Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Kelemahlembutan​—Bermanfaat untuk Kita

Kelemahlembutan​—Bermanfaat untuk Kita

“Saya seorang yang pemalu,” kata Sara, * “dan saya selalu berasa kurang yakin. Saya berasa tidak selesa semasa bersama dengan orang yang terlalu yakin dan suka memaksa orang lain mengikut pandangannya. Tetapi saya berasa selesa apabila bersama dengan orang yang lemah lembut dan rendah hati, sebab saya dapat meluahkan perasaan saya kepada orang itu dan bercakap tentang masalah saya. Kebanyakan kawan baik saya memiliki sifat-sifat itu.”

Kata-kata Sara menunjukkan bahawa orang akan menyukai kita apabila kita menunjukkan sifat lemah lembut. Sebenarnya, Yehuwa juga sangat suka akan sifat ini. Firman-Nya menggalakkan kita, “Hendaklah kamu mengenakan . . . kelemahlembutan.” (Kol. 3:12) Jadi, apakah itu kelemahlembutan? Bagaimanakah Yesus menunjukkan sifat ini? Bagaimanakah sifat ini akan membuat kita lebih bahagia?

APAKAH ITU KELEMAHLEMBUTAN?

Sifat lemah lembut ditunjukkan oleh orang yang suka akan kedamaian. Seseorang yang lemah lembut akan melayan orang lain dengan lembut dan baik hati. Apabila terdapat hal yang membuatnya berasa geram, dia dapat tetap tenang dan mengawal diri.

Dalam Bible, perkataan Yunani yang diterjemahkan sebagai “lemah lembut” digunakan untuk menggambarkan kuda liar yang telah dijinakkan. Walaupun kuda itu sudah dijinakkan, kuda itu masih kuat. Begitu juga, orang yang lemah lembut tidak lemah. Sebaliknya, mereka kuat kerana mereka dapat mengawal kecenderungan yang salah dan terus berdamai dengan orang lain.

Kita mungkin berfikir, “Saya memang bukan orang yang lemah lembut sejak kecil.” Tambahan lagi, kita hidup dalam dunia yang penuh dengan orang yang kurang sabar dan suka mendesak orang lain mengikut pendapat mereka. Jadi kita mungkin berasa susah untuk menjadi orang yang lemah lembut. (Rm. 7:19) Jelaslah, usaha diperlukan untuk memupuk sifat ini, tetapi kuasa suci Yehuwa dapat membantu kita agar terus berusaha tanpa putus asa. (Gal. 5:22, 23) Namun, mengapakah kita harus berusaha memupuk kelemahlembutan?

Kelemahlembutan ialah sifat yang menawan hati. Seperti yang dikatakan Sara tadi, kita berasa selesa untuk bersama dengan orang yang lemah lembut. Yesus merupakan contoh terbaik dalam menunjukkan sifat lemah lembut. (2 Kor. 10:1) Kanak-kanak yang tidak mengenali Yesus pun ingin mendekatinya.​—Mrk. 10:13-16.

Kelemahlembutan melindungi kita dan orang di sekeliling kita. Jika kita lemah lembut, kita dapat mengawal diri dan tidak akan cepat naik marah. (Ams. 16:32) Hal ini dapat melindungi orang lain kerana kita tidak akan menyakiti hati mereka. Kita sendiri juga dilindungi daripada rasa bersalah kerana kita tidak akan menyakiti hati orang lain, terutamanya orang tersayang.

YESUS—TELADAN YANG SEMPURNA

Walaupun Yesus mempunyai banyak tanggungjawab dan sangat sibuk, dia tetap lemah lembut terhadap semua orang. Ramai orang pada zamannya dibebani pelbagai masalah, dan mereka sangat memerlukan kelegaan. Jadi, bayangkan betapa leganya mereka apabila Yesus berkata, “Marilah kepadaku, . . . kerana aku lemah lembut dan rendah hati”!​—Mat. 11:28, 29.

Bagaimanakah kita dapat meniru kelemahlembutan Yesus? Kita perlu mengkaji Firman Tuhan untuk mengetahui cara Yesus melayan orang lain dan menangani situasi yang susah. Kemudian, semasa kita menghadapi keadaan yang mencabar, kita perlu berusaha untuk bertindak seperti Yesus. (1 Ptr. 2:21) Perhatikan tiga perkara yang membantu Yesus tetap lemah lembut.

Yesus rendah hati. Yesus berkata bahawa dia “lemah lembut dan rendah hati.” (Mat. 11:29) Bible menyebut dua sifat ini bersama-sama kerana kedua-duanya saling berkaitan. (Ef. 4:1-3) Bagaimana?

Apabila kita rendah hati, kita tidak akan menganggap diri terlalu penting atau menjadi terlalu sensitif. Fikirkan contoh Yesus. Semasa di bumi, dia dituduh sebagai orang yang “gelojoh” dan “pemabuk.” Apakah reaksi Yesus? Menerusi cara hidupnya, dia menyangkal semua tuduhan itu. Dengan rendah hati, Yesus berkata, “Kebijaksanaan dibuktikan benar oleh perbuatan.”​—Mat. 11:19.

Jika orang lain bercakap buruk tentang jantina, bangsa, atau latar belakang anda, berusahalah untuk menunjukkan sifat lemah lembut. Peter, seorang penatua dari Afrika Selatan, berkata, “Apabila kata-kata orang lain buat saya sakit hati, saya akan fikir, ‘Yesus akan buat apa dalam situasi ini?’” Dia menambah, “Hal itu membantu saya agar tidak menganggap diri terlalu penting.”

Yesus faham akan kelemahan manusia. Murid-murid Yesus berniat baik, tetapi ada kalanya mereka gagal melakukan apa yang betul kerana mereka tidak sempurna. Misalnya, pada malam sebelum Yesus mati, Petrus, Yakobus, dan Yohanes, tidak berjaga-jaga seperti yang disuruh oleh Yesus. Meskipun begitu, Yesus tidak naik marah, kerana dia faham bahawa “hati ingin membuat apa yang benar tetapi tubuh lemah.”​—Mat. 26:40, 41.

Seorang saudari yang bernama Mandy dahulunya suka mengkritik orang, tetapi kini dia berusaha meniru kelemahlembutan Yesus. Dia berkata, “Saya cuba mengingatkan diri bahawa semua orang tidak sempurna, dan saya seharusnya bertumpu kepada sifat baik mereka seperti yang dilakukan oleh Yehuwa.” Dapatkah kita meniru Yesus dan memahami kelemahan orang lain? Hal itu akan membantu kita menunjukkan sifat lemah lembut kepada mereka.

Yesus bergantung pada Yehuwa. Semasa Yesus di bumi, orang salah faham terhadapnya, menghinanya, dan menyeksanya. Meskipun dilayan dengan tidak adil, dia tetap lemah lembut kerana dia “mempercayakan dirinya kepada Dia yang menghakimi dengan adil.” (1 Ptr. 2:23) Yesus yakin bahawa Bapanya yang di syurga pasti menjaganya dan menegakkan keadilan baginya pada masa yang tepat.

Apabila kita dilayan dengan tidak adil, kita mungkin naik marah dan cuba mempertahankan diri. Namun reaksi kita mungkin membuat keadaan menjadi lebih teruk lagi. Itulah sebabnya Bible mengingatkan kita, “Seseorang yang dikuasai kemarahan tidak dapat melakukan apa yang benar di mata Tuhan.” (Yak. 1:20) Meskipun kita mempunyai alasan untuk berasa marah, kita mungkin bertindak dalam cara yang salah kerana kita tidak sempurna.

Seorang saudari dari Jerman yang bernama Cathy dahulunya berfikir, “Kalau kamu tidak mempertahankan diri sendiri, tiada orang lain yang akan membela kamu.” Tetapi setelah Cathy belajar untuk bergantung pada Yehuwa, sikapnya berubah. Dia berkata, “Saya tidak perlu asyik berfikir hendak mempertahankan diri. Sebaliknya, saya dapat terus bersifat lemah lembut, kerana saya yakin Yehuwa akan membetulkan semua masalah di dunia.” Jika anda pernah menjadi mangsa ketidakadilan, ingatlah contoh Yesus. Bergantunglah pada Tuhan, dan hal itu akan membantu anda terus bersifat lemah lembut.

“BERBAHAGIALAH ORANG YANG LEMAH LEMBUT”

Bagaimanakah sifat lemah lembut membantu kita dalam situasi yang mencabar?

Yesus berkata, “Berbahagialah orang yang lemah lembut.” (Mat. 5:5) Jelaslah, sifat lemah lembut menyumbang kepada kebahagiaan kita. Bagaimana? Perhatikan beberapa situasi berikut:

Kelemahlembutan mengurangkan ketegangan antara suami isteri. Robert, seorang saudara dari Australia, berkata, “Banyak kali saya naik marah dan mengucapkan kata-kata yang pedas kepada isteri saya, meskipun saya tidak berniat menyakitinya. Kata-kata sebegitu memang tidak dapat ditarik balik. Apabila saya lihat betapa sedihnya isteri saya, saya rasa sangat bersalah.”

“Kita semua sering berbuat silap,” terutamanya dari segi pertuturan. (Yak. 3:2) Hal itu dapat menyebabkan ketegangan antara suami isteri. Dalam keadaan sebegini, sifat lemah lembut dapat membantu kita agar tetap tenang dan mengawal lidah kita.​—Ams. 17:27.

Robert berusaha keras untuk mengawal diri dan menjadi orang yang lebih tenang. Apakah hasilnya? Dia berkata, “Sekarang, jika ada perselisihan faham, saya akan cuba mendengar dengan teliti, bercakap dengan lemah lembut, dan tidak naik marah. Kini, hubungan kami jauh lebih baik.”

Kelemahlembutan membantu kita menjalin hubungan yang baik dengan orang lain. Orang yang cepat tersinggung biasanya cepat kehilangan kawan. Tetapi kelemahlembutan membantu kita ‘hidup damai supaya perpaduan tetap terpelihara.’ (Ef. 4:2, 3) Cathy, yang disebut tadi, berkata, “Apabila saya bersifat lemah lembut, saya dapat menikmati pergaulan dengan orang lain, biarpun sesetengah orang itu susah didekati.”

Kelemahlembutan membawa ketenangan jiwa. Bible menyatakan bahawa orang yang memiliki “kebijaksanaan yang datang dari syurga” akan “lemah lembut” dan “suka akan kedamaian.” (Yak. 3:13, 17) Orang yang lemah lembut juga memiliki “hati yang tenang.” (Ams. 14:30) Martin telah berusaha keras untuk memupuk sifat lemah lembut. Dia berkata, “Sekarang, saya tidak lagi memaksa orang lain mengikut pandangan saya. Hati saya lebih tenang, dan saya lebih bahagia.”

Kita memang perlu berusaha keras untuk memupuk kelemahlembutan. Seorang saudara berkata, “Sampai hari ini pun, ada hal yang akan buat saya sangat marah.” Tetapi ingatlah bahawa Yehuwa menggalakkan kita untuk bersifat lemah lembut, dan Dia pasti membantu kita. (Yes. 41:10; 1 Tim. 6:11) Dia akan “menyempurnakan latihan” kita dan ‘menguatkan kita.’ (1 Ptr. 5:10) Hasilnya, kita dapat mencerminkan “kelemahlembutan dan kebaikan hati Kristus,” seperti yang dilakukan oleh Rasul Paulus.​—2 Kor. 10:1.

^ per. 2 Sesetengah nama telah diubah.