Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 21

Yehuwa Akan Memberi Anda Kekuatan

Yehuwa Akan Memberi Anda Kekuatan

“Apabila aku lemah, aku menjadi kuat.”​—2 KOR. 12:10.

LAGU 73 Berilah Kami Keberanian

PENGENALAN *

1-2. Apakah cabaran-cabaran yang dihadapi banyak Saksi?

RASUL PAULUS menggalakkan Timotius dan semua orang Kristian untuk melaksanakan kerja penyebaran dengan sepenuhnya. (2 Tim. 4:5) Kita semua ingin mematuhi nasihat Paulus. Namun, ada kalanya hal itu tidak senang. Sebagai contoh, fikirkan saudara saudari kita yang tinggal di kawasan yang mengharamkan atau menyekat kerja penyebaran. Mereka perlu sangat berani kerana mereka mungkin akan dipenjarakan jika mereka keluar menginjil.​—2 Tim. 4:2.

2 Selain itu, umat Yehuwa menghadapi pelbagai masalah yang dapat membuat mereka berasa tawar hati. Misalnya, ramai Saksi perlu bekerja untuk masa yang lama semata-mata untuk menyara kehidupan keluarga. Oleh itu, walaupun mereka ingin meluangkan lebih banyak masa dalam kerja penyebaran, mereka sudah sangat penat pada hujung minggu. Yang lain pula hanya dapat meluangkan sedikit masa untuk kerja penyebaran kerana mereka menghidap penyakit yang serius, sudah lanjut usia, atau bahkan tidak dapat keluar dari rumah. Ada juga yang perlu sentiasa bergelut dengan perasaan tidak berguna. Mary, * seorang saudari di Timur Tengah, berkata, “Saya menghabiskan begitu banyak masa dan tenaga untuk melawan perasaan yang negatif sehingga hal itu membuat saya penat secara emosi. Selepas itu, saya berasa bersalah kerana masa dan tenaga itu sepatutnya boleh digunakan untuk menginjil.”

3. Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana ini?

3 Tidak kira apa situasi kita, Yehuwa dapat memberi kita kekuatan untuk menghadapi cabaran kita dan terus berkhidmat kepada-Nya dengan sedaya upaya. Sebelum kita membincangkan bagaimana Yehuwa membantu kita, marilah kita mengkaji bagaimana Yehuwa menguatkan Paulus dan Timotius untuk melaksanakan kerja penyebaran walaupun mereka dilanda pelbagai cabaran.

KEKUATAN UNTUK TERUS MENGINJIL

4. Apakah cabaran-cabaran yang dihadapi Paulus?

4 Paulus menghadapi banyak cabaran. Sebagai contoh, dia dipukul, direjam, dan dipenjarakan. (2 Kor. 11:23-25) Selain itu, Paulus juga mengakui bahawa ada kalanya dia perlu bergelut dengan perasaan tawar hati. (Rm. 7:18, 19, 24) Dia juga mempunyai masalah kesihatan yang bagaikan “duri dalam daging,” dan dia sangat ingin Tuhan menyembuhkannya. Jelaslah, Paulus memerlukan kekuatan daripada Yehuwa.​—2 Kor. 12:7, 8.

Apakah yang membolehkan Paulus melaksanakan tugasnya? (Lihat perenggan 5-6) *

5. Apakah yang telah dilakukan oleh Paulus meskipun dia dilanda pelbagai cabaran?

5 Yehuwa telah menguatkan Paulus untuk melaksanakan kerja penyebaran meskipun dia dilanda pelbagai cabaran. Sebagai contoh, fikirkan apa yang telah dilakukan oleh Paulus semasa dia dikurung dalam sebuah rumah di Roma. Sepanjang masa itu, dia mempertahankan berita baik dengan berani di hadapan para pemimpin orang Yahudi dan mungkin juga di hadapan pegawai kerajaan. (Kis. 28:17; Flp. 4:21, 22) Dia juga menginjil kepada banyak Pengawal Maharaja dan memberikan kesaksian kepada semua pelawatnya. (Kis. 28:30, 31; Flp. 1:13) Dalam tempoh masa yang sama, Paulus diilhami untuk menulis beberapa pucuk surat yang menguatkan orang Kristian sampai hari ini. Tambahan lagi, kesetiaan Paulus telah menguatkan sidang di Roma dan membolehkan saudara saudarinya “menjadi lebih berani untuk mengkhabarkan firman Tuhan tanpa rasa takut.” (Flp. 1:14) Ya, walaupun keadaan Paulus amat mencabar, dia melakukan apa yang mampu dilakukannya, dan usahanya “sebenarnya telah menyebabkan kerja penyebaran berita baik menjadi semakin maju.”​—Flp. 1:12.

6. Menurut 2 Korintus 12:9, 10, apakah yang membantu Paulus untuk melakukan kerja penyebaran?

6 Paulus sedar bahawa dia dapat melakukan begitu banyak kerja untuk Yehuwa kerana kekuatan daripada Tuhan, dan bukannya kekuatan daripada dirinya sendiri. Dia berkata bahawa ‘kuasa Tuhan menjadi nyata sekali’ semasa dia lemah. (Baca 2 Korintus 12:9, 10) Melalui kuasa suci-Nya, Yehuwa memberi Paulus kekuatan untuk melaksanakan kerja penyebaran dengan sepenuhnya walaupun dia dianiaya, dipenjarakan, dan dilanda cabaran yang lain.

Apakah yang membolehkan Timotius melaksanakan tugasnya? (Lihat perenggan 7) *

7. Apakah cabaran-cabaran yang perlu diatasi oleh Timotius untuk melaksanakan tugas sucinya?

7 Timotius, iaitu rakan menginjil Paulus, juga perlu bergantung pada kekuatan Tuhan untuk melaksanakan tugas sucinya. Selain mengikut Paulus ke tempat-tempat yang jauh untuk menginjil, Timotius juga diutus untuk melawat dan menggalakkan rakan seiman di beberapa buah sidang. (1 Kor. 4:17) Hal ini mungkin membuat Timotius berasa bahawa dia tidak layak memikul tanggungjawab itu. Barangkali, itulah sebabnya Paulus menasihatinya, “Jangan biarkan sesiapa pun memandang rendah terhadap kamu kerana kamu muda.” (1 Tim. 4:12) Tambahan lagi, Timotius mempunyai duri dalam daging kerana Bible menyatakan bahawa dia “kerap sakit.” (1 Tim. 5:23) Namun, Timotius tahu bahawa kuasa suci Yehuwa akan memberinya kekuatan yang diperlukan untuk terus menginjil dan berkhidmat kepada saudara saudarinya.​—2 Tim. 1:7.

KEKUATAN UNTUK TETAP SETIA SEMASA DILANDA CABARAN

8. Bagaimanakah Yehuwa menguatkan umat-Nya pada hari ini?

8 Hari ini, Yehuwa memberi umat-Nya “kuasa luar biasa” supaya mereka dapat terus berkhidmat kepada-Nya dengan setia. (2 Kor. 4:7) Mari kita bincangkan empat pemberian daripada Yehuwa yang dapat menguatkan kita dan membantu kita untuk tetap setia kepada-Nya, iaitu doa, Bible, pergaulan Kristian, dan kerja penyebaran.

Yehuwa menguatkan kita melalui doa (Lihat perenggan 9)

9. Bagaimanakah doa dapat membantu kita?

9 Dikuatkan melalui doa. Seperti yang dinyatakan di Efesus 6:18, Paulus menggalakkan kita untuk “berdoa pada setiap kesempatan.” Dengan itu, kita akan menerima kekuatan daripada Tuhan. Jonnie, yang tinggal di Bolivia, telah menerima kekuatan daripada Yehuwa semasa dia menghadapi banyak cubaan. Isterinya dan ibu bapanya telah menghidap penyakit yang serius pada masa yang sama. Jonnie telah bersusah payah menjaga keperluan mereka bertiga. Akhirnya, ibunya meninggal, dan isterinya dan bapanya pula mengambil masa yang lama untuk sembuh. Mengenang kembali masa itu, Jonnie berkata, “Semasa saya sangat tertekan, saya selalu mendapat kekuatan apabila saya berdoa secara spesifik.” Perhatikan juga contoh Ronald, seorang penatua di Bolivia. Dia mendapat tahu bahawa ibunya menghidap kanser, dan ibunya meninggal sebulan kemudian. Apakah yang membantunya menghadapi cabaran itu? Dia berkata, “Semasa berdoa, saya dapat meluahkan isi hati dan perasaan saya. Saya tahu Yehuwa memahami saya jauh lebih baik daripada sesiapa pun, bahkan diri saya sendiri.” Ada kalanya, kita mungkin berasa bahawa kita tidak dapat tahan lagi dan tidak tahu apa yang harus didoakan. Namun, biarpun kita berasa susah untuk mengungkapkan perasaan dan fikiran kita, Yehuwa masih menjemput kita untuk berdoa kepada-Nya.​—Rm. 8:26, 27.

Yehuwa menguatkan kita melalui Bible (Lihat perenggan 10)

10. Menurut Ibrani 4:12, mengapakah penting untuk membaca dan merenungkan Bible?

10 Dikuatkan melalui Bible. Seperti Paulus, kita juga dapat meraih kekuatan dan kelegaan daripada Bible. (Rm. 15:4) Apabila kita membaca dan merenungkan Firman Tuhan, Yehuwa dapat menggunakan kuasa suci-Nya untuk membantu kita memahami bagaimana kita dapat menerapkan prinsip Bible dalam situasi kita. (Baca Ibrani 4:12.) Ronald, yang disebut tadi, berkata, “Saya sangat bersyukur kerana saya mempunyai tabiat membaca Bible setiap malam. Saya dikuatkan semula kerana sering merenungkan sifat-sifat Yehuwa dan cara Dia menjaga umat-Nya.”

11. Bagaimanakah Bible menguatkan seorang balu yang bersedih?

11 Kita dapat memupuk pandangan yang betul terhadap situasi kita jika kita merenungkan Firman Tuhan. Perhatikan bagaimana Bible membantu seorang saudari yang bersedih kerana kematian suaminya. Seorang penatua memberitahunya bahawa dia dapat meraih manfaat jika dia membaca buku Ayub. Jadi saudari itu membaca buku tersebut. Pada mulanya, dia mengkritik Ayub dan berkata dalam hati, “Ayub! Janganlah asyik berfikir tentang masalah kamu!” Tetapi saudari itu kemudiannya sedar bahawa sikapnya sangat mirip dengan sikap Ayub. Hal ini telah membantunya membetulkan pandangannya dan memberinya kekuatan untuk mengatasi kesedihannya.

Yehuwa menguatkan kita melalui pergaulan Kristian (Lihat perenggan 12)

12. Bagaimanakah Yehuwa menggunakan rakan seiman kita untuk menguatkan kita?

12 Dikuatkan melalui pergaulan Kristian. Yehuwa juga menguatkan kita melalui rakan seiman. Paulus menulis bahawa dia “ingin sekali berjumpa” dengan rakan seimannya supaya mereka dapat saling menggalakkan. (Rm. 1:11, 12) Mary, yang disebut tadi, sangat menghargai pergaulan dengan saudara saudari. Dia berkata, “Yehuwa telah membantu saya menerusi saudara saudari yang tidak tahu tentang masalah saya. Kata-kata galakan atau kad yang mereka hantar telah memberi saya kekuatan yang saya perlukan tepat pada masanya. Saya juga dibantu setelah meluahkan isi hati saya kepada saudari lain yang mempunyai masalah yang sama, dan belajar daripada pengalaman mereka. Selain itu, para penatua juga selalu membuat saya rasa bahawa saya dihargai dalam sidang.”

13. Bagaimanakah kita dapat menguatkan satu sama lain semasa menghadiri perjumpaan?

13 Salah satu peluang terbaik untuk menggalakkan satu sama lain adalah semasa di perjumpaan. Maka semasa menghadiri perjumpaan, ambillah inisiatif untuk menunjukkan kasih dan penghargaan anda kepada orang lain. Dengan ini, anda dapat menguatkan mereka. Sebagai contoh, sebelum perjumpaan bermula, seorang penatua yang bernama Peter berkata kepada seorang saudari yang suaminya tidak seiman, “Saya sangat digalakkan semasa melihat kamu di sini. Kamu selalu memastikan enam orang anak kamu berpakaian kemas dan bersedia memberikan komen.” Saudari itu mula menitiskan air mata lalu berkata, “Itulah galakan yang saya perlu dengar pada hari ini.”

Yehuwa menguatkan kita melalui kerja penyebaran(Lihat perenggan 14)

14. Bagaimanakah kerja penyebaran menguatkan kita?

14 Dikuatkan melalui kerja penyebaran. Semasa kita mengongsi kebenaran Bible dengan orang lain, kita berasa dikuatkan tidak kira mereka sudi mendengar mesej kita atau tidak. (Ams. 11:25) Seorang saudari yang bernama Stacy telah dikuatkan melalui kerja penyebaran. Semasa seorang ahli keluarganya disingkirkan, dia berasa sangat susah hati dan asyik berfikir bahawa dia tidak mencurahkan usaha yang mencukupi untuk membantu ahli keluarga itu. Apakah yang telah membantunya menghadapi masalah itu? Kerja penyebaran. Semasa dia menginjil, dia telah dibantu untuk bertumpu kepada orang yang memerlukan bantuannya. Dia berkata, “Yehuwa telah memberi saya seorang pelajar Bible yang membuat kemajuan dengan cepat. Hal itu sangat menggalakkan saya. Semasa saya menghadapi kesusahan, kerja penyebaran telah menstabilkan hidup saya.”

15. Apakah yang anda pelajari daripada kata-kata Mary?

15 Disebabkan situasi mereka, sesetengah orang mungkin berasa bahawa apa yang dapat dilakukan oleh mereka dalam kerja penyebaran sangat terhad. Jika itulah perasaan anda, ingatlah bahawa Yehuwa senang hati jika anda sudah melakukan yang terbaik. Perhatikan lagi contoh Mary. Apabila dia berpindah ke sebuah sidang bahasa asing, dia berasa bahawa dirinya tidak berguna berbanding saudara saudari yang fasih menuturkan bahasa asing itu. Dia berkata, “Untuk suatu ketika, saya hanya dapat memberikan komen yang singkat, membaca ayat Bible, atau memberikan risalah semasa menginjil.” Namun dia mengubah pandangannya dan sedar bahawa Yehuwa dapat menggunakannya meskipun kebolehannya terhad. Dia berkata, “Yang dapat mengubah kehidupan orang ialah kebenaran Bible yang jelas dan mudah difahami dan bukannya seberapa fasihnya kita menuturkan sesebuah bahasa.”

16. Apakah yang dapat menguatkan mereka yang ingin menginjil tetapi tidak dapat keluar dari rumah?

16 Yehuwa mengetahui dan menghargai keinginan kita untuk melakukan kerja penyebaran walaupun kita tidak dapat keluar dari rumah. Oleh itu, Dia mungkin membuka peluang bagi kita untuk memberikan kesaksian kepada orang yang menjaga kita atau kepada doktor dan jururawat. Jika kita membandingkan apa yang dapat kita lakukan sekarang dengan apa yang telah kita lakukan pada masa lalu, kita mungkin akan berasa tawar hati. Tetapi jika kita sedar bagaimana Yehuwa sedang membantu kita sekarang, kita akan mendapat kekuatan untuk bertabah dan bersukacita.

17. Menurut Pengkhutbah 11:6, mengapakah kita patut terus menginjil biarpun usaha kita tidak segera membuahkan hasil?

17 Kita tidak tahu mana satu daripada benih kebenaran yang kita tabur yang akan berakar dan bertumbuh. (Baca Pengkhutbah 11:6.) Sebagai contoh, Barbara, seorang saudari yang berumur 80-an, sering memberikan kesaksian melalui telefon dan surat. Dalam salah sepucuk suratnya, dia menyertakan majalah Menara Pengawal terbitan 1 Mac 2014, yang mengandungi sebuah rencana yang bertajuk, “Apa yang telah Dilakukan oleh Tuhan untuk Anda.” * Tanpa diketahuinya, dia mengirim surat itu kepada sepasang suami isteri yang telah disingkirkan. Pasangan itu membaca majalah itu berkali-kali, dan suami itu berasa seolah-olah Yehuwa sedang bercakap kepadanya. Hasilnya, pasangan itu mula menghadiri perjumpaan, dan mereka menjadi Saksi semula setelah menjadi tidak aktif untuk lebih daripada 27 tahun. Barbara pasti berasa sangat digalakkan dan dikuatkan kerana salah sepucuk suratnya telah membawa hasil yang begitu baik!

Yehuwa menguatkan kita melalui (1) doa, (2) Bible, (3) pergaulan Kristian, dan (4) kerja penyebaran (Lihat perenggan 9-10, 12, 14)

18. Apakah yang dapat kita lakukan supaya dikuatkan oleh Tuhan?

18 Yehuwa telah menyediakan banyak pemberian untuk menguatkan kita, seperti doa, Bible, pergaulan Kristian, dan kerja penyebaran. Apabila kita memanfaatkan semua pemberian itu, kita menunjukkan bahawa kita yakin Yehuwa mahu dan mampu membantu kita. Maka semoga kita terus bergantung pada Bapa kita yang di syurga, yang “sentiasa mengawasi seluruh bumi untuk mencari orang yang menyembah-Nya dengan sepenuh hati agar Dia dapat menunjukkan kekuatan-Nya kepada mereka.”​—2 Taw. 16:9.

LAGU 61 Majulah Saksi-Saksi!

^ per. 5 Kita hidup pada masa yang susah, tetapi Yehuwa membantu kita supaya kita dapat terus bertabah. Dalam rencana ini, kita akan membincangkan bagaimana Yehuwa membantu Rasul Paulus dan Timotius untuk terus menyembah-Nya meskipun mereka dilanda pelbagai masalah. Kita juga akan membincangkan empat pemberian daripada Yehuwa yang dapat membantu kita tetap bertabah.

^ per. 2 Nama telah diubah.

^ per. 17 Tidak terdapat dalam bahasa Melayu.

^ per. 54 KETERANGAN GAMBAR: Semasa dikurung di dalam sebuah rumah di Roma, Paulus menulis surat kepada beberapa buah sidang dan mengongsi berita baik dengan pelawatnya.

^ per. 56 KETERANGAN GAMBAR: Timotius menggalakkan rakan seimannya semasa dia melawat sidang-sidang.