Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Kata yang Penuh dengan Makna!

Kata yang Penuh dengan Makna!

“PUAN.” Itulah cara Yesus memanggil sesetengah wanita. Contohnya, apabila Maria Magdalena menangis di kuburan, Yesus menanya, “Puan, mengapa menangis?” (Yoh. 20:15, ABB) Yesus juga menggunakan kata panggilan ini bagi ibu sendiri. Pada zaman Bible, kata panggilan ini menunjukkan kesopanan. (Yoh. 19:26; 20:13, ABB) Tetapi terdapat satu lagi kata panggilan yang penuh dengan makna!

Bible menggunakan kata yang lembut dan sopan semasa merujuk kepada wanita tertentu. Yesus menggunakan kata sedemikian semasa bercakap dengan seorang wanita yang menderita masalah pendarahan selama 12 tahun. Oleh sebab dia dalam keadaan najis, dia telah melanggar Hukum Tuhan apabila menghampiri Yesus. Dia sepatutnya mengasingkan diri daripada orang lain. (Im. 15:19-27) Tetapi wanita ini terdesak. Sebenarnya, “dia sudah banyak menderita semasa dirawat oleh banyak doktor dan telah menghabiskan semua wangnya. Namun begitu dia tidak sembuh, malah keadaannya bertambah parah.”​—Mrk. 5:25, 26.

Wanita itu berjalan di antara orang ramai dan menghampiri Yesus dari belakang secara senyap lalu menyentuh hujung jubah luar Yesus. Dengan serta-merta, pendarahannya berhenti! Wanita itu berharap bahawa orang tidak sedar akan tindakannya. Namun Yesus menanya, “Siapakah yang menyentuh aku?” (Luk. 8:45-47) Wanita itu takut dan gementar lalu bersujud di depan Yesus dan “memberitahunya segala-gala yang berlaku.”​—Mrk. 5:33.

Untuk menenangkan wanita itu, Yesus dengan baik hati berkata, “Teguhkanlah hatimu, hai anakku!” (Mat. 9:22) Menurut pakar Bible, perkataan Ibrani dan Yunani bagi “anakku” boleh digunakan sebagai metafora untuk mengungkapkan “kebaikan hati dan kelemahlembutan.” Yesus terus meyakinkannya dengan berkata, “Kamu sembuh kerana kamu beriman. Pergilah dengan damai dan sembuhlah daripada penyakitmu yang teruk itu.”​—Mrk. 5:34.

“Anakku.” Itulah kata panggilan yang digunakan Boaz, seorang lelaki Israel yang kaya, semasa bercakap dengan Rut yang berbangsa Moab. Rut berasa gelisah kerana mengumpulkan sisa tuaian di ladang orang yang tidak dikenalinya. Boaz memanggil Rut “Anakku,” dan menggalakkannya untuk terus mengumpulkan sisa tuaian di ladangnya. Maka Rut bersujud di depan Boaz dan menanya mengapa Boaz begitu baik hati kepada wanita asing. Boaz menjawab, “Aku telah mendengar segala sesuatu yang kamu lakukan untuk ibu mentuamu [Naomi] . . . Semoga Yehuwa memberkatimu sesuai dengan segala perbuatanmu.”​—Rut 2:8-12, NW.

Teladan Yesus dan Boaz boleh dicontohi penatua hari ini! Ada kalanya, dua orang penatua perlu memberikan nasihat Bible atau galakan kepada seorang saudari. Selepas berdoa memohon bimbingan Yehuwa dan mendengar saudari itu dengan teliti, para penatua boleh memberikannya keyakinan dan kelegaan daripada Bible.​—Rm. 15:4.