Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 19

Orang yang Mencintai Hukum Yehuwa Tidak Akan Tersandung

Orang yang Mencintai Hukum Yehuwa Tidak Akan Tersandung

“Orang yang mencintai hukum-Mu mendapat kedamaian yang melimpah; tiada apa-apa pun yang akan membuat mereka tersandung.”​—MZM. 119:165.

LAGU 122 Berteguhlah, Jangan Goyah!

PENGENALAN *

1-2. Apakah yang dinyatakan oleh seorang profesor? Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana ini?

JUTAAN orang hari ini mengaku bahawa mereka mempercayai Yesus, namun mereka tidak mematuhi ajarannya. (2 Tim. 4:3, 4) Seorang profesor menulis, “Jika munculnya seorang lagi Yesus pada zaman ini yang mengatakan hal yang sama dengan Yesus yang hidup 2,000 tahun yang lalu, adakah kita akan menolaknya? Sikap dan perbuatan kebanyakan orang menunjukkan bahawa jawapan mereka ialah: ‘Ya, kami akan menolaknya.’”

2 Ramai orang pada abad pertama mendengar ajaran Yesus dan melihatnya melakukan mukjizat, tetapi mereka masih tidak beriman kepadanya. Mengapa? Rencana sebelumnya telah membincangkan empat sebab mengapa ramai orang tersandung. Dalam rencana ini, kita akan melihat empat sebab lagi. Kita juga akan membincangkan mengapa ramai orang pada hari ini menolak pengikut Yesus yang sejati dan bagaimana kita dapat mengelak daripada tersandung.

(1) YESUS TIDAK BERAT SEBELAH

Banyak orang tersandung kerana Yesus bergaul dengan orang yang dianggap sebagai pendosa. Bagaimanakah hal-hal ini mungkin menyebabkan sesetengah orang pada zaman ini tersandung? (Lihat perenggan 3) *

3. Apakah perbuatan Yesus yang menyebabkan sesetengah orang tersandung?

3 Semasa Yesus berada di bumi, dia bergaul dengan segala macam orang. Dia bukan sahaja makan bersama orang yang kaya dan berpengaruh, tetapi dia juga meluangkan banyak masa bersama orang yang miskin dan yang ditindas. Selain itu, Yesus berbelas kasihan terhadap orang yang dianggap sebagai “pendosa.” Perbuatan Yesus telah menyebabkan sesetengah orang yang menganggap diri alim tersandung. Mereka menanya murid-murid Yesus, “Mengapakah kamu makan dan minum bersama pemungut cukai dan pendosa?” Yesus menjawab, “Orang yang memerlukan doktor bukannya orang yang sihat, tetapi orang yang sakit. Aku datang bukannya untuk memanggil orang yang alim, tetapi untuk memanggil pendosa supaya mereka bertaubat.”​—Luk. 5:29-32.

4. Apakah yang sepatutnya diketahui oleh orang Yahudi tentang Mesias daripada nubuat Nabi Yesaya?

4 Apakah yang dinyatakan dalam Ayat-Ayat Suci? Lama sebelum kedatangan Mesias, Nabi Yesaya sudah menubuatkan bahawa dia tidak akan diterima oleh ramai orang. Yesaya menulis, “Dia dipandang hina dan ditolak. . . . Mukanya seolah-olah tersembunyi daripada kami. Dia dipandang rendah, dan kami juga tidak mempedulikannya.” (Yes. 53:3) Ya, Ayat-Ayat Suci sudah menubuatkan bahawa Mesias akan “dipandang hina dan ditolak.” Jadi, orang Yahudi pada abad pertama tidak patut berasa hairan semasa ramai orang tidak menerima Mesias.

5. Bagaimanakah kebanyakan orang pada zaman ini memandang pengikut Yesus?

5 Adakah masalah yang sama wujud hari ini? Ya. Banyak pemimpin gereja ingin menerima orang yang terkemuka, kaya, dan berpendidikan tinggi sebagai ahli gereja, padahal orang sebegini biasanya mengamalkan gaya hidup yang tidak bermoral dan tidak mematuhi prinsip Tuhan. Pada masa yang sama, para pemimpin gereja memandang hina terhadap hamba-hamba Yehuwa yang tidak mendapat sanjungan dunia, padahal umat Tuhan menginjil dengan bersemangat dan hidup bermoral. Namun, Paulus menyatakan bahawa Tuhan telah memilih orang yang “dipandang rendah” untuk menjadi hamba-hamba-Nya. (1 Kor. 1:26-29) Selain itu, Yehuwa menghargai semua hamba-Nya yang setia, tidak kira siapa mereka.

6. Bagaimanakah kita dapat meniru sikap Yesus yang dinyatakan di Matius 11:25, 26?

6 Bagaimanakah kita dapat mengelak daripada tersandung? (Baca Matius 11:25, 26.) Janganlah kita terikut-ikut dengan pandangan dunia terhadap umat Tuhan. Sebaliknya, kita mahu ingat bahawa Yehuwa hanya menggunakan orang yang rendah hati untuk melaksanakan kehendak-Nya. (Mzm. 138:6.) Selain itu, kita mahu merenungkan bagaimana Yehuwa telah menggunakan orang yang dianggap bodoh oleh dunia untuk melakukan hal-hal yang menakjubkan.

(2) YESUS MENDEDAHKAN AJARAN YANG SALAH

7. Mengapakah Yesus memanggil orang Farisi sebagai orang yang bermuka dua? Apakah reaksi mereka?

7 Yesus berani mengutuk para pemimpin agama pada zamannya yang bermuka dua. Sebagai contoh, dia memanggil orang Farisi sebagai orang yang bermuka dua, kerana mereka lebih mementingkan upacara membasuh tangan daripada menjaga ibu bapa mereka. (Mat. 15:1-11) Kata-kata Yesus mungkin membuat murid-muridnya terkejut. Oleh itu mereka bertanya, “Tahukah Guru bahawa orang Farisi tersandung kerana kata-kata Guru?” Yesus menjawab, “Setiap tanaman yang tidak ditanam oleh Bapaku yang di syurga akan dicabut. Biarkanlah mereka. Mereka ialah pemimpin-pemimpin buta. Jika orang buta memimpin orang buta, kedua-duanya akan jatuh ke dalam lubang.” (Mat. 15:12-14) Ya, biarpun kata-katanya membuat para pemimpin agama sangat marah, Yesus tetap mengatakan apa yang benar.

8. Bagaimanakah Yesus menunjukkan bahawa bukan semua kepercayaan diterima oleh Tuhan?

8 Yesus juga mendedahkan ajaran yang salah. Contohnya, dia tidak mengajar bahawa semua kepercayaan diterima oleh Tuhan. Sebaliknya, dia berkata bahawa ramai orang akan mengikut jalan luas yang menuju kebinasaan, manakala hanya sedikit orang yang mengikut jalan sempit yang menuju kehidupan. (Mat. 7:13, 14) Yesus juga menjelaskan bahawa sesetengah orang nampaknya menyembah Tuhan, tetapi sebenarnya tidak. Maka, dia mengingatkan para pendengarnya, “Berwaspadalah terhadap nabi-nabi palsu yang datang bertopengkan biri-biri, tetapi sebenarnya mereka ialah serigala yang buas. Kamu akan mengenal mereka melalui perbuatan mereka.”​—Mat. 7:15-20.

Banyak orang tersandung kerana Yesus mengutuk amalan dan kepercayaan yang salah. Bagaimanakah hal-hal ini mungkin menyebabkan sesetengah orang pada zaman ini tersandung? (Lihat perenggan 9) *

9. Apakah sesetengah ajaran palsu yang didedahkan oleh Yesus?

9 Apakah yang dinyatakan dalam Ayat-Ayat Suci? Nubuat Bible menyatakan bahawa Mesias akan memiliki semangat yang berkobar-kobar untuk Rumah Tuhan. (Mzm. 69:9; Yoh. 2:14-17) Semangat itulah yang mendorong Yesus untuk mendedahkan ajaran dan amalan yang salah. Sebagai contoh, orang Farisi percaya bahawa manusia ada roh yang tidak dapat mati, tetapi Yesus mengajarkan bahawa orang mati seperti sedang tidur. (Yoh. 11:11) Orang Saduki tidak mempercayai harapan pembangkitan, tetapi Yesus membangkitkan kawannya, Lazarus. (Yoh. 11:43, 44; Kis. 23:8) Orang Farisi mengajarkan bahawa segala sesuatu ditakdirkan oleh Tuhan, tetapi Yesus mengajarkan bahawa manusia boleh memilih sama ada mereka mahu menyembah Tuhan atau tidak.—Mat. 11:28.

10. Mengapakah ajaran kita membuat banyak orang tersandung?

10 Adakah masalah yang sama wujud hari ini? Ya. Banyak orang tersandung kerana ajaran kita yang berdasarkan Bible telah mendedahkan banyak ajaran yang salah. Sebagai contoh, para pemimpin gereja mengajar orang bahawa Tuhan akan menyeksa orang jahat di dalam neraka. Mereka menyebarkan ajaran palsu ini supaya orang lain berasa takut dan menuruti perintah mereka. Namun, umat Yehuwa yang menyembah Tuhan yang pengasih, mendedahkan ajaran palsu itu. Para pemimpin gereja juga mengajar orang bahawa manusia ada roh yang tidak dapat mati. Namun, kita membuktikan kepada orang bahawa ajaran itu tidak berasal daripada Bible, dan kita juga menjelaskan bahawa sekiranya manusia benar-benar ada roh yang tidak dapat mati, orang mati tidak perlu dibangkitkan. Selain itu, banyak agama mengajarkan bahawa kehidupan kita ditakdirkan oleh Tuhan. Namun, kita mengajar orang bahawa mereka mempunyai kebebasan untuk memilih sama ada mereka mahu menyembah Tuhan atau tidak. Apakah reaksi para pemimpin agama terhadap ajaran kita? Sering kali, mereka sangat marah!

11. Menurut kata-kata Yesus di Yohanes 8:45-47, apakah yang dikehendaki oleh Tuhan daripada umat-Nya?

11 Bagaimanakah kita dapat mengelak daripada tersandung? Jika kita mencintai kebenaran, kita akan mempercayai dan mematuhi apa yang dikatakan oleh Tuhan. (Baca Yohanes 8:45-47.) Tidak seperti Syaitan Si Iblis, kita berpegang teguh pada kebenaran dan enggan melakukan apa-apa yang bercanggahan dengan kepercayaan kita. (Yoh. 8:44) Kita juga meniru teladan Yesus dan mematuhi arahan Yehuwa untuk ‘membenci apa yang jahat’ dan ‘berpaut pada apa yang baik.’​—Rm. 12:9; Ibr. 1:9.

(3) YESUS DIANIAYA

Banyak orang tersandung kerana Yesus dihukum mati pada tiang. Bagaimanakah hal-hal ini mungkin menyebabkan sesetengah orang pada zaman ini tersandung? (Lihat perenggan 12) *

12. Mengapakah cara Yesus dihukum mati menyebabkan banyak orang Yahudi tersandung?

12 Banyak orang Yahudi pada zaman Yesus juga tersandung kerana cara Yesus dihukum mati. Paulus berkata, “Kita menyebarkan perkhabaran tentang Kristus yang dihukum bunuh pada tiang. Perkhabaran itu telah menjadi batu sandungan bagi orang Yahudi.” (1 Kor. 1:23) Mengapakah orang Yahudi tersandung? Oleh sebab Yesus dihukum mati pada tiang seksaan, mereka menganggap Yesus sebagai penjenayah dan pendosa, bukan sebagai Mesias.​—Ul. 21:22, 23.

13. Apakah hakikat yang diketepikan oleh orang yang tersandung kerana cara Yesus dihukum mati?

13 Orang Yahudi yang tersandung kerana cara Yesus dihukum mati mengetepikan hakikat bahawa Yesus sebenarnya mangsa fitnah yang tidak bersalah dan bahawa dia telah dibicarakan dengan cara yang tidak adil. Para hakim Majlis Orang Yahudi yang menghakimi Yesus langsung tidak mempedulikan keadilan. Mereka mengadakan perbicaraan secara tergesa-gesa dan tidak mengikut prosedur undang-undang. (Luk. 22:54; Yoh. 18:24) Mereka juga tidak mempertimbangkan tuduhan dan bukti yang dikemukakan, tetapi “mencari saksi palsu untuk menuduh Yesus supaya mereka dapat membunuhnya.” Apabila muslihat mereka gagal, imam agung mencuba memerangkap Yesus supaya mereka dapat mencari kesalahannya dan menghukumnya. Perbuatan mereka sememangnya melanggar undang-undang. (Mat. 26:59; Mrk. 14:55-64) Selepas Yesus dibangkitkan, para hakim itu “memberikan banyak wang perak” sebagai rasuah kepada askar-askar Roma yang menjaga makam Yesus. Mereka meminta askar-askar itu untuk menyebarkan cerita palsu bahawa murid-murid Yesus sudah mencuri mayatnya.​—Mat. 28:11-15.

14. Apakah yang dinubuatkan Ayat-Ayat Suci tentang Mesias?

14 Apakah yang dinyatakan dalam Ayat-Ayat Suci? Walaupun ramai orang Yahudi pada zaman Yesus tidak menyangka bahawa Mesias akan mati, perhatikan apa yang telah dinubuatkan dalam Ayat-Ayat Suci: “Dia menyerahkan nyawanya dan dipandang sebagai pendosa; dia menanggung dosa banyak orang dan membuat permohonan bagi pihak para pendosa.” (Yes. 53:12) Jadi, orang Yahudi sebenarnya tiada alasan untuk tersandung apabila Yesus dihukum mati sebagai pendosa.

15. Apakah tuduhan terhadap Saksi-Saksi Yehuwa yang menyebabkan sesetengah orang tersandung?

15 Adakah masalah yang sama wujud hari ini? Sudah tentu. Sebagaimana Yesus dilayan dengan tidak adil, Saksi-Saksi Yehuwa juga telah difitnah dan disabitkan bersalah. Perhatikan beberapa contoh. Di Amerika Syarikat, antara tahun 1930-an dan 1940-an, kebebasan kita untuk beribadat sering kali dicabar di mahkamah, dan terdapat sesetengah hakim yang memihak kepada penentang kita secara terang-terangan. Di Quebec, Kanada, pihak gereja dan pihak kerajaan bersekongkol untuk menghalang kerja kita. Oleh itu, banyak penyiar dipenjarakan hanya kerana mereka bercakap kepada orang lain tentang Kerajaan Tuhan. Di Jerman pula, sebilangan saudara muda yang setia telah dihukum mati oleh pihak Nazi. Di Rusia, baru-baru ini, banyak saudara saudari telah didapati bersalah dan dipenjarakan kerana membincangkan Bible, perbuatan yang dianggap oleh pihak berkuasa sebagai “kegiatan ekstremis.” Pihak berkuasa juga mengharamkan Kitab Suci Terjemahan Dunia Baharu dalam bahasa Rusia dan menggelarnya sebagai “bahan bacaan ekstremis” kerana mengandungi nama Yehuwa.

16. Menurut 1 Yohanes 4:1, mengapakah kita tidak harus mempercayai dusta tentang umat Tuhan?

16 Bagaimanakah kita dapat mengelak daripada tersandung? Kita harus mengetahui faktanya. Dalam Ceramah Di Atas Gunung, Yesus mengingatkan para pendengarnya bahawa sesetengah orang akan “mengatakan segala macam perkara yang keji untuk memfitnah” mereka. (Mat. 5:11) Syaitan merupakan dalang di sebalik semua dusta itu, dan dia menggunakan para penentang untuk memburuk-burukkan orang yang mengasihi kebenaran. (Why. 12:9, 10) Oleh itu, janganlah kita mempercayai dusta sebegini dan janganlah membiarkannya menakutkan kita atau melemahkan iman kita.​—Baca 1 Yohanes 4:1.

(4) YESUS DIKHIANATI DAN DITINGGALKAN

Banyak orang tersandung kerana Yesus dikhianati oleh Yudas. Bagaimanakah hal-hal ini mungkin menyebabkan sesetengah orang pada zaman ini tersandung? (Lihat perenggan 17-18) *

17. Bagaimanakah peristiwa yang terjadi sebelum kematian Yesus mungkin menyebabkan sesetengah orang tersandung?

17 Sebelum kematian Yesus, salah seorang daripada 12 orang rasul telah mengkhianatinya. Seorang lagi rasul Yesus menyangkalnya sebanyak tiga kali, dan semua rasul yang lain meninggalkannya semasa dia ditangkap. (Mat. 26:14-16, 47, 56, 75) Namun Yesus tidak berasa hairan. Sebenarnya, Yesus telah menubuatkan bahawa hal ini akan terjadi. (Yoh. 6:64; 13:21, 26, 38; 16:32) Meskipun begitu, tindakan para rasul mungkin membuat sesetengah orang tersandung dan berfikir, “Saya tidak mahu tergolong bersama orang seperti ini!”

18. Apakah nubuat-nubuat Bible yang menjadi kenyataan sebelum kematian Yesus?

18 Apakah yang dinyatakan dalam Ayat-Ayat Suci? Ratusan tahun sebelum Yesus datang ke bumi, Yehuwa telah menyingkapkan dalam Firman-Nya bahawa Mesias akan dikhianati dengan harga 30 keping wang perak. (Za. 11:12, 13) Nubuat Bible juga menyatakan bahawa Mesias akan dikhianati oleh seorang sahabat rapatnya. (Mzm. 41:9) Nabi Zakharia juga menulis, “Seranglah gembala itu dan biarlah kawanan itu tercerai-berai.” (Za. 13:7) Jadi apabila semua nubuat ini berlaku kepada diri Yesus, orang Yahudi yang berhati jujur sepatutnya menjadi lebih beriman dan bukannya tersandung.

19. Apakah yang diketahui oleh orang yang berhati jujur?

19 Adakah masalah yang sama wujud hari ini? Ya. Pada zaman moden, segelintir Saksi yang dikenali ramai telah meninggalkan kebenaran, menjadi murtad, dan cuba menarik orang keluar daripada organisasi Tuhan. Untuk berbuat demikian, mereka menyebarkan laporan yang negatif, maklumat yang separuh benar, dan dusta tentang Saksi-Saksi Yehuwa menerusi media massa dan Internet. Namun, orang yang berhati jujur tidak akan tersandung kerana mereka tahu Bible sudah menubuatkan bahawa hal-hal ini akan berlaku.​—Mat. 24:24; 2 Ptr. 2:18-22.

20. Apakah yang dapat kita lakukan supaya orang yang telah meninggalkan kebenaran tidak membuat kita tersandung? (2 Timotius 4:4, 5)

20 Bagaimanakah kita dapat mengelak daripada tersandung? Kita perlu terus menguatkan iman kita dengan membuat pembelajaran secara tetap, berdoa sentiasa, dan terus sibuk melakukan tugas yang diberikan oleh Yehuwa. (Baca 2 Timotius 4:4, 5.) Jika iman kita teguh, kita tidak akan berasa cemas semasa mendengar laporan negatif tentang Saksi-Saksi Yehuwa. (Yes. 28:16) Selain itu, kasih kepada Yehuwa, Firman-Nya, dan saudara saudari, akan membantu kita supaya tidak membenarkan orang yang telah meninggalkan kebenaran untuk membuat kita tersandung.

21. Meskipun kebanyakan orang menolak mesej kita, kita dapat yakin akan hal apa?

21 Ramai orang pada abad pertama tersandung dan menolak Yesus, tetapi terdapat ramai lagi yang beriman kepadanya. Antara mereka termasuk “ramai imam” dan sekurang-kurangnya seorang ahli Majlis Orang Yahudi. (Kis. 6:7; Mat. 27:57-60; Mrk. 15:43) Begitu juga, jutaan orang pada hari ini tidak tersandung tetapi memilih untuk menjadi pengikut Yesus, kerana mereka mengenali dan mencintai kebenaran dalam Bible. Mengenai mereka, Firman Tuhan menyatakan, “Orang yang mencintai hukum-Mu mendapat kedamaian yang melimpah; tiada apa-apa pun yang akan membuat mereka tersandung.”​—Mzm. 119:165.

LAGU 124 Selalu Setia

^ per. 5 Dalam rencana sebelumnya, kita telah membincangkan empat sebab mengapa ramai orang menolak Yesus pada zaman dahulu dan mengapa ramai orang menolak pengikut Yesus yang sejati pada hari ini. Dalam rencana ini, kita akan membincangkan empat sebab lagi. Kita juga akan melihat mengapa orang yang mengasihi Yehuwa tidak akan membiarkan apa-apa pun membuat mereka tersandung.

^ per. 60 KETERANGAN GAMBAR: Yesus makan bersama Matius dan pemungut cukai yang lain.

^ per. 62 KETERANGAN GAMBAR: Yesus menghalau para pedagang di Rumah Tuhan.

^ per. 64 KETERANGAN GAMBAR: Yesus disuruh memikul tiang seksaan.

^ per. 66 KETERANGAN GAMBAR: Yudas mencium Yesus untuk mengkhianatinya.