Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 20

Memelihara Sikap yang Positif terhadap Kerja Penyebaran Anda

Memelihara Sikap yang Positif terhadap Kerja Penyebaran Anda

“Taburkanlah benih . . . dan janganlah berehat.”​—PKH. 11:6.

LAGU 70 Carilah Mereka yang Layak

PENGENALAN *

Selepas Yesus naik ke syurga, murid-muridnya menginjil dengan bersemangat di Yerusalem dan ke tempat-tempat lain (Lihat perenggan 1)

1. Apakah sikap Yesus terhadap kerja penyebaran? Adakah murid-murid Yesus meniru sikapnya? Jelaskan. (Lihat gambar pada muka depan majalah.)

SEPANJANG masa Yesus berada di bumi, dia bersikap positif terhadap kerja penyebaran, dan dia juga ingin para pengikutnya untuk memiliki sikap yang sama. (Yoh. 4:35, 36) Semasa Yesus bersama murid-muridnya, mereka menginjil dengan bersemangat. (Luk. 10:1, 5-11, 17) Namun apabila Yesus ditangkap dan dibunuh, mereka kehilangan semangat mereka buat seketika. (Yoh. 16:32) Selepas Yesus dibangkitkan, dia menggalakkan mereka untuk bertumpu kepada kerja penyebaran. Adakah mereka meniru sikap Yesus terhadap kerja penyebaran? Ya. Selepas Yesus kembali ke syurga, mereka menginjil dengan begitu bersemangat sehingga para penentang mengadu, “Lihatlah! Kamu sudah menyebarkan ajaran kamu ke seluruh Yerusalem.”​—Kis. 5:28.

2. Bagaimanakah Yehuwa memberkati kerja penyebaran pada abad pertama?

2 Yesus telah membimbing orang Kristian pada abad pertama dalam kerja penyebaran, dan Yehuwa telah memberkati usaha mereka. Sebagai contoh, pada Pentakosta 33 M, kira-kira 3,000 orang telah dibaptis. (Kis. 2:41) Selepas itu, bilangan murid Yesus terus bertambah dengan pesat. (Kis. 6:7) Namun, Yesus menubuatkan bahawa terdapat jauh lebih banyak orang yang akan menerima berita baik pada hari-hari terakhir.​—Yoh. 14:12; Kis. 1:8.

3-4. Mengapakah kerja penyebaran di sesetengah kawasan agak mencabar, dan apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana ini?

3 Kita semua ingin tetap berpandangan positif terhadap kerja penyebaran. Hal ini mudah dilakukan di sesetengah negara. Mengapa? Terdapat terlalu banyak orang yang ingin mempelajari Bible, sehingga mereka perlu menunggu giliran mereka untuk diajar oleh seorang Saksi. Namun di negara-negara lain pula, kerja penyebaran lebih mencabar bagi saudara saudari. Hal ini demikian kerana ramai orang tiada di rumah dan orang yang berada di rumah pun tidak berminat terhadap Bible.

4 Jika kerja penyebaran di kawasan anda agak mencabar, cadangan-cadangan dalam rencana ini dapat membantu anda. Kita akan membincangkan apa yang dilakukan oleh sesetengah penyiar supaya dapat menginjil kepada lebih banyak orang. Kemudian, kita akan melihat sebabnya kita dapat tetap bersikap positif tidak kira orang mendengar mesej kita atau tidak.

TETAP BERSIKAP POSITIF BIARPUN ORANG SUSAH DITEMUI

5. Apakah cabaran-cabaran yang dihadapi oleh ramai Saksi?

5 Ramai Saksi berasa semakin sukar untuk menemui orang di rumah. Di sesetengah tempat, terdapat banyak apartmen atau kawasan perumahan yang dikawal ketat oleh pengawal keselamatan. Oleh itu, para penyiar tidak dibenarkan masuk tanpa izin daripada penghuni rumah. Di tempat lain pula, para penyiar bebas menginjil dari rumah ke rumah, tetapi banyak orang tiada di rumah. Ada juga penyiar yang menginjil di kawasan terpencil atau di kawasan yang tidak mempunyai ramai penduduk. Mereka mungkin perlu membuat perjalanan yang jauh hanya untuk pergi ke sebuah rumah, tetapi belum tentu lagi mereka dapat berjumpa dengan penghuni rumah. Jika itulah cabaran-cabaran yang kita hadapi, janganlah berputus asa. Kita masih dapat mengatasinya dan meraih hasil yang baik dalam kerja penyebaran. Bagaimana?

6. Apakah persamaan antara penyiar dengan nelayan?

6 Yesus menyamakan kerja penyebaran dengan kerja seorang nelayan. (Mrk. 1:17) Sesetengah nelayan mungkin bekerja keras selama berhari-hari tetapi tidak dapat menangkap seekor ikan pun. Namun mereka tidak berputus asa. Sebaliknya, mereka mengubah masa, tempat, dan kaedah untuk menangkap ikan. Bagaimanakah kita dapat melakukan hal yang sama semasa menginjil? Perhatikan beberapa cadangan berikut.

Jika orang di kawasan penyebaran anda selalu tiada di rumah, cubalah menginjil kepada mereka pada masa yang berlainan, di tempat yang berlainan, atau dengan menggunakan kaedah yang berlainan (Lihat perenggan 7-10) *

7. Jika kita menginjil pada masa yang berlainan, apakah hasil yang mungkin kita raih?

7 Mencari orang pada masa yang berlainan. Kita dapat menjumpai lebih banyak orang jika kita menginjil pada masa mereka berada di rumah. Ingatlah, walaupun orang sering keluar, akhirnya mereka akan balik ke rumah juga. Banyak saudara saudari menginjil pada sebelah petang kerana lebih banyak orang ada di rumah, dan penghuni rumah pun lebih relaks dan sudi berbual. Kita juga boleh menggunakan cadangan yang diberikan oleh seorang penatua yang bernama David. Dia menjelaskan bahawa selepas dia dan rakannya menginjil untuk satu atau dua jam, mereka akan kembali untuk mencari orang yang tiada di rumah semasa kunjungan kali pertama. David berkata, “Saya tidak sangka begitu banyak orang ada di rumah semasa kami mencuba buat kali kedua.” *

Jika orang di kawasan penyebaran anda selalu tiada di rumah, cubalah menginjil kepada mereka pada masa yang berlainan (Lihat perenggan 7-8)

8. Bagaimanakah kita dapat menerapkan nasihat di Pengkhutbah 11:6 semasa menginjil?

8 Seperti yang dinyatakan dalam ayat tema rencana ini, kita harus berusaha sedaya upaya tanpa berputus asa. (Baca Pengkhutbah 11:6.) Itulah yang dilakukan oleh David, yang disebut tadi, semasa menginjil. Setelah mencuba berkali-kali, dia akhirnya berjaya menemui seorang lelaki yang selalu tiada di rumah. Lelaki itu sangat berminat tentang Bible dan berkata, “Saya sudah tinggal di sini kira-kira lapan tahun, tetapi saya tidak pernah berjumpa dengan Saksi-Saksi Yehuwa.” David berkata, “Apabila kita berusaha untuk mencari orang dan akhirnya berjaya menemui mereka, mereka biasanya sudi mendengar mesej kita.”

Jika orang di kawasan penyebaran anda selalu tiada di rumah, cubalah menginjil kepada mereka di tempat yang berlainan (Lihat perenggan 9)

9. Bagaimanakah sesetengah Saksi dapat bercakap dengan orang yang susah dijumpai semasa memberikan kesaksian dari rumah ke rumah?

9 Menginjil di tempat yang berlainan. Untuk bercakap dengan orang yang susah dijumpai semasa kesaksian dari rumah ke rumah, sesetengah penyiar telah menginjil di tempat yang berbeza. Contohnya, mereka memberikan kesaksian di tempat awam dan menginjil dengan menggunakan rak mudah alih. Dengan itu, mereka dapat bercakap dengan orang yang tinggal dalam bangunan yang tidak mengizinkan orang masuk untuk memberikan kesaksian. Selain itu, ramai penyiar mendapati bahawa orang lebih sudi berbual atau menerima bahan bacaan semasa mereka di taman, pasar, dan di kawasan perniagaan. Floiran, seorang penyelia litar di Bolivia, berkata, “Kami menginjil di pasar dan di kawasan perniagaan antara jam satu petang hingga jam tiga petang semasa orang tidak begitu sibuk. Biasanya orang sudi berbual dengan kami, dan kami bahkan dapat memulakan pembelajaran Bible.”

Jika orang di kawasan penyebaran anda selalu tiada di rumah, cubalah menginjil kepada mereka dengan menggunakan kaedah yang berlainan (Lihat perenggan 10)

10. Apakah kaedah yang dapat anda gunakan untuk menginjil kepada orang?

10 Mencuba kaedah yang berlainan. Katakan anda sudah berusaha berkali-kali untuk mengunjungi seseorang pada masa yang berlainan tetapi masih tidak dapat menjumpainya di rumah. Jika begitu, apakah kaedah lain yang dapat anda gunakan? Katarína berkata, “Saya menulis surat kepada penghuni rumah yang tidak dapat saya jumpa. Melalui surat itu, saya memberitahu mereka mesej yang ingin saya sampaikan.” Apakah yang dapat kita pelajari daripada saudari ini? Kita ingin mencuba pelbagai kaedah untuk menginjil kepada orang di kawasan penyebaran kita.

TETAP BERSIKAP POSITIF BIARPUN ORANG TIDAK BERMINAT

11. Mengapakah sesetengah orang tidak berminat terhadap mesej kita?

11 Sesetengah orang tidak berminat terhadap mesej kita kerana mereka berfikir bahawa mereka tidak perlu belajar tentang Tuhan atau Bible. Mereka tidak percaya kepada Tuhan kerana mereka melihat begitu banyak penderitaan di dunia. Mereka juga tidak mahu belajar Bible kerana mereka melihat banyak pemimpin agama yang mengaku diri mematuhi ajaran Bible, tetapi cakap tak serupa bikin. Yang lain pula terlalu sibuk dengan kerja, keluarga, atau masalah mereka, dan berfikir bahawa Bible tidak dapat membantu mereka. Jadi bagaimanakah kita dapat tetap bersukacita semasa menginjil kepada orang yang tidak menghargai mesej kita?

12. Bagaimanakah prinsip di Filipi 2:4 membantu kita dalam kerja penyebaran?

12 Tunjukkan keprihatinan. Ramai orang tidak berminat terhadap berita baik pada mulanya, tetapi kemudiannya sudi mendengar apabila mereka merasai keprihatinan yang ditunjukkan oleh seorang penyiar. (Baca Filipi 2:4.) Sebagai contoh, David, yang disebut tadi, berkata, “Jika seseorang berkata bahawa dia tidak berminat, kami akan simpan Bible atau bahan bacaan kami ke dalam beg dan berkata, ‘Bolehkah kami tahu mengapa kamu rasa begitu?’” Ingatlah, orang lain dapat merasai keprihatinan kita. Jadi, walaupun mereka tidak ingat apa yang kita katakan, mereka akan ingat bagaimana kita melayan mereka. Biarpun penghuni rumah tidak mahu mendengar berita baik, kita masih dapat menunjukkan bahawa kita mengambil berat terhadap mereka melalui sikap dan raut wajah kita.

13. Bagaimanakah kita dapat menyesuaikan penyampaian kita mengikut keperluan setiap penghuni rumah?

13 Kita menunjukkan bahawa kita mengambil berat terhadap penghuni rumah dengan menyesuaikan penyampaian kita mengikut keperluan dan minat mereka. Contohnya, adakah kita melihat apa-apa tanda yang menunjukkan bahawa terdapat kanak-kanak yang tinggal di sebuah rumah? Penghuni rumah itu mungkin berminat untuk mengetahui nasihat Bible tentang cara untuk membesarkan anak atau cara menikmati kehidupan keluarga yang lebih bahagia. Adakah kita melihat banyak mangga pintu di sesebuah rumah? Kita mungkin boleh memberitahu penghuni rumah bahawa ramai orang di dunia berasa takut kerana masalah jenayah semakin berleluasa. Kemudian, kita boleh memberitahunya mesej yang melegakan bahawa masalah jenayah akan diselesaikan buat selama-lamanya. Tidak kira siapa yang kita jumpa, kita mahu membantu mereka untuk memahami bagaimana nasihat Bible bermanfaat untuk mereka. Katarína yang disebut tadi berkata, “Saya cuba ingat kembali bagaimana Bible telah membantu hidup saya.” Hasilnya, Katarína dapat mengongsi berita baik dengan yakin, dan orang yang mendengarnya juga dapat merasai keyakinannya.

14. Menurut Amsal 27:17, bagaimanakah rakan menginjil dapat membantu satu sama lain?

14 Dapatkan bantuan orang lain. Rasul Paulus telah mengajar Timotius cara untuk menginjil dan mengajar, dan dia juga menggalakkan Timotius untuk membantu rakan seimannya dalam cara yang sama. (1 Kor. 4:17) Seperti Timotius, kita dapat belajar daripada rakan seiman yang berpengalaman. (Baca Amsal 27:17.) Perhatikan contoh seorang saudara yang bernama Shawn. Dia telah merintis di sebuah kawasan terpencil untuk suatu ketika, dan kebanyakan orang di situ berpuas hati dengan agama mereka sendiri. Jadi bagaimanakah Shawn dapat tetap bersukacita? Dia berkata, “Seboleh-bolehnya, saya akan menginjil bersama seorang rakan. Sebelum kami sampai ke rumah yang seterusnya, kami akan membantu satu sama lain untuk meningkatkan kemahiran mengajar kami. Misalnya, kami akan bercakap tentang reaksi penghuni rumah tadi dan cara kami menanganinya. Kemudian, kami akan membincangkan apa yang dapat kami lakukan sekiranya situasi yang sama timbul lagi.”

15. Mengapakah doa sangat penting dalam kerja penyebaran?

15 Berdoa meminta bantuan Yehuwa. Mintalah bimbingan Yehuwa setiap kali anda keluar menginjil. Hal ini demikian kerana tanpa bantuan kuasa suci-Nya, semua usaha kita sia-sia sahaja. (Mzm. 127:1; Luk. 11:13) Berdoalah secara spesifik ketika anda meminta bantuan Yehuwa. Contohnya, mintalah Yehuwa untuk membantu anda mencari orang yang berhati jujur dan yang sudi mendengar. Kemudian, bertindaklah selaras dengan doa anda dengan menginjil kepada semua orang yang anda temui.

16. Bagaimanakah pembelajaran peribadi dapat membantu kita dalam kerja penyebaran?

16 Meluangkan masa untuk membuat pembelajaran peribadi. Firman Tuhan menyatakan bahawa kita harus “membuktikan kepada diri sendiri kehendak Tuhan yang baik, yang menyenangkan hati-Nya, dan yang sempurna.” (Rm. 12:2, nota kaki) Dengan membuat pembelajaran peribadi, kita akan semakin mengenali Tuhan dan dapat bercakap dengan lebih yakin semasa menginjil. Katarína, yang disebut tadi, berkata, “Baru-baru ini, saya sedar bahawa saya perlu kukuhkan iman saya terhadap sesetengah ajaran asas Bible. Jadi, saya mengkaji dengan teliti bukti yang menunjukkan bahawa Pencipta memang wujud, bahawa Bible benar-benar ialah Firman Tuhan, dan Tuhan mempunyai organisasi yang mewakili-Nya pada hari ini.” Katarína berkata bahawa pembelajaran peribadi telah meneguhkan imannya dan membantunya lebih bersukacita dalam kerja penyebaran.

SEBABNYA KITA TETAP BERSIKAP POSITIF TERHADAP KERJA PENYEBARAN

17. Mengapakah Yesus tetap bersikap positif terhadap kerja penyebaran?

17 Yesus tetap bersikap positif dan terus menginjil walaupun sesetengah orang tidak mempedulikan mesejnya. Mengapa? Dia tahu bahawa orang ramai perlu belajar tentang kebenaran, dan dia ingin membantu sebanyak orang yang mungkin untuk mendengar berita baik Kerajaan Tuhan. Dia juga tahu bahawa sesetengah orang yang tidak berminat pada mulanya akan sudi mendengar pada kemudian hari. Fikirkan contoh adik-adik Yesus. Yesus telah menginjil selama tiga tahun setengah, namun tiada seorang pun daripada mereka yang menjadi pengikutnya. (Yoh. 7:5) Tetapi selepas Yesus dibangkitkan, mereka menjadi orang Kristian.​—Kis. 1:14.

18. Mengapakah kita ingin terus menginjil?

18 Kita tidak tahu siapa yang akan menjadi penyembah Yehuwa pada akhirnya. Sesetengah orang mungkin mengambil masa yang lebih lama untuk menerima kebenaran. Namun, biarpun orang tidak mahu menerima mesej kita, kelakuan baik dan sikap positif kita mungkin akan mendorong mereka untuk menyembah Yehuwa.​—1 Ptr. 2:12.

19. Menurut 1 Korintus 3:6, 7, apakah yang mesti kita ingat?

19 Semasa kita berusaha untuk menginjil dan mengajar, kita mesti ingat bahawa Tuhanlah yang menyebabkan benih kebenaran bertumbuh. (Baca 1 Korintus 3:6, 7.) Seorang saudara di Etiopia berkata, “Untuk lebih daripada 20 tahun, sayalah satu-satunya Saksi di kawasan saya. Tetapi sekarang terdapat 14 orang penyiar di sini, dan 13 daripada mereka sudah dibaptis, termasuk isteri dan 3 orang anak saya. Secara purata, 32 orang menghadiri perjumpaan kami.” Saudara itu bersyukur kerana dia terus menginjil dengan sabar sementara menunggu Yehuwa memimpin orang yang berhati jujur ke organisasi-Nya.​—Yoh. 6:44.

20. Apakah persamaan antara kita dengan pasukan penyelamat?

20 Yehuwa menghargai nyawa semua orang, dan Dia telah memberi kita penghormatan untuk bekerja bersama Anak-Nya dalam kerja mengumpulkan orang daripada segala bangsa sebelum akhir sistem dunia ini tiba. (Hag. 2:7) Kerja penyebaran kita bagaikan operasi menyelamatkan orang, dan kita adalah seperti ahli pasukan penyelamat yang dihantar untuk menyelamatkan orang yang terperangkap dalam kapal yang hampir tenggelam. Walaupun hanya beberapa orang yang berjaya diselamatkan, kerja yang dilakukan oleh seluruh pasukan amat berharga. Begitu juga dengan kerja penyebaran. Kita tidak tahu berapa orang lagi yang akan diselamatkan daripada sistem dunia Syaitan. Tetapi kita tahu bahawa Yehuwa dapat menggunakan sesiapa pun daripada kita untuk membantu mereka. Andreas, yang tinggal di Bolivia, berkata, “Saya tahu bahawa apabila seseorang mempelajari kebenaran dan dibaptis, itu merupakan hasil usaha semua orang.” Semoga kita tetap bersikap positif terhadap kerja penyebaran. Dengan itu, Yehuwa akan memberkati kita, dan kita akan menuai sukacita yang besar dalam kerja penyebaran.

LAGU 66 Sebarkan Berita Baik

^ per. 5 Bagaimanakah kita dapat tetap bersikap positif dalam kerja penyebaran meskipun ramai orang tidak berada di rumah atau tidak berminat untuk mendengar mesej kita? Rencana ini mengandungi beberapa cadangan yang dapat membantu kita untuk tetap bersikap positif.

^ per. 7 Semasa menggunakan cara-cara yang disebut dalam rencana ini untuk menginjil, para penyiar harus mematuhi undang-undang perlindungan data peribadi.

^ per. 60 KETERANGAN GAMBAR: (dari atas ke bawah): Sepasang suami isteri menginjil di kawasan yang penduduknya jarang ada di rumah. Penghuni rumah yang pertama sedang bekerja, penghuni rumah yang kedua sedang berjumpa dengan doktor, dan penghuni rumah yang ketiga sedang membeli-belah. Untuk bercakap kepada penghuni rumah yang pertama, mereka mengunjunginya pada lewat petang. Mereka berjumpa dengan penghuni rumah yang kedua semasa melakukan kesaksian awam berdekatan hospital. Mereka menghubungi penghuni rumah yang ketiga menerusi telefon.