Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

“Pekerjaan Ini Sangat Besar”

“Pekerjaan Ini Sangat Besar”

TIBALAH masanya untuk pertemuan penting di Yerusalem. Raja Daud telah menghimpunkan semua ketua, pembesar istana, dan panglima. Mereka sangat teruja mendengar pengumuman yang istimewa. Yehuwa telah menugaskan anak lelaki Daud, iaitu Salomo, untuk membina sebuah bangunan yang khas digunakan untuk ibadat Tuhan yang benar. Yehuwa telah menyingkapkan kepada Raja Daud pelan pembinaan bangunan itu. Kemudian, Daud memberikan pelan itu kepada Salomo. Daud berkata, ‘Pekerjaan ini sangat besar. Lagipun yang akan dibina bukan istana untuk manusia, melainkan rumah untuk Tuhan Yehuwa.’​—1 Taw. 28:1, 2, 6, 11, 12; 29:1.

Kemudian, Daud menanya, ‘Sekarang siapakah mahu memberikan persembahan kepada Yehuwa dengan senang hati?’ (1 Taw. 29:4, 5) Jika anda berada di sana pada masa itu, apakah reaksi anda? Adakah anda akan terdorong untuk menyokong pekerjaan yang besar itu? Orang Israel terus bertindak lalu ‘memberikan sumbangan kepada Yehuwa dengan ikhlas dan rela hati. Mereka bersukacita kerana banyak pemberian telah disumbangkan.’​—1 Taw. 29:9.

Berabad-abad kemudian, Yehuwa telah mengasaskan sesuatu yang lebih agung daripada Rumah Tuhan. Dia telah mengasaskan Rumah Rohani Tuhan, iaitu aturan Yehuwa yang membolehkan umat manusia untuk menyembah-Nya kerana korban tebusan Yesus. (Ibr. 9:11, 12) Bagaimanakah Yehuwa membantu manusia untuk memulihkan hubungan mereka dengan-Nya? Melalui kerja penyebaran. (Mat. 28:19, 20) Hasilnya, jutaan pembelajaran Bible diadakan, ribuan orang dibaptis, dan ratusan sidang baharu dibentuk setiap tahun.

Oleh sebab perkembangan pesat yang berlaku, kita perlu mencetak lebih banyak bahan bacaan Bible, membina dan menyelenggarakan Dewan Perjumpaan, dan memperoleh tapak perhimpunan serta konvensyen. Tidakkah anda setuju bahawa kerja mengkhabarkan berita baik ini sangat besar dan mendatangkan kepuasan?​—Mat. 24:14.

Kasih kepada Tuhan dan orang lain serta kepentingan kerja penyebaran mendorong umat Tuhan untuk memberikan sumbangan “dengan senang hati.” Kita ‘menghormati Yehuwa dengan memberi Dia persembahan daripada harta benda.’ Kita sangat gembira kerana sumbangan itu digunakan dengan baik dan bijak untuk melaksanakan pekerjaan yang terbesar dalam sejarah manusia!​—Ams. 3:9.