Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 19

“Raja Utara” pada Akhir Zaman

“Raja Utara” pada Akhir Zaman

“Pada akhir zaman, raja selatan dan dia [raja utara] akan saling berlawan.”​—DAN. 11:40.

LAGU 150 Carilah Tuhan agar Diselamatkan

PENGENALAN *

1. Nubuat Bible membolehkan kita mengetahui apa?

APAKAH yang akan berlaku kepada umat Yehuwa tidak lama lagi? Kita tidak perlu meneka, kerana nubuat Bible adalah seperti jendela masa depan yang membolehkan kita mengetahui peristiwa besar yang bakal mempengaruhi kita. Dalam Daniel bab 11, terdapat satu nubuat tentang apa yang akan dilakukan oleh kuasa-kuasa besar dunia. Nubuat itu menggambarkan dua orang raja yang saling berlawan, iaitu raja utara dan raja selatan. Sebahagian besar nubuat itu sudah berlaku, maka kita yakin bahawa bahagian yang selebihnya pun akan menjadi kenyataan.

2. Seperti yang dinyatakan di Kejadian 3:15 dan Wahyu 11:7 dan 12:17, apakah yang mesti kita ingat semasa mengkaji nubuat Daniel?

2 Untuk memahami nubuat dalam Daniel bab 11, kita perlu ingat akan dua perkara. Pertama, nubuat itu hanya merujuk kepada raja atau kerajaan yang mempengaruhi umat Tuhan secara langsung. * Sebenarnya, bilangan umat Tuhan sedikit sahaja berbanding penduduk dunia, jadi mengapakah mereka sering menjadi sasaran kerajaan-kerajaan itu? Kerana Syaitan dan seluruh dunianya mempunyai satu tujuan utama, iaitu melenyapkan orang yang berkhidmat kepada Yehuwa dan Yesus. (Baca Kejadian 3:15 dan Wahyu 11:7; 12:17.) Perkara kedua yang perlu kita ingat ialah nubuat Daniel haruslah selaras dengan nubuat lain dalam Bible. Oleh itu, untuk memahami nubuat Daniel dengan tepat, kita mesti membandingkannya dengan ayat-ayat Bible yang lain.

3. Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana ini dan rencana berikutnya?

3 Setelah mengetahui hal-hal itu, marilah kita mengkaji Daniel 11:25-39, dan melihat siapa yang menjadi raja utara dan raja selatan dari tahun 1870 hingga 1991. Kemudian, kita akan melihat sebabnya kita perlu mengubah pemahaman kita mengenai sebahagian daripada nubuat ini. Dalam rencana seterusnya, kita akan membincangkan Daniel 11:40–12:1, dan kita akan memahami dengan lebih jelas apa yang berlaku dari tahun 1991 hingga perang Armagedon. Semasa mengkaji dua rencana ini, anda juga boleh melihat carta “Dua Raja yang Saling Berlawan pada Akhir Zaman.” Sekarang, mari kita melihat terlebih dahulu siapa dua raja dalam nubuat ini.

MENGENAL PASTI IDENTITI RAJA UTARA DAN RAJA SELATAN

4. Apakah tiga perkara yang dapat membantu kita mengenal pasti identiti raja utara dan raja selatan?

4 Pada mulanya, gelaran “raja utara” dan “raja selatan” merujuk kepada kerajaan-kerajaan yang terletak di sebelah utara dan selatan negeri Israel. Bagaimanakah kita tahu? Malaikat yang menyampaikan nubuat itu kepada Daniel berkata, “Aku datang untuk membantu kamu memahami apa yang akan menimpa bangsamu [umat Tuhan] pada kemudian hari.” (Dan. 10:14) Sebelum Pentakosta 33 M, umat Tuhan ialah bangsa Israel, tetapi selepas itu, Yehuwa menunjukkan dengan jelas bahawa umat-Nya ialah murid-murid Yesus yang setia. Oleh itu, sebahagian besar nubuat dalam Daniel bab 11 adalah tentang murid-murid Kristus, bukan orang Israel. (Kis. 2:1-4; Rm. 9:6-8; Gal. 6:15, 16) Biarpun identiti raja utara dan raja selatan berubah dengan peredaran masa, terdapat tiga perkara yang tidak berubah: Pertama, mereka mempengaruhi umat Tuhan secara langsung. Kedua, cara mereka melayan umat Tuhan menunjukkan bahawa mereka membenci Tuhan yang benar, iaitu Yehuwa. Ketiga, terdapat persaingan kuasa antara dua raja tersebut.

5. Dapatkah kita mengenal pasti identiti raja utara dan raja selatan dari tahun 100 hingga 1870 M? Jelaskan.

5 Tidak lama selepas tahun 100 M, semakin banyak orang Kristian palsu memasuki sidang Kristian sejati. Mereka menyebarkan ajaran kafir dan menyembunyikan kebenaran Bible. Dari masa itu hingga sekitar tahun 1870, Tuhan tidak mempunyai organisasi di bumi. Orang Kristian palsu tumbuh subur seperti lalang, sehingga orang Kristian sejati susah dikenal pasti. (Mat. 13:36-43) Mengapakah kita perlu memahami hal ini? Dari tahun 100 hingga 1870 M, Tuhan tidak mempunyai organisasi di bumi yang dapat diserang. Oleh itu, nubuat tentang raja utara dan raja selatan tidak merujuk kepada mana-mana pemerintah atau kerajaan yang berkuasa sepanjang waktu itu. * Namun, dua raja itu akan muncul selepas tahun 1870. Bagaimanakah kita tahu?

6. Bilakah umat Tuhan mula berkumpul? Jelaskan.

6 Pada tahun 1870, umat Tuhan mula berkumpul. Pada tahun itu, Charles T. Russell dan rakan-rakannya memulakan kelas pembelajaran Bible. Mereka bertindak sebagai utusan yang dinubuatkan, yang membuka jalan bagi Kerajaan Mesias yang bakal ditubuhkan. (Mal. 3:1) Sekali lagi, terdapat sekumpulan orang yang menjadi umat Tuhan di bumi. Adakah mana-mana kuasa dunia pada zaman itu yang akan mempengaruhi mereka? Mari kita lihat.

SIAPAKAH RAJA SELATAN?

7. Sehingga Perang Dunia Pertama, siapakah raja selatan?

7 Menjelang tahun 1870, Britain mempunyai pasukan tentera yang paling kuat dan telah menjadi empayar yang paling besar di bumi. Dalam nubuat Daniel, empayar itu digambarkan sebagai tanduk kecil yang mengalahkan tiga tanduk lain, iaitu Perancis, Sepanyol, dan Belanda. (Dan. 7:7, 8) Maka, Britain telah menjadi raja selatan sehingga Perang Dunia Pertama. Dalam tempoh masa itu, Amerika Syarikat telah menjadi kuasa ekonomi yang besar dan bekerjasama dengan erat dengan Britain.

8. Sepanjang hari-hari terakhir, siapakah yang menjadi raja selatan?

8 Semasa Perang Dunia Pertama, Amerika Syarikat dan Britain bekerjasama, lalu membentuk Kuasa Dunia Inggeris dan Amerika. Sepanjang hari-hari terakhir, Kuasa Dunia Inggeris dan Amerika telah menjadi raja selatan. * Seperti yang dinubuatkan Daniel, raja ini mengumpulkan “sebuah angkatan yang amat besar dan kuat.” (Dan. 11:25) Namun, siapakah yang menjadi raja utara?

SIAPAKAH RAJA UTARA?

9. Bilakah raja utara muncul, dan bagaimanakah nubuat di Daniel 11:25 menjadi kenyataan?

9 Pada tahun 1871, iaitu setahun selepas Russell dan rakan-rakannya memulakan kelas pembelajaran Bible, raja utara telah muncul. Pada tahun itu, Otto von Bismarck telah menyatukan beberapa wilayah, lalu terbentuklah Empayar Jerman. Raja Wilhelm I dari Prusia telah menjadi maharaja Jerman yang pertama, dan dia melantik Otto von Bismarck sebagai perdana menterinya. * Dalam puluhan tahun berikutnya, Jerman mula menjajah negara-negara di Afrika dan Lautan Pasifik, dan ingin menjadi lebih berpengaruh daripada Britain. (Baca Daniel 11:25.) Empayar Jerman telah menubuhkan pasukan tentera yang kuat dan angkatan tentera laut yang kedua terbesar di dunia, lalu menyerang musuh-musuhnya semasa Perang Dunia Pertama.

10. Bagaimanakah Daniel 11:25b, 26 menjadi kenyataan?

10 Seterusnya, Daniel menubuatkan apa yang akan terjadi kepada Empayar Jerman dan angkatan tenteranya. Dia menyatakan bahawa raja utara “tidak akan bertahan.” Mengapa? “Kerana mereka berkomplot untuk menentangnya. Orang yang menikmati makanan sedap di mejanya akan menyebabkan kejatuhannya.” (Dan. 11:25b, 26a) Pada zaman Daniel, orang yang ‘diberi makanan raja’ termasuk para pegawai yang “berkhidmat untuk raja.” (Dan. 1:5) Maka, “orang yang menikmati makanan sedap” di meja raja utara merujuk kepada pegawai-pegawai tinggi Empayar Jerman, termasuk para panglima dan penasihat tentera. Merekalah yang akan menyebabkan kejatuhan maharaja. * Daniel bukan sahaja menubuatkan kejatuhan Empayar Jerman, tetapi juga menyebut tentang kesudahan perang antara raja utara dengan raja selatan. Dia berkata, “Angkatan tenteranya [raja utara] akan dibinasakan, dan ramai orang akan dibunuh.” (Dan. 11:26b) Itulah yang terjadi semasa Perang Dunia Pertama. Angkatan tentera Jerman telah “dibinasakan” dan ramai orang telah “dibunuh.” Sehingga masa itu, itulah perang yang paling dahsyat dalam sejarah manusia.

11. Apakah yang dilakukan raja utara dan raja selatan?

11 Daniel 11:27, 28 menggambarkan apa yang berlaku sebelum Perang Dunia Pertama. Raja utara dan raja selatan akan “duduk di meja yang sama dan menipu satu sama lain.” Itulah yang terjadi antara Jerman dengan Britain. Mereka memberitahu satu sama lain bahawa mereka menginginkan kedamaian, tetapi pernyataan mereka terbukti palsu semasa perang tercetus pada tahun 1914. Nubuat Daniel juga menyatakan bahawa raja utara akan mengumpulkan “banyak harta benda.” Adakah nubuat itu berlaku? Ya, puluhan tahun sebelum tahun 1914, Jerman telah menjadi kuasa ekonomi yang kedua terbesar di dunia. Kemudian, seperti yang dinubuatkan di Daniel 11:29, 30a, Jerman telah menyerang raja selatan tetapi dikalahkan.

DUA RAJA MENYERANG UMAT TUHAN

12. Semasa Perang Dunia Pertama, apakah yang dilakukan oleh raja utara dan raja selatan?

12 Sejak tahun 1914, persaingan antara dua raja itu bertambah sengit dan mereka semakin menganiaya umat Tuhan. Misalnya, semasa Perang Dunia Pertama, kerajaan Jerman dan kerajaan British telah menganiaya umat Tuhan yang enggan menyertai perang. Selain itu, seperti yang dinubuatkan di Wahyu 11:7-10, kerajaan Amerika Syarikat telah memenjarakan saudara-saudara yang mengambil pimpinan dalam kerja penyebaran.

13. Sekitar tahun 1930-an dan semasa Perang Dunia Kedua, apakah yang dilakukan oleh raja utara?

13 Sejak tahun 1933, khasnya semasa Perang Dunia Kedua, raja utara menyerang umat Tuhan dengan kejam. Apabila pihak Nazi mengambil alih pucuk pemerintahan Jerman, Hitler dan pengikut-pengikutnya telah mengharamkan kegiatan umat Tuhan. Raja utara telah membunuh kira-kira 1,500 orang penyembah Yehuwa dan menghantar beribu-ribu lagi ke kem konsentrasi. Dengan mengharamkan kerja penyebaran, raja utara telah “menajiskan tempat suci” dan “merampas korban harian” yang diberikan oleh umat Tuhan, seperti yang dinubuatkan oleh Daniel. (Dan. 11:30b, 31a) Hitler bahkan bersumpah untuk melenyapkan umat Tuhan di Jerman.

RAJA UTARA YANG BAHARU

14. Siapakah yang menjadi raja utara selepas Perang Dunia Kedua? Jelaskan.

14 Selepas perang dunia yang kedua, Kesatuan Soviet menjadi raja utara. Kerajaan komunis ini mula memerintah banyak kawasan yang dahulunya dijajah oleh Jerman. Seperti kerajaan Nazi yang kejam, Kesatuan Soviet menindas sesiapa sahaja yang lebih mementingkan ibadat kepada Tuhan daripada kesetiaan kepada negara.

15. Apakah yang dilakukan oleh raja utara selepas Perang Dunia Kedua berakhir?

15 Tidak lama selepas Perang Dunia Kedua berakhir, raja utara, iaitu Kesatuan Soviet dan sekutu-sekutunya, telah menyerang umat Tuhan. Seperti yang dinubuatkan di Wahyu 12:15-17, Syaitan telah menggunakan raja utara untuk melancarkan serangan yang bagaikan aliran sungai terhadap umat Tuhan. Raja itu telah menyebabkan kerja penyebaran diharamkan dan beribu-ribu orang penyembah Yehuwa dibuang negeri. Sepanjang hari-hari terakhir, raja utara terus menyerang umat Tuhan, tetapi dia tidak berjaya menghentikan kegiatan mereka. *

16. Bagaimanakah Kesatuan Soviet memenuhi nubuat di Daniel 11:37-39?

16 Baca Daniel 11:37-39. Seperti yang dinubuatkan, raja utara langsung tidak menunjukkan hormat terhadap “Tuhan yang disembah oleh nenek moyangnya.” Bagaimana? Kesatuan Soviet ingin melenyapkan agama, maka kerajaan itu cuba melemahkan pengaruh pertubuhan agama yang sudah wujud sejak dahulu lagi. Untuk mencapai matlamat itu, sejak tahun 1918, kerajaan Soviet telah membuat aturan agar murid-murid di sekolah diajar bahawa Tuhan tidak wujud. Dalam nubuat Daniel, raja utara juga “memuliakan tuhan segala kubu.” Bagaimana? Kesatuan Soviet telah membelanjakan banyak wang untuk menguatkan pasukan tenteranya dan menghasilkan beribu-ribu senjata nuklear. Akhirnya, raja utara dan raja selatan memiliki senjata api yang cukup kuat untuk membunuh berbilion-bilion orang!

DUA RAJA YANG BERMUSUHAN BEKERJASAMA

17. Apakah itu “benda jijik yang membawa kemusnahan”?

17 Raja utara dan raja selatan sentiasa bermusuhan, tetapi mereka pernah bekerjasama untuk “mendirikan benda jijik yang membawa kemusnahan.” (Dan. 11:31) “Benda jijik” itu ialah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

18. Mengapakah PBB digambarkan sebagai “benda jijik yang membawa kemusnahan”?

18 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu digambarkan sebagai benda yang menjijikkan kerana pertubuhan itu mendakwa bahawa PBB dapat membawa kedamaian sedunia, padahal hanya Kerajaan Tuhan yang dapat berbuat demikian. Nubuat Daniel juga menyatakan bahawa PBB akan “membawa kemusnahan” kerana pertubuhan itu akan menyerang dan memusnahkan semua agama palsu.​—Lihat carta “Dua Raja yang Saling Berlawan pada Akhir Zaman.”

MENGAPAKAH SEJARAH INI PENTING?

19-20. (a) Mengapakah sejarah ini penting? (b) Apakah soalan yang akan kita jawab dalam rencana seterusnya?

19 Sejarah ini penting kerana maklumat ini membuktikan bahawa dari tahun 1870 hingga 1991, nubuat Daniel tentang raja utara dan raja selatan sudah menjadi kenyataan. Oleh itu kita dapat yakin bahawa bahagian nubuat yang selebihnya pun akan menjadi kenyataan.

20 Kesatuan Soviet telah dibubarkan pada tahun 1991. Jadi, siapakah yang menjadi raja utara selepas itu? Rencana berikutnya akan menjawab soalan tersebut.

LAGU 128 Bertahan hingga Akhir

^ per. 5 Terdapat bukti yang menunjukkan bahawa nubuat Daniel tentang “raja utara” dan “raja selatan” sedang menjadi kenyataan. Mengapakah kita begitu pasti akan hal ini? Mengapakah kita perlu memahami nubuat ini secara terperinci?

^ per. 2 Kerajaan-kerajaan ini memerintah kawasan yang mempunyai banyak penyembah Yehuwa, atau pernah menyerang umat Tuhan.

^ per. 5 Oleh itu, gelaran “raja utara” tidak lagi sesuai untuk merujuk kepada Maharaja Aurelian dari Roma (270-275 M), dan gelaran “raja selatan” tidak lagi sesuai untuk merujuk kepada Ratu Zenobia dari Syria (267-272 M). Pemahaman baharu ini menggantikan maklumat yang diterbitkan dalam buku “Nubuat Daniel” (Pay Attention to Daniel’s Prophecy!) bab 13 dan 14.

^ per. 9 Pada tahun 1890, Maharaja (Kaiser) Wilhelm II telah melucutkan kuasa Bismarck.

^ per. 10 Terdapat banyak cara mereka menyebabkan kejatuhan maharaja. Antaranya, mereka tidak lagi menyokong maharaja, membocorkan maklumat tentang perang kepada pihak lain, dan memaksa maharaja untuk turun takhta.

^ per. 15 Seperti yang dinyatakan di Daniel 11:34, orang Kristian yang hidup di bawah pemerintahan raja utara mendapat sedikit kelegaan dari masa ke masa, contohnya apabila Kesatuan Soviet dibubarkan pada tahun 1991.