murid-muridnya dipimpin oleh Yehuwa. (Baca Yohanes 6:44.) Sebenarnya, hal itu sangat menakjubkan. Mengapa? Yehuwa memimpin seseorang kepada-Nya kerana Dia melihat sifat-sifat baik orang itu. Dia memandang orang itu sebagai “umat-Nya yang istimewa,” atau “milik-Nya yang amat bernilai.” (Ul. 7:6; nota kaki) Itulah pandangan Yehuwa terhadap anda.

17 Namun, jika anda dibesarkan dalam kebenaran, anda mungkin berasa bahawa anda menyembah Yehuwa kerana ibu bapa andalah yang memimpin anda kepada-Nya, dan bukannya Yehuwa. Jika anda berfikir begitu, ingatlah hal ini: Yehuwa bukan sahaja menghargai kita sebagai satu kelompok, tetapi juga sebagai individu. Maksudnya, Yehuwa memimpin setiap penyembah-Nya, termasuk mereka yang dibesarkan dalam kebenaran, kepada-Nya. Selain itu, Bible berkata, “Hampirilah Tuhan dan Dia pun akan menghampiri kamu.” (Yak. 4:8; 1 Taw. 28:9) Apabila anda mengambil inisiatif untuk menghampiri Yehuwa, Dia akan menghampiri anda.​—Bandingkan 2 Tesalonika 2:13.

18. Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana seterusnya? (Mazmur 40:8)

18 Dengan membaktikan diri kepada Yehuwa dan dibaptis, anda sedang meniru sikap Yesus. Dia mempersembahkan diri kepada Bapanya dan sudi melakukan apa sahaja yang disuruh oleh Bapanya. (Baca Mazmur 40:8; Ibr. 10:7) Rencana seterusnya akan membincangkan apa yang akan membantu anda untuk terus menyembah Yehuwa dengan setia selepas dibaptis.

APAKAH JAWAPAN ANDA?

  • Apakah maksud membaktikan diri kepada Yehuwa?

  • Bagaimanakah rasa syukur terhadap Yehuwa mendorong anda untuk membaktikan diri kepada-Nya?

  • Bagaimanakah anda dapat menghindari dosa yang serius?

LAGU 38 Dia Akan Menguatkanmu