Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 10

LAGU 13 Kristus, Suri Teladan Kita

“Terus Mengikut” Yesus selepas Dibaptis

“Terus Mengikut” Yesus selepas Dibaptis

“Jika sesiapa ingin mengikutku, hendaklah dia menolak kepentingan sendiri, memikul tiang seksaannya setiap hari, dan terus mengikut aku.”​—LUK. 9:23.

FOKUS

Rencana ini akan membantu kita semua merenungkan maksud pembaktian kita dan membantu mereka yang baru dibaptis untuk tetap setia kepada Yehuwa.

1-2. Apakah berkat yang diraih seseorang selepas dibaptis?

 KITA sangat gembira kerana dapat dibaptis dan menjadi sebahagian daripada keluarga Yehuwa. Mereka yang sudah dibaptis pasti setuju dengan kata-kata Daud: “Berbahagialah orang yang dijemput untuk tinggal di halaman Rumah [Yehuwa].”​—Mzm. 65:4.

2 Namun, bukan semua orang dibenarkan untuk tinggal di halaman Rumah Yehuwa. Seperti yang sudah dibincangkan dalam rencana sebelumnya, Yehuwa hanya akan menghampiri orang yang membuktikan bahawa mereka benar-benar ingin menjadi sahabat-Nya. (Yak. 4:8) Apabila anda membaktikan diri kepada Yehuwa dan dibaptis, anda menghampiri Yehuwa dalam cara yang istimewa. Anda dapat yakin bahawa selepas pembaptisan anda, Yehuwa akan “mencurahkan berkat ke atas [anda] sehingga [anda] tidak kekurangan apa-apa pun.”​—Mal. 3:10; Yer. 17:​7, 8.

3. Apakah yang harus dilakukan oleh seseorang yang sudah membaktikan diri dan dibaptis? (Pengkhutbah 5:​4, 5)

3 Pembaptisan hanyalah permulaan haluan Kristian anda. Selepas dibaptis, anda harus berusaha sedaya upaya untuk hidup selaras dengan ikrar pembaktian anda, terutamanya semasa digoda atau menghadapi cabaran. (Baca Pengkhutbah 5:​4, 5.) Sebagai murid Yesus, anda pasti mahu mematuhi perintah Yesus dan mengikut jejaknya dengan teliti. (Mat. 28:​19, 20; 1 Ptr. 2:21) Rencana ini akan membantu anda berbuat demikian.

“TERUS MENGIKUT” YESUS SEMASA MENGHADAPI GODAAN DAN CUBAAN

4. Apakah maksud kata-kata Yesus bahawa pengikutnya harus memikul ‘tiang seksaan’ sendiri? (Lukas 9:23)

4 Selepas dibaptis, anda masih akan hadapi masalah. Yesus juga menjelaskan bahawa pengikutnya akan memikul ‘tiang seksaan’ sendiri “setiap hari.” (Baca Lukas 9:23.) Adakah Yesus bermaksud bahawa pengikutnya akan selalu menderita? Tidak. Sebaliknya, dia menekankan bahawa selain menikmati banyak berkat, mereka akan menghadapi cabaran, dan sesetengah cabaran itu mungkin terasa amat berat.​—2 Tim. 3:12.

5. Apakah berkat yang dijanjikan Yesus kepada mereka yang rela membuat pengorbanan?

5 Agar dapat mengutamakan Kerajaan Tuhan, anda mungkin sudah menghadapi tentangan daripada ahli keluarga atau mengorbankan peluang untuk menikmati hidup yang lebih selesa. (Mat. 6:33) Jika begitu, yakinlah bahawa Yehuwa menghargai usaha anda. (Ibr. 6:10) Barangkali, anda telah merasai kebenaran kata-kata Yesus yang berikut: “Sesiapa yang telah meninggalkan rumah, atau adik-beradik, atau ibu bapa, atau anak, atau tanah, demi aku dan demi berita baik, akan menerima seratus kali ganda pada zaman ini—rumah, adik-beradik, ibu, anak, dan tanah, serta penganiayaan—dan pada sistem yang akan datang, dia akan menerima kehidupan yang kekal.” (Mrk. 10:​29, 30) Sememangnya, berkat yang anda terima jauh lebih besar daripada pengorbanan yang telah anda buat.​—Mzm. 37:4.

6. Mengapakah anda perlu terus melawan “keinginan tubuh yang berdosa” selepas dibaptis?

6 Memandangkan anda merupakan keturunan Adam yang berdosa, anda masih perlu terus melawan “keinginan tubuh yang berdosa” selepas dibaptis. (1 Yoh. 2:16) Kadangkala, anda mungkin rasa seperti Rasul Paulus, yang menulis, “Dalam hatiku, aku sangat menyukai hukum Tuhan. Tetapi aku mendapati bahawa terdapat hukum lain yang berperang melawan hukum akal fikiranku, dan hukum itu ialah dosa dalam tubuhku yang menguasai aku.” (Rm. 7:​22, 23) Anda mungkin berasa tawar hati kerana anda cenderung berdosa. Namun, jika anda ingat akan janji anda kepada Yehuwa semasa anda membaktikan diri kepada-Nya, anda akan lebih bertekad untuk melawan godaan. Sebenarnya, ikrar pembaktian anda dapat membantu anda semasa menghadapi godaan. Bagaimana?

7. Bagaimanakah ikrar pembaktian dapat membantu anda tetap setia kepada Yehuwa?

7 Semasa membaktikan diri kepada Yehuwa, anda berjanji untuk menolak kepentingan diri. Maksudnya, anda akan menolak apa sahaja keinginan yang tidak disukai Yehuwa. (Mat. 16:24) Bagaimanakah ikrar pembaktian dapat membantu anda tetap setia kepada Yehuwa? Semasa digoda, anda tidak perlu berfikir panjang lagi tentang apa yang akan anda lakukan kerana anda hanya akan memilih untuk mematuhi Yehuwa. Apabila anda bertekad untuk membuat pilihan yang menggembirakan Yehuwa, anda sedang meniru teladan Ayub. Biarpun ditimpa banyak cubaan yang berat, dia berkata dengan yakin, “Aku akan tetap setia kepada Tuhan!”​—Ayb. 27:5.

8. Bagaimanakah merenungkan doa pembaktian dapat membantu anda melawan godaan?

8 Dengan merenungkan doa pembaktian anda kepada Yehuwa, anda akan mendapat kekuatan untuk melawan apa sahaja godaan. Sebagai contoh, anda tidak akan terfikir pun untuk bermain cinta dengan pasangan orang lain, kerana anda sudah berjanji kepada Yehuwa untuk menjauhi perbuatan sebegini. Apabila anda membuang keinginan yang salah sebelum keinginan itu berakar dalam hati anda, anda tidak perlu bersusah payah mencabutnya pada kemudian hari. Anda akan ‘berpaling daripada jalan orang yang jahat.’​—Ams. 4:​14, 15.

9. Jika anda merenungkan doa pembaktian anda, bagaimanakah hal itu dapat membantu anda terus mengutamakan ibadat anda kepada Yehuwa?

9 Katakan anda ditawarkan pekerjaan yang akan menyebabkan anda susah menghadiri perjumpaan secara tetap. Anda langsung tidak perlu mempertimbangkan tawaran itu kerana awal-awal lagi, anda sudah berjanji untuk menolak pekerjaan sedemikian. Memandangkan anda tahu kerja itu akan mengganggu ibadat anda kepada Yehuwa, anda tidak akan berfikir bahawa anda boleh menerima tawaran kerja itu dahulu dan kemudian mencari jalan untuk menyesuaikan jadual kerja anda. Seperti Yesus yang bertekad untuk menyenangkan hati Bapanya, anda akan segera menolak apa sahaja yang tidak disenangi Tuhan kerana anda sudah membaktikan diri kepada-Nya.​—Mat. 4:10; Yoh. 8:29.

10. Selepas dibaptis, bagaimanakah Yehuwa akan membantu anda untuk “terus mengikut” Yesus?

10 Semasa menghadapi cabaran atau godaan, ingatlah bahawa itulah peluang untuk membuktikan bahawa anda bertekad untuk “terus mengikut” Yesus. Yakinlah bahawa Yehuwa akan membantu anda berjaya. Bible kata, “Tuhan yang setia tidak akan membiarkan kamu menghadapi godaan yang tidak dapat kamu tanggung. Semasa kamu digoda, Dia akan memberikan jalan keluar supaya kamu dapat menanggungnya dengan tabah.”​—1 Kor. 10:13.

CARA UNTUK TERUS MENGIKUT YESUS

11. Apakah satu cara yang terbaik untuk terus mengikut Yesus? (Lihat juga gambar.)

11 Yesus berkhidmat kepada Yehuwa dengan bersemangat, dan dia sering berdoa untuk menjaga hubungannya dengan Yehuwa. (Luk. 6:12) Salah satu cara yang terbaik untuk terus mengikut Yesus selepas dibaptis adalah dengan terus melakukan hal-hal yang akan mengeratkan hubungan anda dengan Yehuwa. Bible kata, “Tidak kira apa tahap kemajuan kita, marilah kita terus maju dengan cara yang sama.” (Flp. 3:16) Dari masa ke masa, anda akan dengar pengalaman saudara saudari yang berusaha meluaskan khidmat mereka, contohnya dengan menghadiri Sekolah Latihan Penginjil atau berpindah ke tempat yang memerlukan lebih banyak penyiar. Jika anda mampu mengejar matlamat sebegini, cubalah melakukannya. Umat Yehuwa ingin melakukan lebih banyak kerja untuk-Nya. (Kis. 16:9) Namun, bagaimana pula jika keadaan anda tidak mengizinkan anda untuk berbuat demikian sekarang? Janganlah tawar hati. Dalam perlumbaan Kristian, yang penting bukanlah siapa yang berlari dengan laju, tetapi siapa yang bertahan sampai akhir. (Mat. 10:22) Yehuwa sangat gembira apabila anda menyembah-Nya menurut kemampuan dan situasi anda. Itulah salah satu cara anda dapat terus mengikut Yesus selepas dibaptis.​—Mzm. 26:1.

Selepas dibaptis, bermatlamatlah untuk melakukan hal-hal yang akan mengeratkan hubungan anda dengan Yehuwa (Lihat perenggan 11)


12-13. Apakah yang dapat anda lakukan jika anda mula rasa kurang bersemangat? (1 Korintus 9:​16, 17) (Lihat juga kotak “ Cara untuk Terus Berlari.”)

12 Selepas dibaptis untuk suatu ketika, jika anda mendapati bahawa anda tidak lagi berdoa dengan ikhlas, atau anda tidak lagi menikmati kerja penyebaran atau pembacaan Bible, apakah yang harus anda lakukan? Janganlah segera menyimpulkan bahawa anda kehilangan kuasa suci Yehuwa. Sebagai manusia yang tidak sempurna, emosi anda ada naik turunnya. Fikirkan contoh Rasul Paulus. Dia berusaha untuk meniru teladan Yesus, tetapi dia tahu keinginannya untuk berbuat demikian ada kalanya akan berkurang. (Baca 1 Korintus 9:​16, 17.) Namun dia bertekad untuk melakukan tugas sucinya tidak kira apa perasaannya. Dia berkata, “Tetapi biarpun aku melakukannya dengan berat hati, aku masih diamanahkan tanggungjawab sebagai pengurus rumah tangga.”

13 Begitu juga, janganlah membuat keputusan berdasarkan perasaan anda. Sebaliknya, bertekadlah untuk melakukan apa yang baik tidak kira apa pun perasaan anda. Jika anda terus membuat apa yang baik, lama-kelamaan usaha anda akan membawa kesan positif kepada emosi anda. Jadi, biarpun anda rasa kurang bersemangat sekarang, kekalkanlah rutin rohani anda. Dengan itu, anda dapat terus mengikut Yesus selepas dibaptis, dan teladan anda dapat menggalakkan rakan seiman anda.​—1 Tes. 5:11.

“TERUSLAH MENGUJI . . . TERUSLAH MEMERIKSA”

14. Bagaimanakah anda dapat memeriksa diri? (2 Korintus 13:5)

14 Selepas dibaptis, anda perlu memeriksa diri dari masa ke masa. (Baca 2 Korintus 13:5.) Periksalah kehidupan dan tabiat anda, dan perhatikanlah jika anda berdoa setiap hari, membaca dan mengkaji Bible, menghadiri perjumpaan, dan menginjil. Selain itu, fikirkan bagaimana anda dapat meraih lebih banyak manfaat dan sukacita daripada kegiatan-kegiatan ini. Tanyalah diri soalan seperti: Dapatkah saya menjelaskan ajaran Bible yang asas kepada orang lain? Apakah yang dapat saya lakukan supaya dapat lebih menikmati kerja penyebaran? Adakah doa saya cukup spesifik, dan adakah doa saya menunjukkan bahawa saya bergantung sepenuhnya pada Yehuwa? Adakah saya menghadiri perjumpaan secara tetap? Bagaimanakah saya dapat menumpukan lebih banyak perhatian dan memberikan lebih banyak komen semasa di perjumpaan?

15-16. Apakah yang anda pelajari daripada pengalaman Robert?

15 Semasa memeriksa diri, anda juga perlu mengetahui kelemahan anda. Perhatikan pengalaman seorang saudara yang bernama Robert. Dia berkata, “Semasa saya berumur kira-kira 20 tahun, saya bekerja separuh masa. Suatu hari selepas kerja, seorang rakan sekerja wanita menjemput saya ke rumahnya. Dia kata kami boleh ‘berseronok’ kerana tiada orang lain di rumah. Pada mulanya, saya hanya memberi alasan untuk mengelak. Tetapi akhirnya, saya menolaknya dengan terus terang dan menjelaskan sebabnya.” Robert memang patut dipuji kerana berjaya menolak godaan. Tetapi, semasa Robert memikir kembali situasi itu, dia mendapati bahawa dia sebenarnya boleh menolak godaan itu dengan lebih baik lagi. Dia berkata, “Saya tidak menolak godaan itu dengan cepat dan tegas sepertimana Yusuf menolak godaan isteri Potifar. (Kej. 39:​7-9) Saya tak sangka saya perlu berjuang begitu keras untuk menolak godaan itu. Hal ini bantu saya sedar bahawa saya perlu kuatkan hubungan saya dengan Yehuwa.”

16 Anda akan meraih manfaat jika anda memeriksa diri seperti Robert. Walaupun anda berjaya melawan godaan, tanyalah diri, “Adakah saya menolaknya dengan segera?” Jika anda mendapati bahawa anda perlu membuat kemajuan, janganlah tawar hati. Sebaliknya, bersyukurlah kerana anda sudah menyedari kelemahan diri sendiri. Berdoalah tentang hal itu dan lakukanlah apa yang diperlukan supaya anda lebih bertekad untuk hidup selaras dengan standard moral Yehuwa.​—Mzm. 139:​23, 24.

17. Bagaimanakah kesetiaan Robert mempengaruhi nama Yehuwa?

17 Terdapat hal lain yang boleh kita belajar daripada pengalaman Robert. Dia berkata, “Selepas saya menolak jemputan rakan sekerja saya itu, dia kata, ‘Kamu sudah lulus!’ Apabila saya tanya apa yang dia maksudkan, dia menjelaskan bahawa dia ada seorang kawan yang dahulunya Saksi. Kawan itu kata semua Saksi muda hidup bermuka dua dan akan curi-curi buat salah jika ada peluang. Jadi rakan sekerja saya beritahunya bahawa dia akan menguji saya. Saya sangat bersyukur kerana dapat memuliakan nama Yehuwa.”

18. Apakah tekad anda selepas dibaptis? (Lihat juga kotak “ Anda Pasti Suka Siri Rencana Ini.”)

18 Apabila anda membaktikan diri kepada Yehuwa dan dibaptis, anda menunjukkan bahawa anda ingin menyucikan nama-Nya tidak kira apa yang berlaku. Yakinlah bahawa Yehuwa tahu cabaran dan godaan yang anda hadapi. Dia pasti memberi anda kekuatan menerusi kuasa suci-Nya dan memberkati usaha anda untuk tetap setia. (Luk. 11:​11-13) Dengan bantuan Yehuwa, anda akan dapat terus mengikut Yesus selepas dibaptis.

APAKAH JAWAPAN ANDA?

  • Bagaimanakah orang Kristian memikul ‘tiang seksaan setiap hari’?

  • Apakah yang dapat anda lakukan untuk “terus mengikut” Yesus selepas dibaptis?

  • Bagaimanakah merenungkan doa pembaktian dapat membantu anda tetap setia?

LAGU 89 Dengar, Patuh, dan Diberkati