Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 20

Meningkatkan Mutu Doa Kita

Meningkatkan Mutu Doa Kita

“Curahkanlah isi hatimu kepada-Nya.”​—MZM. 62:8.

LAGU 45 Renungan Hatiku

PENGENALAN a

Kita boleh berdoa kepada Yehuwa pada bila-bila masa dan meminta nasihat-Nya tentang apa-apa sahaja dalam kehidupan kita (Lihat perenggan 1)

1. Yehuwa menjemput kita untuk melakukan apa? (Lihat juga gambar.)

 SIAPAKAH yang dapat kita cari semasa kita memerlukan bimbingan dan kelegaan? Tuhan Yehuwa. Dia menjemput kita untuk berdoa kepada-Nya, dan Dia ingin kita sentiasa berdoa. (1 Tes. 5:17) Kita boleh berdoa kepada-Nya pada bila-bila masa dan meminta nasihat-Nya tentang apa-apa sahaja dalam kehidupan kita. (Ams. 3:5, 6) Yehuwa ialah Tuhan yang murah hati, jadi kita boleh berdoa kepada-Nya dengan sekerap yang kita mahu.

2. Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana ini?

2 Kita menghargai penghormatan untuk berdoa. Namun, kita semua sangat sibuk, jadi kita mungkin berasa susah mencari masa untuk berdoa. Kita juga mungkin mendapati bahawa mutu doa kita perlu ditingkatkan. Bible mengandungi banyak galakan dan nasihat untuk mengatasi dua cabaran ini. Dalam rencana ini, kita akan membincangkan bagaimana kita dapat meniru teladan Yesus dan menetapkan masa untuk berdoa. Kita juga akan membincangkan lima perkara yang dapat kita sebutkan semasa berdoa, supaya doa kita menjadi lebih bermakna.

YESUS MENETAPKAN MASA UNTUK BERDOA

3. Apakah yang diketahui Yesus tentang doa?

3 Yesus tahu bahawa Yehuwa sangat menghargai doa kita. Lama sebelum dia datang ke bumi, Yesus berada di sisi Bapanya dan melihat bagaimana Yehuwa menjawab doa hamba-hamba-Nya yang setia, seperti Hana, Daud, dan Elia. (1 Sam. 1:10, 11, 20; 1 Raj. 19:4-6; Mzm. 32:5) Maka tidak hairanlah Yesus mengajar murid-muridnya untuk sering berdoa dan yakin bahawa doa mereka akan dijawab!​—Mat. 7:7-11.

4. Bagaimanakah Yesus menunjukkan bahawa doa sangat penting baginya?

4 Yesus menunjukkan bahawa dia menghargai peluang untuk berdoa. Sepanjang masa dia menginjil di bumi, Yesus sering berdoa. Walaupun dia sangat sibuk dan selalu dikelilingi ramai orang, dia mencari masa untuk berdoa. (Mrk. 6:31, 45, 46) Misalnya, dia bangun awal supaya dapat berdoa seorang diri. (Mrk. 1:35) Dia juga pernah berdoa sepanjang malam sebelum membuat keputusan yang penting. (Luk. 6:12, 13) Pada malam sebelum dia dibunuh, Yesus berdoa berulang kali supaya dapat melaksanakan tugasannya yang paling mencabar di bumi.​—Mat. 26:39, 42, 44.

5. Bagaimanakah kita dapat meniru sikap Yesus terhadap doa?

5 Teladan Yesus mengajar kita bahawa tidak kira seberapa sibuknya kita, kita harus mencari masa untuk berdoa. Seperti Yesus, kita mungkin perlu menjadualkan masa untuk berdoa. Contohnya, kita mungkin perlu bangun lebih awal atau tidur lebih lewat untuk berdoa. Dengan berbuat demikian, kita menunjukkan kepada Yehuwa bahawa kita menghargai kurniaan untuk berdoa. Seorang saudari yang bernama Lynne mengingat kembali perasaannya semasa belajar tentang doa buat pertama kali. Dia berkata, “Semasa mendapat tahu bahawa saya boleh bercakap kepada Yehuwa pada bila-bila masa, saya menganggap Yehuwa sebagai Sahabat rapat saya, dan saya mahu meningkatkan mutu doa saya.” Sudah tentu kita semua mempunyai perasaan yang sama. Sekarang, mari kita membincangkan lima perkara yang boleh kita sebutkan dalam doa.

LIMA HAL PENTING UNTUK DISEBUTKAN DALAM DOA

6. Menurut Wahyu 4:10, 11, Yehuwa layak menerima apa?

6 Puji Yehuwa. Dalam sebuah penglihatan, Rasul Yohanes nampak 24 penatua di syurga yang menyembah Yehuwa. Mereka memuji Tuhan dan berkata bahawa Dia “layak menerima kemuliaan, kehormatan, dan kuasa.” (Baca Wahyu 4:10, 11.) Para malaikat yang setia juga mempunyai banyak sebab untuk memuji dan memuliakan Yehuwa. Mereka berada di syurga bersama Yehuwa, maka mereka sangat mengenali-Nya. Semasa mereka melihat sifat-sifat Yehuwa menerusi perbuatan-Nya, mereka terdorong untuk memuji-Nya.​—Ayb. 38:4-7.

7. Kita dapat memuji Yehuwa atas apa?

7 Kita juga ingin memuji Yehuwa semasa berdoa. Kita boleh berbuat demikian dengan memberitahu Yehuwa apa yang kita suka dan hargai tentang-Nya. Seraya anda membaca dan mengkaji Bible, cubalah mencari sifat-sifat Yehuwa yang menyentuh hati anda. (Ayb. 37:23; Rm. 11:33) Kemudian, beritahulah Yehuwa perasaan anda tentang sifat-sifat itu. Kita juga boleh memuji Yehuwa kerana sentiasa menjaga dan melindungi kita dan keluarga rohani kita.​—1 Sam. 1:27; 2:1, 2.

8. Apakah sesetengah sebab untuk bersyukur kepada Yehuwa? (1 Tesalonika 5:18)

8 Bersyukur kepada Yehuwa. Kita mempunyai banyak sebab untuk mengucapkan syukur kepada Yehuwa menerusi doa. (Baca 1 Tesalonika 5:18.) Yehuwa ialah Sumber segala pemberian yang baik, maka kita boleh bersyukur kepada-Nya atas semua perkara baik yang kita nikmati. (Yak. 1:17) Contohnya, kita boleh bersyukur atas bumi kita yang indah dan pelbagai ciptaan Tuhan yang menakjubkan. Kita juga boleh meluahkan penghargaan atas nyawa kita, keluarga kita, sahabat kita, dan harapan kita. Selain itu, kita mahu berterima kasih kepada Yehuwa kerana sudi menjadi Sahabat kita.

9. Mengapakah kita perlu memikirkan sebab-sebabnya kita bersyukur kepada Yehuwa?

9 Kita mungkin perlu mencurahkan usaha untuk memikirkan sebab-sebabnya kita bersyukur kepada Yehuwa. Mengapa? Kerana kita hidup dalam dunia yang tidak tahu berterima kasih. Banyak orang sering memikirkan apa yang mereka mahu, bukannya bagaimana mereka dapat menunjukkan penghargaan atas apa yang sudah mereka ada. Jika kita dijangkiti sikap itu, doa kita mungkin penuh dengan permintaan sahaja. Untuk mengelakkan hal itu daripada berlaku, kita perlu terus memupuk dan mengungkapkan penghargaan atas semua yang telah Yehuwa lakukan bagi kita.​—Luk. 6:45.

Apabila kita mengucapkan syukur kepada Yehuwa, kita dapat menghadapi masalah dengan tabah (Lihat perenggan 10)

10. Bagaimanakah rasa syukur telah membantu seorang saudari menghadapi cubaan dengan tabah? (Lihat juga gambar.)

10 Sikap tahu bersyukur dapat membantu kita bertabah menghadapi cubaan. Perhatikan pengalaman Saudari Kyung-sook, yang terdapat dalam majalah Menara Pengawal terbitan 15 Januari 2015. Dia didapati menghidap kanser paru-paru yang serius. Dia berkata, “Masalah kesihatan ini tamparan besar bagi saya. Saya rasa saya kehilangan segala-galanya, dan saya sangat takut.” Apakah yang membantunya bertabah? Dia berkata bahawa setiap malam sebelum tidur, dia akan naik ke bumbung rumahnya, lalu berdoa dengan suara yang lantang. Dalam doanya, dia akan menyebut lima perkara yang membuatnya berasa bersyukur pada hari itu. Hasilnya, dia berasa tenang dan terdorong untuk meluahkan kasihnya kepada Yehuwa. Dia telah merasai bagaimana Yehuwa membantu hamba-hamba-Nya yang dilanda cubaan berat, dan dia sedar bahawa berkat dalam kehidupan kita jauh lebih banyak daripada cubaan kita. Seperti Kyung-sook, kita mempunyai banyak sebab untuk bersyukur kepada Yehuwa, biarpun semasa kita sedang bergelut dengan cabaran. Apabila kita mengucapkan syukur menerusi doa, kita dapat tetap tabah dan tenang.

11. Mengapakah murid-murid Yesus memerlukan keberanian selepas Yesus kembali ke syurga?

11 Minta Yehuwa memberi kita keberanian untuk menginjil. Sebelum kembali ke syurga, Yesus mengingatkan murid-muridnya bahawa mereka mempunyai tugas untuk memberikan kesaksian tentangnya “di Yerusalem, di seluruh Yudea, di Samaria, dan sampai ke hujung bumi.” (Kis. 1:8; Luk. 24:46-48) Tidak lama kemudian, para pemimpin orang Yahudi menangkap Petrus dan Yohanes dan membawa mereka untuk menghadap Majlis Orang Yahudi. Petrus dan Yohanes diugut dan disuruh berhenti menginjil. (Kis. 4:18, 21) Apakah reaksi mereka?

12. Menurut Kisah 4:29, 31, apakah yang dilakukan oleh murid-murid Yesus?

12 Petrus dan Yohanes berkata kepada para pemimpin orang Yahudi, “Dalam pandangan Tuhan, wajarkah kami mendengar cakap tuan dan bukannya Tuhan? Pertimbangkanlah sendiri hal itu. Namun bagi kami, kami tidak dapat berhenti bercakap tentang apa yang sudah kami lihat dan dengar.” (Kis. 4:19, 20) Selepas Petrus dan Yohanes dibebaskan, para murid Yesus berseru kepada Yehuwa dan berdoa tentang kehendak-Nya. Mereka berdoa, “Bantulah hamba-Mu supaya terus memberitakan firman-Mu dengan penuh keberanian.” Doa mereka telah dijawab oleh Yehuwa.​—Baca Kisah 4:29, 31.

13. Apakah yang dapat kita pelajari daripada contoh Jin-hyuk?

13 Kita boleh meniru teladan murid-murid Yesus dengan terus menginjil biarpun semasa dilarang oleh pihak berkuasa. Perhatikan contoh Saudara Jin-hyuk, yang dipenjarakan kerana keneutralannya. Semasa di penjara, dia disuruh mengedarkan makanan dan barang-barang lain kepada sesetengah banduan yang dikurung seorang diri. Namun, dia tidak dibenarkan bercakap kepada mereka tentang hal-hal yang tidak berkaitan dengan barang keperluan mereka, termasuk Bible. Jadi dia berdoa agar diberi keberanian dan kebijaksanaan untuk mengongsi kebenaran pada setiap kesempatan. (Kis. 5:29) Jin-hyuk berkata, “Yehuwa telah menjawab doa saya. Dia beri saya keberanian dan kebijaksanaan untuk memulakan banyak pembelajaran Bible selama lima minit di pintu sel. Pada waktu malam, saya akan menulis surat, supaya pada hari esok, saya dapat memberikannya kepada banduan-banduan itu.” Seperti Jin-hyuk, kita boleh berdoa agar Yehuwa memberi kita keberanian dan kebijaksanaan untuk melaksanakan kerja penyebaran. Kita yakin Yehuwa pasti membantu kita.

14. Apakah yang dapat membantu kita menghadapi masalah dengan tabah? (Mazmur 37:3, 5)

14 Minta bantuan Yehuwa untuk menghadapi masalah dengan tabah. Ramai antara kita menghadapi masalah fizikal atau emosi, masalah keluarga, penganiayaan, kematian orang tersayang, atau cabaran lain. Cabaran sebegini mungkin bertambah berat akibat pandemik atau peperangan. Maka curahkanlah isi hati anda kepada Yehuwa. Beritahu-Nya keadaan anda sepertimana anda meluahkan perasaan anda kepada seorang kawan rapat. Percayalah bahawa Yehuwa “akan bertindak bagi pihakmu.”​—Baca Mazmur 37:3, 5.

15. Bagaimanakah doa dapat membantu kita ‘bertabah hati semasa ditimpa kesengsaraan’? Berikan contoh.

15 Jika kita berdoa dengan tekun, kita dapat ‘bertabah hati semasa ditimpa kesengsaraan.’ (Rm. 12:12) Yehuwa tahu apa yang sedang dilalui oleh para penyembah-Nya, dan Dia berjanji bahawa “apabila mereka berseru meminta tolong, Dia akan mendengar lalu menyelamatkan mereka.” (Mzm. 145:18, 19) Perhatikan pengalaman Saudari Kristie, seorang perintis yang berumur 29 tahun. Dia tiba-tiba mengalami masalah kesihatan yang serius. Akibatnya, dia menghidap kemurungan yang teruk. Kemudian, dia diberitahu bahawa ibunya menghidap penyakit yang boleh membawa maut. Apakah yang dilakukan Kristie? Dia berkata, “Saya berdoa dengan bersungguh-sungguh agar Yehuwa memberi saya kekuatan untuk menghadapi cabaran setiap hari. Saya cuba mengikut rutin rohani yang baik dengan menghadiri perjumpaan dan membuat pembelajaran peribadi.” Dia menambah, “Doa telah membantu saya mengharungi detik gelap dalam hidup saya. Saya tahu Yehuwa sentiasa ada di sisi saya, dan hal itu sangat melegakan hati saya. Walaupun masalah kesihatan saya tidak hilang dengan serta-merta, Yehuwa telah menjawab doa saya dengan memberi saya hati yang tenang.” Semoga kita sentiasa ingat bahawa “Yehuwa tahu cara untuk menyelamatkan orang yang mengabdikan diri kepada-Nya supaya mereka dibebaskan daripada cubaan.”​—2 Ptr. 2:9.

Untuk berjaya melawan godaan, (1) berdoalah untuk meminta bantuan Yehuwa, (2) bertindaklah selaras dengan doa anda, dan (3) kuatkanlah hubungan anda dengan Yehuwa (Lihat perenggan 16-17)

16. Mengapakah kita memerlukan bantuan Yehuwa untuk melawan godaan?

16 Minta bantuan Yehuwa untuk melawan godaan. Sebagai manusia yang tidak sempurna, kita perlu selalu bergelut dengan keinginan yang salah. Syaitan sedang menggunakan pelbagai cara untuk membuat pergelutan kita bertambah susah. Salah satu muslihat yang digunakannya untuk mencemari fikiran kita ialah hiburan yang tidak bermoral. Apabila fikiran kita sudah tercemar, kita tidak lagi dianggap suci di mata Yehuwa dan mungkin terjebak dalam dosa yang serius.​—Mrk. 7:21-23; Yak. 1:14, 15.

17. Selepas berdoa meminta bantuan untuk menolak godaan, apakah yang harus kita lakukan? (Lihat juga gambar.)

17 Kita memerlukan bantuan Yehuwa untuk menolak godaan. Semasa mengajar murid-muridnya cara untuk berdoa, Yesus juga berkata bahawa mereka perlu membuat permohonan ini: “Janganlah biarkan kami terjerat oleh godaan, tetapi selamatkanlah kami daripada Si Jahat.” (Mat. 6:13) Ya, Yehuwa mahu membantu kita, tetapi kita mesti meminta bantuan-Nya. Selepas berdoa meminta bantuan, kita mesti mengambil tindakan yang sewajarnya. Sebagai contoh, kita perlu berusaha mengelak daripada melihat atau mendengar idea yang salah, yang sering dipaparkan dalam dunia Syaitan. (Mzm. 97:10) Kita juga perlu membaca dan mengkaji Bible supaya minda kita diisi dengan fikiran yang sihat. Tambahan lagi, kita perlu menghadiri perjumpaan dan menginjil supaya fikiran kita dilindungi. Apabila kita melakukan hal-hal ini, Yehuwa berjanji bahawa Dia tidak akan membiarkan kita menghadapi godaan yang tidak dapat kita tanggung.​—1 Kor. 10:12, 13.

18. Apakah yang perlu kita semua lakukan?

18 Kita semua perlu sentiasa berdoa agar dapat tetap setia kepada Yehuwa, lebih-lebih lagi semasa hari-hari terakhir yang mencabar ini. Maka tetapkanlah masa setiap hari untuk berdoa dan ‘mencurahkan isi hati kita’ kepada Yehuwa. (Mzm. 62:8) Pujilah Yehuwa dan ucapkanlah syukur atas segala yang telah dilakukan-Nya. Mintalah Dia untuk memberi anda keberanian dalam kerja penyebaran. Mohonlah bantuan-Nya untuk bertabah menghadapi masalah dan melawan godaan. Janganlah biarkan apa-apa atau sesiapa pun untuk menghalang anda daripada berdoa kepada Yehuwa secara tetap. Namun, bagaimanakah Yehuwa menjawab doa kita? Rencana seterusnya akan menjawab soalan penting ini.

LAGU 42 Doa Hamba Tuhan

a Kita ingin doa kita menjadi seperti surat kepada sahabat yang dikasihi. Namun, kita mungkin berasa susah mencari masa untuk berdoa, dan kita mungkin tidak tahu apa yang dapat kita sebutkan dalam doa. Rencana ini akan membincangkan cara mengatasi dua cabaran tersebut.