Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Adakah Anda Berlindung kepada Yehuwa?

Adakah Anda Berlindung kepada Yehuwa?

‘Yehuwa akan menyelamatkan umat-Nya, mereka yang berlindung kepada-Nya akan diselamatkan.’—MZM. 34:23.

LAGU: 8, 54

1. Disebabkan dosa, apakah perasaan ramai hamba Tuhan?

“ALANGKAH malangnya aku ini!” (Rm. 7:24) Itulah luahan Rasul Paulus yang turut dirasai ramai hamba Tuhan. Oleh sebab kita mewarisi dosa, perbuatan kita sering bercanggah dengan keinginan kita untuk menyenangkan hati Yehuwa. Hal itu membuat kita bersedih. Ada orang Kristian yang pernah melakukan dosa serius bahkan berasa bahawa Tuhan tidak mungkin mengampuni mereka.

2. (a) Bagaimanakah Mazmur 34:23 menunjukkan bahawa hamba-hamba Tuhan tidak perlu ditenggelami rasa bersalah? (b) Apakah yang akan dibincangkan dalam rencana ini? (Lihat kotak “ Pengajaran atau Lambang?”)

2 Namun, Bible meyakinkan kita bahawa orang yang berlindung kepada Yehuwa akan diselamatkan dan tidak perlu ditenggelami rasa bersalah. (Baca Mazmur 34:23.) Apakah maksud berlindung kepada Yehuwa? Apakah langkah-langkah yang perlu diambil untuk menerima belas kasihan dan pengampunan Yehuwa? Kita akan mengetahui jawapannya dengan membincangkan aturan kota perlindungan zaman Israel kuno. Meskipun aturan itu sebahagian daripada Hukum Musa yang telah digantikan semasa Pentakosta 33 M, ingatlah bahawa Hukum itu diberikan oleh Yehuwa. Maka melalui aturan kota perlindungan, kita akan mempelajari pandangan Yehuwa terhadap dosa, pendosa, dan pertaubatan. Sekarang, mari kita belajar tentang tujuan dan fungsi kota perlindungan.

“PILIHLAH KOTA-KOTA PERLINDUNGAN”

3. Apakah yang akan dilakukan oleh orang Israel terhadap seseorang yang sengaja membunuh?

3 Semua kes pembunuhan dipandang serius oleh Yehuwa. Jika orang Israel sengaja membunuh seseorang, saudara terdekat si mati “bertanggungjawab untuk melaksanakan hukuman mati” terhadapnya. (Bil. 35:19) Dengan demikian, nyawa orang yang tidak bersalah itu akan ditebus dengan nyawa si pembunuh. Jika pembunuh itu tidak segera dihukum, Yehuwa menyatakan bahawa perbuatannya “akan menajiskan tanah tempat tinggal” umat-Nya.​—Bil. 35:33, 34.

4. Apakah aturan yang tersedia bagi seseorang yang membunuh dengan tidak sengaja?

4 Bagaimana pula jika pembunuhan itu tidak disengajakan? Seseorang yang menumpahkan darah dengan tidak sengaja tetap bersalah atas perbuatannya. (Kej. 9:5) Namun, atas belas kasihan Yehuwa, dia diizinkan untuk melarikan diri daripada orang yang hendak menuntut pembalasan, dan berlindung di salah satu daripada enam buah kota perlindungan. Dia harus tinggal di situ sehingga imam agung meninggal.​—Bil. 35:15, 28.

5. Bagaimanakah aturan kota perlindungan membantu kita lebih memahami Yehuwa?

5 Aturan kota perlindungan tidak berasal daripada manusia. Yehuwa menyuruh Yosua memberitahu orang Israel, “Pilihlah kota-kota perlindungan.” (Yos. 20:1, 2, 7, 8) Memandangkan Yehuwalah yang mengkhususkan kota-kota itu untuk tujuan yang istimewa, bagaimanakah aturan itu membantu kita lebih memahami belas kasihan Yehuwa? Bagaimanakah aturan itu mengajar kita cara untuk berlindung kepada-Nya hari ini?

DIA HARUS “MENJELASKAN PERKARA YANG BERLAKU KEPADA PARA PEMIMPIN”

6, 7. (a) Apakah peranan para pemimpin kota semasa menghakimi seseorang yang membunuh dengan tidak sengaja? (Lihat gambar pada permulaan rencana.) (b) Mengapakah pembunuh itu patut mendapatkan bantuan para pemimpin?

6 Setelah menumpahkan darah dengan tidak sengaja, si pembunuh harus “pergi ke tempat pengadilan di pintu kota [perlindungan] dan menjelaskan perkara yang berlaku kepada para pemimpin.” Mereka harus menyambutnya dengan baik. (Yos. 20:4) Beberapa waktu kemudian, dia akan dihantar pulang ke kota tempat kejadian untuk diadili oleh para pemimpin di situ. (Baca Bilangan 35:24, 25.) Jika mereka mendapati bahawa pembunuhan itu tidak disengajakan, barulah si pembunuh akan dibawa kembali ke kota perlindungan.

7 Mengapakah para pemimpin terlibat? Mereka perlu memelihara kemurnian umat Israel dan membantu pembunuh itu memanfaatkan belas kasihan Yehuwa. Menurut seorang cendekiawan Bible, jika orang itu tidak mendapatkan bantuan para pemimpin, “dia hanya merugikan diri sendiri. . . . Dia perlu menanggung hutang darah itu, kerana dia tidak memanfaatkan perlindungan yang disediakan Tuhan.” Bantuan memang tersedia, tetapi pembunuh itu harus mencari dan menerima bantuan itu. Jika dia tidak melarikan diri ke kota perlindungan, saudara terdekat si mati berhak membunuhnya.

8, 9. Mengapakah orang Kristian yang melakukan dosa serius patut mendapatkan bantuan para penatua?

8 Hari ini, orang Kristian yang melakukan dosa serius perlu mendapatkan bantuan penatua agar mereka dapat pulih secara rohani. Mengapa? Pertama, Yehuwalah yang mengaturkan agar kes dosa yang serius ditangani oleh para penatua. (Yak. 5:14-16) Kedua, aturan ini akan membantu pendosa yang bertaubat untuk mendapat semula perkenan Tuhan dan tidak mengulangi dosa mereka. (Gal. 6:1; Ibr. 12:11) Ketiga, para penatua dilantik dan dilatih untuk menggalakkan pendosa yang bertaubat dan membantu mengurangkan kesedihan dan rasa bersalah mereka. Yehuwa menggambarkan para penatua seperti “tempat perlindungan daripada angin dan ribut.” (Yes. 32:1, 2) Tidakkah anda setuju bahawa aturan ini mencerminkan belas kasihan Tuhan?

9 Setelah meminta dan menerima bantuan para penatua, ramai hamba Tuhan berasa lega. Seorang saudara yang bernama Daniel telah melakukan dosa yang serius, tetapi selama berbulan-bulan, dia teragak-agak untuk meminta bantuan penatua. Dia mengaku, “Saya fikir penatua tidak dapat bantu saya lagi kerana sudah banyak masa berlalu. Namun, saya selalu risau dosa saya akan diketahui. Setiap kali saya berdoa, saya berasa bahawa saya harus bermula dengan meminta maaf daripada Yehuwa.” Akhirnya, Daniel berjumpa dengan para penatua. Mengenang kembali apa yang terjadi, dia berkata, “Saya memang takut, tetapi selepas itu, saya rasa seperti dibebaskan daripada beban yang berat. Sekarang saya dapat bercakap kepada Yehuwa tanpa halangan.” Kini, Daniel memiliki hati nurani yang bersih, dan baru-baru ini dia dilantik sebagai pembantu sidang.

DIA HARUS “LARI KE SALAH SATU KOTA ITU”

10. Untuk mendapat pengampunan, apakah yang harus dilakukan oleh seseorang yang membunuh dengan tidak sengaja?

10 Seseorang yang membunuh dengan tidak sengaja harus bertindak untuk menerima belas kasihan. Dia mesti lari dengan secepat mungkin ke kota perlindungan yang terdekat dan tinggal di situ agar dia tidak dibunuh. (Baca Yosua 20:4.) Maksudnya, dia perlu membuat pengorbanan. Dia perlu meninggalkan kerja, rumah, dan kebebasannya, sehingga imam agung meninggal. * (Bil. 35:25) Namun, pengorbanan itu berbaloi. Jika dia meninggalkan kota perlindungan, hal itu menunjukkan bahawa dia meremehkan pembunuhan yang dilakukannya, dan nyawanya akan terancam.

11. Bagaimanakah seorang Kristian yang bertaubat menunjukkan bahawa dia menghargai belas kasihan Tuhan?

11 Hari ini, seorang pendosa yang bertaubat juga perlu bertindak untuk menerima belas kasihan Tuhan. Dia harus meninggalkan haluan yang berdosa. Maksudnya, dia bukan sahaja perlu menjauhi dosa yang serius, tetapi melarikan diri daripada dosa kecil yang sering menjurus kepada dosa yang besar. Rasul Paulus telah menggambarkan tindakan yang diambil oleh orang Kristian di Korintus yang bertaubat. Dia menulis, ‘Kesedihan kamu yang selaras dengan kehendak Tuhan telah menghasilkan kesungguhan yang tinggi dalam diri kamu, sehingga kamu membersihkan nama kamu, marah kerana apa yang salah, takut akan Tuhan, bertaubat, dan membetulkan apa yang salah.’ (2 Kor. 7:10, 11) Usaha yang sungguh-sungguh untuk meninggalkan haluan yang berdosa menunjukkan kepada Yehuwa bahawa kita memandang serius kesilapan kita dan menghargai belas kasihan-Nya.

12. Apakah pengorbanan yang perlu dibuat oleh orang Kristian yang ingin terus menerima belas kasihan Tuhan?

12 Jika seorang Kristian ingin terus dicucuri belas kasihan Tuhan, dia harus rela meninggalkan perkara-perkara yang disukainya sekiranya hal itu akan membuatnya berdosa. (Mat. 18:8, 9) Jika kawan mengajak anda untuk melakukan hal yang menyedihkan hati Yehuwa, sanggupkah anda memutuskan pergaulan dengan mereka? Jika anda sedang berusaha mengawal pengambilan alkohol, sudikah anda mengelakkan situasi yang menggoda anda untuk minum secara berlebihan? Sekiranya anda sedang bergelut dengan keinginan yang tidak bermoral, adakah anda menjauhi wayang, laman web, atau kegiatan yang mungkin mencetuskan fikiran yang kotor? Ingatlah, apa sahaja pengorbanan kita untuk tetap setia kepada Yehuwa amat berbaloi. Tiada apa-apa yang lebih teruk daripada berasa bahawa kita ditinggalkan Yehuwa, dan tiada apa-apa yang lebih baik daripada merasai kasih setia Yehuwa untuk selama-lamanya.​—Yes. 54:7, 8.

“LARI KE KOTA ITU DAN MENYELAMATKAN DIRI”

13. Mengapakah orang yang lari ke kota perlindungan dapat hidup dengan aman, selamat, dan bahagia?

13 Yehuwa berfirman, “Sesiapa yang membunuh orang dengan tidak sengaja boleh lari ke kota itu dan menyelamatkan diri.” (Yos. 20:2, 3) Pembunuh yang tetap tinggal di kota perlindungan akan dilindungi Yehuwa. Dia tidak akan diadili lagi untuk kes yang sama, dan orang yang berhak menuntut pembalasan tidak diizinkan memasuki kota itu untuk membunuhnya. Kota perlindungan bukanlah penjara. Maka pembunuh itu boleh bekerja, membantu orang lain, dan menyembah Yehuwa dalam keadaan yang damai. Ya, dia dapat hidup dengan bahagia dan puas!

Yakinlah bahawa Yehuwa pasti mengampuni anda (Lihat perenggan 14-16)

14. Orang Kristian yang bertaubat dapat yakin akan hal apa?

14 Sesetengah orang Kristian yang bertaubat daripada dosa yang serius masih berasa seperti “dipenjarakan.” Mereka berasa bahawa mereka akan dianggap najis dalam mata Yehuwa untuk selama-lamanya. Jika itulah perasaan anda, percayalah bahawa Yehuwa telah mengampuni anda dengan sepenuhnya, dan anda tidak perlu berasa bersalah lagi. Setelah dibetulkan oleh para penatua dan memperoleh hati nurani yang murni, Daniel yang disebut tadi berkata, “Saya berasa seperti dapat bernafas semula. Selepas dosa saya diampunkan, saya tidak perlu berasa bersalah lagi. Yehuwa telah mengambil beban itu dan menjauhkannya daripada saya, dan saya tidak akan melihatnya lagi.” Seorang pembunuh di kota perlindungan tidak perlu risau bahawa dia akan diburu. Begitu juga, setelah Yehuwa mengampunkan dosa kita, Dia tidak akan mengungkit hal itu lagi atau menggunakannya untuk menghukum kita.​—Baca Mazmur 103:8-12.

15, 16. Bagaimanakah peranan Yesus sebagai Penebus dan Imam Agung meyakinkan anda akan pengampunan Tuhan?

15 Kita mempunyai sebab yang lebih kukuh daripada orang Israel untuk yakin akan pengampunan Yehuwa. Setelah Paulus menyatakan rasa kesalnya kerana tidak dapat mentaati Yehuwa dengan sempurna, dia berkata, “Tuhanlah yang akan menyelamatkan aku melalui Tuan kita, Yesus Kristus, dan aku bersyukur kepada-Nya!” (Rm. 7:25) Meskipun Paulus harus bergelut dengan keinginan berdosa dan kesalahan lampaunya, dia yakin bahawa Yehuwa telah mengampuninya menerusi Yesus. Tebusan Yesus memberi kita ketenteraman dan hati nurani yang bersih. (Ibr. 9:13, 14) Sebagai Imam Agung kita, “dia pasti dapat menyelamatkan orang yang mendekati Tuhan melaluinya, kerana dia sentiasa hidup dan dapat membuat permohonan bagi mereka.” (Ibr. 7:24, 25) Jika imam agung manusia dapat meyakinkan orang Israel bahawa mereka akan diampuni, apatah lagi Imam Agung kita, Yesus! Sudah pasti kita akan “menerima belas kasihan dan kebaikan hati yang unggul semasa kita memerlukan bantuan.”​—Ibr. 4:15, 16.

16 Maka, untuk berlindung kepada Yehuwa, berimanlah kepada korban Yesus. Yakinlah bahawa tebusan bukan sahaja bermanfaat untuk orang secara umum, tetapi untuk anda secara peribadi. (Gal. 2:20, 21) Percayalah bahawa tebusan membolehkan dosa anda diampunkan. Berimanlah bahawa tebusan memberi anda peluang untuk hidup kekal. Ya, korban Yesus ialah hadiah Yehuwa untuk anda.

17. Mengapakah anda ingin berlindung kepada Yehuwa?

17 Aturan kota perlindungan mencerminkan belas kasihan Yehuwa. Aturan itu menegaskan bahawa nyawa itu suci, menggambarkan cara penatua membantu kita, menjelaskan maksud bertaubat, dan meyakinkan kita bahawa Tuhan mengampuni dengan sepenuhnya. Adakah anda berlindung kepada Yehuwa? Anda pasti selamat di bawah naungan-Nya. (Mzm. 91:1, 2) Rencana seterusnya akan menjelaskan cara untuk meniru keadilan dan belas kasihan Yehuwa.

^ per. 10 Menurut karya rujukan Yahudi, keluarga terdekat kepada orang yang membunuh secara tidak sengaja itu akan berpindah bersamanya ke kota perlindungan.