Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Bernyanyilah dengan Sukacita!

Bernyanyilah dengan Sukacita!

‘Memang baik kita menyanyikan lagu pujian untuk Tuhan kita.’​—MZM. 147:1.

LAGU: 10, 2

1. Apakah yang dapat kita lakukan semasa bernyanyi?

SEORANG penggubah lirik pernah berkata, “Kata-kata melahirkan buah fikiran. Muzik melahirkan perasaan. Tetapi lagu mengungkapkan buah fikiran dan menyentuh perasaan anda.” Dengan bernyanyi kepada Bapa kita, Yehuwa, kita dapat meluahkan pujian dan kasih kita kepada-Nya. Maka tidak hairanlah nyanyian menjadi bahagian yang penting dalam ibadat sejati, tidak kira kita bernyanyi seorang diri atau bersama sidang.

2, 3. (a) Apakah perasaan sesetengah orang terhadap peluang untuk bernyanyi bersama sidang? (b) Apakah soalan-soalan yang akan kita bincangkan?

2 Namun, apakah perasaan anda terhadap peluang untuk bernyanyi bersama sidang? Adakah anda berasa malu? Dalam budaya tertentu, kaum lelaki berasa kekok untuk bernyanyi di depan umum. Sikap sebegini mungkin mempengaruhi seluruh sidang, terutamanya jika saudara yang mengambil pimpinan teragak-agak untuk bernyanyi atau sibuk melakukan hal lain semasa sidang sedang bernyanyi.​—Mzm. 30:13.

3 Bernyanyi ialah sebahagian daripada ibadat kita. Maka kita tidak patut melakukan hal lain atau tidak hadir semasa sidang bernyanyi. Tanyalah diri, “Apakah perasaan saya terhadap nyanyian di perjumpaan? Apakah yang dapat saya lakukan supaya tidak teragak-agak untuk bernyanyi dengan lantang dan sukacita? Bagaimanakah saya dapat menjiwai lagu kita dengan lebih baik lagi?”

BERNYANYI—SEBAHAGIAN DARIPADA IBADAT SEJATI

4, 5. Apakah aturan untuk nyanyian dalam ibadat orang Israel kuno?

4 Sejak dahulu lagi, para penyembah Tuhan telah menggunakan muzik untuk memuji Yehuwa. Semasa orang Israel menyembah Yehuwa dengan setia, nyanyian amat penting dalam ibadat mereka. Contohnya, Raja Daud telah mengaturkan 4,000 orang Lewi untuk memuji Yehuwa di Rumah Tuhan dengan alat-alat muzik. Antara mereka, terdapat 288 “ahli muzik yang terlatih.”​—1 Taw. 23:5; 25:7.

5 Muzik dan nyanyian juga amat penting semasa pentahbisan Rumah Tuhan. Bible menyatakan bahawa apabila “nyanyian para penyanyi berpadu dengan iringan trompet, simbal, dan alat muzik lain,” Rumah Tuhan ‘dipenuhi awan yang bersinar dengan cahaya hadirat Yehuwa.’ Peristiwa itu pasti telah menguatkan iman semua orang yang hadir!​—2 Taw. 5:11-14; 7:6.

6. Apakah persembahan istimewa yang diaturkan oleh Nehemia semasa dia menjadi gabenor Yerusalem?

6 Semasa Nehemia memimpin orang Israel untuk membina semula tembok kota Yerusalem, dia juga mengaturkan orang Lewi untuk bernyanyi dan memainkan muzik. Persembahan istimewa mereka telah memeriahkan pentahbisan tembok kota. Terdapat “dua kumpulan besar” orang yang menyanyikan lagu kesyukuran. Dua kumpulan itu berjalan ke arah yang bertentangan dan bertemu di atas tembok yang berhampiran Rumah Tuhan. Keriuhan mereka terdengar sampai jauh. (Neh. 12:27, 28, 31, 38, 40, 43) Yehuwa pasti gembira semasa mendengar pujian yang dinyanyikan oleh para penyembah-Nya dengan bersemangat.

7. Bagaimanakah Yesus menunjukkan pentingnya nyanyian dalam ibadat Kristian?

7 Apabila sidang Kristian diasaskan, nyanyian masih menjadi bahagian yang penting dalam ibadat sejati. Fikirkan apa yang berlaku pada malam yang terpenting dalam sejarah manusia. Selepas Yesus memperkenalkan Perjamuan Malam Tuan, dia dan murid-muridnya telah menyanyikan lagu pujian.​—Baca Matius 26:30.

8. Bagaimanakah orang Kristian abad pertama menetapkan teladan yang baik semasa bernyanyi dalam ibadat mereka?

8 Orang Kristian abad pertama merupakan teladan yang baik. Meskipun mereka biasanya berkumpul di rumah untuk beribadat, mereka masih bernyanyi dengan penuh semangat untuk memuji Yehuwa. Rasul Paulus telah memberitahu rakan seimannya, “Teruslah mengajar dan menggalakkan satu sama lain dengan mazmur, puji-pujian kepada Tuhan, dan lagu rohani yang dinyanyikan dengan perasaan syukur. Bernyanyilah kepada Yehuwa dari lubuk hati kamu.” (Kol. 3:16) Lagu-lagu dalam buku nyanyian kita merupakan makanan rohani daripada “hamba yang setia dan bijaksana,” dan patut “dinyanyikan dengan perasaan syukur.”​—Mat. 24:45.

CARA UNTUK BERNYANYI DENGAN YAKIN

9. (a) Apakah yang mungkin menghalang sesetengah orang daripada bernyanyi dengan gembira semasa perjumpaan dan perhimpunan? (b) Apakah yang harus kita lakukan semasa menyanyikan lagu pujian kepada Yehuwa, dan siapakah yang harus mengambil pimpinan dalam hal ini? (Lihat gambar pada permulaan rencana.)

9 Bagaimana pula jika anda tidak biasa bernyanyi kerana latar belakang keluarga, budaya, atau persekitaran anda? Adakah anda berasa malu atau kecewa kerana nyanyian anda tidak setanding penyanyi profesional di TV atau radio? Janganlah biarkan hal itu menghalang tanggungjawab anda untuk menyanyikan pujian kepada Yehuwa. Peganglah buku nyanyian anda tinggi-tinggi, dongakkan kepala anda, dan nyanyilah dengan penuh perasaan! (Ezr. 3:11; baca Mazmur 147:1.) Hari ini, banyak Dewan Perjumpaan memaparkan lirik lagu pada skrin, dan hal itu juga dapat membantu kita bernyanyi dengan lantang. Kini, kursus Sekolah Bible untuk Saudara Terlantik juga merangkumi nyanyian lagu-lagu teokratik, supaya para penatua diingatkan bahawa mereka perlu mengambil pimpinan semasa sidang bernyanyi.

10. Apakah yang harus kita ingat jika kita takut bernyanyi dengan lantang?

10 Banyak orang teragak-agak untuk bernyanyi dengan lantang kerana takut jika suara mereka kedengaran terlalu kuat atau tidak merdu. Namun, ingatlah bahawa meskipun kita “sering berbuat silap” dalam pertuturan, hal itu tidak menghalang kita daripada bercakap. (Yak. 3:2) Begitu juga, janganlah biarkan nyanyian kita yang tidak sempurna menghalang kita daripada menyanyikan pujian kepada Yehuwa.

11, 12. Apakah beberapa cadangan yang dapat memantapkan nyanyian kita?

11 Jika kita teragak-agak untuk bernyanyi kerana tidak tahu tekniknya, terdapat beberapa cadangan untuk meningkatkan kemahiran bernyanyi kita. *

12 Anda dapat bernyanyi dengan lantang dan bertenaga dengan mempelajari teknik pernafasan yang betul. Sebagaimana elektrik menyalakan lampu, pernafasan membantu kita menghasilkan suara semasa kita bercakap atau bernyanyi. Semasa bernyanyi, suara anda patut sama kuat atau lebih kuat daripada semasa anda bercakap. (Lihat buku “Sekolah Penyebaran” dalam bahasa Indonesia, muka surat 181-184 di bawah tajuk kecil “Mengatur Persediaan Udara Saudara dengan Baik.”) Ingatlah bahawa Firman Tuhan menggalakkan penyembah Yehuwa untuk ‘bernyanyi dengan suara yang kuat!’​—Mzm. 33:1-3.

13. Bagaimanakah kita dapat bernyanyi dengan lebih yakin?

13 Semasa penyembahan keluarga atau bersendirian, pilihlah lagu teokratik kegemaran anda. Bacalah liriknya dengan suara yang lantang dan yakin. Kemudian dengan kelantangan yang sama, sebutkan satu frasa lagu dalam satu nafas. Selepas itu, nyanyikan frasa itu dengan suara yang lantang. (Yes. 24:14) Anda akan dapati nyanyian anda menjadi lebih bertenaga. Janganlah berasa takut atau malu, kerana itulah hasil yang diinginkan!

14. (a) Mengapakah kita digalakkan untuk membuka mulut dengan lebih besar semasa bernyanyi? (Lihat kotak “ Cara Bernyanyi dengan Lebih Baik.”) (b) Apakah cadangan-cadangan yang telah membantu anda untuk meningkatkan mutu suara anda?

14 Untuk menghasilkan nyanyian yang cukup lantang, anda perlu ruangan yang lebih besar di dalam mulut. Maka, cubalah membuka mulut anda lebih besar daripada semasa anda bercakap. Bagaimana pula jika suara anda kedengaran lemah atau terlalu nyaring? Terdapat cadangan-cadangan praktikal untuk mengatasinya dalam buku “Sekolah Penyebaran” dalam bahasa Indonesia, kotak “Mengatasi Problem-Problem Spesifik” pada muka surat 184.

MENYANYIKAN LAGU PUJIAN DARI HATI

15. (a) Apakah pengumuman yang dibuat semasa mesyuarat tahunan 2016? (b) Mengapakah buku lagu baharu dihasilkan?

15 Semasa mesyuarat tahunan Watch Tower Bible and Tract Society of Pennsylvania tahun 2016, para hadirin cukup teruja semasa Saudara Stephen Lett, seorang ahli Badan Pimpinan, mengumumkan bahawa buku lagu baharu yang bertajuk Nyanyi dengan Gembira kepada Yehuwa akan disediakan untuk digunakan di perjumpaan. Saudara Lett menjelaskan bahawa buku lagu sebelum ini telah disemak supaya ungkapan-ungkapan dalam liriknya diselaraskan dengan New World Translation of the Holy Scriptures edisi 2013. Selain itu, lagu baharu tentang kerja penyebaran dan rasa syukur untuk tebusan telah ditambahkan. Memandangkan nyanyian ialah bahagian penting dalam ibadat kita, Badan Pimpinan ingin menghasilkan buku lagu yang bermutu, yang reka bentuknya mirip dengan Bible yang telah dikemaskinikan.

16, 17. Apakah ciri-ciri baharu dalam buku lagu yang dikemaskinikan?

16 Lagu-lagu dalam buku Nyanyi dengan Gembira kepada Yehuwa disusun mengikut topik. Contohnya, 12 lagu yang pertama adalah tentang Yehuwa, 8 lagu yang seterusnya adalah tentang Yesus dan tebusan, dan sebagainya. Indeks mengikut topik dalam buku lagu ini amat berguna, misalnya bagi saudara yang hendak memilih lagu bagi ceramah umum.

17 Untuk membantu semua orang bernyanyi dari hati, sesetengah lirik telah diubah supaya maksudnya lebih jelas dan lebih menyentuh hati. Dalam beberapa bahasa, kata-kata dan ungkapan yang jarang digunakan juga telah dikeluarkan. Contohnya, lagu yang bertajuk “Kepanjangsabaran” telah diubah kepada “Bersabarlah.” Sesetengah lagu telah diubah supaya topiknya lebih berkaitan dengan perjumpaan dan kerja penyebaran. Misalnya, lagu “Berpuas Hati dengan Pemberian Tuhan” jarang digunakan, maka lagu itu telah digantikan dengan lagu “Mengajarkan Firman Tuhan.”

Berlatih menyanyi semasa penyembahan keluarga (Lihat perenggan 18)

18. Mengapakah kita patut mengenali lagu-lagu dalam buku nyanyian baharu kita? (Lihat nota kaki.)

18 Banyak lagu dalam Nyanyi dengan Gembira kepada Yehuwa adalah dalam bentuk doa. Melalui lagu-lagu sebegini, anda dapat mengungkapkan perasaan anda kepada Yehuwa. Lagu-lagu lain pula akan “memberikan dorongan” kepada kita untuk “memperlihatkan kasih dan melakukan perbuatan yang baik.” (Ibr. 10:24) Semoga kita berusaha mengenali melodi, irama, dan lirik lagu kita dengan berlatih secukupnya di rumah. Dengan itu, kita dapat bernyanyi dengan penuh keyakinan dan penuh perasaan. *

19. Bagaimanakah semua orang dalam sidang dapat menyembah Yehuwa?

19 Ingatlah bahawa nyanyian ialah bahagian yang penting dalam ibadat kita. Dengan bernyanyi, kita mengungkapkan kasih dan penghargaan kita kepada Yehuwa. (Baca Yesaya 12:5.) Apabila anda bernyanyi dengan gembira, orang lain pun akan terdorong untuk bernyanyi dengan yakin. Semua dalam sidang, tidak kira muda, tua, atau orang baharu, dapat menyembah Yehuwa melalui nyanyian mereka. Maka, janganlah segan untuk bernyanyi. Sebaliknya, marilah kita menyahut seruan pemazmur yang berbunyi, ‘Bernyanyilah untuk Yehuwa!’ Ya, marilah kita bernyanyi dengan gembira!—Mzm. 96:1.

^ per. 11 Untuk maklumat lanjut tentang cara memantapkan mutu suara semasa bernyanyi, sila lihat ceramah bertajuk “David H. Splane: Persiapkan Diri untuk Menyanyi Lagu-Lagu Baru” dalam Siaran JW bahasa Indonesia (video DARI STUDIO KAMI > KHOTBAH).

^ per. 18 Untuk membantu kita bernyanyi dengan bersemangat, setiap sesi konvensyen dan perhimpunan akan bermula dengan selingan muzik selama 10 minit. Persembahan orkestra sebegini bertujuan mempersiapkan hati dan minda kita untuk mendengar program yang akan disampaikan. Maka, kita digalakkan untuk duduk dan memberikan perhatian semasa selingan muzik bermula.