Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 23

Pastikan “Nyala Api Yah” Tetap Membara

Pastikan “Nyala Api Yah” Tetap Membara

“Nyala api cinta yang berkobar-kobar itu nyala api Yah.”​—KID. 8:6.

LAGU 131 ‘Mereka Telah Disatukan oleh Tuhan’

PENGENALAN a

1. Bagaimanakah Bible menggambarkan cinta yang sejati?

 BIBLE kata, “Nyala api cinta yang berkobar-kobar itu nyala api Yah. Air yang bergelora tidak dapat memadamkan cinta, dan air sungai tidak dapat menghanyutkannya.” b (Kid. 8:6, 7) Gambaran yang indah ini meyakinkan para suami dan isteri bahawa mereka memang dapat menunjukkan cinta yang mendalam terhadap satu sama lain.

2. Apakah yang mesti dilakukan oleh suami isteri jika mereka tidak mahu cinta mereka mendingin?

2 Sama ada suami isteri akan menikmati cinta sejati seumur hidup mereka atau tidak, bergantung pada usaha mereka. Sebagai contoh, unggun api dapat terus menyala buat selama-lamanya asalkan kayu api ditambahkan. Jika api itu tidak dijaga, api itu akan padam. Begitu juga, cinta antara suami isteri dapat terus membara buat selama-lamanya, asalkan mereka menjaga hubungan mereka. Kadangkala, suami isteri mungkin rasa cinta mereka mula mendingin, terutamanya apabila mereka menghadapi masalah kewangan, masalah kesihatan, atau cabaran untuk membesarkan anak. Jadi jika anda sudah berkahwin, bagaimanakah anda dapat memastikan “nyala api Yah” tetap membara dalam perkahwinan anda? Dalam rencana ini, kita akan membincangkan tiga cara untuk membantu anda mempunyai hubungan yang kuat dengan pasangan anda dan menikmati perkahwinan yang bahagia. c

TERUS MENGUKUHKAN HUBUNGAN ANDA DENGAN YEHUWA

Seperti Yusuf dan Maria, suami dan isteri perlu mempunyai hubungan yang erat dengan Yehuwa (Lihat perenggan 3)

3. Jika suami isteri mempunyai hubungan yang kukuh dengan Yehuwa, bagaimanakah hal itu membantu cinta mereka tetap membara? (Pengkhutbah 4:12) (Lihat juga gambar.)

3 Untuk memastikan “nyala api Yah” tetap membara, suami dan isteri perlu berusaha untuk menjaga hubungan yang rapat dengan Yehuwa. Mengapa? Apabila suami isteri mempunyai hubungan yang erat dengan Yehuwa, mereka akan lebih sudi menerapkan nasihat-Nya. Dengan itu, mereka dapat mengelakkan atau mengatasi banyak masalah yang mungkin membuat cinta mereka mendingin. (Baca Pengkhutbah 4:12.) Orang yang mempunyai hubungan rapat dengan Yehuwa juga berusaha meniru sifat-sifat-Nya seperti kebaikan hati, kesabaran, dan sikap rela mengampuni. (Ef. 4:32–5:1) Apabila suami isteri menunjukkan sifat-sifat sebegini, cinta mereka terhadap satu sama lain akan bertambah dalam. Lena, seorang saudari yang sudah berkahwin untuk lebih daripada 25 tahun, berkata, “Memang mudah untuk mencintai dan menghormati seseorang yang berfikiran rohani.”

4. Mengapakah Yehuwa memilih Yusuf dan Maria untuk menjadi ibu bapa Yesus?

4 Perhatikan satu contoh dalam Bible. Antara semua keturunan Daud, Yehuwa memilih Yusuf dan Maria untuk menjadi ibu bapa Yesus. Mengapa? Kerana mereka masing-masing mempunyai hubungan baik dengan Yehuwa, dan Yehuwa tahu bahawa selepas mereka berkahwin, mereka akan mengutamakan-Nya dalam perkahwinan mereka. Para suami isteri, apakah yang dapat anda belajar daripada Yusuf dan Maria?

5. Apakah yang dapat para suami belajar daripada Yusuf?

5 Oleh sebab Yusuf selalu mematuhi arahan Yehuwa, dia menjadi suami yang lebih baik. Sekurang-kurangnya tiga kali, dia telah menerima arahan daripada Tuhan mengenai keluarganya. Setiap kali, dia segera mematuhi arahan Tuhan biarpun perlu membuat perubahan yang besar. (Mat. 1:20, 24; 2:13-15, 19-21) Dengan mengikut arahan Tuhan, Yusuf telah melindungi, menyokong, dan menjaga keperluan Maria. Sudah pasti tindakan Yusuf membuat Maria lebih menghormati dan mengasihinya! Para suami, anda dapat meniru teladan Yusuf dengan menerapkan nasihat Bible tentang cara untuk menjaga keluarga anda. d Apabila anda berbuat demikian biarpun anda perlu membuat perubahan, anda menunjukkan bahawa anda mengasihi isteri anda, dan anda akan menguatkan perkahwinan anda. Seorang saudari di Vanuatu yang telah berkahwin untuk lebih daripada 20 tahun berkata, “Saya lebih menghormati suami saya apabila dia mencari nasihat Yehuwa dan menerapkannya. Saya rasa selamat, dan saya yakin dia membuat keputusan yang baik.”

6. Apakah yang dapat para isteri belajar daripada Maria?

6 Maria tidak bergantung pada Yusuf untuk membina imannya. Sebaliknya, dia sendiri menjalin hubungan yang rapat dengan Yehuwa. Contohnya, dia mengenali Ayat-Ayat Suci dengan baik. (Lihat majalah Menara Pengawal terbitan Februari 2016, ms. 17, per. 17.) Dia juga meluangkan masa untuk membuat perenungan. (Luk. 2:19, 51) Oleh sebab Maria mempunyai hubungan yang baik dengan Yehuwa, dia menjadi seorang isteri yang sangat baik. Ramai isteri hari ini berusaha mengikut teladan Maria. Seorang saudari yang bernama Emiko berkata, “Semasa bujang, saya mempunyai rutin rohani sendiri. Tetapi selepas berkahwin, suami saya pula yang mengucapkan doa bagi kami dan mengambil pimpinan dalam hal ibadat. Oleh itu, secara beransur-ansur, saya mula bergantung padanya untuk membina iman saya. Namun saya sedar bahawa sayalah yang bertanggungjawab untuk menjaga hubungan saya dengan Yehuwa. Jadi sekarang, saya menetapkan masa untuk berdoa, membaca Bible, dan membuat perenungan.” (Gal. 6:5) Isteri sekalian, jika anda terus menguatkan persahabatan anda dengan Yehuwa, suami anda akan mempunyai lebih banyak sebab untuk memuji dan mengasihi anda.​—Ams. 31:30.

7. Apakah yang dapat dipelajari oleh suami isteri daripada Yusuf dan Maria?

7 Yusuf dan Maria juga bekerjasama untuk terus menguatkan hubungan mereka dengan Yehuwa. Mereka sedar betapa pentingnya menyembah Yehuwa sebagai satu keluarga. (Luk. 2:22-24, 41; 4:16) Hal itu mungkin mencabar, terutamanya semasa bilangan anak mereka bertambah, tetapi mereka masih mengutamakan ibadat kepada Yehuwa. Teladan yang sungguh baik bagi suami isteri hari ini! Jika anda juga mempunyai anak, anda mungkin berasa susah untuk membawa seluruh keluarga anda menghadiri perjumpaan atau mengadakan penyembahan keluarga secara tetap. Anda mungkin berasa lebih susah lagi untuk membuat pembelajaran atau berdoa bersama pasangan anda. Namun, ingatlah bahawa apabila anda menyembah Yehuwa bersama pasangan anda, anda akan lebih menghampiri-Nya dan satu sama lain. Maka utamakanlah ibadat anda kepada Yehuwa.

8. Jika hubungan sepasang suami isteri sudah renggang, apakah yang dapat mereka lakukan untuk meraih lebih banyak manfaat daripada penyembahan keluarga?

8 Bagaimana pula jika hubungan anda dengan pasangan anda sudah renggang, dan anda tidak mahu mengadakan penyembahan keluarga bersama-sama? Jika demikian, cubalah mengadakan sesi penyembahan keluarga yang singkat terlebih dahulu, dan bincanglah bahan yang anda berdua nikmati. Hal ini dapat mengeratkan hubungan anda berdua dan menguatkan keinginan anda untuk menyembah Yehuwa bersama-sama.

LUANGKAN MASA BERSAMA-SAMA

9. Mengapakah suami isteri mesti meluangkan masa bersama-sama?

9 Para suami isteri, jika anda meluangkan masa bersama-sama, cinta antara anda berdua akan tetap membara, kerana anda akan lebih peka terhadap fikiran dan perasaan satu sama lain. (Kej. 2:24) Perhatikan pengalaman Lilia dan Ruslan, yang sudah berkahwin lebih daripada 15 tahun. Lilia berkata, “Tidak lama selepas berkahwin, kami mendapati bahawa kami tidak dapat meluangkan begitu banyak masa bersama-sama seperti yang diharapkan. Kami sibuk bekerja, mengurus hal-hal di rumah, dan menjaga anak. Kami sedar bahawa jika kami tidak meluangkan masa bersama-sama, cinta kami mungkin akan pudar.”

10. Bagaimanakah suami isteri dapat menerapkan nasihat di Efesus 5:15, 16?

10 Apakah yang dapat dilakukan suami isteri supaya dapat meluangkan masa bersama-sama? Tetapkanlah masa, atau buatlah rancangan, supaya anda mempunyai masa untuk satu sama lain. (Baca Efesus 5:15, 16.) Seorang saudara dari Nigeria yang bernama Uzondu berkata, “Dalam jadual aktiviti saya, saya juga masukkan bila saya akan meluangkan masa bersama isteri saya, dan saya menjadikannya hal yang penting.” (Flp. 1:10) Perhatikan bagaimana Anastasia, isteri kepada seorang penyelia litar di Moldova, menggunakan masanya dengan bijak. Dia berkata, “Apabila suami saya sibuk dengan tanggungjawabnya, masa itulah saya akan buat hal peribadi saya. Dengan itu, apabila suami saya sudah senang, kami dapat meluangkan masa bersama-sama.” Namun, bagaimana pula jika jadual anda tidak mengizinkan anda berdua untuk meluangkan masa bersama-sama?

Apakah aktiviti yang dapat anda lakukan bersama pasangan anda? (Lihat perenggan 11-12)

11. Apakah aktiviti yang dilakukan oleh Akwila dan Priskila bersama-sama?

11 Pasangan yang sudah berkahwin dapat belajar daripada teladan Akwila dan Priskila. Mereka sangat disukai oleh ramai orang Kristian abad pertama. (Rm. 16:3, 4) Walaupun Bible tidak memberitahu kita banyak butiran tentang perkahwinan mereka, kita tahu bahawa mereka bekerja, menginjil, dan membantu orang lain bersama-sama. (Kis. 18:2, 3, 24-26) Sebenarnya dalam Bible, Akwila dan Priskila selalu disebut bersama-sama.

12. Apakah yang dapat dilakukan oleh suami dan isteri supaya dapat meluangkan lebih banyak masa bersama-sama? (Lihat juga gambar.)

12 Bagaimanakah suami isteri dapat meniru teladan Akwila dan Priskila? Fikirkan hal-hal yang perlu anda dan pasangan anda lakukan. Dapatkah anda melakukan sesetengah hal itu bersama-sama dan bukannya secara berasingan? Contohnya, Akwila dan Priskila menginjil bersama-sama. Adakah anda sering merancang untuk berbuat demikian? Akwila dan Priskila juga bekerja bersama-sama. Biarpun pekerjaan anda dan pasangan anda berbeza, dapatkah anda melakukan kerja di rumah bersama-sama? (Pkh. 4:9) Apabila anda membantu satu sama lain melakukan sesuatu, semangat kerjasama anda berdua akan bertambah baik, dan anda berpeluang untuk bersembang. Robert dan Linda sudah berkahwin untuk lebih daripada 50 tahun. Robert berkata, “Sebenarnya, kami tidak ada banyak masa untuk berekreasi bersama. Tetapi semasa saya cuci pinggan, isteri saya akan lap pinggan, dan semasa saya cabut lalang, dia akan bantu saya. Masa itu, saya sangat gembira. Bila kami melakukan aktiviti bersama-sama, kami lebih bersatu, dan cinta kami bertambah dalam.”

13. Apakah yang perlu dilakukan oleh suami dan isteri agar hubungan mereka semakin rapat?

13 Namun, ingatlah bahawa hubungan suami dan isteri tidak akan menjadi rapat hanya kerana mereka tinggal bersama-sama. Seorang isteri di Brazil berkata, “Kerana hidup sekarang begitu sibuk, kita mungkin fikir bahawa tinggal di bawah bumbung yang sama bermaksud kita sudah meluangkan masa bersama-sama. Tetapi itu tidak cukup. Saya juga perlu memberi suami saya perhatian yang secukupnya.” Perhatikan apa yang dilakukan oleh Bruno dan isterinya Tays untuk memberikan perhatian kepada satu sama lain. Bruno berkata, “Kami akan simpan fon kami dan menikmati masa bersama-sama.”

14. Jika suami isteri tidak suka meluangkan masa bersama-sama, apakah yang dapat dilakukan oleh mereka?

14 Jika anda dan pasangan anda mempunyai minat yang berbeza atau berasa jengkel terhadap satu sama lain, anda mungkin tidak suka meluangkan masa bersama-sama. Jadi apakah yang dapat anda lakukan? Fikirkan contoh unggun api yang disebut sebelum ini. Pada mulanya api itu mungkin kecil. Tetapi api itu akan menjadi marak jika anda beransur-ansur menambahkan kayu api yang lebih besar. Begitu juga, cubalah meluangkan sedikit masa bersama-sama setiap hari. Lakukanlah hal-hal yang anda berdua suka, bukannya aktiviti yang akan membuat anda bergaduh. (Yak. 3:18) Dengan berbuat demikian, secara beransur-ansur, api cinta anda mungkin marak semula.

HORMATI SATU SAMA LAIN

15. Mengapakah hormat penting dalam sebuah perkahwinan?

15 Suami isteri perlu menghormati satu sama lain. Hormat adalah seperti oksigen. Tanpa oksigen, nyala unggun api akan padam. Begitu juga, tanpa hormat, cinta antara suami isteri akan mendingin. Sebaliknya, jika suami isteri menghormati satu sama lain, cinta mereka akan terus membara. Namun ingatlah, sekadar berfikir bahawa anda sudah menghormati pasangan anda tidak cukup. Anda harus mengambil kira sama ada pasangan anda rasa dihormati. Aret dan Penny sudah berkahwin untuk lebih daripada 25 tahun. Penny berkata, “Oleh sebab kami saling menghormati, suasana di rumah kami penuh dengan kasih sayang. Kami dapat meluahkan pandangan dengan bebas kerana kami tahu kami menghormati pandangan satu sama lain.” Jadi, apakah yang dapat anda lakukan supaya pasangan anda berasa dihormati? Perhatikan contoh Abraham dan Sara.

Apabila seorang suami mendengar luahan isterinya dengan teliti, dia menunjukkan bahawa dia menghormati perasaan isterinya (Lihat perenggan 16)

16. Bagaimanakah para suami dapat meniru teladan Abraham? (1 Petrus 3:7) (Lihat juga gambar.)

16 Perhatikan bagaimana Abraham menghormati Sara. Dia mengambil kira pandangan dan perasaan Sara. Pernah sekali, Sara sangat geram dan tertekan. Dia meluahkan perasaannya kepada Abraham dan bahkan menyalahkannya. Adakah Abraham membalasnya dengan kata-kata pedas? Tidak. Dia tahu bahawa Sara seorang isteri yang taat, yang sentiasa menyokong keputusannya. Maka Abraham mendengar luahannya dan cuba menyelesaikan masalah yang timbul. (Kej. 16:5, 6) Para suami, bagaimanakah anda dapat meniru teladan Abraham? Sebagai ketua keluarga, anda bertanggungjawab membuat keputusan bagi keluarga anda. (1 Kor. 11:3) Namun, jika anda mengasihi isteri anda, pertimbangkanlah pendapatnya sebelum membuat keputusan, terutamanya jika keputusan itu akan mempengaruhinya. (1 Kor. 13:4, 5) Ada kalanya, isteri anda mungkin berasa stres dan perlu meluahkan perasaannya. Adakah anda menghormatinya dan mendengar dengan penuh perhatian? (Baca 1 Petrus 3:7.) Dmitry dan Angela sudah berkahwin untuk hampir 30 tahun. Angela menjelaskan bagaimana suaminya membuatnya berasa dihormati: “Dmitry selalu sedia mendengar semasa saya marah atau semasa saya mahu bercakap. Dia sangat sabar, bahkan semasa saya bercakap secara melulu.”

17. Apakah yang dapat para isteri belajar daripada teladan Sara? (1 Petrus 3:5, 6)

17 Sara menghormati Abraham dengan menyokong keputusannya. (Kej. 12:5) Pernah sekali, Abraham ingin melayan tetamu yang tiba-tiba datang. Jadi dia meminta Sara menghentikan kerjanya dan menyediakan banyak roti. (Kej. 18:6) Sara segera bertindak untuk menyokong keputusan Abraham. Para isteri, anda dapat meniru teladan Sara dengan menyokong keputusan suami anda. Dengan berbuat demikian, anda sedang mengukuhkan perkahwinan anda. (Baca 1 Petrus 3:5, 6.) Dmitry, yang disebut tadi, menjelaskan bagaimana isterinya membuatnya berasa dihormati. Dia berkata, “Saya hargai usaha Angela untuk menyokong keputusan saya, biarpun kami tidak sependapat. Jika keputusan saya tidak membawa hasil yang diingini, dia tidak mengkritik saya.” Jika pasangan anda membuat anda berasa dihormati, anda tentu rasa lebih mudah untuk mengasihinya!

18. Apakah manfaat yang diraih oleh suami isteri jika cinta mereka tidak pudar?

18 Hari ini, Syaitan tidak mahu suami isteri mencintai satu sama lain. Dia tahu jika mereka tidak saling mengasihi, hal itu akan menjejaskan hubungan mereka dengan Yehuwa. Namun ingatlah, nyala api cinta sejati tidak dapat dipadamkan! Suami isteri sekalian, anda dapat terus menikmati cinta yang digambarkan dalam buku Kidung Agung. Jadi, utamakanlah Yehuwa dalam perkahwinan anda, luangkanlah masa untuk satu sama lain, dan pertimbangkanlah perasaan dan keperluan pasangan anda. Dengan berbuat demikian, anda akan memuliakan Sumber cinta sejati, iaitu Tuhan Yehuwa, dan seperti api yang dijaga dengan baik, cinta anda akan membara buat selama-lamanya.

LAGU 132 Kini Kita Sudah Bersatu

a Perkahwinan ialah kurniaan Yehuwa kepada manusia. Dalam aturan ini, suami dan isteri dapat menunjukkan cinta yang mendalam kepada satu sama lain. Namun ada kalanya, cinta itu mungkin mendingin. Jika anda sudah berkahwin, rencana ini akan membantu anda memastikan cinta antara anda dan pasangan anda tetap membara, supaya perkahwinan anda tetap bahagia.

b Cinta sejati dipanggil “nyala api Yah” kerana Yehuwa ialah Pengasas cinta sejati. Cinta ini berkekalan dan tidak berubah-ubah.

c Biarpun anda mempunyai pasangan yang tidak seiman, cadangan-cadangan ini dapat membantu menguatkan perkahwinan anda.​—1 Kor. 7:12-14; 1 Ptr. 3:1, 2.

d Sebagai contoh, lihat nasihat baik yang terdapat dalam siri rencana “Bantuan untuk Keluarga,” yang terdapat di jw.org dan aplikasi JW Library®.