Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Dipanggil Keluar daripada Kegelapan

Dipanggil Keluar daripada Kegelapan

“[Yehuwa] yang telah memanggil kamu keluar daripada kegelapan untuk masuk ke dalam cahaya-Nya yang menakjubkan.”​—1 PTR. 2:9.

LAGU: 116, 102

1. Jelaskan peristiwa yang berlaku semasa pembinasaan Yerusalem.

PADA tahun 607 SM, tentera Babilon yang di bawah arahan Raja Nebukadnezar II menyerang kota Yerusalem. Mengenai pertempuran ini, Bible berkata, ‘Raja [Nebukadnezar] membunuh kaum belia Yehuda, bahkan orang yang berada di dalam Rumah Tuhan. Raja itu tidak mengasihani sesiapa pun, muda atau tua, lelaki atau perempuan, orang sakit ataupun orang sihat. Raja itu merobohkan tembok kota Yerusalem dan membakar kota itu, termasuk Rumah Tuhan dan semua istana, bersama-sama barang-barang berharga di dalam istana.’​—2 Taw. 36:17, 19.

2. Apakah amaran yang diberikan oleh Yehuwa mengenai pembinasaan Yerusalem? Apakah yang berlaku kepada orang Yahudi?

2 Pembinasaan Yerusalem tidak harus memeranjatkan orang di sana. Selama bertahun-tahun, nabi Tuhan telah memberikan amaran kepada orang Yahudi bahawa jika mereka tetap melanggar Hukum Tuhan, mereka akan diserang oleh tentera Babilon. Banyak orang Yahudi terkorban dalam pertempuran itu. Mereka yang selamat pula terpaksa hidup di Babilon sebagai tawanan. (Yer. 15:2) Bagaimanakah keadaan hidup mereka sebagai tawanan? Adakah orang Kristian pada kemudian hari juga mengalami perkara yang serupa? Jika ya, bilakah hal itu berlaku?

HIDUP SEBAGAI TAWANAN

3. Mengapakah penawanan orang Israel di Babilon berbeza daripada perhambaan mereka di Mesir?

3 Nubuat para nabi menjadi kenyataan. Menerusi nabi Yeremia, Yehuwa memberitahu mereka yang bakal menjadi tawanan untuk cuba membiasakan diri dengan kehidupan baharu dan hidup sebaik-baiknya. Dia berkata, “Menetaplah di [Babilon]. Dirikanlah rumah kamu. Bukalah ladang dan nikmatilah hasilnya. Bekerjalah untuk kemakmuran kota tempat Aku membuang kamu. Berdoalah kepada-Ku untuk kepentingan kota itu, kerana jika kota itu makmur, kamu pun akan makmur.” (Yer. 29:5, 7) Mereka yang hidup menurut cara yang dinasihati Tuhan dapat menjalankan kehidupan seperti biasa walaupun menjadi tawanan. Orang Babilon membenarkan orang Yahudi untuk mengendalikan hal ehwal sendiri dan membuat perjalanan ke mana sahaja dalam negara itu. Babilon merupakan pusat perdagangan dan perniagaan pada masa kuno. Dokumen-dokumen yang telah digali menunjukkan bahawa orang Yahudi telah belajar untuk jual beli, serta ada yang mahir bertukang. Beberapa orang Yahudi juga telah menjadi kaya-raya. Penawanan mereka di Babilon tidaklah seperti perhambaan mereka di Mesir berabad-abad dahulu.​—Baca Keluaran 2:23-25.

4. Selain daripada orang Israel yang memberontak, siapakah lagi yang menjadi tawanan di Babilon? Mengapakah mereka tidak dapat menyembah Yehuwa dengan sepenuhnya?

4 Walaupun keperluan fizikal mereka dipenuhi, bagaimana pula dengan keperluan rohani? Rumah Tuhan serta mazbah telah dimusnahkan, dan aturan imam tidak lagi berfungsi secara teratur. Ada di antara orang Israel yang tidak berbuat salah, tetapi mereka terpaksa menjadi tawanan. Namun mereka tetap berusaha untuk mentaati Hukum Tuhan. Contohnya, Daniel dan tiga sahabatnya iaitu Sadrakh, Mesakh, dan Abednego enggan menerima makanan yang haram dari sudut pandangan orang Yahudi. Selain itu, Daniel berkomunikasi secara tetap dengan Tuhan Yehuwa. (Dan. 1:8; 6:11) Namun di bawah pemerintahan orang kafir, orang Yahudi yang setia tidak dapat mengikut setiap tuntutan dalam Hukum Tuhan.

5. Apakah harapan yang diberikan Yehuwa kepada umat-Nya, dan mengapakah harapan ini menakjubkan?

5 Dapatkah orang Israel sekali lagi menyembah Yehuwa dengan sepenuhnya? Pada masa itu, mereka seolah-olah tidak dapat berbuat demikian kerana orang Babilon tidak pernah melepaskan tawanan. Namun, orang Babilon tidak mengambil kira kuasa Tuhan Yehuwa. Yehuwa telah berjanji bahawa umat-Nya akan dibebaskan, dan itulah yang berlaku! Janji Tuhan tidak pernah gagal.​—Yes. 55:11.

ADAKAH PERISTIWA SERUPA BERLAKU KEPADA ORANG KRISTIAN?

6, 7. Mengapakah kita perlu mengkaji semula pemahaman mengenai penawanan Babilon pada zaman moden?

6 Adakah orang Kristian pernah mengalami hal yang serupa seperti orang Israel yang ditawan oleh Babilon? Selama bertahun-tahun, majalah Menara Pengawal menyatakan bahawa umat Tuhan pada zaman moden menjadi tawanan Babilon pada tahun 1918 dan dibebaskan pada tahun 1919. Namun, kita akan mengkaji semula topik ini dalam rencana ini dan yang seterusnya.

7 Fikirkan hal ini: Babilon Besar merupakan empayar agama palsu sedunia. Maka, jika umat Tuhan menjadi tawanan kepada Babilon pada tahun 1918, hal itu bermaksud bahawa umat Tuhan telah ditawan oleh agama palsu pada sekitar masa itu. Namun, fakta menunjukkan bahawa berpuluh-puluh tahun sebelum Perang Dunia Pertama, umat Tuhan yang diurapi sebenarnya sedang melepaskan diri daripada Babilon Besar. Semasa Perang Dunia Pertama, orang Kristian memang ditentang. Tetapi, hal itu disebabkan oleh kerajaan manusia dan bukannya oleh Babilon Besar. Maka, umat Yehuwa nampaknya tidak ditawan oleh Babilon Besar pada tahun 1918.

DITAWAN BABILON​—BILA?

8. Jelaskan bagaimana orang Kristian sejati dicemari oleh ajaran palsu. (Lihat gambar pada permulaan rencana.)

8 Pada Pentakosta 33 M, ribuan orang Yahudi dan pemeluk agama Yahudi diurapi dengan daya aktif. Orang Kristian baharu ini menjadi “bangsa yang terpilih, imam-imam yang berkhidmat sebagai raja, bangsa yang suci, dan umat yang dijadikan milik Tuhan.” (Baca 1 Petrus 2:9, 10.) Para rasul menjaga sidang-sidang umat Tuhan semasa mereka masih hidup. Namun, selepas kematian rasul yang terakhir, terdapat orang yang “memutarbelitkan kebenaran untuk menyesatkan murid-murid Yesus agar mengikut mereka.” (Kis. 20:30; 2 Tes. 2:6-8) Kebanyakan orang ini mempunyai tanggungjawab dalam sidang dan berkhidmat sebagai penyelia, tetapi mereka kemudiannya menggelar diri sebagai “uskup.” Oleh itu, golongan pemimpin gereja telah dibentuk walaupun Yesus memberitahu para pengikutnya, “Kamu semua bersaudara.” (Mat. 23:8) Orang kenamaan ini tertawan dengan falsafah Aristotle dan Plato lalu beransur-ansur menggantikan ajaran benar dalam Firman Tuhan dengan ajaran agama palsu.

9. Jelaskan bagaimana agama Kristian yang murtad mendapat sokongan daripada Empayar Roma, dan apakah hasilnya?

9 Pada tahun 313 M, agama Kristian yang murtad ini diiktiraf oleh Maharaja Konstantin yang kafir. Sejak itu, gereja dan kerajaan Roma bekerja rapat bersama. Contohnya, selepas Majlis Nicaea, Konstantin mengarahkan agar paderi yang bernama Arius dibuang negeri kerana enggan mengakui bahawa Yesus ialah Tuhan. Kemudian di bawah pemerintahan Maharaja Theodosius I (379-395 M), Gereja Katolik menjadi agama rasmi Empayar Roma. Para sejarawan mengatakan bahawa Empayar Roma yang kafir memeluk agama “Kristian” semasa zaman Maharaja Theodosius I. Sebenarnya pada masa itu, agama Kristian yang murtad sudah pun dicemari oleh ajaran kafir lalu menjadi sebahagian daripada Babilon Besar. Walaupun demikian, masih terdapat sekumpulan kecil orang Kristian terurap yang bagaikan gandum. Mereka berusaha untuk menyembah Tuhan, tetapi jarang ada orang yang mendengarkan mereka. (Baca Matius 13:24, 25, 37-39.) Oleh itu, mereka seperti ditawan oleh Babilon!

10. Mengapakah orang mula mempersoalkan ajaran gereja?

10 Selama ratusan tahun selepas kematian Kristus, banyak orang dapat membaca Bible dalam bahasa Yunani atau bahasa Latin. Maka, mereka dapat membandingkan ajaran Firman Tuhan dengan ajaran gereja. Oleh sebab mereka memahami Bible, sesetengah daripada mereka menolak ajaran gereja yang tidak berdasarkan Bible. Namun, jika mereka mengutarakan pandangan mereka, nyawa mereka terancam.

11. Bagaimanakah Bible dikawal oleh pemimpin gereja?

11 Seraya masa berlalu, tidak banyak orang dapat bertutur dalam bahasa Yunani dan Latin. Gereja tidak membenarkan Bible diterjemahkan ke dalam bahasa seharian. Akibatnya, hanya pemimpin gereja dan sesetengah orang yang berpendidikan dapat membaca Bible. Walaupun begitu, bukan semua pemimpin gereja mahir menulis dan membaca. Selain itu, sesiapa yang tidak setuju dengan ajaran gereja akan dihukum dengan teruk. Orang Kristian yang terurap terpaksa bertemu dalam kumpulan yang kecil, namun ada yang langsung tidak dapat berkumpul bersama. Seperti orang Israel yang menjadi tawanan di Babilon, orang Kristian terurap ini yang merupakan “imam-imam yang berkhidmat sebagai raja” tidak dapat berfungsi secara teratur. Mereka dikawal rapi oleh Babilon Besar!

CAHAYA MULA BERSINAR

12, 13. Apakah dua faktor yang menyebabkan agama benar dibebaskan daripada cengkaman agama palsu? Jelaskan.

12 Dapatkah orang Kristian sejati menyembah Yehuwa dengan sepenuhnya dan secara terbuka sekali lagi? Ya! Kerlipan cahaya rohani mula menyinari kegelapan kerana dua faktor. Yang pertama ialah penciptaan mesin cetak pada sekitar tahun 1450. Sebelum mesin cetak digunakan di negara Barat, Bible telah disalin dengan menggunakan tangan. Oleh itu, Bible sangat mahal dan susah didapati. Nampaknya, seorang penyalin Bible yang mahir memerlukan 10 bulan untuk menghasilkan hanya satu salinan Bible! Selain itu, bahan yang digunakan (velum atau kertas kulit) sangat mahal. Sebaliknya, menggunakan mesin cetak dan kertas adalah jauh lebih praktikal. Dalam masa sehari, sebanyak 1,300 muka surat dapat dihasilkan!

Penciptaan mesin cetak dan penterjemah yang berani menyebabkan agama benar dibebaskan daripada cengkaman agama palsu (Lihat perenggan 12, 13)

13 Faktor yang kedua ialah sekitar tahun 1500 apabila beberapa lelaki yang berani menterjemahkan Firman Tuhan ke dalam bahasa yang biasa dituturkan oleh orang ramai. Ramai penterjemah ini membahayakan nyawa mereka untuk melakukan kerja ini. Pihak gereja berada dalam ketakutan. Mereka gementar kerana Bible yang berada dalam tangan orang ramai boleh dijadikan sebagai senjata untuk menentang gereja. Apabila Bible semakin mudah didapati, orang mula membacanya. Maka mereka mula menanya soalan seperti: “Di manakah tertulis dalam Firman Tuhan mengenai api penyucian? mengenai pembayaran untuk doa bagi pihak orang yang sudah mati? mengenai paus dan kardinal?” Hal ini menimbulkan kemarahan pihak gereja kerana orang mula mempersoalkan ajaran mereka. Sebenarnya, ajaran gereja adalah berdasarkan ajaran kafir oleh Aristotle dan Plato yang hidup sebelum zaman Yesus. Jadi, pihak gereja membalas orang yang menolak ajaran gereja dengan menjatuhkan hukuman mati ke atas mereka! Pihak kerajaan pula yang menjalankan hukuman itu. Tujuannya adalah untuk menghentikan orang daripada membaca Bible dan mempersoalkan ajaran gereja. Muslihat ini nampaknya berjaya. Namun beberapa insan yang penuh keberanian enggan tunduk kepada Babilon Besar. Mereka telah merasai kebenaran Firman Tuhan dan mendahagakannya! Oleh itu, agama benar dibebaskan daripada cengkaman agama palsu tidak lama kemudian.

14. (a) Apakah yang menyebabkan kebenaran Bible terserlah pada tahun 1870? (b) Ceritakan cara Saudara Russell mencari kebenaran Bible.

14 Banyak orang yang mendahagakan kebenaran Bible melarikan diri ke tempat di mana pengaruh gereja tidak kuat. Mereka ingin membaca, mempelajari, dan membincangkan Bible dengan orang lain tanpa dipengaruhi gereja. Salah satu tempat yang sesuai ialah Amerika Syarikat di mana Charles Taze Russell dan beberapa orang rakannya mempelajari Bible secara teratur pada tahun 1870. Pada mulanya, Saudara Russell ingin mengetahui agama mana yang mengajarkan kebenaran. Dia telah membandingkan kata-kata Bible dengan ajaran banyak agama termasuk agama yang bukan Kristian. Dia sedar bahawa tiada satu agama pun yang mengajarkan kebenaran Firman Tuhan. Pada suatu ketika, Saudara Russell berjumpa dengan pemimpin gereja. Russell berharap bahawa mereka dapat mengajar ahli gereja kebenaran Bible yang dijumpai oleh Russell dan rakan-rakannya. Namun, pemimpin gereja tidak berminat. Pelajar Bible akhirnya berdepan dengan hakikatnya: Mereka tidak boleh bergabung dengan mana-mana gereja yang ingin berpaut kepada ajaran palsu.​—Baca 2 Korintus 6:14.

15. (a) Bilakah orang Kristian berada dalam cengkaman Babilon Besar? (b) Apakah soalan-soalan yang akan dijawab dalam rencana seterusnya?

15 Kita sudah mempelajari bahawa agama Kristian sejati menjadi tawanan Babilon Besar sejurus selepas kematian rasul yang terakhir. Namun, terdapat beberapa lagi soalan yang belum terjawab: Bagaimanakah kita tahu bahawa orang Kristian terurap sedang melepaskan diri daripada cengkaman Babilon Besar sebelum tahun 1914? Adakah Yehuwa tidak memperkenankan penyembah-Nya kerana mereka kurang aktif dalam kerja penyebaran semasa Perang Dunia Pertama? Pada masa itu, adakah saudara saudari yang mengkompromikan keneutralan Kristian mereka hilang perkenan Yehuwa? Jika orang Kristian ditawan oleh agama palsu selepas kematian para rasul, bilakah mereka dibebaskan? Rencana seterusnya akan menjawab soalan-soalan tersebut.