RENCANA PEMBELAJARAN 18
Kasih dan Keadilan dalam Sidang Kristian
“Teruslah membantu satu sama lain untuk memikul beban, dan dengan demikian, kamu melakukan apa yang dinyatakan dalam hukum Kristus.”—GAL. 6:2.
LAGU 12 Tuhan Yehuwa Yang Maha Kuasa
PENGENALAN *
1. Kita yakin akan hal apa?
TUHAN YEHUWA sentiasa mengasihi penyembah-Nya sejak dahulu sehingga selama-lamanya. Dia juga mencintai keadilan. (Mzm. 33:5) Oleh itu, kita dapat yakin akan dua hal ini: (1) Yehuwa berasa sedih semasa hamba-hamba-Nya dilayan dengan tidak adil. (2) Dia pasti akan menegakkan keadilan. Rencana pertama dalam siri ini * telah menjelaskan bagaimana Hukum Musa ialah sebuah hukum yang berdasarkan kasih. Hukum itu juga memastikan agar semua orang dilayan dengan adil, termasuk golongan yang lemah. (Ul. 10:18) Melalui Hukum itu, Yehuwa menunjukkan bahawa Dia sangat mengambil berat terhadap para penyembah-Nya.
2. Apakah soalan-soalan yang akan kita jawab?
2 Semasa sidang Kristian diasaskan pada tahun 33 M, Hukum Musa tidak lagi berkuat kuasa. Adakah hal ini bermaksud orang Kristian tidak dilindungi oleh sebuah hukum yang mengutamakan kasih dan keadilan? Tidak! Mereka telah diberi sebuah hukum yang baharu. Sekarang, mari kita lihat apa hukum baharu itu. Kemudian, kita akan menjawab soalan-soalan berikut: Mengapakah kita dapat mengatakan bahawa hukum itu ialah hukum yang berdasarkan kasih? Mengapakah kita dapat mengatakan bahawa hukum itu mementingkan keadilan? Menurut hukum itu, bagaimanakah mereka yang diberi kuasa harus melayan orang lain?
APAKAH ITU “HUKUM KRISTUS”?
3. Apakah yang terangkum dalam “hukum Kristus” yang disebut di Galatia 6:2?
3 Baca Galatia 6:2. Orang Kristian mematuhi “hukum Kristus,” yang merangkumi semua ajaran Yesus. Yesus tidak memberi para pengikutnya satu senarai undang-undang, tetapi dia telah memberikan arahan, perintah, dan prinsip untuk membimbing mereka. Dalam perenggan-perenggan berikut, kita akan mengenali hukum itu dengan lebih lanjut.
4-5. Bagaimanakah Yesus mengajar orang? Bilakah Yesus mengajar orang?
4 Bagaimanakah Yesus mengajar orang? Pertama, melalui kata-katanya. Kata-kata Yesus mempunyai kuasa kerana dia mengajarkan kebenaran tentang Tuhan, menjelaskan tujuan sebenar kehidupan, dan menyatakan bahawa Kerajaan Tuhan ialah penyelesaian kepada semua masalah manusia. (Luk. 24:19) Kedua, Yesus mengajar melalui teladannya. Melalui kehidupan sendiri, Yesus menunjukkan cara hidup yang harus diikuti murid-muridnya.—Yoh. 13:15.
5 Bilakah Yesus mengajar orang? Dia berbuat demikian semasa dia menginjil di bumi. (Mat. 4:23) Dia juga mengajar para pengikutnya tidak lama selepas dia dibangkitkan. Sebagai contoh, dia menampakkan diri kepada kira-kira 500 orang muridnya dan menyuruh mereka ‘menjadikan orang pengikutnya.’ (Mat. 28:19, 20; 1 Kor. 15:6) Selepas kembali ke syurga, Yesus terus mengajar murid-muridnya selaku ketua sidang. Misalnya, sekitar tahun 96 M, Kristus mengarahkan Rasul Yohanes untuk memberikan galakan dan nasihat kepada orang Kristian yang terurap.—Kol. 1:18; Why. 1:1.
6-7. (a) Bagaimanakah kita dapat mengetahui ajaran Yesus? (b) Bagaimanakah kita dapat mematuhi hukum Kristus?
6 Bagaimanakah kita dapat mengetahui ajaran Yesus? Buku Matius, Markus, Lukas, dan Yohanes mengisahkan kata-kata dan perbuatan Yesus di bumi. Buku-buku lain dalam Kitab Yunani Kristian juga membantu kita memahami pemikiran Yesus, kerana buku-buku itu ditulis oleh orang yang dibimbing kuasa suci Tuhan dan yang memiliki “fikiran Kristus.”—1 Kor. 2:16.
7 Pengajarannya: Ajaran Yesus menyentuh seluruh kehidupan kita. Maksudnya, hukum Kristus dapat membimbing kita semasa kita di rumah, di tempat kerja, di sekolah, dan di sidang. Yoh. 8:28.
Untuk mempelajari hukum Kristus, kita perlu membaca dan merenungkan Kitab Yunani Kristian. Untuk mematuhi hukum Kristus, kita perlu hidup selaras dengan arahan, perintah, dan prinsip yang tercatat dalam Kitab Yunani Kristian. Apabila kita mematuhi hukum Kristus, kita sedang mematuhi Yehuwa, Tuhan kita yang pengasih, kerana segala ajaran Yesus berasal daripada-Nya.—HUKUM YANG BERDASARKAN KASIH
8. Apakah dasar hukum Kristus?
8 Apabila sebuah rumah dibina di atas dasar yang kukuh, penghuninya akan berasa selamat. Begitu juga, apabila sebuah hukum mempunyai dasar yang kukuh, orang yang mematuhinya akan berasa selamat. Hukum Kristus mempunyai dasar yang terbaik, iaitu kasih. Bagaimanakah kita tahu?
9-10. Apakah contoh yang menunjukkan bahawa semua perbuatan Yesus didorong oleh kasih? Bagaimanakah kita dapat menirunya?
9 Pertama, semua perbuatan Yesus didorong oleh kasih. Oleh sebab Yesus mengasihi orang, dia sering berasa kasihan terhadap mereka. Perasaan itu telah menggerakkan Yesus untuk mengajar orang ramai, menyembuhkan orang sakit, memberikan makanan kepada orang yang lapar, dan membangkitkan orang mati. (Mat. 14:14; 15:32-38; Mrk. 6:34; Luk. 7:11-15) Semua itu memakan banyak masa dan tenaga, tetapi kasih mendorong Yesus untuk mengutamakan keperluan orang lain. Penting sekali, kasih telah mendorong Yesus untuk mengorbankan nyawanya demi kita.—Yoh. 15:13.
10 Pengajarannya: Kita dapat meniru Yesus dengan mengutamakan keperluan orang lain dan dengan memupuk rasa belas kasihan terhadap orang di kawasan penyebaran. Apabila perasaan itu mendorong kita untuk menginjil dan mengajar orang tentang berita baik, kita sedang mematuhi hukum Kristus.
11-12. (a) Bagaimanakah Yehuwa menunjukkan bahawa Dia amat prihatin terhadap kita? (b) Bagaimanakah kita dapat meniru kasih Yehuwa?
11 Kedua, Yesus mengajar orang tentang kasih Bapanya. Semasa menginjil, Yesus menunjukkan bahawa Yehuwa amat prihatin terhadap para penyembah-Nya. Sebagai contoh, Yesus mengajarkan bahawa setiap seorang daripada kita berharga di mata Tuhan. (Mat. 10:31) Apabila seorang pendosa bertaubat lalu kembali ke sidang, Yehuwa menyambutnya dengan tangan terbuka. (Luk. 15:7, 10) Yehuwa juga menunjukkan kasih-Nya dengan mengorbankan Anak-Nya sebagai tebusan bagi kita.—Yoh. 3:16.
12 Pengajarannya: Bagaimanakah kita dapat meniru kasih Yehuwa? (Ef. 5:1, 2) Dengan menghargai setiap saudara saudari kita. Apabila seekor “bebiri yang sesat” kembali kepada Yehuwa, kita akan mengalu-alukannya dengan gembira. (Mzm. 119:176) Kita juga menunjukkan kasih dengan rela menggunakan masa dan tenaga untuk membantu saudara saudari kita, khususnya semasa mereka menghadapi kesusahan. (1 Yoh. 3:17) Apabila kita menunjukkan kasih kepada orang lain, kita sedang mematuhi hukum Kristus.
13-14. (a) Menurut Yohanes 13:34, 35, apakah perintah Yesus kepada para pengikutnya? Mengapakah perintah itu merupakan perintah baharu? (b) Bagaimanakah kita mematuhi perintah baharu itu?
13 Ketiga, Yesus memerintahkan para pengikutnya untuk menunjukkan kasih yang rela berkorban. (Baca Yohanes 13:34, 35.) Perintah itu merupakan perintah baharu kerana kasih yang harus ditunjukkan oleh pengikut Yesus berbeza daripada kasih yang disebut dalam Hukum Musa. Untuk mengasihi rakan seiman sebagaimana Yesus mengasihi kita, kita perlu menunjukkan kasih yang rela berkorban. * Maksudnya, kita harus lebih mengasihi saudara saudari daripada mengasihi diri sendiri. Kasih kita terhadap mereka akan begitu mendalam sehingga kita sanggup mati demi mereka, seperti yang dilakukan oleh Yesus demi kita.
14 Pengajarannya: Bagaimanakah kita mematuhi perintah baharu itu? Dengan membuat pengorbanan bagi saudara saudari kita. Kita bukan sahaja rela membuat pengorbanan yang besar, seperti mengorbankan nyawa sendiri, tetapi juga pengorbanan yang kecil. Contohnya, kita rela mencurahkan lebih banyak usaha untuk membawa rakan seiman yang berusia ke perjumpaan, mengorbankan sesuatu yang kita gemari agar dapat menyenangkan hati rakan seiman, atau mengambil cuti untuk membantu mangsa bencana. Apabila kita berbuat demikian, kita sedang mematuhi hukum Kristus, dan hal ini akan membolehkan semua orang di sidang berasa selamat.
HUKUM YANG MENGGALAKKAN KEADILAN
15-17. (a) Bagaimanakah perbuatan Yesus menunjukkan bahawa dia mementingkan keadilan? (b) Bagaimanakah kita dapat meniru Yesus?
15 Dalam Bible, “keadilan” bermaksud melakukan apa yang benar di sisi Tuhan dan melakukannya tanpa berat sebelah. Apakah yang menunjukkan bahawa hukum Kristus mementingkan keadilan?
16 Pertama, perbuatan Yesus menunjukkan bahawa dia mementingkan keadilan. Pada zaman Yesus, para pemimpin agama Yahudi membenci bangsa asing, memandang rendah pada rakyat, dan tidak menghormati kaum wanita. Namun, Yesus melayan semua orang dengan sama rata. Dia menerima orang daripada bangsa asing yang beriman kepadanya. (Mat. 8:5-10, 13) Dia menginjil kepada semua orang, tidak kira yang kaya ataupun miskin. (Mat. 11:5; Luk. 19:2, 9) Dia tidak pernah menindas atau melayan wanita dengan kasar. Sebaliknya dia menghormati mereka dan melayan mereka dengan baik, termasuk wanita yang dipandang hina oleh masyarakat.—Luk. 7:37-39, 44-50.
17 Pengajarannya: Kita dapat meniru Yesus dengan melayan semua orang tanpa berat sebelah dan dengan menginjil kepada semua orang tanpa mengira kedudukan atau agama. Para saudara Kristian dapat meniru Yesus dengan menghormati kaum wanita. Apabila kita berbuat demikian, kita sedang mematuhi hukum Kristus.
18-19. Apakah yang diajarkan Yesus tentang keadilan? Apakah pengajarannya?
18 Kedua, Yesus mengajar orang tentang keadilan. Dia mengajarkan prinsip-prinsip yang dapat membantu kita melayan orang lain dengan adil. Sebagai contoh, fikirkan prinsip di Matius 7:12. Jika kita ingin dilayan dengan adil, kita pun harus melayan orang lain dengan adil. Bagaimana pula jika kita telah menjadi mangsa ketidakadilan? Yesus juga mengajar para pengikutnya untuk percaya bahawa Yehuwa “akan menegakkan keadilan bagi [mereka] yang berseru kepada-Nya siang dan malam.” (Luk. 18:6, 7) Kata-kata Yesus memberikan jaminan bahawa Tuhan kita yang adil sedar akan cubaan yang kita hadapi sekarang, dan Dia pasti menegakkan keadilan bagi kita pada waktu yang ditentukan-Nya.—2 Tes. 1:6.
19 Pengajarannya: Apabila kita mematuhi prinsip yang diajarkan oleh Yesus, kita akan melayan orang lain dengan adil. Jika kita dilayan dengan tidak adil dalam dunia Syaitan, kita dapat bertabah kerana kita tahu bahawa Yehuwa akan menegakkan keadilan bagi kita.
BAGAIMANAKAH MEREKA YANG DIBERI KUASA HARUS MELAYAN ORANG LAIN?
20-21. (a) Bagaimanakah mereka yang berkuasa harus melayan orang lain? (b) Bagaimanakah seorang suami dapat menunjukkan kasih yang rela berkorban? Bagaimanakah seorang bapa patut melayan anak-anaknya?
20 Menurut hukum Kristus, bagaimanakah mereka yang diberi kuasa harus melayan orang
lain? Memandangkan kasih ialah dasar hukum itu, mereka yang berkuasa mesti menunjukkan kasih dan hormat kepada orang di bawah jagaan mereka. Mereka harus ingat bahawa Kristus menghendaki kita menunjukkan kasih dalam segala perbuatan kita.21 Dalam keluarga. Suami harus mengasihi isteri “sebagaimana Kristus mengasihi sidang.” (Ef. 5:25, 28, 29) Untuk meniru Kristus dan menunjukkan kasih yang rela berkorban, seorang suami mesti mendahulukan keperluan dan kepentingan isterinya. Hal ini mungkin mencabar bagi sesetengah lelaki, kerana mereka tidak dibesarkan dalam keluarga yang mementingkan sifat kasih dan keadilan. Tabiat buruk yang terbentuk sejak kecil memang susah dibuang, tetapi suami yang ingin mematuhi hukum Kristus mesti berubah. Seorang suami yang menunjukkan kasih yang rela berkorban akan dihormati isterinya. Seorang bapa yang benar-benar mengasihi anaknya tidak akan melukai mereka melalui kata-kata atau perbuatannya. (Ef. 4:31) Sebaliknya, dia menunjukkan bahawa dia mengasihi dan berbangga dengan mereka. Anak-anak yang dilayan dengan cara sedemikian akan berasa selamat, dan mereka akan mengasihi dan mempercayai bapa mereka.
22. Menurut 1 Petrus 5:1-3, “biri-biri” merupakan milik siapa? Bagaimanakah mereka harus dilayan?
22 Dalam sidang. Para penatua mesti ingat bahawa “biri-biri” bukan milik mereka. (Yoh. 10:16; baca 1 Petrus 5:1-3.) Ungkapan “kawanan Tuhan,” “di hadapan Tuhan,” dan “milik Tuhan,” mengingatkan para penatua bahawa kawanan bebiri merupakan milik Yehuwa. Tuhan mahu biri-biri-Nya dilayan dengan lemah lembut dan penuh kasih. (1 Tes. 2:7, 8) Penatua yang menunjukkan kasih semasa menjalankan tugas sebagai gembala akan mendapat perkenan Yehuwa. Mereka juga akan dikasihi dan dihormati saudara saudari.
23-24. (a) Apakah peranan para penatua semasa berlakunya kes salah laku yang serius? (b) Semasa menangani kes sebegini, apakah yang akan difikirkan oleh para penatua?
23 Apakah peranan para penatua semasa berlakunya kes salah laku yang serius? Peranan mereka berbeza daripada peranan para hakim dan pemimpin pada zaman Israel. Di bawah Hukum Musa, para hakim dan pemimpin bukan sahaja menangani hal-hal ibadat, tetapi juga membicarakan kes pertikaian dan jenayah. Di bawah hukum Kristus pula, para penatua hanya menangani salah laku yang berkaitan dengan ibadat. Mereka sedar bahawa Tuhan telah melantik pihak berkuasa untuk menangani kes pertikaian dan jenayah, termasuk menjatuhkan hukuman seperti denda atau hukuman penjara.—24 Bagaimanakah penatua akan menangani kes salah laku yang serius? Mereka akan mengkaji ayat-ayat Bible yang berkenaan sebelum membuat keputusan. Para penatua ingat bahawa kasih ialah dasar kepada hukum Kristus. Maka, kasih akan menggerakkan mereka untuk berfikir: Bagaimanakah kita dapat membantu seseorang di sidang yang menjadi mangsa dalam kes salah laku? Kasih juga akan mendorong para penatua untuk berfikir: Adakah pesalah itu bertaubat? Dapatkah kita membantunya untuk pulih secara rohani?
25. Apakah yang akan dibincangkan dalam rencana seterusnya?
25 Kita amat bersyukur kerana diberi hukum Kristus! Apabila kita semua berusaha mematuhinya, kita sedang membantu semua orang di sidang berasa dihargai, dikasihi, dan dilindungi. Meskipun begitu, “orang jahat” dalam dunia sekarang “menjadi semakin jahat.” (2 Tim. 3:13) Oleh itu, kita mesti berwaspada. Bagaimanakah sidang Kristian dapat mencerminkan keadilan Tuhan semasa terjadinya penderaan seksual kanak-kanak? Rencana seterusnya akan menjawab soalan itu.
LAGU 15 Sambutlah Putera Yehuwa!
^ per. 5 Rencana ini dan dua rencana seterusnya merupakan sebahagian daripada siri rencana yang membincangkan sebabnya kita dapat yakin bahawa Yehuwa ialah Tuhan yang adil dan pengasih. Dia ingin umat-Nya dilayan dengan adil, dan Dia melegakan orang yang menjadi mangsa ketidakadilan dalam dunia jahat ini.
^ per. 1 Lihat rencana “Kasih dan Keadilan pada Zaman Israel Kuno” dalam Menara Pengawal terbitan Februari 2019.
^ per. 13 MAKSUD UNGKAPAN: Kasih yang rela berkorban mendorong kita untuk mengutamakan kepentingan dan keperluan orang lain. Kita rela mengorbankan atau kehilangan sesuatu demi manfaat orang lain atau untuk membantu mereka.
^ per. 61 KETERANGAN GAMBAR: Yesus mengasihani seorang balu, lalu membangkitkan anak tunggalnya.
^ per. 63 KETERANGAN GAMBAR: Yesus makan di rumah seorang Farisi yang bernama Simon. Seorang wanita, barangkali seorang pelacur, baru sahaja membasahi kaki Yesus dengan air matanya, mengelap kaki Yesus dengan rambutnya, lalu menuangkan minyak atas kaki Yesus. Simon tidak menyukai perbuatan wanita itu, tetapi Yesus membela wanita tersebut.