Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

KHAZANAH ROHANI KITA

“Dengan Semangat dan Kasih yang Kian Membara”

“Dengan Semangat dan Kasih yang Kian Membara”

PAGI Jumaat, September tahun 1922, 8,000 orang berduyun-duyun ke dalam sebuah auditorium. Dekat siling di atas pentas, sehelai kain rentang yang besar digantungkan, tetapi kain itu masih tergulung. Pengerusi mengumumkan bahawa semasa program berlangsung, sesiapa yang meninggalkan dewan tidak akan dibenarkan masuk lagi.

Selepas hadirin menyanyikan beberapa buah lagu, Joseph F. Rutherford tampil ke pentas. Kebanyakan hadirin duduk dan mendengar ceramahnya, tetapi ada yang mundar-mandir kerana suhu dalam dewan itu makin panas. Maka dia menggesa mereka agar duduk dan dengar.

Tema ceramah Saudara Rutherford ialah “Kerajaan syurga sudah dekat.” Selama satu jam setengah, suaranya bergema di seluruh dewan semasa dia menjelaskan bagaimana para nabi zaman kuno mengisytiharkan kedatangan Kerajaan Tuhan. Kemudian, dia bertanya, “Adakah kamu percaya bahawa Raja kita yang mulia sudah mula memerintah?” Dengan suara yang kuat, hadirin menjawab, “Ya!”

Saudara Rutherford berseru, “Hai anak-anak Tuhan Yang Maha Tinggi! Raja kita sudah memerintah! Kamulah wakil-wakilnya. Maka pergilah dan umumkan, umumkan, umumkan.”

Ketika itu, ikatan pada kain rentang dibuka, dan cogan kata “Umumkan Raja Kita dan Kerajaannya” terbentang di hadapan hadirin.

Mengenang peristiwa itu, Ray Bopp berkata, “Hadirin sangat teruja!” Anna Gardner menyatakan bahawa “tepukan gemuruh hadirin membuat siling bergegar.” Fred Twarosh pula berkata, “Seluruh hadirin berdiri dengan serentak.” Evangelos Scouffas berkata, “Kami semua tergerak untuk bangun dari tempat duduk dan berdiri dengan tubir mata yang berair.”

Ramai antara hadirin di situ memang sudah menginjil sebelum itu. Tetapi kini mereka disuntik dengan semangat baharu. Ethel Bennecoff menyatakan bahawa sejak hari itu, para Pelajar Bible telah bergiat “dengan semangat dan kasih yang kian membara!” Konvensyen itu telah membuat Odessa Tuck, yang berusia 18 tahun pada masa itu, bertekad untuk menyahut seruan “Siapakah yang sudi pergi?” Dia berkata, “Saya tak tahu butirannya, tapi saya mahu berkata, ‘Inilah aku. Utuslah aku!’ seperti Yesaya.” (Yes. 6:8) Ralph Leffler pula berkata, “Hari itu menandakan mulanya kempen penyebaran berita Kerajaan Tuhan yang telah dijalankan di serata bumi sekarang.”

Konvensyen tahun 1922 di Cedar Point sesungguhnya detik yang bersejarah! George Gangas berkata, “Konvensyen itu membuat saya bertekad untuk menghadiri setiap konvensyen.” Seingat George, dia tidak pernah terlepas satu konvensyen pun. Julia Wilcox menulis, “Hati saya berdebar-debar setiap kali saya membaca tentang Cedar Point tahun 1922 dalam bahan bacaan kita. Saya ingin berkata, ‘Terima kasih Yehuwa kerana membenarkan saya menghadirinya.’”

Pernahkah anda menghadiri sebuah konvensyen yang kemudiannya terpahat di hati dan minda anda? Mungkin konvensyen itu telah menguatkan semangat anda dan memperdalam kasih anda untuk Yehuwa dan Yesus. Semasa mengenang kembali konvensyen itu, semoga anda terdorong untuk berkata, “Terima kasih Yehuwa kerana membenarkan saya menghadirinya.”