Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 24

Anda Mampu Mencapai Matlamat Rohani Anda

Anda Mampu Mencapai Matlamat Rohani Anda

“Teruslah berbuat baik tanpa berputus asa. Jika kita tidak berputus asa, kita akan menuai hasilnya pada waktu yang ditetapkan.”​—GAL. 6:9.

LAGU 84 Meluaskan Khidmat

PENGENALAN a

1. Apakah cabaran yang ramai antara kita hadapi?

 PERNAHKAH anda menetapkan matlamat rohani, tetapi berasa susah untuk mencapainya? b Jika ya, anda tidak keseorangan. Contohnya, Philip ingin meningkatkan mutu dan kekerapan doanya, tetapi dia berasa susah untuk mencari masa untuk berdoa. Erika bermatlamat untuk datang awal ke perjumpaan sebelum kerja penyebaran, tetapi hampir setiap kali dia tiba lewat. Tomáš pula ingin membaca seluruh Bible, tetapi dia berkata, “Saya tidak menikmati pembacaan Bible saya. Saya sudah cuba tiga kali, tetapi setiap kali saya hanya dapat sampai buku Imamat saja.”

2. Mengapakah kita tidak patut tawar hati jika kita belum mencapai matlamat rohani kita?

2 Jika anda belum mencapai matlamat rohani anda, janganlah tawar hati. Sebenarnya, mencapai matlamat yang kecil pun memerlukan masa dan usaha. Anda masih ingin mencapai matlamat anda, dan keinginan ini menunjukkan bahawa anda menghargai hubungan anda dengan Yehuwa dan mahu memberi-Nya yang terbaik. Yehuwa menghargai usaha anda, tetapi Dia juga tidak mengharapkan sesuatu yang di luar kemampuan anda. (Mzm. 103:14; Mi. 6:8) Jadi, tetapkanlah matlamat yang mampu anda capai, dan ambillah langkah yang diperlukan untuk mencapainya. Apakah yang dapat membantu anda? Perhatikan beberapa cadangan yang berikut.

PUPUK KEINGINAN YANG KUAT

Berdoa meminta keinginan yang lebih kuat (Lihat perenggan 3-4)

3. Mengapakah penting untuk memupuk keinginan yang kuat?

3 Keinginan yang kuat penting untuk mencapai matlamat rohani. Seseorang yang mempunyai keinginan yang kuat mempunyai motivasi untuk mencapai matlamatnya. Keinginan ini adalah seperti angin yang menggerakkan kapal layar. Jika angin terus bertiup, kapal layar akan dapat sampai ke destinasinya, dan jika ada angin yang kuat, kapal layar itu akan lebih cepat sampai. Begitu juga, apabila anda mempunyai keinginan yang kuat, anda akan lebih berpeluang mencapai matlamat anda. David, seorang saudara dari El Salvador, berkata, “Jika keinginan anda kuat, anda akan berusaha dengan lebih keras. Anda tidak akan membiarkan apa-apa pun untuk menghalang anda daripada mencapai matlamat anda.” Apakah yang dapat anda lakukan untuk memiliki keinginan yang lebih kuat?

4. Apakah yang dapat kita minta dalam doa? (Filipi 2:13) (Lihat juga gambar.)

4 Berdoa meminta keinginan yang lebih kuat. Melalui kuasa suci-Nya, Yehuwa dapat memberi anda keinginan untuk mencapai matlamat anda. (Baca Filipi 2:13.) Ada kalanya, kita menetapkan matlamat kerana kita tahu kita harus mempunyai matlamat. Hal itu memang bagus, namun kita mungkin tiada dorongan untuk berusaha mencapai matlamat kita. Itulah yang berlaku kepada Norina, seorang saudari di Uganda. Dia bermatlamat untuk mengadakan satu pembelajaran Bible, tetapi dia tiada dorongan untuk melakukannya kerana berasa bahawa dia tidak pandai mengajar. Apakah yang telah membantunya? Dia berkata, “Saya berdoa kepada Yehuwa setiap hari dan meminta-Nya menguatkan keinginan saya untuk mengadakan pembelajaran Bible. Selaras dengan doa saya, saya juga berusaha meningkatkan kemahiran mengajar. Beberapa bulan kemudian, saya sedar bahawa keinginan saya untuk mengadakan pembelajaran Bible semakin kuat. Pada tahun yang sama, saya dapat memulakan dua pembelajaran Bible.”

5. Apakah yang dapat kita renungkan agar mempunyai keinginan yang lebih kuat untuk mencapai matlamat rohani?

5 Renungkan apa yang telah dilakukan oleh Yehuwa untuk anda. (Mzm. 143:5) Setelah merenungkan bagaimana Yehuwa menunjukkan kebaikan hati yang unggul terhadapnya, Rasul Paulus terdorong untuk bekerja keras bagi Yehuwa. (1 Kor. 15:9, 10; 1 Tim. 1:12-14) Begitu juga, apabila anda sering merenungkan apa yang telah dilakukan oleh Yehuwa untuk anda, anda akan semakin terdorong untuk mencapai matlamat rohani anda. (Mzm. 116:12) Perhatikan apa yang membantu seorang saudari di Honduras untuk mencapai matlamatnya sebagai perintis biasa. Dia berkata, “Saya merenungkan betapa dalamnya kasih Yehuwa terhadap saya. Dia memimpin saya kepada umat-Nya, melindungi saya, dan menjaga saya. Dengan merenungkan hal-hal ini, kasih saya kepada Yehuwa telah bertambah, dan saya mempunyai keinginan yang lebih kuat untuk mencapai matlamat saya.”

6. Apakah hal lain yang dapat meningkatkan keinginan kita untuk mencapai matlamat rohani kita?

6 Fikirkan manfaatnya jika anda mencapai matlamat anda. Perhatikan apa yang telah membantu Erika, yang disebut di permulaan rencana. Dia berkata, “Saya sedar bahawa jika saya selalu datang lambat ke perjumpaan sebelum kerja penyebaran, sayalah yang rugi. Tetapi jika saya tiba awal, saya dapat bersalam dengan saudara saudari dan bergaul dengan mereka. Saya juga dapat mendengar cadangan praktikal yang dapat membantu saya meraih sukacita dan menjadi penginjil yang lebih mahir.” Erika memikirkan manfaat yang akan diraihnya jika dia tiba awal, dan dia berjaya mencapai matlamatnya. Apakah manfaat yang akan anda raih jika anda mencapai matlamat rohani anda? Jika matlamat anda berkaitan dengan tabiat membaca Bible atau berdoa, fikirkanlah bagaimana hal itu dapat menguatkan hubungan anda dengan Yehuwa. (Mzm. 145:18, 19) Jika matlamat anda adalah untuk memupuk sifat Kristian tertentu, fikirkan bagaimana sifat itu akan menguatkan hubungan anda dengan orang lain. (Kol. 3:14) Cubalah senaraikan semua sebab anda mahu mencapai matlamat anda, dan periksalah senarai itu dari masa ke masa. Tomáš, yang disebut di awal rencana, berkata, “Apabila saya mempunyai banyak sebab untuk mencapai matlamat saya, saya akan berusaha lebih keras untuk berjaya.”

7. Apakah yang membantu Julio dan isterinya untuk mencapai matlamat mereka?

7 Luangkan masa bersama orang yang akan memberi anda dorongan. (Ams. 13:20) Julio dan isterinya bermatlamat untuk meningkatkan usaha mereka dalam kerja penyebaran. Apakah yang membantu mereka? Julio berkata, “Kami memilih kawan yang menyokong usaha kami, dan kami membincangkan matlamat kami bersama mereka. Ramai daripada mereka ada matlamat yang sama seperti kami dan sudah berjaya mencapainya. Jadi mereka dapat mengongsi tip yang berguna. Kawan-kawan kami juga akan tanya tentang kemajuan kami dan memberikan galakan bila kami memerlukannya.”

JIKA KITA KURANG MOTIVASI

Berusaha mencapai matlamat anda (Lihat perenggan 8)

8. Apakah yang mungkin berlaku jika kita hanya bergantung pada motivasi untuk mencapai matlamat kita? (Lihat juga gambar.)

8 Hakikatnya, dari masa ke masa kita semua akan berasa kurang motivasi atau keinginan untuk mencapai matlamat kita. Adakah hal itu bermaksud kita langsung tidak dapat membuat kemajuan? Tidak. Fikirkan lagi contoh angin dan kapal layar. Angin sangat penting untuk menggerakkan kapal layar ke destinasinya. Namun, kekuatan angin setiap hari berbeza-beza, dan pada sesetengah hari, angin mungkin langsung tidak bertiup. Biarpun begitu, anak kapal masih dapat menggunakan cara lain untuk sampai ke destinasi, contohnya dengan menggunakan enjin bot atau pendayung. Seperti angin, motivasi kita mungkin ada kalanya kuat dan ada kalanya lemah. Pada sesetengah hari, kita mungkin langsung tiada motivasi. Jadi jika kita hanya bergantung pada motivasi untuk mencapai matlamat kita, kita mungkin tidak akan berjaya. Tetapi sebagaimana anak kapal dapat menggunakan cara lain untuk membawa kapal layar ke suatu destinasi, kita juga dapat menggunakan cara lain untuk maju ke arah matlamat kita biarpun semasa kita kurang motivasi. Sudah tentu kita memerlukan disiplin diri untuk berbuat demikian, tetapi usaha kita memang berbaloi. Sebelum membincangkan apa yang dapat kita lakukan jika kita kurang motivasi, mari kita jawab satu soalan yang mungkin timbul.

9. Adakah salah untuk memaksa diri mencapai suatu matlamat jika kita tiada motivasi atau keinginan untuk melakukannya? Jelaskan.

9 Yehuwa mahu kita menyembah-Nya dengan rela dan sukacita. (Mzm. 100:2; 2 Kor. 9:7) Jadi, patutkah kita memaksa diri untuk mencapai suatu matlamat jika kita tiada motivasi atau keinginan untuk melakukannya? Perhatikan contoh Rasul Paulus. Ada kalanya dia tiada motivasi untuk melakukan apa yang benar. Tetapi dia berkata, ‘Aku mendisiplinkan tubuhku dengan tegas dan mengawalnya seperti hamba.’ (1 Kor. 9:25-27, nota kaki) Ya, Paulus pun perlu memaksa diri untuk melakukan apa yang benar. Adakah Yehuwa memperkenankannya? Sudah tentu! Yehuwa juga memberkatinya atas usahanya.​—2 Tim. 4:7, 8.

10. Apakah manfaatnya jika kita berusaha mencapai matlamat kita biarpun kita kurang motivasi untuk melakukannya?

10 Yehuwa juga berasa gembira apabila kita berusaha mencapai matlamat kita biarpun kita kurang motivasi untuk melakukannya. Dia berasa gembira kerana biarpun kita tidak selalunya menyukai matlamat yang kita tetapkan, kita masih berusaha mencapainya kerana kita mengasihi-Nya. Sepertimana Yehuwa telah memberkati Paulus, Dia juga akan memberkati kita. (Mzm. 126:5) Apabila kita merasai berkat Yehuwa, motivasi kita mungkin akan bertambah kuat. Seorang saudari dari Poland yang bernama Lucyna berkata, “Ada kalanya saya tidak mahu keluar menginjil terutamanya bila saya penat. Namun, selepas saya keluar menginjil, saya dapat rasai sukacita yang amat besar.” Sekarang, mari kita lihat apa yang dapat kita lakukan untuk mencapai matlamat kita semasa kita kurang motivasi.

11. Bagaimanakah Yehuwa dapat membantu kita memupuk kawalan diri?

11 Berdoa untuk meminta kawalan diri. Semasa mendengar ungkapan “kawalan diri,” kita mungkin terfikir tentang bagaimana sifat ini membantu kita mengawal fikiran dan tindakan sendiri supaya kita menjauhi apa yang salah. Namun, kita juga memerlukan kawalan diri untuk melakukan apa yang betul, terutamanya jika hal itu susah atau jika kita kurang motivasi. Ingatlah, kawalan diri merupakan sebahagian daripada buah kuasa suci Yehuwa, jadi mintalah kuasa suci-Nya untuk membantu anda memupuk sifat kawalan diri. (Luk. 11:13; Gal. 5:22, 23) David, yang disebut di permulaan rencana, menjelaskan bagaimana doa telah membantunya membuat pembelajaran peribadi secara tetap. Dia berkata, “Saya berdoa meminta bantuan Yehuwa untuk memupuk kawalan diri. Dengan bantuan-Nya, saya dapat memulakan pembelajaran peribadi dan melakukannya secara konsisten.”

12. Bagaimanakah prinsip di Pengkhutbah 11:4 membantu kita mencapai matlamat rohani?

12 Jangan menunggu keadaan menjadi sempurna. Dunia sekarang tidak ada keadaan yang sempurna. Jika kita asyik menunggu keadaan menjadi sempurna, sampai bila-bila pun kita tidak akan mencapai matlamat kita. (Baca Pengkhutbah 11:4.) Seorang saudara yang bernama Dayniel berkata, “Keadaan yang sempurna tidak wujud. Jadi usahlah tunggu. Mulakan saja apa yang dirancang.” Paul, seorang saudara di Uganda, menjelaskan satu lagi sebab mengapa kita tidak patut menundakan rancangan kita. Dia berkata, “Jika kita bertindak biarpun menghadapi keadaan yang mencabar, kita sedang memberi Yehuwa sesuatu untuk diberkati.”​—Mal. 3:10.

13. Apakah manfaatnya jika kita berusaha mencapai matlamat yang kecil terlebih dahulu?

13 Mulakan dengan matlamat yang kecil. Jika matlamat yang kita tetapkan nampaknya sangat besar, kita mungkin kehilangan motivasi untuk mencapainya. Kalau begitu, bahagikanlah matlamat besar anda menjadi beberapa matlamat yang kecil. Contohnya, jika matlamat anda adalah untuk memupuk suatu sifat Kristian, cubalah untuk menunjukkan sifat itu menerusi perbuatan yang kecil terlebih dahulu. Jika matlamat anda ialah membaca seluruh Bible, cubalah meluangkan masa yang lebih pendek untuk berbuat demikian terlebih dahulu. Tomáš, yang disebut di awal rencana, bermatlamat untuk membaca seluruh Bible dalam masa setahun, tetapi tidak dapat melakukannya. Dia berkata, “Saya sedar membaca seluruh Bible dalam masa setahun terlalu susah bagi saya. Jadi semasa mencuba lagi, saya bermatlamat untuk membaca dan merenungkan beberapa perenggan setiap hari. Dengan berbuat demikian, saya mula menikmati pembacaan Bible.” Apabila Tomáš semakin suka membaca Bible, masa yang diluangkannya untuk membaca Bible juga semakin bertambah. Akhirnya, dia berjaya membaca seluruh Bible. c

JANGANLAH TAWAR HATI JIKA ANDA GAGAL

14. Apakah sesetengah hal yang boleh membuat kita gagal mencapai matlamat kita?

14 Sedihnya, biarpun kita sangat bermotivasi atau sangat berdisiplin, kita masih mungkin gagal mencapai matlamat kita. Mengapa? Akibat “kejadian yang tidak terduga,” kita mungkin tiada masa untuk mengejar matlamat kita. (Pkh. 9:11) Kita mungkin dilanda masalah lalu berasa lemah dan tawar hati. (Ams. 24:10) Akibat ketidaksempurnaan diri sendiri, kita mungkin melakukan sesuatu yang menyebabkan rancangan kita tergendala. (Rm. 7:23) Atau kita mungkin berasa sangat penat. (Mat. 26:43) Apakah yang dapat membantu kita agar tidak berputus asa?

15. Adakah gagal sekali bermaksud gagal selamanya-lamanya? Jelaskan. (Mazmur 37:23, 24)

15 Ingatlah bahawa gagal sekali tidak bermaksud gagal selamanya-lamanya. Bible kata bahawa kita mungkin berkali-kali menghadapi kesusahan. Namun Bible juga kata bahawa dengan bantuan Yehuwa, kita dapat bangun semula. (Baca Mazmur 37:23, 24.) Saudara Philip, yang disebut di awal rencana, berkata, “Bagi saya, kejayaan ditentukan bukan dengan berapa kali saya gagal, tetapi dengan berapa kali saya bangun semula.” David, yang disebut tadi, berkata, “Saya cuba memandang kegagalan, bukan sebagai halangan, tetapi sebagai peluang untuk menunjukkan betapa dalamnya kasih saya kepada Yehuwa.” Ya, apabila anda bangun semula setelah gagal dan terus berusaha mencapai matlamat anda, anda membuktikan kepada Yehuwa bahawa anda mahu menggembirakan-Nya. Yehuwa pasti sangat bangga dengan usaha anda!

16. Bagaimanakah kita dapat belajar daripada kegagalan?

16 Belajar daripada kegagalan. Fikirkan punca anda gagal mencapai matlamat anda, dan tanyalah diri, “Apakah yang dapat saya lakukan supaya tidak mengulangi kesilapan saya?” (Ams. 27:12) Namun, bagaimana pula jika anda mendapati bahawa punca kegagalan anda adalah kerana matlamat anda terlalu susah untuk dicapai? Jika itulah puncanya, fikirkan lagi jika matlamat itu perlu diubah agar sesuai dengan kemampuan anda. d Yehuwa tidak akan menyalahkan anda jika anda tidak dapat mencapai matlamat yang di luar kemampuan anda.​—2 Kor. 8:12.

17. Mengapakah kita tidak patut lupa akan apa yang sudah kita capai?

17 Jangan lupa akan apa yang sudah anda capai. Bible kata, “[Tuhan] tidak melupakan kerja yang telah kamu lakukan.” (Ibr. 6:10) Jika begitu, anda pun tidak patut melupakan apa yang sudah anda capai, seperti memupuk persahabatan dengan Yehuwa, mengongsi kebenaran dengan orang lain, atau dibaptis. Anda pernah membuat kemajuan dan mencapai matlamat rohani pada masa lalu, jadi anda pasti dapat terus membuat kemajuan dan mencapai matlamat anda yang seterusnya.​—Flp. 3:16.

Nikmati perjalanannya (Lihat perenggan 18)

18. Apakah yang harus kita ingat seraya kita berusaha untuk mencapai matlamat kita? (Lihat juga gambar.)

18 Dengan bantuan Yehuwa, anda dapat mencapai matlamat anda. Seorang anak kapal berasa gembira bukan sahaja kerana dapat sampai ke destinasinya, tetapi juga kerana dia menikmati perjalanannya. Begitu juga, semasa anda berusaha untuk mencapai matlamat rohani anda, janganlah lupa untuk memperhatikan bagaimana Yehuwa membantu dan memberkati usaha anda sepanjang perjalanan rohani anda. (2 Kor. 4:7) Jika anda tidak putus asa, anda akan menerima berkat yang jauh lebih besar.​—Gal. 6:9.

LAGU 126 Berjaga, Teguh, dan Gagah

a Kita sering digalakkan untuk menetapkan matlamat rohani. Namun, apakah yang dapat kita lakukan jika kita sudah menetapkan matlamat rohani, tetapi berasa susah untuk mencapainya? Rencana ini mengandungi beberapa cadangan yang berguna.

b MAKSUD UNGKAPAN: Matlamat rohani merupakan sesuatu yang anda usahakan supaya dapat menyembah Yehuwa dengan lebih baik lagi dan menggembirakan hati-Nya. Misalnya, anda mungkin menetapkan matlamat untuk memupuk sifat Kristian tertentu atau melakukan suatu aktiviti rohani dengan lebih baik lagi, seperti membaca Bible, membuat pembelajaran peribadi, atau menginjil.

d Untuk maklumat lanjut, lihat rencana Pupuklah Harapan yang Masuk Akal, dan Bersukacitalah dalam majalah Menara Pengawal bahasa Indonesia terbitan 15 Julai 2008.