Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 18

Adakah Anda Akan Tersandung kerana Yesus?

Adakah Anda Akan Tersandung kerana Yesus?

“Berbahagialah orang yang percaya kepadaku tanpa tersandung.”​—MAT. 11:6, nota kaki.

LAGU 54 “Inilah Jalannya”

PENGENALAN *

1. Apakah mungkin reaksi orang semasa anda mula mengongsi mesej Bible dengan mereka?

MASIHKAH anda ingat kali pertama anda sedar bahawa anda telah menemui kebenaran? Anda rasa ajaran Bible sangat jelas dan masuk akal, jadi anda berfikir semua orang akan menerima apa yang anda pelajari. Anda yakin bahawa mesej Bible dapat memberi mereka kebahagiaan dan harapan masa depan. (Mzm. 119:105) Jadi dengan penuh semangat, anda mengongsi apa yang telah anda pelajari dengan sahabat dan saudara-mara anda. Namun, anda berasa terkejut apabila ramai antara mereka enggan mendengar.

2-3. Pada zaman Yesus, apakah pandangan kebanyakan orang terhadap Yesus?

2 Kita tidak patut berasa terkejut semasa orang lain menolak mesej yang kita khabarkan. Pada zaman Yesus, kebanyakan orang enggan menerimanya, walaupun dia telah melakukan banyak mukjizat untuk membuktikan bahawa dia disokong oleh Tuhan. Contohnya, Yesus telah membangkitkan Lazarus, dan musuh-musuhnya pun mengakui bahawa dia telah melakukan mukjizat tersebut. Meskipun begitu, para pemimpin orang Yahudi enggan menerima Yesus sebagai Mesias, malah ingin membunuh Yesus dan Lazarus!​—Yoh. 11:47, 48, 53; 12:9-11.

3 Yesus tahu bahawa kebanyakan orang tidak akan menerimanya sebagai Mesias. (Yoh. 5:39-44) Dia memberitahu beberapa orang pengikut Yohanes Pembaptis, “Berbahagialah orang yang percaya kepadaku tanpa tersandung.” * (Mat. 11:2, 3, 6, nota kaki) Mengapakah begitu banyak orang menolak Yesus?

4. Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana ini?

4 Dalam rencana ini dan rencana seterusnya, kita akan mengkaji beberapa sebab mengapa ramai orang pada abad pertama enggan menerima Yesus. Kita juga akan melihat mengapa banyak orang pada hari ini enggan menerima mesej yang kita khabarkan. Yang paling penting, kita akan belajar bagaimana kita dapat memupuk iman yang kuat terhadap Yesus supaya tidak tersandung.

(1) LATAR BELAKANG YESUS

Ramai orang tersandung kerana latar belakang Yesus. Bagaimanakah hal-hal ini juga membuat ramai orang pada hari ini tersandung? (Lihat perenggan 5) *

5. Mengapakah sesetengah orang berfikir bahawa Yesus bukanlah Mesias yang dijanjikan?

5 Ramai orang tersandung kerana latar belakang Yesus. Mereka mengaku bahawa Yesus memang guru yang mahir dan telah melakukan banyak mukjizat. Namun, dalam pandangan mereka, Yesus hanyalah anak kepada seorang tukang kayu yang miskin. Selain itu, Yesus tinggal di Nasaret, sebuah kota yang mungkin tidak terkemuka. Sebenarnya, Natanael, seorang murid Yesus, pun meragui latar belakang Yesus pada mulanya. Dia berkata, “Dapatkah sesuatu yang baik datang dari Nasaret?” (Yoh. 1:46) Natanael mungkin memandang rendah terhadap kota yang didiami Yesus, atau dia mungkin teringat akan nubuat di Mikha 5:2 yang menyatakan bahawa Mesias akan lahir di Betlehem dan bukannya di Nasaret.

6. Mengapakah orang pada abad pertama sepatutnya tahu bahawa Yesus ialah Mesias?

6 Apakah yang dinyatakan dalam Ayat-Ayat Suci? Nabi Yesaya menubuatkan bahawa musuh-musuh Yesus enggan ‘mengambil peduli akan butiran tentang asal usul [Mesias].’ (Yes. 53:8) Sebenarnya, banyak butiran ini telah dicatatkan dalam Ayat-Ayat Suci. Jika mereka meluangkan masa untuk mengkaji asal usul Yesus dan membandingkannya dengan nubuat-nubuat tentang Mesias, mereka akan mendapati bahawa Yesus lahir di Betlehem, iaitu tempat yang dinubuatkan di Mikha 5:2. Mereka juga akan mendapati bahawa Yesus ialah keturunan Raja Daud. (Luk. 2:4-7) Namun, oleh sebab mereka tergesa-gesa membuat kesimpulan tanpa menyelidiki semua faktanya, mereka tersandung.

7. Mengapakah ramai orang pada zaman ini menolak umat Yehuwa?

7 Adakah masalah yang sama wujud hari ini? Ya. Kebanyakan daripada umat Yehuwa tidak kaya dan tidak berkedudukan tinggi. Jadi ramai orang menganggap mereka “orang biasa yang tidak berpendidikan.” (Kis. 4:13) Sesetengah orang berpendapat bahawa umat Tuhan tidak layak mengajarkan Bible kerana mereka tidak mengikuti seminari atau sekolah untuk menjadi paderi. Yang lain pula mendakwa bahawa Saksi-Saksi Yehuwa ialah “agama orang Amerika,” sedangkan hanya kira-kira 14 peratus Saksi-Saksi Yehuwa yang tinggal di Amerika Syarikat. Ada juga yang diberitahu bahawa para Saksi merosakkan keluarga orang dan tidak mempercayai Yesus. Selain itu, umat Yehuwa juga pernah dilabel sebagai “agama sesat” dan “ekstremis.” Ramai orang mempercayai hal-hal ini lalu tersandung kerana mereka tidak mengetahui atau enggan menerima fakta tentang Saksi.

8. Bagaimanakah contoh di Kisah 17:11 dapat membantu orang yang ingin mengenali umat Tuhan pada zaman ini?

8 Bagaimanakah seseorang dapat mengelak daripada tersandung? Dia perlu menyelidiki faktanya. Itulah yang dilakukan oleh penulis Bible yang bernama Lukas. Lukas telah membuat penyelidikan “dari permulaannya dengan cermat” supaya para pembacanya tahu bahawa apa yang didengari mereka tentang Yesus “sesungguhnya benar.” (Luk. 1:1-4) Orang Yahudi di Berea juga bersikap seperti Lukas. Semasa mereka mendengar berita baik tentang Yesus buat kali pertama, mereka menyelidiki Kitab Ibrani untuk memastikan bahawa apa yang didengari mereka adalah benar. (Baca Kisah 17:11.) Begitu juga, seseorang mesti membandingkan ajaran umat Tuhan dengan ajaran Bible. Dia juga perlu mengkaji apa yang telah dilakukan oleh umat Yehuwa pada zaman moden. Jika dia mengkaji faktanya, dia tidak akan dibutakan oleh sikap prasangka atau khabar angin.

(2) YESUS TIDAK MELAKUKAN MUKJIZAT UNTUK MENUNJUK-NUNJUK

Ramai orang tersandung kerana Yesus enggan melakukan mukjizat untuk menunjuk-nunjuk. Bagaimanakah hal-hal ini juga membuat ramai orang pada hari ini tersandung? (Lihat perenggan 9-10) *

9. Apakah yang berlaku semasa Yesus enggan menunjukkan tanda dari syurga?

9 Meskipun ajaran Yesus sangat mengagumkan, sesetengah orang pada zamannya masih tidak puas. Mereka menyuruhnya “menunjukkan suatu tanda dari syurga” untuk membuktikan bahawa dia ialah Mesias. (Mat. 16:1) Barangkali mereka menyangka nubuat di Daniel 7:13, 14 akan berlaku pada zaman mereka, padahal nubuat itu akan ditunaikan pada masa depan. Sebenarnya, ajaran Yesus sudah mencukupi untuk membuktikan bahawa dia ialah Mesias. Namun, apabila dia enggan menunjukkan tanda yang diingini mereka, mereka tersandung.​—Mat. 16:4.

10. Bagaimanakah Yesus memenuhi nubuat Yesaya tentang Mesias?

10 Apakah yang dinyatakan dalam Ayat-Ayat Suci? Mengenai Mesias, Nabi Yesaya menulis, “Dia tidak akan berteriak atau meninggikan suara. Suaranya tidak akan kedengaran di jalan-jalan.” (Yes. 42:1, 2) Semasa Yesus menjalankan kerja penyebarannya, dia tidak menunjuk-nunjuk atau cuba menarik perhatian orang. Dia tidak membina rumah ibadat yang mewah, memakai pakaian yang istimewa, atau menyuruh orang memanggilnya dengan gelaran kebesaran. Semasa Yesus dibicarakan, dia enggan melakukan mukjizat untuk mengambil hati Raja Herodes biarpun nyawanya terancam. (Luk. 23:8-11) Memang benar, semasa Yesus berada di bumi, dia pernah melakukan mukjizat. Namun, tumpuan utamanya adalah untuk menyebarkan berita baik. Dia memberitahu para pengikutnya, “Itulah sebabnya aku datang.”​—Mrk. 1:38.

11. Mengapakah ramai orang menolak mesej kita?

11 Adakah masalah yang sama wujud hari ini? Ya. Hari ini, ramai orang berasa kagum dengan gereja besar yang dihiasi karya seni yang mahal, pemimpin agama yang memiliki pelbagai gelaran kebesaran, dan upacara agama yang asal usul dan maknanya sudah dilupakan orang. Namun, adakah semua ini dapat membantu orang mengenali Tuhan dan tujuan-Nya? Tidak. Tetapi mereka yang menghadiri perjumpaan kita pula dapat mempelajari cara melakukan kehendak Yehuwa. Dewan Perjumpaan kita bersih, reka bentuknya ringkas, dan hiasannya tidak mewah. Saudara-saudara yang mengambil pimpinan pula tidak memiliki pakaian atau gelaran yang istimewa. Selain itu, semua ajaran dan kepercayaan kita adalah berdasarkan Firman Tuhan. Meskipun begitu, ramai orang menolak mesej kita kerana ibadat kita tidak merangkumi upacara yang nampaknya luar biasa, dan apa yang kita ajarkan bukanlah apa yang mahu didengar oleh mereka.

12. Seperti yang dijelaskan di Ibrani 11:1, 6, bagaimanakah kita membina iman yang teguh?

12 Bagaimanakah kita dapat mengelak daripada tersandung? Kita mesti membina iman yang teguh. Mengapa? Bible menyatakan, “Tanpa iman, tidak ada seorang pun dapat menyenangkan hati Tuhan.” (Baca Ibrani 11:1, 6.) Bagaimanakah kita dapat membina iman yang teguh? Kita perlu menimba pengetahuan yang tepat. Rasul Paulus memberitahu orang Kristian yang tinggal di Roma, “Orang hanya dapat beriman selepas mendengar perkhabaran itu, dan orang dapat mendengar perkhabaran itu kerana ada orang yang menyampaikan berita tentang Kristus.” (Rm. 10:17) Jadi untuk membina iman yang teguh, kita mesti mengkaji Bible dan bukannya menyertai upacara keagamaan yang kelihatan hebat, tetapi tidak berasaskan Bible. Ya, kita tidak perlu melihat tanda yang luar biasa dari syurga untuk mengatasi keraguan kita tentang kepercayaan kita. Sebenarnya, jika kita mengkaji ajaran Bible dengan teliti, hal ini sudah mencukupi untuk meyakinkan kita bahawa kita telah menemui kebenaran.

(3) YESUS TIDAK MENGIKUT ADAT BANYAK ORANG YAHUDI

Ramai orang tersandung kerana Yesus tidak mengikut sesetengah adat mereka. Bagaimanakah hal-hal ini juga membuat ramai orang pada hari ini tersandung? (Lihat perenggan 13) *

13. Mengapakah ramai orang enggan mempercayai Yesus?

13 Pada zaman Yesus, para pengikut Yohanes Pembaptis berasa hairan kerana murid-murid Yesus tidak berpuasa. Oleh itu, Yesus menjelaskan bahawa selama dia masih hidup, murid-muridnya tidak mempunyai alasan untuk berpuasa. (Mat. 9:14-17) Meskipun Yesus sudah memberikan penjelasan, orang Farisi dan para penentang Yesus masih tidak mempercayainya. Mereka tersandung kerana Yesus tidak mengikut adat dan tradisi mereka. Sebagai contoh, mereka naik marah semasa Yesus menyembuhkan orang sakit pada hari Sabat. (Mrk. 3:1-6; Yoh. 9:16) Namun, mereka sebenarnya bermuka dua kerana mereka kononnya menjunjung hukum Tuhan tentang hari Sabat, tetapi mereka mengizinkan orang untuk berniaga di Rumah Tuhan, dan bahkan naik marah semasa Yesus mengutuk perbuatan mereka. (Mat. 21:12, 13, 15) Pada masa yang lain, semasa Yesus menginjil di dalam rumah ibadat di Nasaret, para pendengarnya sangat marah semasa Yesus menggunakan contoh daripada sejarah orang Israel untuk menunjukkan bahawa mereka mementingkan diri dan tidak beriman. (Luk. 4:16, 25-30) Ya, ramai orang telah tersandung kerana perbuatan Yesus berbeza daripada jangkaan mereka.​—Mat. 11:16-19.

14. Mengapakah Yesus mengutuk tradisi yang bercanggahan dengan ajaran Bible?

14 Apakah yang dinyatakan dalam Ayat-Ayat Suci? Melalui Nabi Yesaya, Yehuwa berfirman, “Umat ini mengatakan bahawa mereka menghampiri-Ku, dan bahawa mereka menghormati Aku dengan bibir mereka, tetapi hati mereka jauh daripada-Ku. Ibadat mereka kepada-Ku hanyalah berasaskan perintah yang diajarkan oleh manusia.” (Yes. 29:13) Ya, tradisi yang bercanggahan dengan ajaran Bible memang patut dikutuk oleh Yesus. Mengapa? Orang yang menganggap peraturan dan tradisi manusia lebih penting daripada ajaran Bible sebenarnya sudah menolak Yehuwa dan Mesias yang diutus oleh-Nya.

15. Mengapakah ramai orang tidak menyukai Saksi-Saksi Yehuwa?

15 Adakah masalah yang sama wujud hari ini? Ya. Ramai orang tersandung kerana pendirian Saksi-Saksi Yehuwa. Mereka tersinggung apabila para Saksi tidak mengikut adat yang bercanggahan dengan ajaran Bible, seperti menyambut hari jadi atau Krismas. Yang lain pula berasa marah kerana Saksi-Saksi Yehuwa tidak menyertai acara patriotik atau upacara pengebumian yang melanggar prinsip Bible. Orang yang tersandung kerana pendirian para Saksi mungkin percaya bahawa cara mereka beribadat diterima oleh Tuhan. Namun jika mereka menganggap tradisi manusia lebih penting daripada ajaran Bible, mereka tidak dapat menyenangkan hati Tuhan.​—Mrk. 7:7-9.

16. Menurut Mazmur 119:97, 113, 163-165, apakah yang harus kita lakukan, dan apakah yang harus kita elakkan?

16 Bagaimanakah kita dapat mengelak daripada tersandung? Kita perlu memupuk kasih yang mendalam terhadap hukum dan prinsip Yehuwa. (Baca Mazmur 119:97, 113, 163-165.) Apabila kita mengasihi Yehuwa lebih daripada segala-galanya, kita akan menolak apa-apa tradisi yang tidak menyenangkan hati-Nya.

(4) YESUS TIDAK MEMBAWA PERUBAHAN POLITIK

Ramai orang tersandung kerana Yesus tidak mencampuri urusan politik. (Lihat perenggan 17) *

17. Apakah yang menyebabkan ramai orang pada zaman Yesus tersandung?

17 Sesetengah orang pada zaman Yesus menginginkan perubahan politik. Mereka berharap Mesias akan membebaskan mereka daripada penindasan orang Roma. Tetapi apabila mereka cuba menjadikan Yesus raja mereka, Yesus menolak. (Yoh. 6:14, 15) Orang lain pula, seperti para imam, tidak ingin Yesus membawa perubahan politik. Hal ini demikian kerana mereka risau perubahan ini akan membuat orang Roma naik marah lalu menarik balik kuasa dan kedudukan yang telah diberikan kepada mereka. Ya, isu politik telah menyebabkan ramai orang Yahudi menolak Yesus.

18. Apakah nubuat-nubuat Bible tentang Mesias yang tidak dihiraukan oleh ramai orang Yahudi?

18 Apakah yang dinyatakan dalam Ayat-Ayat Suci? Walaupun terdapat banyak nubuat yang menyatakan bahawa Mesias akan menjadi pahlawan yang perkasa, terdapat juga nubuat yang menunjukkan bahawa dia perlu mati demi dosa kita terlebih dahulu. (Yes. 53:9, 12) Jika begitu, mengapakah ramai orang Yahudi memiliki jangkaan yang salah tentang Yesus? Mereka tidak menghiraukan nubuat yang tidak menjanjikan penyelesaian yang segera kepada masalah mereka.​—Yoh. 6:26, 27.

19. Apakah yang telah menyebabkan ramai orang tersandung pada hari ini?

19 Adakah masalah yang sama wujud hari ini? Ya. Ramai orang hari ini tersandung kerana kita berpendirian neutral dalam soal politik. Mereka berpendapat bahawa kita patut mengundi. Namun kita sedar bahawa dalam pandangan Yehuwa, jika kita memilih manusia sebagai pemerintah, kita sebenarnya sedang menolak-Nya sebagai Raja. (1 Sam. 8:4-7) Sesetengah orang juga berasa bahawa kita patut melakukan kerja amal seperti membina sekolah dan hospital. Mereka tersandung kerana kita bertumpu kepada kerja penyebaran dan bukannya mencari penyelesaian yang segera kepada masalah dunia.

20. Menurut kata-kata Yesus di Matius 7:21-23, apakah seharusnya keutamaan kita?

20 Bagaimanakah kita dapat mengelak daripada tersandung? (Baca Matius 7:21-23.) Kita memang mengasihi orang dan mengambil berat tentang mereka. Namun, kita tidak akan menghabiskan terlalu banyak masa dan tenaga untuk menyelesaikan masalah di dunia. Mengapa? Kita tahu bahawa cara yang terbaik untuk membantu orang adalah dengan mengajar mereka tentang Kerajaan Tuhan dan membantu mereka menjadi sahabat Yehuwa. Oleh itu, kita akan lebih mengutamakan tugas yang diamanahkan oleh Yesus kepada kita.​—Mat. 28:19, 20.

21. Apakah seharusnya tekad kita?

21 Dalam rencana ini, kita telah membincangkan empat perkara yang menyebabkan ramai orang menolak Yesus pada abad pertama dan yang menyebabkan sesetengah orang pada zaman ini menolak pengikut Yesus yang sejati. Tetapi adakah empat perkara ini sahaja yang membuat orang tersandung? Tidak. Dalam rencana seterusnya, kita akan mengkaji empat perkara lagi. Semoga kita bertekad untuk mengelak daripada tersandung dan terus memelihara iman yang teguh!

LAGU 56 Sebatikan Kebenaran dengan Hidupmu

^ per. 5 Walaupun Yesus merupakan Guru yang paling agung di bumi, kebanyakan orang pada zamannya menolaknya. Mengapa? Dalam rencana ini, kita akan membincangkan empat sebab. Kita juga akan melihat mengapa ramai orang pada zaman moden tersandung kerana apa yang dikatakan atau dilakukan oleh pengikut Yesus yang sejati. Yang paling penting, kita akan belajar bagaimana kita dapat memupuk iman yang kuat terhadap Yesus supaya tidak tersandung.

^ per. 3 MAKSUD UNGKAPAN: Dalam rencana ini dan rencana seterusnya, ungkapan “tersandung” bermaksud seseorang membiarkan sesuatu menghalangnya daripada mengikut Yesus.

^ per. 61 KETERANGAN GAMBAR: Filipus menggalakkan Natanael untuk berjumpa dengan Yesus.

^ per. 63 KETERANGAN GAMBAR: Yesus menyebarkan berita baik.

^ per. 65 KETERANGAN GAMBAR: Yesus menyembuhkan seorang lelaki yang tangannya lumpuh sambil diperhatikan oleh para penentang.

^ per. 67 KETERANGAN GAMBAR: Yesus pergi ke sebuah gunung seorang diri.